Saturday, April 26, 2014

Antara Penzina Sekarang Dan Mereka Yang Didakwa Berzina Pada Zaman Dulu




Pada zaman dahulu, manusia takut untuk menghampiri zina!

Dan ceritakanlah [kisah] Maryam di dalam Al Qur’an, yaitu ketika ia menjauhkan diri dari keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur, (16) maka ia mengadakan tabir [yang melindunginya] dari mereka; lalu Kami mengutus roh Kami [3] kepadanya, maka ia menjelma di hadapannya [dalam bentuk] manusia yang sempurna. (17) Maryam berkata: "Sesungguhnya aku berlindung daripadamu kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertakwa". (Surah Maryam; 18)

Lihat ayat 18 dari Surah Maryam. Maryam memohon perlindungan dari Allah SWT apabila muncul seorang lelaki di hadapannya.

Bagaimana kita sekarang? Adakah kita bertindak mengeluarkan perkataan yang sama seperti Maryam? Atau kita yang mengajak si lelaki untuk duduk berdua-duaan?


Betapa sucinya jiwa Maryam, bonda kepada Isa A.S.

Bagaimana pula perasaan Maryam apabila, baginda didapati hamil? Baginda merasa malu dan hina kerana mengandung tanpa mempunyai suami yang sah. Baginda sanggup menjauhi diri kerana takut dikatakan telah melakukan zina.

Maka Maryam mengandungnya, lalu ia menyisihkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh. (Surah Maryam; 22)

Beliau menyisihkan diri kerana takut kepada masyarakat yang peka terhadap perbuatan yang terkutuk. Masyarakat yang begitu mencela perbuatan zina. Bagaimana masyarakat kita, adakah kita sensitif apabila melihat ‘couple’ yang duduk berdua-duaan menghampiri zina? Atau kita buat tidak kisah saja kerana ini bukan anak kita atau masyarakat memandang serong terhadap kita apabila mempedulikan mereka yang ingin memulakan adegan-adegan zina?

Tetapi tidak di zaman dulu. Masyarakat terlalu peka dan mempersoalkan kita dengan bermacam-macam pertanyaan. Mereka begitu endah!

Kaumnya berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang amat mungkar. (27) Hai saudara perempuan Harun [1] ayahmu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang pezina", (Maryam; 28)

Masyarakat yang penyayang yang ingin melihat hubungan antara lelaki dan perempuan berjalan secara baik tidak mungkin membiarkan manusia berdua-duaan dan seterusnya melakukan zina. Masyarakat yang sebegini yang kita idamkan. Kita mahu masyarakat berpandangan bahawa hubungan lelaki perempuan tanpa ikatan yang sah adalah salah di sisi budaya, apatah lagi di sisi agama!


Kita mahu masyarakat yang sedar dan prihatin. Kita tidak mahu masyarakat yang tidak ambil peduli. Lu lu punya pasal dan wa wa punya pasal! Ini satu pertimbangan yang kurang tepat dan salah di mata masyarakat timur!

Ayuh semua, marilah kita menjadi masyarakat seperti mereka di zaman Maryam. Yang mempedulikan mereka yang mengandung tanpa mempunyai suami yang sah. Masyarakat sebegini akan mententeramkan dunia…


Kita Perlu Berusaha...

Kita selalu dengar bahawa Allah SWT tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum tersebut merubah nasib diri mereka sendiri. Apa maksudnya? Adakah Allah tidak mampu mendatangkan perubahan? Tidak! Allah mampu membuat apa saja cuma Dia ingin melihat kita sentiasa berusaha dan tidak hanya duduk diam mengadu nasib tanpa membuat sesuatu.

Di dalam Surah Maryam, Allah SWT berfirman, "Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah: "Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. (24) Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu." (25)

Sekiranya kita meneliti ayat-ayat di atas, kita akan terfikir betapa seorang perempuan (Maryam) mengandung yang bersedih hati dan lagi lemah disuruh menggoyang pokok kurma untuk mendapatkan buah yang masak.


Tidak bolehkah Allah gugurkan sendiri buah-buah kurma yang masak tersebut? Allah boleh mendatangkan angin yang bertiup supaya buah yang masak itu gugur.

Bagaimana keadaan pokok kurma yang berbuah, adakah ia kecil seperti pokok cili atau lada dan mudah untuk digoyangkan? Pokok kurma seiras dengan pokok kelapa sawit yang mana batangnya begitu besar. Mampukah seorang wanita yang sedang sakit ingin melahirkan anak untuk menggoyangkan pokok kurma yang begitu besar?

Apa yang penting di sini yang cuba diterapkan ialah usaha! Kita mesti berusaha!

Kadang-kadang usaha yang sedikit bakal menganugerahkan hasil yang banyak dengan izin Allah. Dan begitu juga sebaliknya. Pun dengan izin dan iradat Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita berusaha dalam apa jua lapangan demi menjayakan hasrat yang kita inginkan...

Wednesday, April 23, 2014

Kemalangan Bas Ekspres

Agak lama aku tidak mencoret sesuatu di blog ini. Banyak kerja yang perlu dilakukan yang lebih prioriti. Begitulah sepatutnya kita apabila ingin melakukan sesuatu, nilai dulu yang mana lebih utama untuk dilakukan. Yang lebih utama sudah pasti perlu dilakukan dahulu berbanding dengan yang kurang penting!

Kali ini aku ingin menulis tentang kemalangan jalanraya. Dalam bulan April ini, banyak kejadian kemalangan yang melibatkan mereka yang aku kenal. Kemalangan bas 2 tingkat dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu mengorbankan 3 mangsa yang mana 2 darinya adalah sepasang suami isteri. Aku pernah melihat arwah Saeed di Masjid Sultan Ismail, UTM. Beliau berbangsa Somalia dan berkahwin dengan orang Kelantan.
Didoakan kedua-dua mereka bersama bayi di dalam kandungan mendapat syurga Allah SWT.

Begitu juga anak sahabat sefikrahku yang meninggal di Sarawak akibat kemalangan jalanraya. Anak akhi Abdul Jalil. Semoga anak ini yang merupakan kawan anakku di Sekolah Menengah Islam Hidayah juga mendapat tempat yang sebaik-baiknya bersama para solehin di syurga Allah nanti. Amin!


Karpal Singh juga maut dalam kemalangan apabila kenderaan Toyota Alphardnya melanggar sebuah lori. Karpal Singh walaupun agak keras tetapi beliau banyak menyumbang kepada proses demokrasi negara. Mungkin beliau tidak diberi penerangan yang menyeluruh tentang betapa adilnya hukum hudud sekiranya dilaksanakan sehingga beliau sanggup mengatakan supaya melangkah mayatnya terlebih dahulu jika ingin melaksanakan hukum hudud.

Saya tidak hairan dengan kenyataan tersebut. Pertama, beliau adalah seorang yang bukan beragama Islam. Kedua, beliau selalu ditakutkan dengan hukum hudud oleh mereka yang beragama Islam. Dan ini yang saya kurang faham. Orang Islam mengejek-ejek hukum Islam dengan kalimah yang sedih untuk kita dengar. Antaranya, banyaklah sup tangan nanti, habislah batu-batu di jalanan apabila kita melaksanakan hudud, ramailah orang Islam yang tidak bertangan nanti, dan sebagainya. 

Sekiranya, kita berpandangan hukum hudud bukanlah prioriti berbanding dengan sistem sosial dan ekonomi Islam maka janganlah kita mengeluarkan kata-kata yang begitu sadis.

Kan kita tahu bahawa itu hukum Allah! Bolehkah kita bermain-main dengan hukum hakam Allah, yang mencipta kita dan mengetahui segala perangai buruk dan baik kita? Penciptanya sudah pasti lebih arif dari bahan ciptaanNya.


Lebih elok jika kita katakan begini apabila ekonomi umat Islam di negara kita bertambah baik dan sistem sosialnya juga pulih dan setelah penerangan tentang hukum hudud dicanang ke seluruh negara dan masyarakat telah memahaminya maka barulah kita akan melaksanakan hukum hudud. Ini lebih menunjukkan kepercayaan kita keseluruhannya kepada Islam dan bukannya separuh-separuh. Amat malang sekali, jika kita mengatakan Malaysia tidak akan sekali-kali melaksanakan hukum hudud!

Ok. Setakat itu dulu tentang hukum hudud. Sebabnya kita tahu bahawa banyak perkara yang perlu disediakan kelengkapan sebelum pelaksanaannya. Yang pasti hakim mahkamah syariah perlu diramaikan, penguatkuasa perlu arif tentang hukum hakam Islam, proses pendakwaan dan pembelaan mesti kemas, dan saksi-saksi mesti mantap dan banyak lagi.

Saya tidak menafikan bahawa bas kita dipandu laju! Pada hari Ahad lepas, saya menaiki sebuah bas ekspres syarikat **y*** **r*. Bas yang sepatutnya bertolak pada pukul 7.30 malam dari TBS ke Larkin sampai lewat dan kami bertolak hampir jam 8 malam. Setelah berhenti sekali untuk membuang air di hentian, kami sampai di Taman Sri Putri jam 11.20 malam. Hanya 3 jam perjalanan dari TBS ke Skudai! Cuba bayangkan berapa 'speed' bas tersebut?

Sayapun tak tahu. Saya bawa kereta dari Skudai ke KL memakan masa paling cepat 5 jam!

Apabila kita membiarkan anak-anak menaiki bas ke mana-mana destinasi, suruhlah mereka supaya banyak berdoa dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Kita belum pasti akan dapat melihat anak kita 'in one piece'....