Thursday, January 28, 2010

Idealisme Seorang Bergelar Mahasiswa


Kehidupan sebagai seorang mahasiswa merupakan idaman bagi setiap remaja. Mereka yang bertaraf mahasiswa mempunyai identiti sendiri. Mereka mempunyai neraca nilaian sendiri bersandarkan idealisma teori hasil pembacaan mereka. Ini diperkuatkan lagi dengan syarahan para profesor yang turut sama membentuk mereka mengikut acuan yang telah disasarkan oleh universiti. Contohnya, UTM berpegang kepada falsafah untuk melahirkan teknokrat yang kompeten dan bertanggungjawab kepada Pencipta dan masyarakat. Oleh itu, seharusnyalah setiap individu pensyarah cuba 'mould' anak murid mereka ke arah falsafah tersebut.

Pada masa inilah mereka begitu idealistik! Inginkan pengurusan yang sistematik, sistem pentadbiran yang efisien, polisi yang jelas, kemudahan prasarana yang lengkap, perjuangan ke arah memartabatkan agama dan bangsa. Mereka cukup benci birokrasi, gejala rasuah, peradaban dan tamadun yang songsang, dan segala yang merencat proses pembelajaran mereka!

Pada masa ini juga, perasaan ingin memperbetulkan sistem begitu melonjak dan berkocak dalam setiap sanubari mereka. Seharusnya kita terus menyogok mereka dengan prinsip-prinsip positif, pemahaman tentang integriti, dan nilai-nilai murni seperti bersih, cekap, amanah, bertanggungjawab, hormati orang tua dan menyayangi anak muda, dan sebagainya. Tidak terkecuali untuk kita memaklumkan juga sistem yang korup, negatif, dan bertentangan dengan norma-norma kehidupan masyarakat timur. Tujuannya adalah supaya mereka juga kenal syaitan disamping kita ingin mereka bertindak sebagai seorang manusia dan bukannya malaikat!

Datuk Ahmad Said mantan Ketua Pengarah BPR berkata: "Ya, mereka yang melakukan rasuah kerana penyelewengan dan salah guna kuasa. Dia salah guna kuasa untuk memberi kontrak dan perniagaan, menggunakan kuasa untuk mendapatkan keuntungan. Gaji bukanlah faktor utama menyebabkan rasuah, kerana ramai yang bergaji rendah tidak melakukan rasuah. Hari ini, ramai yang melakukan rasuah disebabkan life style (gaya hidup). Graduan bergaji tinggi tetapi life style dia, nite life dia, teman wanita ramai. Dia mahu memenuhi kehidupan dia. Sebab itu dia melakukan rasuah. Ini memang benar-benar berlaku di kalangan pegawai muda. Kajian menunjukkan 30 peratus pelaku rasuah adalah di kalangan orang muda. Tetapi orang muda akan berkata, 30 peratus orang muda, yang 70 peratus lagi?"

Biarkan mereka hidup dalam fantasi sehingga mereka keluar dan menghadapi realiti.

Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 menyebut, "Memerangi rasuah memerlukan komitmen semua pihak. Usaha memerangi rasuah tidak dapat mencapai kemenangan jika sekadar ditumpukan kepada aktiviti menangkap dan mendakwa. Masalah rasuah tidak berakhir dengan penangkapan jika benih baru masih dibenarkan tumbuh. Laksanakanlah dalam diri masing-masing, dengan kita sendiri tidak dipengaruhi oleh wang ringgit dalam membuat pertimbangan."

Mahasiswa inilah yang kita begitu mengharapkan supaya membuat perubahan ke arah keadaan yang lebih baik dari keadaan sekarang...

Jangan ganggu gugat mereka... Jangan pula kita mengajar mereka untuk menipu dan memanipulasikan sistem yang ada!

Hari ini UTM telah mengadakan pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Biar mereka belajar sistem demokrasi dalam konteks yang betul. Kepincangan kita dalam menyediakan suasana pemilihan yang kondusif dan nampak adil bakal merungkai serta meroboh idealisma mereka sebelum lagi mereka keluar dari kepompong... Ingat! Jangan kita keluarkan tetapi biar mereka keluar sendiri secara natural...

No comments:

Post a Comment