Thursday, April 2, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji - 2


Ibadah haji adalah ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal. Bukan maksud saya, kalau tak kuat tak payah pergi atau kalau dah tua tak payah pergi. Kita lihat ramai yang tua-tua sempurna juga ibadah haji mereka. Cuma, kalau kita berumur 40an atau 50an, logik akalnya sudah pasti kita lebih bertenaga untuk beribadah berbanding yang berumur 60an atau 70an.

Hendak Sa'ie dari Bukit Safa dan Bukit Marwah, Hendak Tawaf mengelilingi Kaabah, Wukuf di Arafah, Melontar di 3 Jamrah, dan lain-lain lagi memerlukan tenaga dan stamina.

Badan yang sihat dikala usia tidak begitu tua memampukan kita untuk bersolat 5 waktu sehari semalam di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram. Tak mahukah kita pahala berjamaah 1,000 kali ganda atau 100,000 kali ganda berbanding solat di masjid lain? Amat rugi sesiapa yang ke Madinah atau Mekah tetapi bersolat di bilik-bilik hotel sahaja.

Saya pernah mengajak seorang kawan untuk mengerjakan ibadah haji. Dari segi kemampuan memang ada, baik dari segi kewangan mahupun kekuatan fizikal. Rumahnya bernilai setengah juta, gaji pula puluhan ribu ringgit sebulan, tanggunganpun tak ramai iaitu 4 orang saja. Jawabnya nantilah! Dan sekarang dah kena penyakit buah pinggang dan kena dialisis 3 kali seminggu.

Kadang-kadang kita 'postpone' nak pergi haji kerana ingin buat dekat-dekat nak mati, bila dah tua. Itu kalau sempat tua. Kalau tak sempat tua dah jalan dulu, macamana? Betullah boleh upah haji dan sebagainya. Tetapi upah orang dengan buat sendiri mana yang lebih baik? Hendakkah orang buat lebih-lebih untuk orang lain? Saya rasa tidak... mungkin setakat cukup syarat saja. Yang sunat-sunat dan yang afdal hanya tuan punya badan sendiri yang akan berusaha.

Bagi saya, eloklah daftar awal-awal untuk ke Tanah Suci. Apabila kita mendaftar, RM100 akan ditolak dari akaun TH kita dan sebuah buku Panduan Haji akan diberikan. Buku ini sangat berguna untuk bacaan kita. Walaupun kita mendaftar sekarang, mungkin nama kita akan naik 10 tahun akan datang.

Kepada sesiapa yang hendak pergi awal, mereka boleh berbuat demikian tetapi pergi dengan menggunakan pakej, samaada pakej TH atau pakej swasta. Yang pastinya harga pakej adalah jauh lebih mahal berbanding dengan muassasah. Harga pakej bermula dari belasan ribu ringgit hinggalah mungkin RM50,000 seorang bergantung kepada jarak hotel ke masjid dan bilangan orang sebilik.

Semasa saya dan isteri pergi dulu, kami menggunakan pakej TH yang paling murah. Kalau tak silap saya RM11,500 seorang pada tahun 2003.

Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik.....

1 comment:

  1. No thank you. Smoking is bad for you! I suggest you do something beneficial to the society.

    Have a nice day....

    ReplyDelete