Friday, February 26, 2010

Circular Quay Dan Darling Harbour...


Circular Quay merupakan nama tempat yang tidak asing di Sydney. Di sinilah terletaknya Sydney Opera House dan Sydney Harbour Bridge yang tersohor di seluruh dunia. Begitu juga Darling Harbour, yang mendapat nama sempena Lieutenant-General Ralph Darling yang menjadi gabenor New South Wales dari tahun 1825 hingga 1831.

Kami memulakan perjalanan dari UWS Village, Parramatta ke Sydney City Centre lebih kurang jam 12.30 petang. Apabila tiba di sana, kami terus ke Restoren Kasturi yang menyediakan makanan Malaysia, Thailand, dan Singapura yang halal. Makanan yang dipesan ialah Nasi Goreng Thai, Nasi Goreng Malaysia, dan 2 Kueh Teoy Goreng Seafood. 4 orang makan dengan kos $62.

Selesai menjamu selera, kami ke Paddy Market untuk membeli sedikit buah tangan dari Australia. Kemudiannya kami ke Terminal Feri di Darling Harbour untuk menikmati panorama laut di perairan Sydney. Tambang feri untuk seorang ialah $2.50. Sebelum itu, kami sempat bersiar-siar di hadapan Sydney Convention and Exhibition Centre, yang menjadi 'venue' Summer Olympic Games 2000 dan juga 'venue' mesyuarat APEC Australia 2007.

Dari atas feri, Sydney Harbour Bridge dan Sydney Opera House nampak begitu cantik dan menarik. Sebenarnya, pelancong dibenarkan berjalan di atas lengkuk Harbour Bridge (bukan di atas jambatan tetapi lengkuk yang melengkung) dengan sedikit bayaran. Sudah pasti mereka yang gayat tidak mampu untuk melakukannya.

Di perairan juga, kami berselisih dengan feri dan kapal percutian yang begitu besar. Mereka juga menyediakan perkhidmatan teksi air, bot-bot yang tertera perkataan 'taxi' di bumbung dan sisinya.

Setelah sampai di pengkalan, kami berjalan ke Circular Quay. Ramai sekali manusia dari segenap pelusuk dunia. Ada satu ketika seorang isteri beranak satu dari Pakistan meminta untuk menggunakan telefon bimbit saya untuk menelefon suaminya. Mungkin tersalah jalan dan terpisah dari suaminya...

Kami menunaikan solat Zohor dan Asar secara Jama' di taman yang terletak berhadapan dengan Sydney Opera House. Untuk mengambil wudu', kami ke 'toilet' awam. Kebiasaannya di Malaysia, kita tidak menghadapi apa-apa masalah untuk mengangkat kaki ke dalam mangkuk untuk membasuh kaki. Tetapi di sini, kita menghormati tuan rumah kerana dikhuatiri mereka akan mengatakan orang Islam biadap memasukkan kaki kami ke tempat mereka membasuh muka. Kita hanya mengambil air dan menyapunya ke kaki.

Selesai solat, kami bergambar di depan Opera House dan seterusnya kembali ke Central dengan menaiki keretapi untuk mendapatkan kereta kita. Caj parking yang dikenakan $27. Dan kami bertolak pulang ke UWS Village... Esok kami akan keluar dari sini menuju ke Brisbane dengan kereta sewa.

No comments:

Post a Comment