Friday, January 1, 2010

Menulis Bukan Kerana Nama....


Kini sudah setahun aku menulis blog. Menulis blog merupakan hasil cetusan hati dan kadang-kadang luahan perasaan, yang mana mungkin susah untuk kita mencari seseorang untuk mendengar apa yang ingin kita nyatakan tetapi kita dapat teruskan juga meluahkannya di skrin komputer... Yang penting, ia tidak terlekat atau tersangkut dalam minda atau terbuku di hati atau terpendam dalam perasaan.

Kadang-kadang, kasih sayang kita kepada isteri atau anak-anak susah untuk kita tuturkan. Perkataan 'I Love You' bukan menjadi perkara mudah untuk kita utarakan kepada isteri tersayang, malah kepada anak-anak lagi lah susah. Tetapi melalui penulisan, kita agak mudah merakamkan rasa kasih dan cinta kepada mereka.

Mungkin juga kerana budaya kita yang agak kurang memberi penekanan perkara sebegini. Saya perhatikan, kebanyakan kita susah untuk menyatakan perkataan "thank you", "I'm sorry", "I love you" kepada orang lain terutama ahli keluarga kita.

Kita agak susah untuk mengaku kesilapan dan memohon kemaafan. Ego kita agak tinggi, saya rasa... Apatah lagi jikalau orang lain yang membuat salah, pantang mak datuk untuk kita memohon maaf! Kita selalu dengar cerita tentang bagaimana Rasulullah melayan orang yang membuat tindakan buruk terhadap beliau. Tetapi balasan baginda sebaliknya pula iaitu membuat kebaikan dan melayannya dengan penuh sopan. Ya Allah, berikan kekuatan kepadaku untuk berakhlak sepertimana akhlak Rasulullah!

Dan kita susah untuk mengatakan terima kasih kerana kita merasakan itu tugas dan tanggungjawab dia, kenapa perlu kita berterima kasih pula... Dah kerja dia... Tetapi dengan terkeluarnya rangkap 'thank you' atau terima kasih dari mulut kita, dia merasakan betapa dia dihargai.

Kepada anak isteri yang rajin membaca penulisan suami atau ayahnya, mereka akan tahu bagaimana perasaan cinta dan kasih sayang ayahnya kepada mereka. Jika tidak, ia hanya terpapar di situ buat selamanya...

Menulis bukan kerana nama, terasa begitu puas sekali. Dan menulis bukan kerana bayaran, terasa tiada tekanan. Tulislah... tulislah... dan tulislah...

Kedatangan tahun baru masihi bermula hari ini, 01/01/10, wajar diwarnai dengan perkara-perkara menarik. Kita cuba sedaya mampu merealisasikan impian dan cita-cita kita, moga ianya tercapai jua!

No comments:

Post a Comment