Monday, January 11, 2010

Sayangkan Isteri, Kasihkan Ibu....


Suami rata-ratanya sayangkan isteri, lebih-lebih lagi apabila perkahwinan masih segar bugar. Kedatangan anak dalam kehidupan suami isteri akan membahagiakan dan mempereratkan lagi kasih sayang yang sedia terjalin.

Suami kadang-kadang alpa kepada ibu kerana terlampau sayangnya kepada isteri. Saya teringat suatu hari saya pernah 'menegur' ibu kerana kesian melihat isteri terpaksa berkemas rumah ibu saban waktu.

Pada masa itu, isteri tidak bekerja dan saya pula sibuk mencari kerja. Rumah ibu dikampung, kalau tidak bersepah angkara anak-anak saudara, kadang-kadang ayam naik ke atas rumah dan tahu-tahu sajalah... Ayam tidak turun ke tanah selagi tidak meninggalkan 'buah tangan'.

Saya tahu dan ingat sampai sekarang, arwah ibu terasa dengan teguran saya. Tetapi ibu... tidak pernah menunjukkan jiwanya terguris luka...

Saya juga tahu bahawa ibu sangat sayangkan saya, dan menantunya, isteri saya. Cuma kadang kala kita kurang peka perasaan ibu...

Ibu tak makan tak mengapa asalkan anak-anaknya makan. Ibu tidak ada pakaian baru tak mengapa, asalkan anaknya ada pakaian baru. Ibu tidak tidur kerana berjaga anak sakit tidak mengapa, asalkan anaknya lena dan semakin sihat...

Kita selalu dengar orang kata, "Ibu boleh memelihara anak-anaknya seramai 9 orang hingga besar tetapi anak-anaknya 9 orang belum tentu mahu menjaga ibu bila ibu sudah tua..."

Kita mungkin berkata dalam hati, "Ahh, itu orang lain, aku dan adik beradik lain mesti jaga ibu."

"Wahai anak-anakku, ingatlah jasa ibu! Berilah apa yang sepatutnya buat ibumu kerana jasa ibu tidak dapat dibalas sampai bila-bila..."

Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. (Luqman; 14)

No comments:

Post a Comment