Dalam kuliah Subuh Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid pagi tadi, Ustaz Rifqi menyatakan bahawa jangan kita mudah melabelkan seseorang sebagai ahli neraka. Walaupun kita dapati waktu itu dia tengah minum arak atau melakukan maksiat yang lain.
Jangan sekali-kali kita katakan, "Engkau ni memang ahli neraka! Tetapi kalau kita katakan perbuatannya itu adalah perbuatan ahli neraka maka ia tidak menjadi masalah.
Kita dilarang berkata demikian kerana kita bukan Allah yang tahu pengakhiran hidup seseorang. Jahat seseorang pada masa ini mungkin berubah menjadi baik pada masa depan.
Kita yang nampak baik nipun belum tentu baik penyudahannya...
Ustaz juga menyebut tentang seorang pelakon bernama Toni Kassim semasa zaman arwah P. Ramlee. Arwah Toni meninggal dalam sujud semasa solat tahajudnya. Subhanallah... ini yang kita inginkan.
Ok. Habis cerita pasal cop mengecop.
Saya hendak sambung pula tentang niat. Dalam Islam, niat itu amat penting. Salah satu hadis dalam Hadis 40 Imam Nawawi, ada menceritakan tentang niat. "Innamal 'amaalu binniyat.... ila akhir hadis". Setiap amal itu bermula dengan niat. Amal baik tetapi niat tak ikhlas maka tiada pahalanya!
Contohnya, saya menceritakan pasal kuliah Subuh Ustaz Rifqi tetapi niat saya yang sebenar ialah untuk memaklumkan kepada dunia bahawa saya pergi solat Subuh berjamaah di masjid. Maka segala perbuatan saya itu sia-sia... hangus tanpa pahala! Na'uzubillahu min zaalik...
Sekali lagi, niat itu begitu penting! Ayam yang disembelih oleh orang Islam dengan niat kerana Allah dan seekor lagi disembelih dengan niat untuk dijamu kepada hantu syaitan adalah berbeza. Satu halal dan satu lagi haram dimakan!
Bukan kerana cara penyembelihan yang berbeza tetapi hanya kerana niat!
Jagailah niat kita dalam apa jua amal... baik amal melalui perbuatan, amal melalui lisan, mahupun amal melalui penulisan. Jangan biar amal kita hangus dimakan api takbur, api ego, dan api bangga diri.
Cuma kalau kita menceritakan perbuatan amal baik kita supaya orang lain mencontohinya atau menirunya maka ia masih dibolehkan. Tetapi untuk menjagainya supaya ia tiada unsur ria' atau ujub menjadi sedikit susah...
Seelok-eloknya diumpamakan kalau kita bersedekah dengan tangan kanan, tangan kiri tidak tahu! Begitu tinggi sekali martabat niat...
No comments:
Post a Comment