Aku balik dari pejabat lebih kurang pukul 5.30 petang semalam. Aku terus memandu ke gerai buah-buahan di Taman Universiti.
Kelmarin dulu, aku telah membeli sebiji tembikai kuning, tak sampai 2 hari terus habis. Sekarang harga tembikai kuning dan tembikai merah sama saja, iaitu RM1.80 sekilo!
Berbuka puasa dengan tembikai sedap juga...hilang rasa kehausan!
Anak-anak iaitu Achik, 'Ammar, dan Rasyid baru semalam memulakan puasa 6 mereka. Aku dan isteri, termasuk hari ini..., baru 4 hari. Kami memulakan puasa pada hari kedua Syawal lagi tetapi berhenti sekejap dan sambung semula kelmarin.
Di gerai buah-buahan, aku membeli sebiji buah tembikai, 3 biji buah jambu batu, dan 3 biji buah limau bali. Jambu batu berharga RM2.50 sekilo manakala limau bali pula, 3 biji RM10.
Buah-buahan di rumahku kebiasaannya sentiasa ada. Aku memang suka makan buah. Anak-anakpun sama, suka buah-buahan, lebih-lebih lagi Angah!
Buah-buahan ini sangat bagus untuk kesihatan... Elok diamalkan pemakanannya!
Apabila selesai membeli buah-buahan, tiba-tiba telefon berbunyi. "Enta tahu rumah akh Mohd Nor?", tanya akhi Hamidon.
"Ana pernah pergi rumahnya tahun lepas, beli air zamzam dan kurma. Rumahnya 'somewhere' dekat pasar lama Taman U. Tapi nombor rumah dan jalan tak ingat!", balasku.
Aku tidak dapat membantu sangat apa yang diperlukan oleh Prof Madya Hamidon.
Mohd Nor baru aje membuat 'operation' kerana apendiks di Hospital Pakar Johor semasa hari kedua Syawal baru-baru ini. Aku sempat menziarahinya bersama Dr Zaharudin di hospital.
Aku memandu pulang ke rumah. Sampai di rumah, kelihatan 'aunty Cina' di depan rumahku sedang membuang rumput-rumput liar di kawasan tanah yang kami masing-masing ada seluas 2, 3 kaki di luar pagar.
"Buat apa aunty?", sapaku.
"Ni, buang lumput... sulah lama tak cuci...", balas aunty. Aunty pernah memberi sebiji buah delima hasil tanamannya kepadaku. Aku juga pernah ke rumahnya kerana jamuan perkahwinan anaknya dulu. Masa itu, balu suaminya masih ada. Tetapi perkahwinan anaknya dengan wanita Indonesia itu tidak kekal lama.
"Aunty mahu limau bali?", tanyaku.
"Mana lapat?", tanya aunty pula.
"Saya beli di gerai buah-buahan Taman U", balasku.
"Tak pa lah, lu anak manyak...", balas aunty pula.
"Tak apa aunty, saya beli banyak!", tambahku sambil mengeluarkan buah tembikai, jambu batu, dan limau bali. Aku mengambil sebiji limau bali yang berbalut plastik dan diberikan kepadanya.
"Olang cina buat semayang ni...", sambung aunty.
"Yang ni, aunty tak payah buah semayang tetapi buat makan ok!", sampukku.
Aunty sambil tersengih-sengih mengucapkan terima kasih dan membawa masuk limau ke dalam rumahnya.
Hati kecilku berkata... Bilakah dapat aku mengajak aunty ini kepada agama fitrah? Dulu mendiang suaminya begitu baik dan menghormatiku tetapi telah pergi tanpa sempat aku membawa Islam kepadanya...
Aku masuk ke dalam rumah. Isteri dan anak-anak masih belum pulang dari sekolah...
No comments:
Post a Comment