Thursday, January 31, 2013

Banyakkan Berselawat Keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad (SAW)

Kita digalakkan sentiasa berselawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad (SAW). Tidak kira bila masa, di mana dan dalam bagaimana keadaan sekalipun; baik berdiri, duduk, mahupun berbaring dan sebagainya.


Di bulan Rabiul Awal ini, ramailah yang merayakan Maulidur Rasul, menandakan kesayangan dan kerinduan kita kepada baginda.

Dari pengorbanan penat jerih baginda dan para sahabatlah menjadikan kita dapat mengamalkan Islam yang syumul pada hari ini. Tanpa kesusahan mereka yang dilempar batu, najis, dan kemuncaknya diancam bunuh oleh kaum musyrikin, malah digelarkan dengan pelbagai gelaran, ahli sihir, gila dan sebagainya, maka mungkin kita masih menjadi penganut Hindu atau animisme yang tegar.


Alhamdulillah... Kita diberi hidayah dan menerima nikmat Islam yang tidak mampu dibeli dengan harta yang menggunung!

Pada minggu lepas, saya sempat mendengar ceramah Bro. Jay di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid sempena perayaan Maulidur Rasul, yang menceritakan bagaimana dugaan dan cabaran yang diterimanya setelah mengangkat syahadah.

Kita tidak diberikan dugaan sepertimana beliau, yang mana keluarganya sudah tidak menerima beliau. Kita juga tidak diduga dengan kecaman dan ancaman saudara mara. Kita juga tidak perlu berselindung atau menyorokkan diri untuk mengerjakan solat kerana ditakuti orang tahu bahwa kita beragama Islam.

Kita seharusnya banyak bersyukur dengan anugerah Islam ini yang begitu bernilai! Masakan saudara-saudara baru kita sanggup menempuh segala rintangan dan dugaan sekiranya maharnya murah. Sudah pasti mahal harganya!

Orang tidak bertarung nyawa untuk mendapatkan barangan yang murah harganya...


Adakah kita sendiri sedar tentang nilai Islam yang kita miliki itu mahal harganya? Kadang-kadang ramai orang tidak sedar nilai sesuatu yang dimilikinya begitu berharga sehinggalah dia hilang barangan tersebut.

Kalau kita masih tidak sedar... astagfirullahil 'azim! Sayang seribu kali sayang.

Seharusnya kita perlu menyedarkan diri sebelum kita tersedar bahawa kita sudah berada di alam kubur. Apabila kita sudah sampai ke sana maka tiada gunanya lagi... Nasi sudah menjadi bubur.

Setelah kita sedar, apakah langkah yang selanjutnya?

Yang pasti ialah kita perlu mengamalkan Islam yang kita anuti dan yang tak kurang penting juga ialah kita perlu menyebarluaskan Islam ke dalam masyarakat. Kita ingin mereka juga bersama kita di syurga Allah nanti, insyaAllah...

Saturday, January 26, 2013

Jangan Kita Mudah Cop Orang Lain Sebagai Ahli Neraka...

Dalam kuliah Subuh Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid pagi tadi, Ustaz Rifqi menyatakan bahawa jangan kita mudah melabelkan seseorang sebagai ahli neraka. Walaupun kita dapati waktu itu dia tengah minum arak atau melakukan maksiat yang lain.

Jangan sekali-kali kita katakan, "Engkau ni memang ahli neraka! Tetapi kalau kita katakan perbuatannya itu adalah perbuatan ahli neraka maka ia tidak menjadi masalah.

Kita dilarang berkata demikian kerana kita bukan Allah yang tahu pengakhiran hidup seseorang. Jahat seseorang pada masa ini mungkin berubah menjadi baik pada masa depan.

Kita yang nampak baik nipun belum tentu baik penyudahannya... 

Ustaz juga menyebut tentang seorang pelakon bernama Toni Kassim semasa zaman arwah P. Ramlee. Arwah Toni meninggal dalam sujud semasa solat tahajudnya. Subhanallah... ini yang kita inginkan.

Ok. Habis cerita pasal cop mengecop.

Saya hendak sambung pula tentang niat. Dalam Islam, niat itu amat penting. Salah satu hadis dalam Hadis 40 Imam Nawawi, ada menceritakan tentang niat. "Innamal 'amaalu binniyat.... ila akhir hadis". Setiap amal itu bermula dengan niat. Amal baik tetapi niat tak ikhlas maka tiada pahalanya!

Contohnya, saya menceritakan pasal kuliah Subuh Ustaz Rifqi tetapi niat saya yang sebenar ialah untuk memaklumkan kepada dunia bahawa saya pergi solat Subuh berjamaah di masjid. Maka segala perbuatan saya itu sia-sia... hangus tanpa pahala! Na'uzubillahu min zaalik...

Sekali lagi, niat itu begitu penting! Ayam yang disembelih oleh orang Islam dengan niat kerana Allah dan seekor lagi disembelih dengan niat untuk dijamu kepada hantu syaitan adalah berbeza. Satu halal dan satu lagi haram dimakan!

Bukan kerana cara penyembelihan yang berbeza tetapi hanya kerana niat!

Jagailah niat kita dalam apa jua amal... baik amal melalui perbuatan, amal melalui lisan, mahupun amal melalui penulisan. Jangan biar amal kita hangus dimakan api takbur, api ego, dan api bangga diri.

Cuma kalau kita menceritakan perbuatan amal baik kita supaya orang lain mencontohinya atau menirunya maka ia masih dibolehkan. Tetapi untuk menjagainya supaya ia tiada unsur ria' atau ujub menjadi sedikit susah... 


Seelok-eloknya diumpamakan kalau kita bersedekah dengan tangan kanan, tangan kiri tidak tahu! Begitu tinggi sekali martabat niat... 

Friday, January 25, 2013

Nasihat Kepada Mereka Yang Ingin Membuat Pasport Malaysia

Aku telah banyak kali ke Pejabat Imigresen untuk membuat pasport. Membuat pasport sendiri, pasport anak pertama, pasport anak kedua, pasport anak istimewa dan yang terakhir sekali ialah membuat pasport anak yang ketiga.

Aku telah menggunakan perkhidmatan Pejabat Imigresen di Wisma Persekutuan Johor Bahru... Aku juga telah menggunakan perkhidmatan Pejabat Imigresen di Pekan Rabu, Tampoi... Dan pada hari Rabu kelmarin, aku telah mencuba perkhidmatan Pejabat Imigresen Kulaijaya. Semuanya menempa pengalaman yang tersendiri!

Sebelum aku pergi lebih jauh, aku ingin memaklumkan sekali lagi kepada pembaca budiman bahawa sekiranya anda mempunyai anak OKU (Orang Kurang Upaya), anda boleh membuat pasport untuk anak tersebut tanpa sebarang bayaran. It's free of charge!

Ok. Di sini aku ingin memberi maklumat kepada sesiapa yang ingin membuat pasport yang mana dia dahulunya lahir di luar negara dan memasuki negara kita menggunakan pasport ibu atau ayahnya. Sekiranya dia memasuki Malaysia dengan menggunakan pasportnya sendiri maka masalah ini tidak timbul.

Anakku yang ketiga lahir di luar negara dan telah memasuki Malaysia dengan menggunakan pasport ibunya. Dengan kata lain, anak tadi dimasukkan data dan gambarnya ke dalam pasport ibu. Pada masa itu, anakku berumur lebih kurang setahun.

Setelah umurnya 18 tahun dan menghampiri 19 tahun pada bulan Jun ini maka aku telah membawanya ke Pejabat Imigresen Kulaijaya untuk membuat pasportnya yang pertama. Kami sampai tepat jam 8 pagi dan mendapat nombor 1015. Kiraannya ialah orang yang ke 15.

Tujuan membuat pasport ini ialah untuk beliau menunaikan ibadah umrah pada bulan Februari nanti bersama datuk dan neneknya.


Malam sebelum kami bergerak ke Pejabat Imigresen, kami telah mengumpulkan segala dokumen yang diperlukan. Kad pengenalan anak serta salinannya, surat beranak anak atau lebih tepat Borang W yang didaftarkan dengan Kedutaan Malaysia serta salinannya, kad pengenalan dan surat beranakku serta salinannya, dan kad pengenalan dan surat beranak ibunya serta salinannya.

Kami tidak ingin terpaksa pulang lagi kerana ketinggalan dokumen yang diperlukan.

Apabila nombor kami dipanggil, aku membiarkan Wan Abdul Rahman mara ke kaunter bersendirian. Aku meneruskan pembacaan buku The Honorable Wives of the Prophet (Peace be upon him)...

Sangkaanku dengan segala dokumen yang telah kami sediakan sepatutnya tiada masalah yang akan timbul.

Tetapi tiba-tiba, anakku memanggilku ke kaunter... Pegawai yang berurusan menanyakanku bagaimana aku membawa balik Wan Abdul Rahman ke Malaysia, adakah menggunakan pasportnya sendiri atau menumpang pasport ibunya atau menumpang pasportku.


Aku memaklumkan bahawa beliau menumpang pasport ibunya hampir 18 tahun yang lampau.

Pihak Imigresen ingin melihat pasport tersebut!

Subhanallah... apa ke jadahnya pasport yang sudah lama luput tarikhnya ingin dilihat buktinya bahawa Wan Abdul Rahman tertera dalam pasport ibunya.

Kalau tidak ada lagi pasport dalam simpanan katanya si pegawai tersebut, aku perlu membuat dan mengambil surat akuan bersumpah dari mana-mana pesuruhjaya sumpah.

What a joke? Anakku telah mempunyai kad pengenalan biru dan jelas tertera perkataan warganegara padanya tidak dibenarkan membuat pasport selagi tidak ada surat akuan bersumpah menyatakan bagaimana beliau dibawa masuk ke Malaysia.

Akupun naik hairan tentang hierarki kad pengenalan dan pasport... Adakah kad pengenalan lebih tinggi martabatnya atau pasport yang lebih tinggi?

Padaku kad pengenalan yang lebih tinggi.

Aku meminta untuk berjumpa dengan pegawai bagi merayu simpati terhadap kes aku ini. Kemudian aku dibawa berjumpa dengan seorang wanita yang aku agak mungkin hanya bertaraf CC atau chief clerk.

Apa lagi, beliau juga menyuruh aku membuat Surat Akuan Bersumpah.

Aku akur dengan apa yang disarankan dan mula bergerak mencari pejabat pesuruhjaya sumpah berhampiran dengan bangunan TH di Kulaijaya.


Aku berurusan dengan En. Munian (Timbalan Pengerusi MIC Kulaijaya) yang merupakan seorang pesuruhjaya sumpah. Surat itu berbunyi seperti apa yang telah kami nyatakan kepada pegawai imigresen tadi. Setelah membetulkan ayat-ayat En. Munian yang bunyinya agak keindiaan maka Wan Abdul Rahman dan En. Munian menurunkan tandatangan masing-masing dan caj yang dikenakan ialah RM20.

Ayat kami yang karang, cuma menggunakan cop En. Munian dan melayang RM20.

Pada pandanganku, En. Munian agak alim dengan pegangan agamanya kerana kelihatan banyak patung-patung dan gambar-gambar yang berkaitan dengan Hindu di biliknya.

Aku juga mencuba untuk mendapat pandangannya tentang politik semasa. Beliau nampak kurang senang dengan Datuk X sebagai ketua atau pengerusinya. Beliau menyatakan bahawa sebagai Timbalan Pengerusi sepatutnya beliau berada di depan bersama dengan Pengerusi dalam apa jua majlis di Kulaijaya tetapi Pengerusi selalu mengenepikannya.

Menurutnya, pengerusi tidak berpuas hati dengan En. Munian kerana beliau telah mengalahkan calon yang disokong pengerusi dalam pertandingan jawatan timbalan pengerusi.


Pada pandangan En. Munian, ketuanya tidak bertindak profesional kerana telah menafikan pilihan rakyat.

Aku berseloroh kepadanya dengan berkata, "Why not we change the government with the new one. If the new one is not as good or better than the previous one then we change again in the next general election!"

Dia nampak bersetuju dengan apa yang aku cakapkan. Cuma katanya, "Dalam politik apa yang ada di dalam hati tak sama dengan apa yang diucapkan!!!"  

Tuesday, January 22, 2013

Notis Tuntutan Dari Johor Land Berhad

Semalam aku mendapat surat dari Johor Land Berhad yang bertajuk Notis Tuntutan. Perincian tuntutan adalah seperti berikut;

1) Tuntutan Denda Lewat Bayar RM3,505.21
Tolak: Pengurangan RM3,505.21

Jumlah denda yang perlu dibayar RM0.00
2) Tuntutan Kos Setem Hasil (TNB) RM10.00
3) Tuntutan Deposit Air RM90.00
4) Tuntutan Deposit TNB RM800.00
5) Tuntutan Kos Penyenggaraan Perkhidmatan RM180.00
6) Tuntutan Cukai Harta Penggal 2/2012 (sebahagian) RM13.75
7) Tuntutan Cukai Tanah Tahun 2012 (sebahagian) RM3.75
8) Tuntutan Cukai Tanah 2013 RM72.00
Jumlah Tuntutan Yang Perlu Dijelaskan RM1,169.50

Surat itu juga menyatakan bahawa pihak kami (Johor Land Berhad) telah menerima bayaran penuh harga beli harta pada 04/01/2013.

Sebenarnya, aku telah membeli sebuah harta tanah di Bandar Dato' Onn dengan menggunakan 'government loan'. Inilah rumah pertama yang aku gunakan pinjaman kerajaan. Rumah yang aku duduki sekarang adalah menggunakan 'bank loan'. 'Islamic bank loan to be exact'...

Semalam juga aku menerima surat dari Perbendaharaan Malaysia yang ditujukan kepada Bendahari UTM. Surat tersebut bertajuk ARAHAN POTONGAN GAJI. Gajiku akan dipotong sebanyak RM2,468.10 sebulan bermula April 2013. Tarikh tamat tempoh potongan ialah Dis 2042. Ha..ha..ha.. dikala usiaku 78 tahun! Masih hidupkah aku?

Walau bagaimanapun insyaAllah segala hutang rumah ini akan aku langsaikan apabila pencen nanti. Aku tidak ingin menanggung hutang apabila aku pergi... Walaupun ada takaful yang diambil untuk membayar hutang sekiranya kita pergi dahulu tetapi aku rasa lebih elok kita menjelaskan segala hutang dari membiarkannya diuruskan oleh takaful.

Selepas pencen, kita boleh guna duit 'gratuity, golden hand shake', dan sebagainya untuk menjelaskan hutang yang masih ada.

Apabila melihat kepada tuntutan dari Johor Land Berhad di atas, aku merasa agak terkilan kenapa cukai harta dan cukai tanah tahun 2012 dituntut dari kita? Sedangkan sehingga hari ini, 22 Januari 2013, kunci rumahpun aku masih belum dapat atau dengan kata lain, Johor Land Berhad masih belum menyerahkannya kepadaku. Wajarkah cukai dibayar sekiranya kita masih belum memiliki atau mendiami sesuatu premis?

Apapun aku amat berterima kasih kepada Johor Land Berhad kerana tidak mengenakan aku sebarang denda lewat bayar. Tetapi kalau difikirkan, memang patutpun ia tidak dikenakan kerana pembayaran dibuat oleh Bahagian Pinjaman Perumahan secara terus kepada pemaju. Tidak ada kena mengena dengan ku...

Alhamdulillah, Allah telah menyelamatkan aku dari membayar riba kepada urusan pembelian rumah yang telah dijalankan.

Basahi Mulut Kita Dengan Zikir


Maka bertasbihlah kepada Allah di waktu kamu berada di petang hari dan waktu kamu berada di waktu subuh. Dan bagiNyalah segala puji di langit dan di bumi dan di waktu kamu berada pada petang hari dan di waktu kamu berada di waktu zohor. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan menghidupkan bumi sesudah matinya. Dan seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari kubur).


Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak. Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

                                                                                                              (Ar-Rum: 17-21)

Sunday, January 20, 2013

Doa Rabitah


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalannya. Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani Mu yang tidak akan padam. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan makrifat tentang Mu.


(Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini. Restulah Ya Allah atas Nabi Muhammad, ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Ya Allah restulah dan sejahterakanlah junjungan kami Muhammad, keluarga dan para sahabat.

Saturday, January 19, 2013

Asbabun Nuzul Ayat 67 Surah Al-Maidah

"Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Jika tidak engkau lakukan (apa yang diperintahkan itu) bererti engkau tidak menyampaikan amanatNya. Dan Allah memelihara engkau dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir." 


Abu Hurairah (RA) menuturkan bahawa ketika Rasulullah (SAW) beserta para sahabatnya tiba di sebuah desa, mereka (para sahabat) melihat sebatang pohon besar untuk berteduh, dan mereka menyarankan kepada Nabi (SAW) untuk berteduh di bawahnya untuk sesaat. Nabi (SAW) pun mengiyakan saranan para sahabatnya, dan tidur di bawahnya, sedang para sahabat tidur di tempat lain. Saat Nabi (SAW) sedang tertidur kerana istirehat, tiba-tiba datang seorang badui dengan menghunus pedang dan membangunkan Nabi (SAW) sambil berkata, "Wahai Muhammad, sekarang katakan padaku, siapa yang dapat menyelamatkanmu dariku?" Beliau menjawab, "Allah." Maka turunlah ayat di atas. (Hadis hasan, riwayat Ibnu Hibban)


Riwayat ini kita selalu dengar... Mendengar jawapan Rasulullah (SAW) maka pegangan pedang si badui tadi terlepas dari tangannya. Seterusnya Rasulullah (SAW) mengambil pedang tersebut dan meletakkan pula ke leher si badui tadi sambil bertanya, siapakah pula yang dapat menyelamatkanmu dariku? Si badui terkedu dan tiada jawapan yang keluar dari mulutnya.

Setelah melihat Rasulullah tidak menggunakan peluang yang ada untuk membunuhnya, bahkan memaafkan pula perlakuannya maka si badui tadi telah mengisytiharkan syahadah: "Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad (SAW) itu pesuruh Allah.


Tuan-tuan dan puan-puan,

Bolehkah kita bersifat dengan sifat Rasulullah (SAW) yang sentiasa bersedia untuk memaafkan sesiapa yang menyusahkannya malah sanggup memaafkan orang yang ingin membunuhnya?

Tepuk dada tanya iman kita...

Semoga kita sentiasa diberi hidayah dan istiqamah dijalanNya. Amin!

Friday, January 18, 2013

Hari-Hari Yang Kita Lalui...



Setiap hari yang kita lalui pasti ada ibrah yang tersurat dan yang tersirat untuk kita ambil pengajarannya. Ia bukan hari-hari yang hanya berlalu pergi demi mentaati sunnatullah tanpa ada pengajaran yang kita boleh ambil. Pasti ada! Setidak-tidaknya ada pengajaran tentang kita bermuamalah dengan manusia yang lain.

Hari ini aku mendapat mesej dari Kak Long yang berbunyi seperti berikut;


Salam abah. Kak Long baru habis 'exam' tadi, tadi kena 'oral' dengan 3 orang Doktor. Allah baiikkk saaangatt, Alhamdulillah, Doktor yang 'last' Kak Long kena 'oral', bagi 'full mark'.. Alhamdulillah.. Huhu, tadi kena interview 'patient' juga (ambik 'history'). Tadipun terjumpa 'patient' yang dulu Kak Long berlatih dengan dia ambik 'history', sebelum masuk 'exam' tadi, sempat makcik (patient) tu datang kat Kak Long dan doakan Kak Long, dan ajar Kak Long doa untuk mudah jawab 'exam'.. Huhu, terharu sangat hari ni, Allah bagi jumpa manusia-manusia baik, yang Kak Long belajar banyak hari ni, bukan 'exam' semata..
Setiap manusia yang hadir dalam hidup kita, walaupun sekejap sangat, mesti ada benda yang Allah nak kita belajar daripada dia.. Alhamdulillah untuk hari ni, cukup bermakna..
Abah, love u fillah, saaangattt2...
Anakmu,
Kaklong.
Maka akupun menjawab mesejnya;
Alhamdulillah. Allah dah kata Dia memberi rezeki kepada kita dengan tak kita sangka-sangka... Semoga Kak Long berjaya dengan cemerlang dan menjadi qudwah kepada adik-adik. Abah sentiasa mendoa kejayaan Kak Long dunia akhirat... Amin!

Thursday, January 10, 2013

Bayar Cukai Pintu MPJBT Dapat Myvi

Setiap kali tiba awal tahun, akupun sibuk melihat bil-bil yang perlu dijelaskan. Tujuanku ialah supaya kita tidak terhutang dengan mana-mana pihak dikemudian hari ketika mana duit sudah kering dari kantong...

Perkara pertama yang aku buat ialah menjelaskan yuran keahlian 'Malaysian Institute of Planners'. Yuran hanya RM100 sahaja setahun kerana aku masih bergelar 'graduate member' dan bukan 'corporate member'. Itupun aku poskan cek dalam bulan Disember 2012 lagi untuk membayar yuran tahun 2013.


Aku menjadi 'graduate member for MIP' sejak tahun 1990an lagi. Pernah menghadiri temuduga untuk 'upgrade' ke 'corporate member' sekitar tahun 2000an tetapi masa itu Datuk Zainuddin Muhammad (mantan Ketua Pengarah Jabatan Perancang Bandar & Desa Semenanjung Malaysia) dan ahli panelnya meminta supaya aku menyediakan 'log book' berkenaan dengan kerja-kerja perancangan.

Aku puji Zainuddin kerana walaupun beliau berasal dari Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan dan merupakan 'super senior' aku di Kansas State University (Beliau 'graduated in Master of Regional & Community Planning' pada tahun 1980 dan aku pula 'graduated' dalam bidang yang sama pada tahun 1988), beliau tidak mengamalkan sikap 'favouritism' baik kepada anak negeri Kelantan mahupun alumni satu universiti. Bravo dan syabas, aku ucapkan!


Aku masih ingat sekitar tahun 1989, aku ke JPBD Semenanjung Malaysia di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur untuk berjumpa Zainuddin yang pada masa itu memegang jawatan Ketua Pengarah. Aku datang bersama sepucuk surat dari Profesor Deines iaitu profesor yang pernah mengajarnya dan mengajarku untuk menagih simpati supaya memberi peluang pekerjaan walaupun buat sementara.

Sekurang-kurangnya aku mencuba kerana Profesor Deines begitu beria-ia menyuruh aku untuk berjumpa dengan bekas pelajar kesayangannya...

Perkara kedua yang aku langsaikan di awal tahun ialah cukai pintu atau cukai harta.


Cukai pintu ini aku bayar di pejabat Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) pada hari Ahad lepas. MPJBT membuka kaunter dari 9 pagi hingga 1 petang pada hari Ahad. Pelanggannya semasa aku datang tempohari hanya 4 orang. Dengan kata lain, tak perlu menunggu nombor giliran yang panjang.

Satu berita baik bagi mereka yang menjelaskan cukai pintunya setahun terus sebelum 31 Mac ialah mereka berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah kereta Myvi.

Aku tak la mengharap sangat tentang cabutan bertuah ini. Seingat aku, cabutan bertuah yang termahal yang pernah aku dapat ialah 'deep fryer' semasa Hari Keluarga UTM yang berlangsung di Padang Utama UTM beberapa tahun yang lalu. "Deep fryer' itupun dah jadi gajah putih kat rumah. Rasaku hanya digunakan sekali untuk masak ayam atau goreng kentang. Siapa nak, bolehlah datang ambil kat rumah...


Semasa aku menjadi Pengetua Kolej 16 & 17 dulu, staf aku Bala, pernah memenangi kereta Kancil dalam cabutan bertuah yang dilaksanakan oleh MPJBT. Cukai pintu itu adalah diatas nama emaknya.

Sahabatku Mahathir, pegawai Takaful Malaysia, pernah memenangi kereta BMW anjuran kad kredit Bank Islam Malaysia Berhad.


Itu kata orang... rezeki.

Jadi, sesiapa yang ingin mencuba nasib untuk mendapatkan Myvi, bolehlah menjelaskan cukai pintu mereka untuk setahun penuh dan bukannya untuk 6 bulan sebelum 31 Mac ini. Lagipun gaji bulan Januari ini, kita akan mendapat bonus untuk setengah bulan lagi.


Perkara ketiga yang aku lakukan ialah mencuba untuk membayar cukai tanah di Pejabat Tanah & Daerah Johor Bahru. Pada hari Isnin lepas, selepas membuat kad pengenalan Rasyid yang umurnya genap 12 tahun di Jabatan Pendaftaran Kulaijaya, aku bergegas pula ke Pejabat Tanah. Begitu ramai sekali orang yang ingin membayar cukai tanah dan nombor yang aku dapat ialah selang 150 orang dengan nombor yang dipanggil!

Jadi, akupun berpatah balik ke sekolah untuk menghantar Rasyid tanpa membayar cukai tanah. Tangguh dulu buat sementara. Ramai kawan-kawanku telah bertukar mekanisme membayar cukai tanah... Mereka menggunakan perkhidmatan 'online'!

Bila tiba di sekolah, aku pergi ke pejabat Hidayah untuk membuat 'post-dated' cek bagi bayaran yuran pengajian dan asrama selama setahun.


Yuran Sekolah Hidayah sepatutnya dijelaskan sebelum 15 haribulan setiap bulan. Yuran bulan Januari 2013 untuk 3 anak SRIH dan 2 anak SMIH telah aku jelaskan semasa pendaftaran hari itu. Aku hanya perlu membuat 11 'post dated' cek bertarikh 10 haribulan setiap bulan, berjumlah RM1,445.00 setiap satu kecuali pada bulan Disember 2013, hanya RM1,215.00.

Apa yang aku masih belum jelaskan hanyalah yuran keahlian Lembaga Perancang Bandar & Desa sebanyak RM50 setahun sebagai ahli 'graduate'. Dan cukai tanah...

Wednesday, January 2, 2013

Liku-Liku Kehidupan 7

Aku di SMSI pada tahun 1978 dan 1979. Pada masa itu, Guru Besar ialah Cikgu Alkaf. Pernah juga aku terserempak dengannya beberapa kali di Masjid Pengkalan Chepa semasa tarawih sekitar tahun 90an.

Sepanjang di SMSI pernah sekali aku mendapat markah tertinggi dalam matapelajaran Ilmu Perdagangan. Aku masih menyimpan Buku Laporan Kemajuan Murid SMSI hingga kini.

Prestasiku dalam kelas boleh dikatakan agak baik. Pada setengah tahun pertama 1978, aku mendapat tempat ketiga dari 36 pelajar dalam kelas 2P2. Pada setengah tahun kedua 1978, aku masih mengekalkan kedudukan tempat ketiga di dalam kelas tetapi mendapat tempat ke 20 dalam tingkatan yang seramai 185 orang pelajar.


Pada tahun 1979, aku telah bertukar kelas, dari 2P2 semasa Tingkatan 2 kepada 3P1 di Tingkatan 3. Aku rasa mungkin kerana prestasiku yang mendapat tempat ke 20 dalam keseluruhan Tingkatan 2 dulu.

Di kelas 3P1, aku mendapat tempat ketiga dari 36 orang murid pada setengah tahun pertama. Pada setengah tahun kedua, dengan menggunakan keputusan percubaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), aku mendapat tempat ke 4 dari 39 orang pelajar dalam kelasku.

SMSI yang terletak di Jalan Telipot, merupakan salah sebuah sekolah yang agak elit pada pandanganku. Kebanyakan yang belajar di sini adalah dikalangan mereka yang terpilih.

betul ke? banyak kali hantar sampainya 2, 3 hari kemudian baru sampai...

Seingatku, masalah utama di sekolah pada masa itu ialah pergaduhan. Masing-masing ingin menunjukkan 'skills' shaolin. Cerita-cerita kungfu cina di panggung-panggung wayang atau dipanggil pawagam sekarang menjadi ikutan pelajar sekolah pada masa itu.

Aku tidaklah tahu sangat tentang teknik atau taktik pergaduhan ini kerana aku boleh dikatakan dari kalangan budak baik.

Antara guru disiplin yang menjaga tatatertib di sekolah ialah seorang ustaz yang kenali sebagai Joe Mannix. Ustaz ini memang 'famous' di SMSI kerana kepakarannya dalam bidang siasatan. Oleh sebab itu, namanya digelar sebagai Joe yang tersohor dalam filem berkaitan siasatan di kaca TV pada masa itu. Sayapun sudah lupa apa nama ceritanya...


Antara kerja ustaz juga ialah mempastikan tiada pelajar yang memakai seluar panjang ke sekolah. Ha... ha... ha... Kerja ustaz di SMSI ialah untuk membenteras mereka yang cuba untuk menutup aurat (kalau kita guna ayat yang cuba untuk memburukkan nama ustaz). Pada hal ustaz hanya menjalankan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

Bagi pelajar pula, disamping merasakan berseluar panjang adalah tuntutan agama untuk menutup aurat, mereka juga merasa agak malu kerana pada tahap tingkatan 1 hingga 3 ini, kami sudah besar panjang. Malah ramai yang betisnya berbulu dan sebagainya. Guru-guru di SMSI juga ada dari kalangan guru perempuan.

Untuk memakai seluar panjang, kami perlu menunggu setahun lagi iaitu sehingga ke Tingkatan 4 di Sultan Ismail College (SIC) nanti dan tidak semasa di SMSI.


Oleh itu, ada juga pelajar yang ke sekolah dengan berseluar panjang. Dan apabila tiba di sekolah mereka membuka dan menukarnya dengan seluar pendek di tandas. 

Semasa di Tingkatan 3, aku ada menghadiri kelas tuisyen berbayar dengan mantan cikgu besar sebuah sekolah, Mr Muhammad namanya (kalau tak silap), yang rumahnya terletak berhampiran dengan antenna TV di Jalan Telipot.

Satu peristiwa yang tidak dapat aku lupai semasa di Tingkatan 3 ialah aku mendapat sebiji penampar dari cikgu Teoh. Ceritanya begini, kelasku baru habis PJ (pendidikan jasmani). Kemudian guru yang sepatutnya masuk mengajar selepas PJ tidak masuk. Jadi kelasku bising! Cikgu Teoh yang mengajar matematik di kelas sebelahpun datang ke kelasku. Tanpa bertanya khabar, cikgu Teoh menampar semua murid yang dirasakan bersalah pada pandangannya. Pada masa itu, bajuku berada di luar seluar.


Di SMSI, cikgu Teoh dan cikgu Cheah (atau Cheang, dah lupa namanya) adalah 2 orang guru matematik yang unggul. Aku tidak pernah belajar dengan cikgu Teoh tetapi aku belajar dengan cikgu Cheah.

Seingat aku semasa menjawab soalan Ilmu Hisab Moden dalam SRP dulu, aku menjawabnya dengan lancar satu per satu sehinggalah tiba kepada soalan yang ke 59, aku terpaksa meninggalkannya sekejap untuk menjawab soalan terakhir, soalan yang ke 60. Kemudian aku kembali semula kepada soalan yang ke 59.

Aku yakin bahawa dalam peperiksaan Ilmu Hisab Moden semasa SRP dulu, aku mendapat "1" dalam matapelajaran tersebut disebabkan oleh betul kesemua soalan atau mungkin hanya salah satu, iaitu soalan 59.

Dan matapelajaran yang paling aku tidak dapat mempercayai keputusannya dalam SRP ialah matapelajaran Pengetahuan Agama Islam. Aku mendapat '6'!


Selepas mendapat keputusan SRP, aku ada juga menyuarakan kepada Kak Zah untuk ke Maktab Tentera Diraja (RMC). Tetapi ia kurang mendapat restu dari ahli keluargaku...

Oleh itu, aku hanya memohon untuk ke Sekolah Menengah Teknik. Sementara menunggu keputusan dari Bahagian Teknik dan Vokasional, aku meneruskan pelajaran di SIC di Tingkatan 4.