Tuesday, April 14, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji - 9


Sepanjang perjalanan dari Madinah ke Mekah, ada ketika yang bas terpaksa berhenti kerana ada pemeriksaan... Di sesetengah tempat, setiap orang diberi bungkusan, yang berisi air zam zam/mineral dalam botol, 3,4 biji kurma dan roti. Pendekata, dalam musim haji, ramai dermawan yang bersedekah!

Bas kami sampai ke Mekah, sewaktu azan Subuh. Subhanallah!!! Kita teruja melihat luar Masjidil Haram yang bercahaya. Lebih bercahaya dari stadium yang menerangi ketika berpesta! Perasaan untuk sujud di depan Kaabah begitu terasa. Lebih-lebih lagi kepada yang pertama kali menjejaki kaki ke Tanah Suci ini.

Mutawif bertanya kepada kami, adakah mahu terus menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram atau "check-in" di hotel dulu? Ada yang hendak terus ke Masjid dan majoriti hendak bersihkan diri dulu di hotel. Jadi bas kami terus menuju ke hotel.

Di hotel, kami sekali lagi dibahagikan mengikut kumpulan. Biasanya, kita diletakkan dalam kumpulan yang sama seperti di Madinah. Salah seorang dari kumpulan kami dulu, tidak bersama kami kali ini, iaitu Pakcik Ahmad, pakcik yang berumur lebih 70 tahun. Dengan kata lain, di Madinah kami berlima sebilik tetapi di Mekah kami berempat sahaja. Seperti saya maklumkan dulu, hotel di Mekah adalah tidak seluas dan seselesa di Madinah.

Selesai menguruskan hal bilik, saya bersama isteri terus menuju ke Masjidil Haram yang terletak 150m saja dari hotel untuk menunaikan solat Subuh. Alangkah terharunya, apabila kita melangkah masuk ke dalam Masjidil Haram, kaki melangkah menuruni tangga dan tersergam Kaabah di hadapan! Makin lama makin dekat dan tanpa disedari bercucuran airmata mengalir di pipi.

Ya Allah, aku di depan Baitullah atau Bait al-'Atiq....

Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik...

No comments:

Post a Comment