Thursday, March 18, 2010

Ada Siaran Radio Islam Di Sydney...


2 hari lepas, saya cuba pasang radio 'hand phone'... Tukar punya tukar 'channel' terdengar suara orang mengaji Al-Quran. Aik, ini macam radio IKIM aje... Selesai mengaji, ada satu ceramah yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris.

Penceramah ini (lupa namanya) menjelaskan tentang hubungan ibubapa dengan anak-anak (tarbiyyatul aulad) yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Lebih-lebih bagi mereka yang tinggal di bumi Australia ini.

Ada 2 perkara yang menangkap hati saya dari ceramah ini. Pertama, mengenai kisah seorang petani miskin di Egypt.

Petani ini berhempas pulas mengumpul wang. Akhirnya, apabila wang sudah mencukupi, si petani ini memanggil anaknya dan memberi wang tersebut kepada anaknya sambil berkata, "Pergilah kamu belajar di Universiti Al-Azhar!" "Aku berharap engkau akan menjadi orang yang berguna kepada masyarakat", tambahnya lagi.

Setelah beberapa tahun berlalu, anaknyapun tamat belajar. Suatu hari, anaknya menaiki mimbar dan memberi khutbah. Mata si bapa bergenang air mata melihat anaknya memberi khutbah.

Kawan si petani di sebelah bertanya, "Kenapa kamu mengalir air mata melihat anakmu berkhutbah? Adakah engkau merasa bangga?"

"Tidak!", jawab si petani. "Aku merasa ingin belajar dan menjadi orang yang berilmu seperti anakku", sambungnya lagi.

Si petani tadi mempunyai kecekalan hati untuk belajar dikala umurnya sudah menjangkau 50 tahun.

Alhamdulillah, dari tahap tidak tahu membaca dan akhirnya beliau juga berjaya memasuki Universiti Al-Azhar. Akhir sekali, penceramah menceritakan bahawa si petani tadi berjaya memegang jawatan yang agak tinggi di Universiti Al-Azhar.

Perkara kedua yang ditekankan penceramah ialah mengenai kebolehan kita bercerita kepada anak-anak. Anak-anak memang suka mendengar cerita... Cerita yang didengar, kadang-kadang diingati sehingga mereka besar.

Oleh itu, kita sebagai ibubapa perlu belajar bagaimana untuk bercerita kepada anak-anak. Sudah pasti cerita yang ingin kita berikan kepada anak-anak adalah cerita benar. Jangan kita bercerita dongeng yang tiada asas kepada mereka.

Sebelum kita pandai atau mahir bercerita, kita bolehlah menggunakan buku-buku dan membacanya kepada anak-anak kita. Lama-kelamaan, insyaAllah kita akan mahir bercerita.

No comments:

Post a Comment