Amanah ialah satu sifat yang begitu tinggi nilainya. Orang yang beramanah ialah orang yang diberi kepercayaan dan dia menunaikan tanggungjawabnya seperti yang telah dipertanggungjawabkan.
Semasa kita kecil dulu, rasanya semasa di bangku sekolah rendah, kita diajar tentang satu hadis yang lebih kurang maksudnya, "Ada 4 sifat yang mana seseorang yang memilikinya itu dikira munafik tulen, dan dia dikira munafik juga jika salah satu daripada keempat-empat sifat tersebut masih ada padanya, iaitu apabila bercakap dia bohong, apabila berjanji dia mungkir, apabila diberi amanah, dia pecah amanah, dan apabila berkelahi, dia melampaui batas".
Amanah yang diberi oleh Allah SWT kepada kita sangat banyak! Amanah keluarga, amanah harta, amanah pekerjaan dan bermacam-macam amanah lagi.
Amanah keluarga bermaksud Allah telah melahirkan zuriat kepada kita yang mana kita perlu menjaga zuriat dan memberi pendidikan Islam kepada mereka. Bukan setakat anak-anak, bahkan isteri juga adalah amanah kepada kita untuk membentuk mereka supaya selari dengan acuan Islam. Kerja kita bukan hanya setakat memberi nafkah semata-mata tetapi lebih dari itu. Makan pakai semua makhluk ciptaan Allah tahu untuk menyara keluarga mereka. Tetapi pendidikan dan penghayatan Islam amat-amat dituntut kepada kita sebagai ketua keluarga.
Amanah harta pula bermaksud kita perlu amanah bagaimana harta diperolehi, cara penyimpanannya, dan perbelanjaannya. Kita perlu pastikan bahawa harta kita diperoleh secara halal. Jangan kita sewenang-wenangnya membelanja harta kita ke jalan yang dimurkai Allah. Mereka yang berhak keatas harta kita perlu kita lunaskan, baik melalui zakat mahupun sedekah.
Amanah pekerjaan pula adalah kita perlu mempastikan pekerjaan kita itu halal, melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin, dan tidak mensia-siakan masa bekerja dengan urusan lain, khasnya urusan peribadi.
Dewasa ini, kita dengar ada beberapa pemimpin negara yang didakwa kurang amanah dari segi menjalankan perniagaan dan menguruskan wang syarikat. Ada yang dikatakan membelanjakan wang RM250 juta untuk 'National Feedlot Corporation' tetapi tidak menepati perniagaan asal iaitu perternakan lembu. Sejumlah wang dibelanjakan untuk membeli kondominium mewah. Ada juga yang didakwa menaiki jet peribadi kawan untuk menunaikan ibadah haji.
Kenapa kita tidak mengurangkan elemen-elemen yang membolehkan orang mempersoalkan kredibiliti kita? Kenapa kita babitkan keluarga kita dalam projek perniagaan kerajaan dan kenapa perlu kita naik jet peribadi kawan untuk mengerjakan haji?
Seelok-eloknya jauhkanlah ruang atau peluang untuk mereka membuat fitnah kepada kita. Rakyat sudah cerdik dan dapat menilai cara hidup pemimpin kita. Sekarang ini bukan macam dulu lagi. Orang sudah pandai mempertikai kelayakan dan kemudahan yang kita ada. Mereka bukan setakat ingin mendengar bahawa kita ini beramanah tetapi mereka juga mahu melihat bahawa kita ini beramanah dengan harta kerajaan! Mereka ingin melihat pemimpin yang 'walk the talk!'
No comments:
Post a Comment