Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Tuesday, January 26, 2010
Bantuan Yang Kita Boleh Dapat...
Tidak ramai yang perasan, ada satu jabatan yang dipanggil Jabatan Kerja Sosial Perubatan di Hospital Negeri. Saya agak setiap hospital negeri mempunyai jabatan tersebut. Kalau di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), ia terletak di sebelah kiri apabila kita melewati pengawal keselamatan, dan bersebelahan dengan Bank atau Tabung Darah.
Antara fungsi utama jabatan ini ialah membantu rakyat miskin untuk menjelaskan bil hospital mereka.
Saya pernah berurusan dengan Jabatan Kerja Sosial Perubatan sekitar tahun 2008. Pada masa itu, salah seorang anak saya didapati mengalami masalah pendengaran dan memerlukan alat bantuan pendengaran. Jabatan Otorinolaringologi (ORL), HSAJB telah mengesahkan anak saya mengalami masalah pendengaran jenis deria saraf tahap sederhana pada telinga kanan dan tahap ringan pada telinga kiri.
Alat bantuan pendengaran itu berharga RM2,000 lebih. Saya telah menemui pegawai Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pn Noraziah bt Zazali dan memaklumkan keperluan anak saya.
"Saya tidak pasti samaada jabatan ini boleh membantu saya atau tidak tetapi sekiranya saya tidak mengambil atau menggunakan hak orang lain, saya juga ingin memohon bantuan", jelas saya kepada Pn Noraziah.
"Gaji saya agak tinggi sebagai pensyarah di UTM tetapi tanggungan saya juga ramai kerana mempunyai anak seramai 9 orang. Dan saya pembayar cukai pendapatan...", tambah ku lagi.
"Baiklah, kita akan cuba bantu tetapi berapakah yang encik mampu bayar?", tanyanya pula.
"Setakat RM1,000 insyaAllah saya mampu bayar", jelasku.
"Permohonan encik bersama dua 'quotation' harga akan kita hantar ke Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Kewangan, di Putrajaya. Saya rasa untuk mendapat bantuan setakat RM1K insyaAllah, tiada masalah... Cuma, saya perlu untuk ke rumah encik Wan untuk membuat lawatan", balas Pn Noraziah. "Tujuan lawatan adalah untuk melihat keadaan rumah dan status pendapatan encik Wan", tambahnya lagi.
Kalau tidak silap saya, permohonan pada masa tu dibuat bulan April 2008.
Sejurus kemudian, saya mendapat maklumbalas dari Kementerian Kesihatan Malaysia mengatakan bahawa UTM boleh mengeluarkan bantuan tersebut tanpa perlu bantuan dari Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah pekeliling sekian sekian...
Seterusnya saya menghubungi Pn Hartini bt Darsono, Penolong Pendaftar, Bahagian Pembangunan Sistem, UTM dan beliau memaklumkan bahawa "UTM tidak menanggung perbelanjaan bagi pembelian alat bantuan kecacatan dan ketidakupayaan anggota seperti tongkat ketiak, kerusi roda, cermin mata dan alat bantuan pendengaran samaada untuk staf ataupun tanggungannya".
Saya sekali lagi mengutuskan surat kepada Pn Hani Idayu bt Meskam, Bahagian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan menyertakan sekali surat dari UTM yang begitu jelas lagi bersuluh maksudnya.
Alhamdulillah pada 7 Januari 2009, saya mendapat surat dari Pn Hani menyatakan bahawa Tabung Bantuan Perubatan (TBP) diluluskan untuk pemasangan Alat Bantu Pendengaran di Telinga Kanan anak saya berjumlah tidak melebihi RM1,525. Dari jumlah keseluruhan harga alat, saya hanya perlu menambah sebanyak RM800.
Pada saya, sekiranya kita layak dan tidak mengambil hak orang lain maka gunakanlah kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ini. Saya pasti ramai dikalangan kita yang tidak mengetahui kemudahan ini...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
saya pun nk cubalh ,,terima kasih diatas info ini
ReplyDelete