Sunday, January 31, 2010

Jangan Tertipu Dengan Penjualan Amal...


Suatu hari saya ke Petronas berhampiran pasar di Taman Universiti untuk mengisi minyak. Selesai mengisi minyak datang seorang remaja perempuan bertudung dan memohon derma untuk sekolah tahfiz di Kedah. Beliau mengeluarkan CD dan merayu supaya saya mendermakan kepadanya.

"Adik dah membuat hafazan berapa juzuk?", tanyaku. "15 juzuk", jawabnya. "Anak pakcik di Sekolah Menengah Islam Hidayahpun membuat hafazan dan sekarang dah 21 juzuk", jelasku tanpa dipinta...

"Betul ke derma ini untuk sekolah tahfiz?", tanyaku lagi. Sekarang ini bermacam-macam kutipan derma, entah ya entah tidak, kitapun tak mampu untuk menyelidikinya...

"Ya, pakcik! Kalau tidak betul, pakcik doakanlah supaya kami ditarik balik rezeki oleh Allah dan diberikan kesusahan!", balas budak perempuan tadi. Sungguhpun hati saya merasa sangsi tetapi dihulurkan juga sekeping note berwarna merah... "Terima kasih pakcik, semoga pakcik dimurahkan rezeki!", balas budak tadi.

Peristiwa itu berlaku lebih kurang 2 bulan yang lalu. Hari ini, saya tergerak hati untuk melihat CD yang dihulurkan oleh gadis remaja tersebut.

Muka luar terpampang gambar seorang lelaki berpakaian melayu lengkap serta memakai tengkolok atau tanjak dan tertulis "amanat SM Amin". Apabila dibuka, di dalamnya ada gambar SM Amin memeluk pinggang seorang perempuan tanpa tudung bernama Shazia berlatar belakang gambar kumpulan Kuntum Band. Subhanallah, rupa-rupanya CD lagu! Lagu yang dinyanyikan oleh SM Amin bersama Shazia dan diiringi oleh Kuntum Band. Apatah nama kedua penyanyi dan kumpulan band tersebut, tak pernah saya dengar...

Manusia berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan wang tanpa mengira cara yang betul dan halal. Mengeksploitasikan remaja, menipu dan membohongi penderma sudah tidak dihiraukan lagi. Janji dapat duit...

Pakcikpun tak pasti samaada pakcik akan berdoa kepada Allah SWT sepertimana yang adik lafazkan kepada pakcik tempohari...

No comments:

Post a Comment