Wednesday, January 27, 2010

Mengingati Allah Sepanjang Masa...

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia; Maha suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka." (Ali-Imran; 190-191)

Untuk mengingati kepada Allah sepanjang waktu adalah idaman mereka yang telah menjadikan Allah sebagai kekasih mereka. Orang yang berkasih tidak dapat tidak akan cuba melihat wajah kekasihnya walaupun sekelumit cuma. Kalau tidak dapat melihat, dapat mendengar suarapun sudah mencukupi. Kalau tidak jiwanya resah dek kerana rindu dendam... Tidak dapat lihat wajah, dapat tengok tanggapun jadilah!

Banyak kaedah untuk kita sentiasa mengingati Allah. Menghadiri majlis-majlis ilmu, membaca Al-Quran, membaca buku-buku agama, mengerjakan solat sunat, berjamaah di masjid, berpuasa, bersedekah, berzikir dan lain-lain lagi.

Jangan kita jadikan saat bersama Allah hanyalah sewaktu di dalam masjid sahaja atau hanya bila membaca surah yasin di malam jumaat sahaja...

Seharusnya hati sentiasa bertaut dengan Allah dalam apa jua keadaan dan pada bila masa sekalipun.

Saya kadang-kadang membawa seutas tasbih apabila saya berjalan keluar. Tasbih janganlah terlampau besar sehingga mengundang umpatan orang. "Nak tunjuk alim konon", mungkin luahan hati mereka yang memandang. Bersaiz kecil tetapi selesa untuk kita memindah-mindahkan butir tasbihnya.

Tanpa tasbih, kadang-kadang kita lupa untuk berzikir; subhanallah, alhamdulillah, allahu akbar dan laa ilaha illallah... Apabila jari jemari menggelunsur biji-biji tasbih, maka secara spontan mulut dan hati terus memuji Ilahi.... Maha Suci Allah... Segala Puji Bagi Allah... Allah Yang Maha Besar... Tiada Tuhan Melainkan Allah.

1 comment:

  1. tiada yg lebih indah drpd mengingati ALLAH dan mengerjakan suruhanNYA jua sunnah kekasihNYA

    ReplyDelete