Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Thursday, April 23, 2009
Mengukur dengan Neraca Berbeza
Manusia diciptakan secara fitrahnya inginkan kedamaian, kebaikan, kejayaan, keselamatan dan kesejahteraan. Ia selaras dengan hadis di bawah;
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0699.
Abu Hurairah (RA) menceritakan, bahawa Nabi (SAW) pernah bersabda: "Tidak ada seorang anakpun yang dilahirkan, melainkan ia dilahirkan dalam keadaan suci bersih; maka ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, dan atau Majusi. Sama halnya sebagai seekor haiwan ternak, maka ia akan melahirkan ternak pula dengan sempurna, tiada kamu dapati kekurangannya."
Peranan ibubapa begitu penting dalam mendidik dan mengasuh anak supaya menjadi insan berguna. Dia akan menjadi insan berguna kepada dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan seterusnya kepada negaranya jika didikan dan asuhan itu berjaya dan sempurna.
Mendidik anak memerlukan kesabaran. Karenah anak juga kadang-kadang tak sama walaupun acuannya, iaitu ibu dan bapa yang sama. Ada yang boleh ditegur secara "direct", ada yang hanya boleh dikiaskan, ada yang kena dimarahi, ada yang kena dihukumi, dan sebagainya.
Teknik yang digunakan untuk abang tidak semestinya sesuai untuk adik. Begitu juga jalan penyelesaian yang diberikan kepada kakak tidak seharusnya secucuk juga untuk abang atau adik. Kalau macam saya yang mempunyai 9 orang anak, cara untuk menangani setiap seorang juga harus berbeza. Itulah seni dan sains dalam mendidik anak-anak.
Modul untuk mendidik anak seharusnya dipelajari. Ia bukan boleh diadaptasi atau menjadi mahir secara automatik apabila kita mula bergelar bapa atau ibu. Kalau generasi datuk nenek dan mungkin setengah dari kita, generasi ibu bapa mendidik dan mengajar anak mereka hasil dari pembelajaran dari orang tua mereka. Kita seharusnya berbeda... Kenapa?
Kita harus mempunyai kelainan kerana kita mempunyai ilmu yang lebih tinggi dari orang tua. Kita baca buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, karangan Abdullah Nasih Ulwan. Orang tua kita tidak sempat untuk membaca semua itu. Neraca yang digunakan untuk mengukur kejayaan itu juga seharusnya berbeza dengan orang tua kita.
Kalau dulu, kejayaan anak-anak diukur dengan mereka memperolehi kerjaya cemerlang seperti menjadi doktor, jurutera, peguam dan sebagainya. Tetapi bagi kita yang lebih berilmu seharusnya neraca agak sedikit berbeza. Kita mahu anak menjadi seorang doktor tetapi seorang doktor yang beriman, kita mahu anak menjadi seorang peguam tetapi seorang peguam yang bertaqwa, dan kita mahu anak menjadi seorang jurutera tetapi seorang jurutera yang amanah.
Seharusnya, itulah neraca kita.... Dan kayu pengukur samaada kita berjaya atau gagal mendidik anak-anak ialah adanya anak yang soleh atau solehah yang mendoakan kita apabila kita sudah tiada kelak!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment