Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Wednesday, April 8, 2009
Mengerjakan Ibadah Haji - 6
Selama 9 hari di Madinah, kehidupan agak rutin. Jam 3 atau 3.30 pagi, saya dan isteri dah mula bergerak ke Masjid Nabawi. Bulan Januari 2003 agak sejuk di waktu begini.
Sesampai di Masjid, kita membuka selipar dan memasukkan ke dalam kantung untuk diletak ke tempat rak kasut dalam masjid. Di pintu masuk masjid juga ada rak-rak kasut. Rak kasut dalam Masjid Nabawi dan Masjidil Haram mempunyai nombor. Pastikan anda mengingati nombor tersebut! Kalau tidak, balik berkaki ayamlah ke hotel....
Setelah berjanji dengan isteri di pintu mana untuk bertemu kembali, maka masing-masing menuju ke tempat solat. Tempat solat lelaki dan perempuan di Masjid Nabawi memang berasingan. Tunggu sehingga anda ke Masjidil Haram, lihatlah macamana kadang-kadang di tepi, depan dan belakang kita ada jamaah muslimat!
Kita mulai dengan solat sunat tahiyyatul masjid. Kemudian, disusuli dengan solat sunat tahajud, solat sunat taubat, solat sunat hajat, dan solat witir. Lepas itu, kita membuat tilawah Al-Quran sehingga Subuh. Jangan lupa untuk niat 'iktikaf dalam masjid sepanjang waktu kita berada di dalamnya. Azan, baik di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dilaungkan 2 kali. Kali pertama, untuk mengejutkan kita dan kali kedua adalah masuk waktu Subuh.
Setelah selesai solat sunat Subuh 2 rakaat, kita sempat untuk membaca Al-Quran atau berzikir sebelum iqamah dilafazkan. Selesai solat Subuh, kami susuli dengan bacaan Ma'thurat, iaitu himpunan doa-doa yang disusun oleh As-Syahid Sheikh Hassan Al-Banna. Kemudian barulah, saya dan isteri bertemu di pintu Masjid untuk balik ke hotel.
Dalam perjalanan balik ke hotel, di tepi-tepi jalan sudah penuh dengan peniaga-peniaga wanita berkulit hitam menjual sejadah, jubah, tasbih, Al-Quran, seluar, baju, kain tudung, mainan, buah-buahan dan sebagainya. Mereka hanya menghampar sehelai kain dan meletakkan barangan jualan mereka di atasnya. Harga barangan ini agak murah berbanding dengan barangan yang dijual di kedai-kedai.
Apabila ada pihak berkuatkuasa datang, mereka akan lari bertempiaran. Kadang-kadang, barangan jualanpun tak sempat diambil. Perkara yang sama juga berlaku di sekitar Masjidil Haram.
Mereka yang meminta sedekah juga ramai. Kecacatannya pelbagai, ada yang tak ada tangan, ada yang tak ada kaki, ada yang tak ada tangan dan kaki, ada yang buta, dan sebagainya. Berilah sedekah mengikut keikhlasan.... Jangan sekali-kali, menghulur sedekah secara terang-terangan. Sekiranya, mereka melihat kita memberi secara terbuka maka berlari-lari yang lain menuju ke arah kita.
Apabila sampai di hotel, 'breakfast' sudah tersedia. Ada 'conflake', ada nasi goreng, dan kadang-kadang nasi lemakpun ada. Roti dengan jem dan majerin sentiasa ada! Kopi dan teh serta susu ada disediakan 24 jam di hotel. Selesai makan, ada yang tidur sekejap sebelum keluar untuk bersiar-siar atau "shopping". Ada juga yang mengambil kesempatan untuk membasuh sehelai dua kain. Kain-kain di sini tidak berbau. Ini kerana cuaca di sini yang panas tanpa 'humidity'. Menjemur kain boleh dilakukan, samaada dalam bilik atau di bumbung hotel. Di bumbung hotel, bersilangan tali yang masing-masing pasang bagi tujuan untuk menjemur pakaian. Jangan lupa untuk menanda pakaian. Kadang-kadang, ada yang sama!
Pukul 12 tengahari, kita dah mula bergerak ke Masjid Nabawi. Seperti biasa, solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat hajat, tilawatul Quran sehinggalah selesai solat Zohor. Kalau ada peluang, cuba dapatkan kawasan Raudhah. Tetapi untuk mendapatkan Raudhah di waktu ini tidak sesenang di waktu sebelum Subuh.
Selesai solat Zohor, kita bersama isteri pulang ke hotel untuk makan tengahari. Selesai makan, rehat lagi sementara menunggu waktu Asar. Jam 3.30 petang, dah pergi ke Masjid balik.
Setelah selesai solat Asar, baca ma'thurat dan pergi ziarah maqam Rasulullah jika ada kesempatan. Kemudian, balik ke hotel semula. Peniaga-peniaga di tepi jalan sentiasa ada setiap waktu solat, ketika kita pergi dan balik dari Masjid.
Pukul 6 petang, kita dah kembali ke Masjid. Kebiasaannya, selepas solat Maghrib kita ber'iktikaf sehingga Isya'. Sementara menunggu Isya', baca Quran dan sebagainya.
Jam 9 malam, balik ke hotel dan makan malam. Kalau tak keluar "shopping", jam 10 malam dah tidur kerana esok pukul 3 pagi dah nak ke Masjid lagi....
Apabila kita ada Ziarah Luar, kebiasaannya kita akan bertolak dalam pukul 9.30 pagi dan kembali ke hotel sebelum waktu Zohor. Pihak TH akan mempastikan kita mendapat sekurang-kurangnya 40 waktu solat berjamaah di Masjid Nabawi kecualilah kita saja yang tidak mahu....
Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment