Tuesday, April 7, 2009

Kereta Terkunci Dari Dalam


Peristiwa ini berlaku pada minggu lepas. Seperti biasa, pukul 2.45 petang, saya sampai di Sekolah Rendah Islam Hidayah untuk mengambil 3 orang anak saya. Di tempat letak kereta, saya nampak seorang ibu menepuk-nepuk cermin kereta Savvy sambil memanggil nama anaknya.

Ibu ini menyuruh anaknya menguncikan kereta dari dalam, sementara beliau pergi menjemput anak yang Darjah 2 melintas jalan. Setelah sampai ke kereta, ibu mendapati anaknya yang berumur 5 tahun itu sudah tertidur begitu nyenyak sekali dalam 'air-con'! Puas ibunya memanggil nama, mengetuk cermin, menggoyangkan kereta, tetapi semua usaha tidak berhasil. Semakin digoyang kereta, semakin sedap tidur, bagai dibuai.

Saya menyuruh ibu tadi memanggil sesiapa yang ada di rumah untuk mendapatkan kunci 'spare'. Malangnya, telefonnya juga tertinggal dalam kereta! Saya memberi pinjam 'handphone' saya untuk memanggil suaminya. "Suami saya kat Singapore, nanti mahal pula caj telefon", ujarnya. "Call aje", balas saya. Setelah didail, tiada jawapan dan dipanggilnya pula ibu di rumah. Ibunya memberitahu, "Tiada kunci pendua!".

Setelah mengiringi 3 orang anak saya sampai ke kereta, saya meneruskan usaha membantu ibu tersebut. Hendak ditinggalkan saja, rasa tak sampai hati pula. Setelah usaha mengejutkan budak yang lena tidur tidak berjaya, saya memasukkan pembaris besi di tepi cermin dan menjolok apa yang ada dengan harapan punat kunci pintu akan ternaik sendiri. Malangnya, kereta Savvy tidak semudah itu. 'Foreman' dari bengkel berdekatan juga dipanggil untuk membantu. Tapi semua usaha gagal.

Akhir sekali, setelah hampir sejam pelbagai usaha dibuat, dan semakin ramai termasuk guru-guru yang datang cuba membantu, maka ditakdirkan Allah, budak tadi tersedar tetapi masih mamai. Disuruhnya buka pintu tapi budak tadi terkebil-kebil melihat sekeliling. Mungkin juga terkejut, mungkin juga hairan melihat begitu ramai orang mengerumuni keretanya.

Setelah sedar sepenuhnya, maka budak tadipun menarik naik punat kunci kereta tersebut. Sayapun berlalu ke sekolah kerana ingin membasuh jari yang luka akibat terkena pembaris besi.

Apabila kembali ke kereta, ibu tadi menekankan hon. Saya bertanya kepada anak-anak, kenapa dia menekankan hon? "Entah", jawab anak-anak saya. "Dia mengucapkan terima kasih", jelas saya.

Saya memberitahu anak-anak bahawa saya boleh terus meninggalkan ibu tadi tanpa cuba membantu. Tetapi sekiranya kita membantu orang, insyaAllah, dilain kali, orang lain pula akan membantu kita, atau anak isteri kita bila ditimpa musibah.

Apabila sampai di rumah, saya menceritakan hal tersebut kepada isteri supaya menjadi iktibar dan tauladan buatnya. "Saya dah kena dulu, masa pergi ambik duit dekat Tabung Haji", ujarnya. "Pada awalnya, Acik yang jaga tapi bila balik semula ke van, semua dah tertidur", ujarnya lagi.

3 comments:

  1. salam terima kasih ziarah blog saya. Satu cerita yang memberi peringatan kepada yang lupa. Wassallam

    ReplyDelete
  2. Saya terharu membaca blog sdra Ariff, mudah-mudahan isteri ditempatkan bersama para solehin. Ana juga doakan semoga anta digantikan oleh Allah SWT dengan isteri yang lebih baik di dunia mahupun akhirat. Moga tabah untuk mendidik anak-anak. Wassalamu'alaikum warah matullahi wabarakatuh.

    ReplyDelete
  3. Saya terharu membaca blog sdra Ariff, mudah-mudahan isteri ditempatkan bersama para solehin. Ana juga doakan semoga anta digantikan oleh Allah SWT dengan isteri yang lebih baik di dunia mahupun akhirat. Moga tabah untuk mendidik anak-anak. Wassalamu'alaikum warah matullahi wabarakatuh.

    ReplyDelete