Wednesday, April 1, 2009

Hanya Ciki Yang Tinggal


Lebih kurang sebulan yang lepas, anak-anak saya mendapatkan seekor ibu kucing bersama 5 ekor anak-anaknya yang comel dari jiran selang sebuah rumah. Masing-masing gembira apabila mendapat 'green light' dari umminya untuk memelihara kucing. Tetapi syarat dari umminya, kucing-kucing tempatnya hanya di luar rumah!

Pun begitu, semua seronok dan masing-masing menamakan kucing masing-masing. Coco, kepunyaan Rasyid, Ciki kepunyaan 'Ammar, Sity kepunyaan Qanitah (anak jiran sebelah rumah), Kiki kepunyaan Asmaa, Kity kepunyaan Sakinah dan Cumi nama ibu kucing.

Minggu pertama dan kedua, semua berjalan normal. Anak-anak kucing berada di dalam sangkar di luar rumah. Cumi asyik keluar masuk menyusukan anak-anaknya. Anak-anak saya nampak lebih 'caring' dan sayang kepada binatang. Ini yang saya cuba terapkan, supaya ada perasaan kasih mengasihi dan sayang menyayangi, bukan hanya sesama manusia tetapi juga kepada binatang.

Tetapi kucing-kucing itu jangan cuba hendak masuk rumah seperti yang telah diperingatkan oleh ummi mereka, semua bersiap sedia untuk menghalau dengan kaki, lebih-lebih lagi Syakir.

Apabila masuk minggu ketiga, anak-anak kucing mula keluar sangkar dan makan bersama-sama ibunya. Kini, laman depan rumah sudah dicemari dengan najis anak-anak kucing. Tahu saja apa yang diluahkan oleh umminya kerana penat hari-hari membasuh lantai simen. Pun begitu, setiap 4 jam sekali, ummi akan memberi kucing-kucing itu makan. Penat tapi masih cuba menuruti kehendak anak-anak....

Suatu hari, mungkin kerana tak tahan penat membasuh lantai, ummi mereka menyuruh anak-anak menghantar kucing-kucing itu ke pasar. Arahan itu sebenarnya ditujukan kepada saya. Tapi saya buat tak reti aje....

Pada minggu lepas, Kity, kucing Sakinah hilang tanpa berita. Dua tiga hari kemudian, dengar khabar Cina jiran depan rumah terlanggar. Hari Ahad, saya tiba di rumah dari Universiti, Sakinah memaklumkan Coco telah dilanggar oleh ayah Qanitah. Tuannya, Rasyid menangis kerana sayangnya pada Coco. Cocolah satu-satunya yang lain dari yang lain, dia seekor saja yang berwarna coklat dan dialah juga satu-satunya yang jantan. Apabila buka saja pintu, Cocolah yang pertama berlari masuk rumah.

Hari Selasa, sebelum saya ke pejabat, tengok Sity pula mati di tempat rak kasut. Sebelum tengahari isteri menelefon saya, Cumi dan Kiki pula dijumpai mati di depan anjung rumah.

Malam tadi dengar-dengar khabar dari kawan, ada jiran yang letak racun tikus untuk memerangkap tikus. Seekor tikus besar dijumpai mati.

Maka jadilah Ciki yatim piatu, tanpa bapa, ibu dan empat adik beradiknya yang lain! Semoga Ciki mampu meneruskan kehidupan....

No comments:

Post a Comment