Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Saturday, April 4, 2009
Mengerjakan Ibadah Haji - 4
Semasa di dalam kapal terbang, kita seharusnya menjaga waktu solat. Solatlah sambil duduk. Jangan sekali-kali meninggalkan solat, walaupun kita dalam keadaan sakit.
Di Madinah Airport, kita akan disambut oleh Mutawif (Sheikh yang akan membimbing kita sepanjang musim Haji). Passport Haji kita akan dicopkan. Passport Haji adalah berwarna hijau berbanding passport antarabangsa kita yang berwarna merah. Di sini, kita akan berbaris bersama jemaah haji yang lain untuk melalui pemeriksaan. Passport Haji kita akan dikutip oleh Mutawif untuk disimpan sehinggalah ke hari keberangkatan pulang nanti.
Setelah selesai urusan di airport, kita akan dibawa dengan bas ke hotel di bandar Madinah. Perjalanan hanya mengambil masa sejam lebih sahaja. Tetapi jika kita sampai di Jeddah, perjalanan ke Madinah adalah lebih kurang 5 jam. Semasa saya melakukan umrah pada tahun lepas, perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa yang lebih lama kerana bas rosak di tengah jalan...
Hotel di Madinah adalah agak cantik dan menarik berbanding dengan hotel di Mekah. Jangan kita mengharapkan suasana hotel sepertimana kita pergi seminar atau konvensyen. Kebiasaannya, jarak hotel ke pagar Masjid Nabawi lebih kurang 500 meter sahaja. Gambar-gambar Masjid Nabawi yang saya masukkan dalam blog adalah yang saya ambil dari tingkap bilik hotel.
Di dalam hotel, kita ditempatkan bersama 4 atau 5 orang lelaki lain yang baru kita kenali. Kalau kita mengambil pakej yang mahal, barulah kita dapat tinggal bersama isteri sahaja dalam bilik tersebut.
InsyaAllah semua akan berjalan dengan baik kerana tujuan kita semua adalah untuk mengerjakan ibadah. Kita juga selalu dipesankan supaya bersabar. Yang sebilik bersama saya dulu, ialah seorang Pakcik 70 tahun dari Selangor, Abang yang hampir pencen dari Penang, Abang yang hampir pencen dari DBKL dan Abang yang buat bisnes sendiri dari Kedah. Saya yang termuda, berumur 38 tahun.
Isteri kami juga diletakkan sebilik, selang beberapa bilik dari bilik kami di aras yang sama. Cuma, saya ingin memperingatkan supaya kita berhati-hati apabila ingin berjumpa dengan isteri. Jangan terus buka pintu kerana ada isteri-isteri orang lain yang mungkin tidak sempat untuk menutup aurat. Seeloknya, telefon dulu. Telefon dari bilik ke bilik adalah percuma!
Apabila hendak ke Masjid Nabawi, kita telefon dahulu isteri supaya bersedia dan kita turun bersama-sama ke lobi. Kalau kita hendak pergi bersama teman sebilikpun boleh tetapi jangan biarkan isteri keseorangan. Kita kena pastikan isteri kitapun keluar bersama isteri teman sebilik kita.
Kalau boleh, untuk 2,3 hari pertama di Madinah kita pergi bersama isteri dahulu kerana kitapun baru kenal Pakcik atau Abang-abang ini di Madinah. Isteri kitapun sama, baru hendak berkenalan dengan rakan sebiliknya. Tetapi semangat ingin tolong menolong dan toleransi sesama ahli sebilik, bahkan sesama maktab mesti tinggi. Ringankan tulang untuk membantu orang lain kerana pahalanya begitu besar.
Cuma, kadang-kadang si suami terlampau membantu orang lain dan membiarkan isteri keseorangan akan mencetuskan pergaduhan. Isteri akan merasa 'jealous'! Kalau boleh tahap ingin membantu kita juga harus berpada dan jangan sehingga disalah sangka oleh isteri. Ingat, kita ke sini untuk beribadah....
Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment