Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Saturday, April 11, 2009
Mengerjakan Ibadah Haji - 8
Setelah 9 hari di Madinah, kami akan berangkat ke Mekah pada malam ini, sekitar jam 10 malam. Pada petangnya, selepas solat Asar kami membuat Ziarah Wida'. Maksudnya, kami samaada secara sendiri atau bersama Mutawif akan ke maqam Rasulullah (SAW) buat kali terakhir. Doa untuk datang lagi sentiasa ada! Mudah-mudahan, kita adalah yang termasuk dalam golongan yang mendapat syafaat Rasulullah (SAW) di padang Mahsyar nanti, insyaAllah!
Beg saya dan beg isteri dah dipek sejak beberapa hari yang lalu. Pun begitu, setiap hari, ada saja yang bertambah.... Mujurlah saya dan isteri bukan jenis yang suka 'shopping'! Seingat saya, apa yang kami beli ialah buah kurma, kismis, pistachio, jubah dan seluar, kain tudung Turki, sejadah kecil, sejadah biasa dan tasbih.
Sekembali dari solat Isya di Masjid Nabawi, kami makan malam. Beg-beg yang siap dikunci sudah tersedia untuk diangkat dan diletakkan di bumbung bas. Kita tak perlu mengangkat beg turun ke bawah dari bilik ke lobi. Begitu juga semasa kita sampai dulu, tak perlu bawa naik beg dari bas ke bilik. Semuanya diuruskan oleh pekerja hotel! Apa yang kita bawa sendiri ialah beg kecil yang kita sangkut di bahu dan beg tangan.
Sebelum bertolak, kita sudah bersiap sedia dengan pakaian ihram. Kita akan berhenti berniat ihram umrah di miqat Bir Ali, iaitu 10km dari Masjid Nabawi.
Rombongan TH yang baru sampai dari Malaysia kelihatan begitu ceria menggantikan tempat kita di hotel. Begitulah setiap hari, ada yang berlepas ke Mekah, ada pula yang baru sampai dari Malaysia. Ingat dulu saya nyatakan kalau kita naik KT terawal, bila kita sampai di Madinah, Madinah masih lengang. Dan bila kita bergerak ke Mekah setelah 9 hari di Madinah, Mekah juga masih lengang!
Apabila kita memulakan perjalanan, Mutawif akan mengepalai membaca doa safar dan doa naik kenderaan. Dia juga menyuruh kita bertalbiah sepanjang perjalanan ke Mekah.... Hati begitu sayu untuk meninggalkan kota Madinah. Kerana di situlah bersemadinya jasad Rasul junjungan terakhir. Aku menyintaimu, ya Rasulullah....
Sesampai di Bir Ali, kita turun untuk menunaikan solat sunat di masjid Bir Ali dan berniat ihram umrah. Setelah berniat ihram, kita seharusnya menjaga segala pantang larang dalam ihram....
Seterusnya, kita menyambung perjalanan ke Mekah. Mutawif akan menerajui kita untuk bertalbiah... Mula-mula begitu bersemangat, Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik, Innalhamda Wanni'mata Lakawalmulk Laa Syarikalah! Bergema dalam bas, begitu sayu... Bergerak untuk menuju ke Masjidil Haram buat pertama kali. Namun, makin lama makin sunyi setelah masing-masing mula didakap mimpi....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment