Friday, September 30, 2011

Program Ceramah Bulanan FGHT

Program ceramah bulanan FGHT telah berlangsung pagi tadi, dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi. Seperti biasa, ia dibuat pada hari Jumaat terakhir pada setiap bulan dan program ceramah bina sahsiah atau bina insan ini telah berjalan sebanyak 7 kali.

Program hari ini adalah berbeza dari sebelum ini kerana kita telah menjemput seorang kaunselor, yang juga merupakan Pengarah Pusat Kaunseling UTM, Prof Madya Dr Hj Mohamed Sharif Mustaffa. Dr Sharif telah menekankan tajuk 'Menangani Masalah Pelajar Yang Berkesan'.

Enam program Bina Sahsiah sebelum ini, kita menampilkan para ustaz dan ustazah yang menceritakan tentang pelbagai aspek kehidupan dan kekeluargaan.


Dalam ceramah Dr Sharif, beliau telah membahagikan kerjaya kepada 4 jenis, iaitu;

i) people (kemanusiaan) - kerja-kerja yang berkaitan dengan hubungan kemanusiaan seperti doktor, pensyarah, dan sebagainya.
ii) data (maklumat) - kerja-kerja yang berkaitan memanipulasi data seperti akauntan, 'statistician', dan sebagainya.
iii) ideas (pandangan) - kerja-kerja yang banyak mengeluarkan idea seperti ahli politik, pembuat dasar, dan sebagainya.
iv) things (benda) - kerja-kerja yang mengeluarkan benda atau produk seperti jurutera, arkitek, dan sebagainya.

Dalam apa jua kerjaya yang kita pilih yang bersesuaian dengan naluri kita, ianya mesti disusuli dengan niat yang ikhlas. Kita hendaklah mempunyai citarasa atau perasaan ingin menolong seseorang jika pertolongan itu dipinta. Pertolongan juga boleh diberikan tanpa adanya permintaan tetapi yang penting ialah keikhlasan kita menolong.


Sebelum kita membantu seseorang, menurut Dr Sharif, kita seharusnya mempunyai beberapa sifat yang penting iaitu;

+ Respect for Others
+ Belief that People Can Change
+ Compassion
+ Honesty
+ Reliability
+ Self-discipline
+ Discreetness
+ Self-knowledge
+ Objectivity


Dengan adanya sifat-sifat yang seperti ini, ia boleh membantu kita dalam membuat pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan bantuan.

Thursday, September 29, 2011

Menziarahi Orang Sakit Boleh Menguatkan Iman

Aku dan Dr Mat Hussin telah ditugaskan untuk menjaga anakanda Abdullah Ishaq bin Norizan dari pukul 9 malam hingga ke 1.30 pagi. Shif yang kedua, akan disusuli oleh Dr Tholuddin dan Dr Razali, dari pulul 2 pagi hingga 6 pagi.

Kami bertolak dari Skudai ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSAJB). Semasa menunaikan solat Maghrib di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid tadi, aku telahpun mendapatkan maklumat dari akhi Roslan Abdul Hamid tentang wad mana Ishaq berada dan aras mana hendak dituju.

Apabila tiba di HSAJB, kami memasuki bangunan utama hospital dan kelihatan beberapa orang pengawal sedang bertugas mengawal pintu masuk ke wad.

Aku dengan selamba terus masuk melalui pintu pagar, manakala Dr Mat Hussin memberitahu pengawal bahawa beliau akan menemani pesakit, bla, bla...


Aku tidak ingin menunggu Dr Mat Hussin yang cuba mendapat restu dari pengawal, dan terus naik ke atas ke aras 4 melalui tangga. Dalam hati tertanya-tanya, bolehkah Mat Hussin 'convince'kan pengawal dan berjaya naik ke atas?

Setelah berada di sisi Abdullah Ishaq, aku mencari-cari telefon bimbitku. Yang pasti, ia tiada dalam poket seluar dan tiada dalam poket baju melayuku. Fikiran mula kalut, kalau Mat Hussin tak lepas dari pengawal dan cuba menghubungiku maka ia tidak dapat berbuat demikian. Dan aku akan berada di sini sorang-sorang sehingga jam 1.30 pagi.

Tiba-tiba Dr Mat Hussin sampai... alhamdulillah. Aku meminta beliau menghubungi telefonku. Seingat aku semasa dalam kereta tadi, aku ada menghubungi Dr Razali. Jadi 'confirm' samaada telefon bimbitku berada dalam kereta di tempat parkir atau terjatuh di luar kereta dan orang lain telah menjumpainya.

"Ada nada deringnya", jelas Mat Hussin.


Kemudian ibu Ishaq datang menjumpai kami. Beliau memaklumkan bahawa di sini ada air ubat dan susu jika Ishaq hendak minum.

Seorang ibu tetap seorang ibu. Mengasihi anaknya...walaupun anak itu sudah berusia 23 tahun. Ibu mengambil begnya dan menjamah kaki Ishaq seraya memberitahu bahawa beliau ingin pulang kepada Ishaq. Ishaq diam membisu...

Aku membaca surah Yaasin dan mendoakan semoga Allah menyembuhkan penyakit Ishaq. Selesai membaca Yaasin, aku meminta kunci kereta Dr Mat Hussin untuk mencari telefon bimbitku.

Alhamdulillah, rupa-rupanya telefon terjatuh di bawah seat.


Aku naik semula ke wad, tetapi kali ini dengan membawa pas kebenaran untuk menjaga Ishaq yang aku dapati di atas meja sebelum turun ke bawah tadi. Pengawal membenarkan aku naik dengan senang apabila melihat pas tersebut.

Aku menelusuri tangga ke atas. Dan sekali lagi melalui katil-katil pesakit di wad neuro, aras 4, sebelum tiba ke katil bernombor 10, iaitu katil Ishaq. Melalui katil-katil ini begitu banyak memberi keinsafan buat diri ini. Semua pesakit-pesakit di atas katil berjahit di kepala. Ada yang berjahit pendek dan ada yang berjahit hampir keseluruhan muka atau kepalanya.

Bersyukurnya diri ini kerana tidak diuji sepertimana orang lain yang diuji sebegitu. Subnallah, Maha Suci Allah, Engkau masih menyayangi daku dan keluargaku... Sekiranya Engkau uji aku dalam keadaan begitu, aku memohon kepadaMu untuk terus redha dan menerimanya dengan tabah.


Aku meneruskan lagi zikir dengan bacaan al-ma'thurat kubra kepada anakanda Ishaq.

Sedang aku berzikir, 'nurse' datang dan memberi Ishaq minum susu melalui hidungnya. 'Drip' air ke badan melalui tangan masih berjalan seperti biasa...

Ada satu katil, yang suaminya selalu memanggil isterinya jika isterinya tiada. Isteri mungkin keluar sekejap untuk ke tandas dan sebagainya.

Melihat mereka yang sakit ini mendatangkan satu rasa keinsafan kepada diri kita dan menundukkan segala kemahuan-kemahuan duniawi. Adalah amat wajar sekiranya kita boleh melakukan program seumpama ini sebulan sekali. Ia begitu jelas boleh meruntuhkan ego dan nafsu kita...

Wednesday, September 28, 2011

Hudud Oh Hudud!

Apabila pilihanraya semakin dekat, isu hudud timbul lagi...

Apakah tujuan isu hukum hudud ditimbulkan, dan oleh siapa? Tujuan hukum hudud ditimbulkan boleh dibahagikan kepada beberapa kriteria; untuk memahamkan kepada masyarakat, untuk menarik minat orang bukan Islam kepada Islam, untuk menunjukkan betapa kejamnya hukum hudud dengan hukuman potong tangan, rejam, dan sebagainya, dan untuk menakutkan masyarakat bukan Islam kepada agama Islam.


Mereka yang menimbulkan isu ini pula adalah terdiri dari kaum bukan Islam dan kaum Islam itu sendiri. Kaum bukan Islam memang sepatutnya mereka takut hukum hudud kerana mereka tidak tahu dan tidak faham tentang Islam. Tetapi jika mereka faham Islam walaupun masih belum beragama Islam, mereka akan menyokongnya kerana betapa adilnya, bertimbangrasanya, dan betapa telusnya hukum hudud ini... Keadilannya mencakupi orang-orang Islam dan bukan Islam. Itulah agama Allah!

Jika orang Islam yang menimbulkan isu ini untuk menakut-nakutkan golongan bukan Islam maka mereka sebenarnya termasuk dalam golongan mereka yang ingin meruntuhkan Islam.

Kita agak kurang faham tentang golongan ini yang mengaku dirinya Islam tetapi tidak inginkan Islam sebagai satu sistem yang syumul. Mereka tidak ingin merealisasikan Islam sebagai satu cara hidup dan tidak menerima sistem Islam yang telah digariskan Allah dan diwahyukan kepada rasulNya.


Mereka menyifatkan atau mempercayai Islam secara segmentasi dan bukan secara menyeluruh. Hendak solat pergilah ke masjid tetapi masih mempunyai ruang dan waktu untuk ke 'night club' untuk berfoya-foya!

Musim bulan Ramadan kita ke masjid untuk bertarawih, beriftar, beri'tikaf dan sebagainya tetapi bila habis selesai Ramadan kita ingin menganjurkan pertunjukan fesyen, majlis tari menari, serta menyanyi dan sebagainya. Itu baru Islam yang progresif!

Kalau semuanya mengikut peraturan dan perundangan Islam yang telah Allah tunjukkan maka kita menganut ajaran Islam Fundamentalis. Dan ini tidak cocok dengan nafsu kita...

Alangkah sedih jika kita seorang yang mengaku Islam dan beramalkan dengan cara Islam tetapi menentang hukum yang telah digaris dan ditetapkan oleh Allah! Kita hanya menerima separuh-separuh!


Na'uzubillahu min zaalik dari berkata bahawa hukum hudud tidak akan kita jalani atau laksana selama mana kita memerintah!

Tetapi ia nampak lebih manis jika kita berkata bahawa hukum hudud tidak menjadi 'priority' untuk kita laksanakan pada masa kini kerana strategi kita yang masih menekankan kepada peningkatan ekonomi kepada masyarakat madani.

Adalah amat malang kepada kita yang mempercayai agama Allah tetapi tidak dapat menerima sistem-sistem yang telah digariskan Allah. Sesungguhnya Pencipta sesuatu benda atau perkara lebih mengenali dan memahami tabiat atau tingkahlaku bahan atau individu yang diciptaNya.

Hudud is ok!

Monday, September 26, 2011

Temuduga Akhir Calon Pegawai Kadet PALAPES UTM

Tanggal 24 September 2011, berlangsungnya temuduga akhir kepada bakal pegawai kadet PALAPES UTM di Markas PALAPES. Seramai 111 dari 117 orang calon telah menghadirkan diri.

Sebelum sesi temuduga akhir, mereka telah melalui ujian UKA, dan 'IQ test'.

Sesi temuduga ini telah dipengerusikan oleh Ketua Jurulatih (Lt Kol Hj Samsuddin), manakala ahli-ahlinya terdiri dari Lt Kol Rizal (dari Markas Latihan), Mej PM Dr Ahmad Ariffian, Mej Hj Wan Ibrisam Fikry, Mej Dr Noor Azli Khan, Kapt Yusran, Kapt Tamarai, dan Pegawai Waren I Zulkifli.

Apa yang menarik tentang sesi temuduga akhir ini ialah ramai di kalangan calon mempunyai CGPA 4.0. Secara keseluruhan, kebanyakannya mempunyai CGPA lebih dari 3.0.

Satu-satunya kursus yang ditawarkan di UTM, yang mana kemasukan kesemua pelajar-pelajarnya terdiri dari mereka yang mempunyai CGPA 4.0 ialah Kursus 'Aeronautic', Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Calon-calon pegawai kadet adalah pelajar-pelajar tahun 1, yang baru masuk ke UTM pada awal bulan ini.


Terdapat segelintir yang memohon adalah mereka yang berkelulusan lepasan diploma dan menyambung pelajaran ke UTM di peringkat Sarjana Muda. Mereka adalah 'diploma holders' dan akan terus masuk ke tahun 2 dalam bidang pengajian masing-masing. Mereka juga dikenali sebagai pelajar-pelajar 'direct entry'!

Bermula pada tahun ini, pelajar-pelajar PALAPES akan mendapat pengiktirafan sebanyak 6 kredit. 2 kredit kira manakala 4 kredit lagi akan tertera di dalam sijil samaada seseorang pegawai kadet itu lulus atau gagal.

Walaupun, ia bukanlah seperti apa yang kami hasratkan iaitu keenam-enam kredit itu sepatutnya diambilkira kerana latihan PALAPES ini adalah bercorak lasak latihannya berbandingkan dengan kursus ko-kurikulum yang lain tetapi ia merupakan satu langkah permulaan yang baik.


Sesetengah IPTA lain mengira jam kredit PALAPES sebanyak 4 atau 6 kredit yang dikira dan bukan seperti kita iaitu hanya 2 kredit yang dikira.

Apapun kita sepatutnya bersyukur dengan adanya 'sedikit' perubahan ini. InsyaAllah, kita akan berusaha ke arah yang lebih baik...

Friday, September 23, 2011

Majlis Konvokesyen Ke- 47 Universiti Teknologi Malaysia

Majlis Konvokesyen UTM yang ke-47 akan bermula pada 24 September (26 Syawal) dan berakhir pada 26 September 2011 (28 Syawal 1432H). Majlis Konvo ini mengandungi 6 sesi, yang mana setiap hari akan berlangsung 2 sesi.

Saya telah diminta hadir untuk sesi 3, iaitu pada hari Ahad, 25 September 2011, untuk meraikan graduan dari Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah.


Majlis yang gilang gemilang ini sudah pasti menjadi idaman semua pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka. Hari bersejarah dalam kehidupan seseorang mahasiswa akan turut sama diraikan oleh keluarga mereka. Ibubapa sudah pasti bangga dengan kejayaan anak-anak mereka.

Pengalamanku menjadi graduan di peringkat Sarjana Muda dulu di sebuah universiti di Amerika Syarikat, kami hanya diisytiharkan sebagai graduan dalam sebuah stadium 'basketball' sahaja. Tiada perbarisan untuk mengambil 'scroll' dan tiada nama setiap orang dipanggil!


Setelah presiden universiti mengisytiharkan kami telah 'graduated', maka masing-masing melontar 'mortar board' ke udara. Pada masa ini, tiada siapa dari kalangan keluargaku yang hadir untuk meraikannya. Mungkin ada satu atau dua famili yang 'berada' dari Malaysia, yang turut sama meraikan kejayaan anak mereka pada masa itu.

Di peringkat Sarjana, juga di sebuah universiti di Amerika Syarikat keadaannya agak berbeza. Kali ini nama aku dipanggil, dan dekan fakultiku telah menyarungkan selempang kepadaku. Kali ini, aku ditemani isteri untuk meraikan hari konvokesyenku. Yang paling tidak dapat dilupakan ialah aku telah memandu kereta bersama isteri dari Rohnert Park, California ke Manhattan, Kansas hanya bagi tujuan ini.

Konvokesyen di Malaysia boleh dikatakan agak 'grand' berbanding di negara barat. Dan tidak sedikit wang dan masa dibelanjakan untuk ini.


Cuba bayangkan semua 'guest of honour' ditempatkan di hotel 5 bintang, siap dengan pemandu, pegawai pengiring, dan kenderaan masing-masing. Kalau 50 'guests' bermakna, 50 kereta bersama 50 pegawai pengiring yang menjemput dari airport sehinggalah ke bilik hotel.

Malam sebelum konvokesyen pula, semua dif jemputan akan diraikan oleh Naib Canselor dengan makan malam di kediaman rasminya. Ini akan disertai oleh semua dekan-dekan, pengarah-pengarah, dan pengetua-pengetua, serta pegawai-pegawai atasan universiti yang lain.

Kebiasaannya, Canselor turut sama membuat jamuan makan malam di istana pada malam berikutnya. Ini turut sama dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan universiti dan pembesar-pembesar negeri.
Perhiasan di dewan konvokesyen pula sudah tentu menarik dan cantik sekali. Pokok-pokok bunga asli yang berwarna warni menghiasi dan mewarnai pentas. Kemudian kumpulan muzikal juga bersedia dengan lagu-lagu tradisional dan lagu-lagu 'ever green' yang tak kunjung padam dek zaman.

Semua ini merupakan acara dwi-tahunan yang dilakukan oleh pihak universiti bagi meraikan para graduan yang telah tamat pengajian mereka dengan jayanya. Sudah pasti ratusan ribu dibelanjakan bagi tujuan yang gilang gemilang ini...

Monday, September 19, 2011

Sesiapapun Patut Bersyukur Dengan Penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Kita yang mendokong agama fitrah, iaitu agama Islam sepatutnya bersyukur dan menyokong penuh usaha YAB Perdana Menteri yang telah membubarkan ISA. ISA adalah satu peraturan lama yang telah digunapakai sehinggalah ia diisytiharkan sebagai mansuh pada 16 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia.

Sebelum ini agak ramai rakyat yang telah ditangkap menggunakan ISA, baik di kalangan pemimpin politik mahupun dari kumpulan-kumpulan lain yang dilabelkan sebagai KMM, JI, komunis dan sebagainya.

Kita tidak dapat bayangkan bagaimana keluarga mereka yang ditangkap melalui cara ini melalui kehidupan mereka. Yang pasti keluarga mereka akan terus menunggu dan menanti kepulangan ahli keluarga mereka itu. Menanti yang tidak berkesudahan...


Hari demi hari berlalu tetapi tiada caj yang akan dibawa ke mahkamah untuk mensabitkan kesalahan. Ini yang Islam tentang habis-habisan... Ia merupakan satu penganiayaan dan kezaliman yang telah dibuat ke atas tertuduh dan keluarga mereka.

Islam mengarahkan setiap tuduhan perlu dibuat perbicaraan secara terus dan dengan seadil-adilnya tanpa mempengaruhi mana-mana pihak.

Itu adilnya Islam, sehingga Rasulullah (SAW) bersabda, "Jika Fatimah anakku didapati mencuri, akan ku potong tangannya".

Begitukah juga sikap kita agaknya? Atau hanya bertegas apabila kesalahan di pihak lawan... Jika kita yang bersalah maka seribu dalih atau alasan cuba kita karangkan.

Merasai ketidakadilan yang keterlaluan inilah yang menggerakkan hati Dr Norkhair untuk memandu serta membawa ahli keluarga mangsa ISA ke Kamunting saban kali diperlukan biarpun beliau di kala itu masih memegang jawatan Ketua Jabatan Geoinformatik.

Jika ditanya padaku, sanggupkah aku melakukannya sepertimana beliau? Aku pasti mempunyai 1001 macam 'excuses' yang akan aku kemukakan... Aku tidak mempunyai daya kekuatan sepertimana beliau...


Cuma aku juga merasa hairan, ada segelintir manusia yang terkilan dengan pemansuhan ini. Mereka rela ada segelintir manusia ditangkap dan tidak dibicarakan sehingga lebih 6 tahun seperti apa yang dilalui Dr Abdullah Daud.

Aku menjangkakan, mereka pasti tidak teragak-agak lagi supaya akta zalim ini dimansuhkan buat selamanya sekira ada di kalangan saudara terdekat mereka dihukum sedemikian.

Bagi mereka, selagi tidak terkena batang hidung mereka tak mengapa... Apabila terkena penyesalan yang tiada guna...

Kita seharusnya menyokong sepenuh dan setulus hati mana-mana peraturan yang menjurus ke arah kebaikan ummah, tidak kira dari mana ianya datang.

Thursday, September 15, 2011

Rasai Sendiri... Baru Kita Tahu Susah Senang Kehidupan Rakyat

Semasa kami berurusan dengan sebuah pejabat kerajaan, kami terasa penat, pahit getir, halangan, asam garam, susah payah untuk melaluinya. Maksud 'kami' di sini ialah aku dan seorang bekas pegawai kerajaan yang baru pencen hujung bulan lepas dan pergi berurusan dengan sebuah pejabat kerajaan persekutuan.

Apa yang aku dapat 'quote' ayat bekas pegawai pencen tersebut ialah "Our system is sucks!" Kita sudah 54 tahun merdeka! Oops, setengah pakar sejarah mengatakan kita bukan dijajahpun tetapi hanya dinaungi oleh British. British menjaga kita, sebab itu, dia membawa balik segala hasil mahsul negara kita seperti bijih timah, getah, rempah ratus dan segala mak nenek ke negara mereka.


Bukan setakat itu aje... British bawa pula masuk rakyat China dan India ke negara kita untuk mengeksploitasi bahan mentah yang masih belum diterokai. Kalau tak, siapa hendak bekerja di lombong-lombong bijih, di estet-estet getah dan sebagainya? Sungguh baik jasa penaung ini!!!

Aku tidak ingin terlibat dengan polemik dijajah atau dinaungi ini kerana aku merasakan kita semua tidak ikhlas dalam berhujah! Kita tidak ingin mendapat kebenaran yang hakiki tetapi sekadar ingin menang dalam menegakkan apa yang telah kita pegangi selama ini.

Aku menyatakan kepada kawanku bahawa pejabat kerajaan teruk kerana tiada menteri yang berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan sepertimana kita berurusan... Menteri-menteri mempunyai 'batman' untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Hendak bayar bil, ada orang yang bayarkan. Hendak memperbaharui lesen memandu, ada orang yang buatkan. Hendak 'extend' perkhidmatan 'maids', ada orang yang uruskan.


Pak-pak menteri tidak lalui apa yang kita lalui... Mereka tidak merasai apa yang kita rasai... Sebab itu rata-rata pejabat kerajaan kita masih jauh dari boleh kita banggakan dari segi memberi perkhidmatannya...

Dari segi bangunan, masyaAllah, kita mempunyai bangunan yang tidak ada tolak bandingnya.

Teringat aku tentang bangunan sekolah rendah yang dibina di Pulau Sibu... Aku tak ingat samaada guru atau pelajar hanya 12 orang tetapi bangunan sekolah setinggi 3 tingkat!

Itulah negara kita selepas dinaungi...


Aku mengatakan kepada kawanku bahawa kita tidaklah seteruk yang dialami oleh negara ketiga yang lain.

Aku pernah diberitahu oleh anakku di Mesir bahawa untuk mengeluarkan duit dari ATM di sana, kita perlu pergi ke bank dimana kita telah membuka akaunnya di situ. Ia tidak seperti di Malaysia, yang mana kita boleh cucuk kad di mana-mana bank sahaja.

Tetapi dengan berkata demikian, tidak bermaksud bahawa sistem kita yang sediaada sudah cukup bagus! Penambahbaikan demi penambahbaikan seharusnya terus berlaku... Elemen-elemen yang baik yang terdapat di negara barat seharusnya diterap masuk dan elemen-elemen songsang dan penyelewengan wajib ditendang keluar.


Saya teringat kata-kata seorang penceramah di radio IKIM beberapa hari yang lepas. Syed Qutb berkata, apabila saya ke Eropah, saya nampak Islam tetapi kurangnya muslim. Dan apabila saya di Mesir, saya nampak muslim tetapi betapa kurangnya Islam.

Maksudnya, di barat syiar Islam terserlah dengan budaya masyarakat menepati kehendak Islam seperti beratur (tidak memotong 'queue'), menepati masa, menghormati orang tua dengan memberi mereka duduk jika di dalam bas, menjaga kebersihan awam, mematuhi 'traffic light' lalulintas, memberi laluan secara sopan dan bertimbangrasa apabila lampu 'traffic light' tidak berfungsi, melayan atau menghormati pelanggan dengan mendahului mereka dan lain-lain lagi. Inilah ciri-ciri atau sifat-sifat orang Islam yang sepatutnya ada pada diri kita.


Manakala di negara Asia Tengah dan negara Asia yang lain muslim begitu ramai tetapi Islam begitu sedikit diamalkan... Kita hanya pandai mengajar orang tentang perilaku atau tatasusila seorang Islam tetapi kita sendiri tidak mengamalkannya! Islam hanya berada di bibir-bibir penganutnya tetapi tidak pada akhlak dan budi pekertinya.

Tuesday, September 13, 2011

Semester 1 Sesi 2011/2012 Bermula

Hari ini, 12 September 2011, bermulalah pengajaran untuk semester 1 sesi 2011/2012 di UTM. Seperti aku maklumkan sebelum ni, semester ini lain dari semester sebelum sebelumnya. Kebiasaannya semester 1 bermula pada bulan Julai tetapi pada tahun ini, pertama kali dalam sejarah ia bermula pada bulan September.

Pagi tadi, aku ke Puspakom untuk menukar nama kereta Gen 2, JLA 6543, dari namaku kepada tuannya yang sebenar.


Sebenarnya, kami ke JPJ untuk menukar nama pada sebelum Hari Raya lagi. Setelah semua borang diisi, kami mengambil nombor dan menunggu nombor giliran. Apabila nombor kami dipanggil, kami merasa sangat seronok kerana sekejap lagi nama tuan punya kereta akan bertukar. Malangnya, setelah kami menghampiri kaunter dan borang-borang kami disemak, petugas di kaunter bertanya tentang surat kelulusan dari Puspakom. Kami ternganga, tidak tahu menahu tentang keperluan ini.

Proses ini terpaksa ditangguhkan kerana kawanku tidak membawa keretaku untuk diperiksa. Pertama kali kami dengar bahawa kereta perlu diperiksa sebelum ianya ditukar hakmilik!


Akhirnya, pagi tadi kami pergi untuk membuat pemeriksaan JLA 6543 di Puspakom. Syarat untuk menukar nama pemilik kenderaan ialah kenderaan terpaksa dibuat pemeriksaan.

Dalam keadaan terpinga-pinga, kami dapat masuk dalam 'queue'. Setelah boot kereta dibuka dan menunggu pemeriksa datang, kami meniru gelagat orang lain dan membaca notis yang tertera! BERSIHKAN NOMBOR ENJIN DAN NOMBOR CHASIS SUPAYA DAPAT DIBACA. Menggunakan kertas yang ada, kami membersihkannya dari habuk dan minyak hitam yang melekat. Getah alas di sekeliling pintu depan dan pintu belakang dicabut. Ini membolehkan pemeriksa melihat badan kereta yang asal dan mempastikan bahawa ia tidak disambung dengan badan kereta potong!


Apabila pemeriksa datang, dia bertanya tentang borang yang sepatutnya kami ada sebelum memasuki 'queue'. Kami berlari ke pondok yang sepatutnya kami lalui sebelum berada dalam 'queue'! Entah bagaimana kami boleh terlepas 'booth' ini. Ada sekeping borang lain yang perlu diisi dan bayaran RM30 dikenakan.

Kami membawa borang tadi ke kereta. Pemeriksaan terhadap kereta berjalan selama lebih kurang setengah jam. Akhirnya, kami mendapat surat yang menyatakan kereta kami lulus untuk ditukar hakmilik.


Kami bergegas pula ke JPJ. Sampai di sana dan setelah nombor kami dipanggil, kami menghadapi satu lagi masalah. Insuran yang baru yang sepatutnya melindungi kawanku masih belum 'online'! Pada hai Jumaat minggu lepas, kami telah menemui pengusaha takaful dan beliau bersetuju untuk 'online'kan insuran pada pagi ini. Insuran ini dibuat baru bagi menggantikan insuran sebelum ini yang menamakan diriku sebagai 'first driver'.

Kami terpaksa berpatah balik ke Skudai untuk menemui pengusaha takaful. Ini masalahnya apabila kita tidak mengambil nombor telefonnya. "Otherwise this problem can be rectified over the phone"


Sebelum balik ke Skudai, aku sempat ke pejabat peguam di Taman Molek untuk menjelaskan sebahagian dari yuran guaman untuk pembelian rumah baruku di Bandar Dato' Onn. Keseluruhan 'lawyer's fee' ialah RM6K dan hari ini aku baru jelaskan RM2K. Baki RM4K akan di'settle'kan sebelum hujung tahun ini.

Aku dah tak dapat ikut untuk ke JPJ kembali kerana aku ada kelas pada pukul 2 nanti. Pukul 2.30 petang pula, mesyuarat pertama fakulti di bawah dekan baru akan dilaksanakan. Jadi, kawanku terpaksa ke JPJ secara bersendirian.


Pada petangnya, hampir pukul 5, aku mendapat sms dari kawanku mengatakan bahawa proses pertukaran hakmilik berjaya dilakukan. Itupun setelah 3 kali pergi balik ke JPJ, 3 kali ke syarikat insuran dan takaful, dan sekali ke Puspakom. Patutlah ramai orang mengupah 'ulat' aje untuk melakukan kerja-kerja sebegini.

Sepatutnya kita permudahkan lagi prosedur...

Thursday, September 8, 2011

Tadzkirah di Radio IKIM

Pagi ini di Radio IKIM, saya mendengar satu tadzkirah yang cukup baik diberikan oleh seorang ustaz. Kalau sesiapa sempat, elok dengar malam ni (siaran ulangan) sebelum kuliah tafsir Ustaz Dr Hj Zahazan. Kuliah Ustaz Zahazan pukul 8 malam. Siaran ulangan ini kebiasaannya sebelum tu, mungkin sekitar jam 7.45 malam.

Ustaz menceritakan tentang Allah menguji kita tentang kehidupan dengan memberikan kita keluarga untuk diurus. Kadang-kadang kita kurang berjaya mengurus keluarga kita, apatah lagi ingin menguruskan sebuah masyarakat. Tetapi apapun, yang penting kita perlu positif!


Saya tidak berhasrat untuk menulis semula apa yang disampaikan oleh ustaz kerana penyampaiannya cukup bagus dan saya takut saya tidak berupaya dan tidak berlaku adil kepadanya jika saya tersalah tulis dan sebagainya. Dengarlah dan cuba amati sendiri...

Kita menghantar anak-anak ke sekolah agama dengan harapan anak-anak akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Tetapi jika kita melihat anak-anak masih bermain 'computer games' dengan pakaian sekolah, lebih kurang 5 minit sebelum waktu maghrib. Apa perasaan kita? Sepatutnya, anak itu sudah faham. Bila dekat waktu maghrib, elok dibuka baju sekolah, pergi mandi, dan bersiap untuk solat maghrib.


Kita juga diuji dengan pelbagai cubaan dan dugaan. Antara lain ialah apabila isteri baru balik kerja, dan kita ada 5 minit lagi sebelum waktu berbuka puasa... Makanan belum siap. Apa perasaan kita?

Begitulah kehidupan...

Kita boleh bertindak positif mahupun negatif. Jika kita bertindak negatif, kita akan memarahi anak tadi yang masih bermain 'games' dan tidak peka dengan waktu maghrib. Begitu juga dengan isteri yang balik kerja lewat dengan tidak menyediakan makanan untuk berbuka puasa. Dahlah satu hari berlapar, diuji pula dengan keadaan seperti ini...


Apa yang kita boleh buat jika kita positif ialah kita berbuka puasa dulu dengan kurma dan air kosong, kemudian solat maghrib sementara menunggu isteri memasak nasi dan menggoreng sotong di dapur. Tak perlu kita mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati isteri dan hanya menyedapkan hati kita untuk beberapa ketika...

Kita boleh memberi khutbah atau orang kampung kata membaca buku tak berbaris kepada isteri bagi melepaskan perasaan marah kita tetapi 'at the end' apa yang dia dan kita dapat? Mungkin hanya sakit hati, benci, meluat, dendam, dan marah yang amat sangat kepada kita. Kita pula hanya merasa puas buat seketika kemudian mula merasa bersalah, sedih dan pilu...


Apa-apapun di antara kita dan keluarga, ia boleh diibaratkan seperti kita menggaru... Jika kita garu perlahan dan sekejap-sekejap, ia cukup seronok dan melalikan. Tetapi jika kita garu terlampau kuat dan lama, mungkin ia akan luka dan berdarah, dan keseronokan tadi bertukar menjadi kesakitan.

Cuma, bila umur dah tua dan badan dah besar, tangan sudah tidak sampai untuk menggaru ke belakang. Kita terpaksa menggunakan perkhidmatan kayu penggaru yang berulu panjang atau menggeselkan belakang ke tiang-tiang atau menyuruh anak-anak untuk menolong menggarukannya...

"Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir" (Ar-Rum; 21).

Tuesday, September 6, 2011

Berbudi Bahasa...

Aku balik dari pejabat lebih kurang pukul 5.30 petang semalam. Aku terus memandu ke gerai buah-buahan di Taman Universiti.

Kelmarin dulu, aku telah membeli sebiji tembikai kuning, tak sampai 2 hari terus habis. Sekarang harga tembikai kuning dan tembikai merah sama saja, iaitu RM1.80 sekilo!

Berbuka puasa dengan tembikai sedap juga...hilang rasa kehausan!

Anak-anak iaitu Achik, 'Ammar, dan Rasyid baru semalam memulakan puasa 6 mereka. Aku dan isteri, termasuk hari ini..., baru 4 hari. Kami memulakan puasa pada hari kedua Syawal lagi tetapi berhenti sekejap dan sambung semula kelmarin.

Di gerai buah-buahan, aku membeli sebiji buah tembikai, 3 biji buah jambu batu, dan 3 biji buah limau bali. Jambu batu berharga RM2.50 sekilo manakala limau bali pula, 3 biji RM10.

Buah-buahan di rumahku kebiasaannya sentiasa ada. Aku memang suka makan buah. Anak-anakpun sama, suka buah-buahan, lebih-lebih lagi Angah!

Buah-buahan ini sangat bagus untuk kesihatan... Elok diamalkan pemakanannya!

Apabila selesai membeli buah-buahan, tiba-tiba telefon berbunyi. "Enta tahu rumah akh Mohd Nor?", tanya akhi Hamidon.

"Ana pernah pergi rumahnya tahun lepas, beli air zamzam dan kurma. Rumahnya 'somewhere' dekat pasar lama Taman U. Tapi nombor rumah dan jalan tak ingat!", balasku.

Aku tidak dapat membantu sangat apa yang diperlukan oleh Prof Madya Hamidon.

Mohd Nor baru aje membuat 'operation' kerana apendiks di Hospital Pakar Johor semasa hari kedua Syawal baru-baru ini. Aku sempat menziarahinya bersama Dr Zaharudin di hospital.

Aku memandu pulang ke rumah. Sampai di rumah, kelihatan 'aunty Cina' di depan rumahku sedang membuang rumput-rumput liar di kawasan tanah yang kami masing-masing ada seluas 2, 3 kaki di luar pagar.

"Buat apa aunty?", sapaku.

"Ni, buang lumput... sulah lama tak cuci...", balas aunty. Aunty pernah memberi sebiji buah delima hasil tanamannya kepadaku. Aku juga pernah ke rumahnya kerana jamuan perkahwinan anaknya dulu. Masa itu, balu suaminya masih ada. Tetapi perkahwinan anaknya dengan wanita Indonesia itu tidak kekal lama.

"Aunty mahu limau bali?", tanyaku.

"Mana lapat?", tanya aunty pula.

"Saya beli di gerai buah-buahan Taman U", balasku.

"Tak pa lah, lu anak manyak...", balas aunty pula.

"Tak apa aunty, saya beli banyak!", tambahku sambil mengeluarkan buah tembikai, jambu batu, dan limau bali. Aku mengambil sebiji limau bali yang berbalut plastik dan diberikan kepadanya.

"Olang cina buat semayang ni...", sambung aunty.

"Yang ni, aunty tak payah buah semayang tetapi buat makan ok!", sampukku.

Aunty sambil tersengih-sengih mengucapkan terima kasih dan membawa masuk limau ke dalam rumahnya.

Hati kecilku berkata... Bilakah dapat aku mengajak aunty ini kepada agama fitrah? Dulu mendiang suaminya begitu baik dan menghormatiku tetapi telah pergi tanpa sempat aku membawa Islam kepadanya...

Aku masuk ke dalam rumah. Isteri dan anak-anak masih belum pulang dari sekolah...

Monday, September 5, 2011

Tunggakan Hutang...

‎"Penguluran (hutang) oleh orang yang mampu (membayar) adalah kezaliman" [Hadis Riwayat Al-Bukhari 2400 –Fathul Bari- dan Muslim 1564], tertera dalam FB Mohd Radzi Ibrahim. Kemudian Lotfi Al-Fikri juga dalam FB pula menambah, Imam al-Haitami mengatakan: "Orang berkemampuan tapi menangguhkan melunas hutang dengan sengaja dikira sebagai salah satu daripada dosa besar" [dalam al-Zawajir'an Iqtiraf al-Kabair, 1/250].

Pada asalnya, pegangan kita ialah apa yang bersandarkan Islam kita kena sokong! Sekolah Islam, Koperasi Islam, Bank bersandarkan syariah Islam, Takaful Islam, makanan Islam, pakaian Islam, dan segala yang berteraskan Islam wajib kita bantu dan 'make sure' dia terus hidup.

Jangan biarkan apa-apa yang Islam itu mati kerana kita... Kerana kita tidak membayar hutang yang kita pinjam dari mereka.

Hari ini saya mendapat senaskah Berita Muslimin dari Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB). Koperasi ini ditubuhkan 30 tahun yang lalu atas daya usaha Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Koperasi ini mempunyai keahlian seramai 36,173 orang, dengan bilangan terkecil dari Labuan seramai 8 orang dan yang teramai dari Selangor iaitu 9,996 ahli.

KMMB telah mengalami tunggakan hutang sehingga Mei 2011 berjumlah RM7.4 juta. Dengan kata lain, ahli KMMB seramai 704 orang telah berhutang dengan koperasi untuk membiayai pelbagai skim yang ditawarkan sehingga menjangkau RM7,408,221.88. Skim pinjaman untuk pembelian tanah/rumah merupakan peratusan tertunggak yang tertinggi.

Skim-skim lain yang disediakan oleh KMMB ialah pinjaman pembelian peralatan, pembiayaan pembelian kereta, qardhul hasan, pembiayaan motosikal, dan skim pinjaman untuk umrah dan ziarah.

Saya sendiri tidak pernah menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut tetapi menyokong KMMB atas dasar sebuah koperasi Islam.

Sungguhpun demikian, saya banyak mendapat keuntungan dari segi anugerah cemerlang yang disediakan. KMMB menyediakan apa yang dipanggil sebagai Al-Abrar; anugerah kecemerlangan UPSR, PMR, SPM, STP, first class degree, PhD, dan tahfiz; khairat kematian; dan musibah.

Bagi Januari hingga Jun 2011, 891 permohonan Skim Al-Abrar telah diluluskan dengan jumlah RM351,842. Kategori Khairat Kematian mencatatkan kelulusan tertinggi dengan 719 kelulusan berjumlah RM259,550. Anugerah Cemerlang sebanyak 125 kelulusan berjumlah RM81,800 dan Musibah dengan 47 kelulusan dengan jumlah RM10,492.

Lihatlah betapa banyak koperasi telah membantu ahli mereka.

Kita perlu menyokong koperasi Islam seperti ini, dan sekarang di Johor sudah ada Koperasi AKRAB untuk ahli IKRAM. Marilah kita sokong institusi-institusi Islam seperti ini dan janganlah kita bebankan pengurusan kewangan mereka dengan bebanan hutang kita!

Jika kita terperangkap dengan hutang, maka usahakanlah dengan membayar sedikit demi sedikit. Setidak-tidaknya, ada nampak usaha dari kita...

Saturday, September 3, 2011

Pihak Pengangkut Sampah Juga Wajib Bertugas Semasa Cuti Panjang

Bila tiba masa cuti panjang, kita dengar banyak pihak seperti askar, polis, doktor, dan jabatan-jabatan yang agak penting terpaksa dibekukan cuti mereka demi untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Pada saya pihak yang tak kurang penting juga ialah pihak yang diberi tanggungjawab oleh Majlis Perbandaran untuk menjaga kebersihan, juga perlu disesuaikan cuti mereka ...kalaupun tak dibekukan cuti mereka.

Southern Waste Management (SWM), pihak yang diswastakan untuk pembersihan di kawasan Skudai, nampak tidak seperti swasta. Corak kerja mereka nampak seperti pekerja kerajaan!

Kenapa saya berkata begitu?

Pertama, tidak efisien. Kedua, tidak kemas. Ketiga, datang angkut sampah ikut suka masa mak bapa dia aje. Keempat, kalau sepatut datang 2 kali seminggu tetapi banyak kali datang seminggu sekali aje. Kelima, sampah berselerakan di sana sini.

Jika ia betul-betul berperanan sebagai pihak swasta, jika dia 'missed' satu hari 'routine' untuk sesuatu 'route', maka hari tersebut sepatutnya perlu diganti kepada hari lain. Ini tidak, hari yang 'missed' tidak diganti!!!

Bila sampah bertimbun dan terkeluar dari tong sampah maka anjing dan kucing mula membongkar sampah!!! Bila sampah terkeluar dari plastik sampah, maka ia sudah tidak dipungut lagi oleh SWM.

Jadi putaran atau 'cycle' ketidakcekapan pungutan sampah akan terus berlaku...

Sampah bertimbun dan melebihi tong sampah berlaku apabila pihak SWM tidak datang membuat kutipan mengikut jadual. Sampah berteraburan kerana diselongkar oleh binatang. Pihak SWM tidak mempeduli sampah di luar tong sampah. Ketidakhadiran untuk kutipan tidak diganti... Kawasan MPJBT nampak kotor!

Akhirnya, kerajaan mahupun swasta sama saja perkhidmatannya. Cuma yang pastinya, pihak yang menjalankan perkhidmatan swasta ini mendapat keuntungan... Biasanya siapa ya... mereka ini?

Satu lagi pihak yang entah apa-apa ke benda yang mereka lakukan dan kita terpaksa membayar RM48 setiap 6 bulan ialah Indah Water Konsortium Sdn Bhd...

Pasal kebersihan ini, kita perlu tekankan sikit! Cari orang yang betul-betul berwibawa membuat kerja. Orang yang tak bersungguh-sungguh melakukan pembersihan, buang aje mereka!

Tempat bersih semua orang suka. Pelancong akan datang dengan sendiri, tak payah nak diiklankan. Benda-benda 'decoration' atau 'face lift' lain tak penting sangat tetapi kebersihan tak boleh dikompromi...

Rasanya tak salah kalau kita azamkan tahun ini bahawa MPJBT akan menjadi PBT yang terbersih di Malaysia!!! Bila ini naik nama, semua yang lain akan naik secara tak langsung... Permintaan terhadap rumah di MPJBT akan naik, pendapatan hasil cukai akan naik, taraf kehidupan berkualiti akan meningkat, dan semuanya akan kelihatan positif.

Pada pandangan aku, perkara-perkara asas WAJIB disediakan oleh pihak kerajaan kecuali benda-benda extra yang kita ingin nikmati lebih dari yang diperlukan maka barulah perlu dibayar...

Barulah kita katakan kerajaan prihatin... Rakyat didahulukan atau diutamakan.

Thursday, September 1, 2011

Happy Birthday Abah...


Anak-anak dah dua tiga hari sibuk buat kad untuk hari jadi abah. Sakinah mahupun Rasyid yang agak kreatif dari yang lain-lain juga tidak ketinggalan.

Pagi yang ceria ini, baru balik dari solat Subuh di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, dapat sms dari Kak Long... "Sanah helwah abah. Kullu sanah enta taiyyib. Semoga seluruh hidup abah dalam redhaNya. Terus thabat dan istiqamah atas jalan Din. Moga Allah kurniakan 1001 kebaikan buat abah. Moga kita terus obses mengejar redha dan cintaNya hingga hujung nyawa. Love you very very much fillah."

Aku telah memulakan puasa 6 semalam. Hari ini, biar dululah...

Hari ini genap umurku 47 tahun. Hampir separuh abad. Dalam facebook ada 5 orang yang mengucapkan Selamat Hari Jadi buatku. Irfan Masiri, Sam, Hadi, Epul FGHT, dan Planet 49.

Tiada yang aku pinta padaMu ya Allah melainkan untuk terus istiqamah di jalanMu. Aku pohon padaMu juga kesihatan yang berpanjangan. Ingin aku kerah tenaga semampu yang boleh untuk terus berjuang bersama Islam, membantu memartabatkan Islam ke tempat yang sepatutnya.

Juga aku pohon, zuriat-zuriatku yang patuh kepada suruhan dan laranganMu ya Allah... Tidak lebih dan tidak kurang... Begitu juga zuriat-zuriat mereka pula...

Aku hanya ingin menjalani kehidupan yang Kamu redhai... sementara menuju ke destinasi terakhir di sisiMu...

Rabbana aatina fiddunnya hasanah wafil aakhirati hasanah waqina 'azabannar!!!