Friday, March 26, 2010

Memerdekakan Minda...


Saya terbaca dalam Harakah Daily tentang satu artikel berbunyi 'Utusan biadab dan bodoh kepada Sultan Selangor - Zaid'. Di dalamnya juga disiarkan satu penulisan Datuk Zaid Ibrahim di blognya tentang 'Pagar Makan Padi'.

Kita sering mendengar peribahasa berbunyi 'Harapkan pagar, pagar makan padi'. Kita membina pagar supaya ayam, itik dan binatang lain tidak datang memakan padi yang dijemur. Kepercayaan kita kepada pagar begitu tinggi... Kalau tidak, masakan kita membuat pagar.

Padi yang menjadi makanan ruji rakyat malaysia dijagai begitu rapi. Sesetengah orang mengatakan padi ini sebagai 'security food'. Ramai tak selesa kalau tak boleh makan nasi sekurang-kurangnya sekali sehari.

Namun pagar yang diberi kepercayaan oleh masyarakat rupa-rupanya seperti musang berbulu ayam... Hanya baik di depan tetapi jahat di belakang.

Pagar tidak makan padi bersendirian. Dikongsi juga sesama mereka. Pagar tiada masalah membenarkan padi dimakan orang luar. Yang penting pagar masih berdiri teguh seperti pagar. Biarkan peranan pagar tidak berfungsi... Siapa peduli?

Pagar tidak kisah orang luar makan padi. Bahkan pagar menjemput orang luar untuk memakan padi secara terhormat. Biarlah orang berkata, 'Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan'. Biarlah... Penat berkata, berhentilah mereka...

Yang penting pagar mesti naik taraf... Dari pagar kayu reja bertukar menjadi pagar kayu cengal; dari pagar kayu cengal menjadi pagar simen atau besi.

Selagi pagar ini tidak dirobohkan, maka selagi itu pagar ini makan padi! Siapa berani meroboh pagar yang tegak berdiri dan ditampakkan seolah-olah menjaga dan melindungi padi? Tiada, tiada siapa yang berani...

Sesetengah orang bertanya, "Kenapa pagar berlaku demikian?" Umum memaklumkan bahawa sudah itu fitrahnya. Tiada lagi pagar yang tidak makan padi...

No comments:

Post a Comment