Wednesday, April 23, 2014

Kemalangan Bas Ekspres

Agak lama aku tidak mencoret sesuatu di blog ini. Banyak kerja yang perlu dilakukan yang lebih prioriti. Begitulah sepatutnya kita apabila ingin melakukan sesuatu, nilai dulu yang mana lebih utama untuk dilakukan. Yang lebih utama sudah pasti perlu dilakukan dahulu berbanding dengan yang kurang penting!

Kali ini aku ingin menulis tentang kemalangan jalanraya. Dalam bulan April ini, banyak kejadian kemalangan yang melibatkan mereka yang aku kenal. Kemalangan bas 2 tingkat dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu mengorbankan 3 mangsa yang mana 2 darinya adalah sepasang suami isteri. Aku pernah melihat arwah Saeed di Masjid Sultan Ismail, UTM. Beliau berbangsa Somalia dan berkahwin dengan orang Kelantan.
Didoakan kedua-dua mereka bersama bayi di dalam kandungan mendapat syurga Allah SWT.

Begitu juga anak sahabat sefikrahku yang meninggal di Sarawak akibat kemalangan jalanraya. Anak akhi Abdul Jalil. Semoga anak ini yang merupakan kawan anakku di Sekolah Menengah Islam Hidayah juga mendapat tempat yang sebaik-baiknya bersama para solehin di syurga Allah nanti. Amin!


Karpal Singh juga maut dalam kemalangan apabila kenderaan Toyota Alphardnya melanggar sebuah lori. Karpal Singh walaupun agak keras tetapi beliau banyak menyumbang kepada proses demokrasi negara. Mungkin beliau tidak diberi penerangan yang menyeluruh tentang betapa adilnya hukum hudud sekiranya dilaksanakan sehingga beliau sanggup mengatakan supaya melangkah mayatnya terlebih dahulu jika ingin melaksanakan hukum hudud.

Saya tidak hairan dengan kenyataan tersebut. Pertama, beliau adalah seorang yang bukan beragama Islam. Kedua, beliau selalu ditakutkan dengan hukum hudud oleh mereka yang beragama Islam. Dan ini yang saya kurang faham. Orang Islam mengejek-ejek hukum Islam dengan kalimah yang sedih untuk kita dengar. Antaranya, banyaklah sup tangan nanti, habislah batu-batu di jalanan apabila kita melaksanakan hudud, ramailah orang Islam yang tidak bertangan nanti, dan sebagainya. 

Sekiranya, kita berpandangan hukum hudud bukanlah prioriti berbanding dengan sistem sosial dan ekonomi Islam maka janganlah kita mengeluarkan kata-kata yang begitu sadis.

Kan kita tahu bahawa itu hukum Allah! Bolehkah kita bermain-main dengan hukum hakam Allah, yang mencipta kita dan mengetahui segala perangai buruk dan baik kita? Penciptanya sudah pasti lebih arif dari bahan ciptaanNya.


Lebih elok jika kita katakan begini apabila ekonomi umat Islam di negara kita bertambah baik dan sistem sosialnya juga pulih dan setelah penerangan tentang hukum hudud dicanang ke seluruh negara dan masyarakat telah memahaminya maka barulah kita akan melaksanakan hukum hudud. Ini lebih menunjukkan kepercayaan kita keseluruhannya kepada Islam dan bukannya separuh-separuh. Amat malang sekali, jika kita mengatakan Malaysia tidak akan sekali-kali melaksanakan hukum hudud!

Ok. Setakat itu dulu tentang hukum hudud. Sebabnya kita tahu bahawa banyak perkara yang perlu disediakan kelengkapan sebelum pelaksanaannya. Yang pasti hakim mahkamah syariah perlu diramaikan, penguatkuasa perlu arif tentang hukum hakam Islam, proses pendakwaan dan pembelaan mesti kemas, dan saksi-saksi mesti mantap dan banyak lagi.

Saya tidak menafikan bahawa bas kita dipandu laju! Pada hari Ahad lepas, saya menaiki sebuah bas ekspres syarikat **y*** **r*. Bas yang sepatutnya bertolak pada pukul 7.30 malam dari TBS ke Larkin sampai lewat dan kami bertolak hampir jam 8 malam. Setelah berhenti sekali untuk membuang air di hentian, kami sampai di Taman Sri Putri jam 11.20 malam. Hanya 3 jam perjalanan dari TBS ke Skudai! Cuba bayangkan berapa 'speed' bas tersebut?

Sayapun tak tahu. Saya bawa kereta dari Skudai ke KL memakan masa paling cepat 5 jam!

Apabila kita membiarkan anak-anak menaiki bas ke mana-mana destinasi, suruhlah mereka supaya banyak berdoa dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Kita belum pasti akan dapat melihat anak kita 'in one piece'....

No comments:

Post a Comment