Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Monday, April 6, 2009
Mengerjakan Ibadah Haji - 5
Penduduk Madinah bagi saya adalah lebih bersopan santun. Ini selaras dengan gelaran golongan ansar semasa hijrah Rasulullah pada tahun 622 Masihi dahulu. Madinah atau Yathrib (nama sebelum hijrah) ialah kota suci kedua bagi umat Islam selepas Mekah.
Jarak Madinah ke Mekah ialah 425km manakala Madinah ke Jeddah ialah 400km.
Semasa di Madinah, aktiviti utama ialah solat 5 waktu di Masjid Nabawi. Disamping itu, kita beriktikaf, baca Quran dan solat sunat dalam Masjid tersebut. Program ziarah dalam masjid akan dibuat oleh Mutawif. Kita akan dibawa ke kawasan utama masjid seperti; Raudhah, melawat Maqam Nabi (SAW), Abu Bakar (RA) dan 'Umar (RA), Kubah Hijau dan Perkuburan Baqi'.
Raudhah bererti 'Taman', berkeluasan 22m panjang X 15m lebar. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim berkenaan Raudhah, "Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga".
Untuk mengerjakan solat di kawasan ini, terletak kepada rezeki masing-masing. Kadang-kadang, tak semena-mena kita ditarik oleh orang yang tak dikenali untuk mengambil tempatnya. Dan dia berlalu keluar dari kawasan Raudhah...
Kawasan untuk kita solatpun teramat sangat terhad. Hanya ada sekadar tempat sujud sahaja! Gunakan peluang yang terbaik di Raudhah untuk berdoa bagi kebaikan keluarga dan umat Islam dunia dan akhirat. Jangan duduk lama kerana ramai yang menunggu untuk mendapat peluang yang sama!
Tempat kedua yang tak kurang ramai orangnya dalam Masjid Nabawi ialah kawasan maqam Rasulullah bersama Abu Bakar dan 'Umar. Kita hanya boleh melihat maqam tersebut melalui lubang-lubang yang ada. Sampaikan selawat dan salam kepada Rasulullah dan sahabat baginda dan terus berjalan pergi. Kawasan ini dijaga oleh pihak polis kerana ramai yang cuba untuk menyentuh binaan yang menutupi kawasan maqam.
Dan yang tak kurang menarik juga ialah perkuburan Baqi' iaitu di luar (kiri) Masjid Nabawi. Kalau musim haji, selepas setiap waktu solat, ada saja solat jenazah. Kadang-kadang sampai 4 hingga 5 mayat disembahyangkan sekali. Selesai solat jenazah, masing-masing berebut untuk mengusung keluar jenazah ke perkuburan Baqi' yang terletak 50m dari masjid.
Cuba bayangkan kawasan yang terhad yang digunakan sejak lebih 1400 tahun dahulu bagi mengebumikan jenazah, mesti dah penuh, kalau tidak ada satu cara lain yang dipraktikkan!
Kawasan ini adalah maqam bagi semua isteri baginda kecuali Saidatina Maimunah (RA) dan Saidatina Khadijah (RA). Putera dan puteri baginda iaitu Ruqayyah, Zainab, Fatimah, Ibrahim, dan cucu baginda Hassan juga dikebumikan di sini.
Saya berpeluang mengusung jenazah dari Masjid Nabawi ke Baqi'. Di tanah perkuburan Baqi', tiada satu penandapun yang menyatakan nama si polan bin si polan. Yang ada, cuma batu-batu, mungkin sebesar satu gengaman di atas setiap kubur.
Saya mengamati bagaimana cara kubur digali. Kubur-kubur digali awal sebelum ada kematian. Setiap kubur digali sedalam 5 atau 6 kaki. Di bawah sana, digali dalam bentuk L. Maksud saya, liang lahad yang kedalam itu digali agak jauh ke dalam. Mata kasar kita dari atas tidak nampak lubang yang digali yang agak luas di bawah sana.
Apabila mayat diturunkan, mayat tersebut akan dimasukkan ke dalam liang lahad tadi dan ditutup dengan susunan batu-bata. Dan apabila kita menimbus tanah ke dalam kubur, tanah-tanah tadi akan memenuhi ruang kosong yang digali.
Setelah sekian lama, kubur tadi digali semula bagi mengebumikan jenazah baru. Setelah digali, apabila sampai ke bawah, bata-bata tadi dinaikkan ke atas. Liang lahad tadi dibersihkan dengan menolak tulang belulang yang ada ke tepi bagi meyediakan ruang bagi jenazah baru.
Setelah mayat dimasukkan, batu bata dihulur ke bawah kembali bagi menutupi ruang liang lahad tersebut. Dan seterusnya, ditimbus tanah.
Apabila selesai Ziarah Dalam, para jamaah akan dibawa untuk Ziarah Luar pada hari yang lain. Ziarah Luar termasuklah ziarah ke Masjid Quba' (masjid pertama yang dibina Rasulullah (SAW)), Jabal Uhud (tempat Peperangan Uhud yang mana Saidina Hamzah syahid di sini), Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan lain-lain.
Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikalla Syari Kala Kalabbaik....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment