Friday, April 3, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji - 3


Saya memohon cuti dari UTM bermula 6 Januari 2003 hingga 28 Februari 2003. Tarikh penerbangan saya dan isteri ialah pada 11 Januari dan kembali ke Malaysia pada 23 Februari. Kami adalah penumpang kapal terbang KT25 dan maktab bernombor 88. Nombor KT dan nombor maktab adalah amat penting untuk diingati semasa di Mekah, Mina, Arafah dan Madinah. Kalau tidak ingat nama hotel tetapi ingat nombor maktab sudah memadai.

Saya mengambil cuti 5 hari lebih awal bagi tujuan membawa anak-anak (7 orang) balik ke Kelantan. Termasuklah Sakinah yang baru berusia sebulan lebih....

Saya diberi pilihan samaada untuk menaiki kapal terbang ke Arab Saudi dari Senai atau dari Kuala Lumpur. Kami memilih untuk bertolak dari Kuala Lumpur. Saya juga menempah tiket Air Asia dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur pada 11 Januari dan kembali ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur pada 23 Februari. Belanja tiket penerbangan domestik adalah dari poket sendiri dan bukan tanggungan TH!

Saya telah ke pejabat TH Johor Bahru untuk memohon pergi lewat dan balik awal ke Tanah Suci. Saya memaklumkan isteri saya baru bersalin. Pegawai TH menyuruh saya untuk membuat surat ke TH KL. Saya membuat surat tersebut tetapi tiada respon dari mereka. Saya merasakan ramai orang yang mempunyai alasan yang sama. Jadi, nak tak nak, tawakkal ajelah.

Kalau tiada apa-apa masalah saya nasihatkan tuan/puan ke Tanah Suci dengan menaiki kapal terbang awal. Kalau dapat KT1 hingga KT15, sangat-sangat cantik. Kapal terbang awal akan ke Madinah dulu. Di sini, jamaah haji dibenarkan tinggal antara 8-9 hari, bagi mendapat 40 waktu solat berjamaah di Masjid Nabawi.

Apabila kita naik kapal terbang awal, kita sampai di Madinah dalam keadaan lengang. Orang masih kurang, jadi untuk mendapat tempat di Raudhah adalah agak tinggi kebarangkaliannya! Raudhah adalah satu kawasan kecil dalam Masjid Nabawi, yang mana merupakan tempat ibadah utama buat Rasulullah dan para sahabat.

Apabila kita ke Mekah pula dari Madinah, Masjidil Harampun masih lengang! Senang untuk tawaf dan mudah-mudahan dapat kucup Hajarul Aswad. Hendak buat umrah berkali-kalipun tiada masalah. Cuma yang penting jaga kesihatan! Tujuan kita adalah untuk buat haji. Jangan pulun umrah tapi masa haji dah kurang sihat atau penat.

Kami menggunakan pesawat Saudi Airline. Jadi, dapat 'direct' dari KLIA ke Madinah Airport. Katanya, kalau bukan Saudi Airline, kena pergi Jeddah dan dari Jeddah menaiki bas ke Madinah.

Semasa di Malaysia, kita dikumpulkan di Kompleks TH di Kelana Jaya. Kami hanya bersama anak-anak di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Di Kelana Jaya, kita diberikan passport, lencana TH dan beberapa dokumen persiapan sebelum berlepas. Di sini juga, kita masih boleh menukar duit Malaysia kepada duit Saudi. Nasihat saya, duit tak perlu berada dalam tangan dalam jumlah yang banyak kerana kita masih boleh mengeluarkannya dari TH di Mekah atau Madinah.

Dari Kelana Jaya, kita terus di 'escort' oleh Polis Trafik ke Terminal Berlepas dengan menaiki bas. 10 buah bas (lebih kurang 400 jamaah) bagi satu-satu pesawat di 'escort' depan dan belakang seperti raja yang ingin menjadi tetamu Allah. Kita terus dibawa masuk mengikut jalan dalam ke terminal.

Berkenaan pakaian, saya nasihatkan supaya hanya membawa seluar dan kemeja sepasang (maksimum 2 pasang), tuala, kain pelikat 2 helai, baju pagoda 3 helai, seluar dalam 5 helai dan yang terpenting kain ihram 2 pasang. Kebiasaannya, kita akan pakai jubah di sana. Jubah di Madinah dan Mekah sangat murah! Paling murah berharga 10 Saudi Rial dan 60-70 Saudi Rial yang paling mahal. Begpun sama, kalau kita perlu tambah beg, jangan risau di sana beg sangat murah.

Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik.....

No comments:

Post a Comment