Majlis Konvokesyen UTM yang ke-47 akan bermula pada 24 September (26 Syawal) dan berakhir pada 26 September 2011 (28 Syawal 1432H). Majlis Konvo ini mengandungi 6 sesi, yang mana setiap hari akan berlangsung 2 sesi.
Saya telah diminta hadir untuk sesi 3, iaitu pada hari Ahad, 25 September 2011, untuk meraikan graduan dari Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah.
Majlis yang gilang gemilang ini sudah pasti menjadi idaman semua pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka. Hari bersejarah dalam kehidupan seseorang mahasiswa akan turut sama diraikan oleh keluarga mereka. Ibubapa sudah pasti bangga dengan kejayaan anak-anak mereka.
Pengalamanku menjadi graduan di peringkat Sarjana Muda dulu di sebuah universiti di Amerika Syarikat, kami hanya diisytiharkan sebagai graduan dalam sebuah stadium 'basketball' sahaja. Tiada perbarisan untuk mengambil 'scroll' dan tiada nama setiap orang dipanggil!
Setelah presiden universiti mengisytiharkan kami telah 'graduated', maka masing-masing melontar 'mortar board' ke udara. Pada masa ini, tiada siapa dari kalangan keluargaku yang hadir untuk meraikannya. Mungkin ada satu atau dua famili yang 'berada' dari Malaysia, yang turut sama meraikan kejayaan anak mereka pada masa itu.
Di peringkat Sarjana, juga di sebuah universiti di Amerika Syarikat keadaannya agak berbeza. Kali ini nama aku dipanggil, dan dekan fakultiku telah menyarungkan selempang kepadaku. Kali ini, aku ditemani isteri untuk meraikan hari konvokesyenku. Yang paling tidak dapat dilupakan ialah aku telah memandu kereta bersama isteri dari Rohnert Park, California ke Manhattan, Kansas hanya bagi tujuan ini.
Konvokesyen di Malaysia boleh dikatakan agak 'grand' berbanding di negara barat. Dan tidak sedikit wang dan masa dibelanjakan untuk ini.
Cuba bayangkan semua 'guest of honour' ditempatkan di hotel 5 bintang, siap dengan pemandu, pegawai pengiring, dan kenderaan masing-masing. Kalau 50 'guests' bermakna, 50 kereta bersama 50 pegawai pengiring yang menjemput dari airport sehinggalah ke bilik hotel.
Malam sebelum konvokesyen pula, semua dif jemputan akan diraikan oleh Naib Canselor dengan makan malam di kediaman rasminya. Ini akan disertai oleh semua dekan-dekan, pengarah-pengarah, dan pengetua-pengetua, serta pegawai-pegawai atasan universiti yang lain.
Kebiasaannya, Canselor turut sama membuat jamuan makan malam di istana pada malam berikutnya. Ini turut sama dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan universiti dan pembesar-pembesar negeri.
Perhiasan di dewan konvokesyen pula sudah tentu menarik dan cantik sekali. Pokok-pokok bunga asli yang berwarna warni menghiasi dan mewarnai pentas. Kemudian kumpulan muzikal juga bersedia dengan lagu-lagu tradisional dan lagu-lagu 'ever green' yang tak kunjung padam dek zaman.
Semua ini merupakan acara dwi-tahunan yang dilakukan oleh pihak universiti bagi meraikan para graduan yang telah tamat pengajian mereka dengan jayanya. Sudah pasti ratusan ribu dibelanjakan bagi tujuan yang gilang gemilang ini...
No comments:
Post a Comment