Tuesday, March 9, 2010

Menginsafi Kejadian Allah Di Rotorua..


Pagi tadi kami bergerak agak awal dari Mesra Homestay... Maklumlahlah hendak ke tempat 'geyser' di Rotorua, lebih kurang 3 jam dari Auckland. Perjalanan menempuh jalan dan kawasan ternakan biri-biri dan lembu. Kadang-kadang, ternampak kuda yang berselimut di atas belakangnya...

Kami menyewa kereta Honda saudara Halim yang mengiringi isterinya belajar. Beliau menyewakan dengan harga $20 sehari. Keretanya tiada insuran. Tetapi dengan keadaan kereta di sini yang tidak begitu banyak dan pemandu yang ramainya berhemah membuatkan kita tidak begitu takut untuk menyewanya tanpa insuran.

Banyak juga tempat-tempat yang menarik sepanjang perjalanan. Cuma yang kurang menarik ialah bayaran masuknya. Semua mahal-mahal belaka.

Yang kami masuk ialah Te Puia, the New Zealand Māori Arts and Crafts Institute. Bayaran masuk ialah NZ$40.

Pada mulanya kami diterangkan tentang kepercayaan masyarakat Maori kepada tuhan-tuhan mereka yang seramai 12 tuhan. Kedatangan masyarakat luar ke dalam komuniti mereka, yang terdiri dari bangsa Irish, English, dan sebagainya.

Kami juga dibawa ke dalam satu kawasan gelap, yang mana terdapat burung kiwi di dalamnya. Puas kami intai namun kiwi tidak juga kelihatan. Burung kiwi adalah spesis burung terpelihara yang semakin pupus. Burung ini sangat pemalu dan hanya keluar di waktu malam atau gelap.

Seterusnya kami melihat 'geyser' atau dalam bahasa melayu ialah gizar. Subhanallah, kelihatan air panas memancut-mancut keluar dari perut bumi. Kawah-kawah selut menggelegak mengeluarkan asap dan wap air panas. Kadang-kadang, terlambung juga ketul-ketul selut kecil ke udara. Agak lama juga kami menikmati kejadian Allah yang agak unik ini sebelum bergerak ke bandar Rotorua.

Di bandar Rotorua, kami menukar wang New Zealand dari mata wang Australia. Seratus Australia dollar, kita dapat $124 New Zealand. Kemudiannya, kami memasuki kedai-kedai 'souvenir'. Saya hanya membeli sehelai baju sebagai kenangan.

Akhirnya, kami mengerjakan solat Zohor dan Asar di perkarangan padang muzium. Dan bertolak balik ke Auckland sekitar jam 6 petang.

No comments:

Post a Comment