Thursday, September 8, 2011

Tadzkirah di Radio IKIM

Pagi ini di Radio IKIM, saya mendengar satu tadzkirah yang cukup baik diberikan oleh seorang ustaz. Kalau sesiapa sempat, elok dengar malam ni (siaran ulangan) sebelum kuliah tafsir Ustaz Dr Hj Zahazan. Kuliah Ustaz Zahazan pukul 8 malam. Siaran ulangan ini kebiasaannya sebelum tu, mungkin sekitar jam 7.45 malam.

Ustaz menceritakan tentang Allah menguji kita tentang kehidupan dengan memberikan kita keluarga untuk diurus. Kadang-kadang kita kurang berjaya mengurus keluarga kita, apatah lagi ingin menguruskan sebuah masyarakat. Tetapi apapun, yang penting kita perlu positif!


Saya tidak berhasrat untuk menulis semula apa yang disampaikan oleh ustaz kerana penyampaiannya cukup bagus dan saya takut saya tidak berupaya dan tidak berlaku adil kepadanya jika saya tersalah tulis dan sebagainya. Dengarlah dan cuba amati sendiri...

Kita menghantar anak-anak ke sekolah agama dengan harapan anak-anak akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Tetapi jika kita melihat anak-anak masih bermain 'computer games' dengan pakaian sekolah, lebih kurang 5 minit sebelum waktu maghrib. Apa perasaan kita? Sepatutnya, anak itu sudah faham. Bila dekat waktu maghrib, elok dibuka baju sekolah, pergi mandi, dan bersiap untuk solat maghrib.


Kita juga diuji dengan pelbagai cubaan dan dugaan. Antara lain ialah apabila isteri baru balik kerja, dan kita ada 5 minit lagi sebelum waktu berbuka puasa... Makanan belum siap. Apa perasaan kita?

Begitulah kehidupan...

Kita boleh bertindak positif mahupun negatif. Jika kita bertindak negatif, kita akan memarahi anak tadi yang masih bermain 'games' dan tidak peka dengan waktu maghrib. Begitu juga dengan isteri yang balik kerja lewat dengan tidak menyediakan makanan untuk berbuka puasa. Dahlah satu hari berlapar, diuji pula dengan keadaan seperti ini...


Apa yang kita boleh buat jika kita positif ialah kita berbuka puasa dulu dengan kurma dan air kosong, kemudian solat maghrib sementara menunggu isteri memasak nasi dan menggoreng sotong di dapur. Tak perlu kita mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati isteri dan hanya menyedapkan hati kita untuk beberapa ketika...

Kita boleh memberi khutbah atau orang kampung kata membaca buku tak berbaris kepada isteri bagi melepaskan perasaan marah kita tetapi 'at the end' apa yang dia dan kita dapat? Mungkin hanya sakit hati, benci, meluat, dendam, dan marah yang amat sangat kepada kita. Kita pula hanya merasa puas buat seketika kemudian mula merasa bersalah, sedih dan pilu...


Apa-apapun di antara kita dan keluarga, ia boleh diibaratkan seperti kita menggaru... Jika kita garu perlahan dan sekejap-sekejap, ia cukup seronok dan melalikan. Tetapi jika kita garu terlampau kuat dan lama, mungkin ia akan luka dan berdarah, dan keseronokan tadi bertukar menjadi kesakitan.

Cuma, bila umur dah tua dan badan dah besar, tangan sudah tidak sampai untuk menggaru ke belakang. Kita terpaksa menggunakan perkhidmatan kayu penggaru yang berulu panjang atau menggeselkan belakang ke tiang-tiang atau menyuruh anak-anak untuk menolong menggarukannya...

"Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir" (Ar-Rum; 21).

No comments:

Post a Comment