Thursday, December 31, 2009

Selamat Datang 2010 Dan Selamat Tinggal 2009


Kalau kita perasan, tak ramai yang menyambut Tahun Baru Hijrah tetapi Tahun Baru Masihi begitu global sambutannya. Kita orang Islam sepatutnya meriah menyambut 1431, kalau kita nak sambut la... Sambut dengan menginsafi diri yang umur bertambah setahun lagi... Sambut dengan muhasabah diri berapa banyak kebajikan dan pertolongan yang telah dilakukan pada tahun lepas dan berapa banyak dosa-dosa... Sambut dengan doa semoga hari-hari mendatang bakal meningkatkan amalan dan menghindari maksiat...

Ala mana best kalau nak sambut tahun baru macam tu... Mana ada happening? Baik tak payah sambut... Tak ada count down, tak boleh peluk-peluk awek untuk declare azam baru... Tak ada 'grass' untuk high... Mesti kena Coors ke, atau six packs apa-apa ke. Baru la syok!

Radio IKIM pagi ni, membicarakan hal sambutan tahun baru. Apa agak-agaknya respons yang diperolehi? Sudah pasti 100% menentang acara sambutan yang bakal mencetus seribu satu macam maksiat. Takkan rockers, mat rempit dengar radio IKIM kot...

Antara respons pemanggil radio ialah kalau pihak polis boleh bersedia dengan water canon dan FRU untuk mengawal perhimpunan haram kenapa mereka tidak boleh bertindak sama dalam menyuraikan perhimpunan pesta maksiat ini?

Pada saya, kadang-kadang kita terlupa bahawa kita hidup dalam satu sistem yang mana 'Yang haram itu halal apabila kita sudah membuat penjenamaan baru atau sudah memberi lesen kepadanya' dan sebaliknya pula 'Yang halal adalah haram jika tiada lesen atau permit dikeluarkan kepadanya'. Bukan seperti yang dihuraikan hadis, "Yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata tetapi yang syubhat atau yang ditengah-tengah...."

Saya teringat masa zaman kanak-kanak dulu, ada satu judi yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan, yang dikenali sebagai Loteri Kebajikan Masyarakat. Harga satu tiket, kalau tidak silap saya ialah 50 sen atau RM1. Tujuannya baik iaitu untuk mendapatkan dana bagi membantu masyarakat yang susah tetapi caranya tidak betul.

Contoh bagi yang halal adalah haram pula ialah seperti apa yang berlaku kepada mantan Mufti negeri Perlis, Dr Ustaz Asri. Kalau kita perhalusi, takkanlah seorang yang bertaraf mufti tidak berhak untuk berceramah dimana-mana yang sewajarnya. Ini bukan ceramah politik yang perlukan permit!

Masyarakat keliru dan tiada pedoman jelas... Takkan Program Sambutan Tahun Baru bersama artis yang diluluskan dan dibenarkan oleh pihak kerajaan dan dihadiri oleh menteri-menteri dikatakan tidak elok, mendatangkan gejala sosial. Ahhh...Ini semua kata-kata atau pandangan pembangkang, yang sentiasa menyalahi pihak kerajaan. Apa yang kerajaan buat semuanya salah dan tidak pernah betul!

Pada ketika yang lain pula, ada menteri yang berucap, "Kita harus sedar tahap gejala sosial kita semakin parah, kadar ragut meningkat, kadar buang anak bertambah, kadar penagih dadah bertambah. Maka kita perlu menjadi masyarakat madani, yang sempurna imannya, yang baik budi pekertinya."

Wah.. wah.. Mana mungkin air dicampur dengan minyak? Waduh waduh, pening kepala si. Bisa pening bangat ini!

Sambutan dengan konsert sementara menunggu menjelang pukul 12.01 pagi, 1 Januari 2010 sudah menjadi kebiasaan. Dan yang teramai dalam upacara sebegini, tidak lain dan tidak bukan ialah masyarakat melayu yang mengaku Islam....

Wednesday, December 30, 2009

Antara Kebenaran Dan Kebatilan...


Dari Shuhaib (RA) katanya Rasulullah (SAW) bercerita: "Pada zaman dahulu ada seorang raja mempunyai seorang tukang sihir. Ketika usia tukang sihir itu bertambah lanjut, dia berkata kepada raja, "Aku sudah tua. Kerana itu kirimlah kepada ku seorang pemuda supaya ku ajari dia ilmu sihir."

Maka dikirimlah kepadanya oleh raja seorang pemuda untuk belajar ilmu sihir. Di jalan yang dilalui si pemuda setiap hari hendak pergi belajar sihir ada seorang pendeta. Si pemuda selalu singah ke tempat pendeta tersebut dan menyemak ajaran-ajarannya. Ternyata ajaran pendeta tersebut sangat dikagumi si pemuda.

Apabila dia terlambat sampai ke tempat tukang sihir, dia dipukul oleh tukang sihir. Hal itu diadukannya kepada pendeta. Kata pendeta, "Jika engkau takut dimarahi tukang sihir katakan kepadanya bahawa engkau terlambat kerana halangan keluarga. Dan jika engkau takut dimarahi keluargamu, katakan bahawa engkau terlambat pulang kerana tukang sihir."

Sementara keadaan berjalan demikian rupa, pada suatu hari muncul seekor binatang besar menghambat orang ramai lalu lintas di jalan raya. Kata si pemuda, "Hari ini aku harus tahu, mana yang lebih ampuh ilmu tukang sihir dengan ilmu pendeta."

Maka diambilnya batu lalu dia berdoa, "Wahai Allah! Jika ilmu pendeta yang lebih Engkau sukai dari ilmu tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini supaya orang ramai dapat lalu."

Lalu dilemparnya ke arah binatang itu dan mati seketika itu juga, sehingga orang ramai dapat lalu. Si pemuda datang kepada pendeta menceritakan peristiwa yang baru dialaminya.

Kata pendeta, "Hai anak ku! Mulai hari ini ternyata engkau lebih unggul daripada ku. Engkau telah mencapai sasaran yang ku duga. Tetapi engkau akan mendapat ujian. Jika engkau diuji, janganlah engkau mengatakan bahawa aku gurumu.

Si pemuda sudah pandai mengubati orang bisu, mengubati penyakit kusta, dan mengubati berbagai penyakit orang banyak. Hal itu terdengar oleh seorang Menteri Raja yang buta matanya. Maka didatanginya si pemuda dengan membawa berbagai hadiah yang banyak.

Katanya, "Jika engkau dapat menyembuhkan dari kebutaan, maka hadiah-hadiah ini ku berikan kepada mu." Jawab pemuda, "Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang. Yang menyembuhkan sesungguhnya hanya Allah. Anda mahu beriman kepada Allah, aku akan berdoa semoga Dia berkenan menyembuhkan anda."

Maka berimanlah dia kepada Allah, lalu Allah Ta'ala menyembuhkannya. Kemudian Menteri Raja datang ke majlis raja sebagaimana biasa. Sang Raja bertanya kepadanya, "Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?" Jawab Menteri, "Tuhan ku!"

Titah Raja, "Engkau punya Tuhan selain aku?" Jawab Menteri, "Tuhan ku dan Tuhan anda ialah Allah!" Maka disiksanya Menteri tersebut, sehingga dia terpaksa menunjukkan pemuda yang mengubatinya. Maka digiringlah si pemuda ke hadapan raja.

Titah Raja, "Hai anak ku! Sungguh hebat ilmu sihirmu. Engkau dapat menyembuhkan orang buta, menyembuhkan penderita kusta, dan engkau telah berjasa begini dan begitu." Jawab pemuda "Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun. Sesungguhnya yang menyembuhkan hanya Allah Ta'ala semata-mata."

Maka disiksanyalah si pemuda sehingga dia terpaksa menunjukkan pendeta. Maka digiring pula pendeta ke hadapan raja. Titah Raja, "Keluarlah (murtadlah) dari agamamu." Pendeta menolak perintah raja tersebut. Raja memerintahkan supaya mengambil gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepala pendeta. Lalu dibelah kepalanya sehingga kedua belahannya jatuh.

Kemudian dihadapkan pula Menteri Raja. Maka diperintahkan kepadanya, "Keluarlah (murtadlah) kamu dari agamamu!" Menteri Raja menolak. Maka diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya, lalu dibelah sehingga kepalanya jatuh.

Kemudian dihadapkan si pemuda. Maka diperintahkan pula kepadanya, "Keluarlah kamu dari agamamu!" Tetapi si pemuda menolak lalu dia diserahkan kepada para pengawal raja.

Titah Raja, "Bawa dia ke puncak-puncak gunung. Sampai di sana, jika dia mahu keluar dari agamanya, jangan diapa-apakan. Tetapi jika dia menolak, lemparkan ke jurang yang dalam."

Maka berangkatlah mereka membawa si pemuda ke puncak gunung. Sementara itu si pemuda berdoa, "Wahai Allah, selamatkanlah aku dari kejahatan mereka dengan cara apa saja yang Engkau kehendaki." Maka bergoncanglah (gempa) gunung, sehingga para pengawal raja jatuh semuanya ke jurang.

Dan si pemuda pulang kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Raja bertanya, "Mana para pengawal, apa yang terjadi dengan mereka?" Jawab pemuda, "Allah menyelamatkanku dari kejahatan mereka."

Maka diserahkannya si pemuda kepada para pengawal yang lain dengan titahnya, "Bawa dia dengan perahu ke tengah-tengah lautan. Jika dia mahu keluar dari agamanya, biarkan dia. Tetapi jika dia menolak, lemparkan dia ke laut."

Maka berangkatlah mereka membawa si pemuda. Si Pemuda mendoa, "Wahai Allah! Selamatkanlah aku dari kejahatan mereka dengan cara bagaimanapun Engkau kehendaki." Maka terbaliklah perahu mereka sehingga para pengawal tenggelam semuanya.

Si pemuda pulang kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Tanya Raja, "Ke mana para pengawal, apa yang terjadi?" Jawab pemuda, "Allah melindungi ku dari kejahatan mereka."

Kata pemuda kepada raja, "Anda tidak akan dapat membunuh ku sebelum anda lakukan perintah ku." Tanya Raja, "Apa itu?"

Jawab pemuda, "Kumpulkan seluruh rakyat di suatu lapangan. Lalu salib aku di situ pada sebatang pohon. Kemudian ambil anak panah dari tempat panah ku dan letakkan di busur dengan membaca: Bismillahi rabbil ghulam (Dengan nama Allah, Tuhan Pemuda ini). Sesudah itu panahlah aku. Bila anda lakukan seperti itu maka anda akan berhasil membunuh ku."

Maka dikumpulkannya seluruh rakyat di suatu lapangan. Lalu disalibnya si pemuda pada sebatang pohon. Kemudian diambilnya panah lalu dipasangnya pada busur dengan membaca: Bismillahi rabbil ghulam. Maka dipanahnya si pemuda, kena pelipisnya.

Si pemuda meletakkan tangannya di tempat yang kena panah lalu dia tewas. Maka berkata orang banyak, "Kami beriman dengan Tuhan si pemuda! Kami beriman dengan Tuhan si pemuda! Kami beriman dengan Tuhan si pemuda!" Pernyataan rakyat tersebut dikhabarkan orang kepada raja.

Kata mereka, "Tahukah anda, bahawa apa yang anda takutkan selama ini sungguh telah terjadi. Rakyat telah menyatakan beriman kepada Allah."

Maka diperintahkan oleh raja supaya membuat parit di pintu-pintu jalan utama, lalu dibuat orang parit yang di dalamnya dinyalakan api.

Titah raja, "Siapa tidak keluar dari agamanya, lemparkan dan bakar mereka dalam parit." Maka dilaksanakanlah perintah raja tersebut.

Pada giliran seorang wanita yang sedang menggendong bayi, wanita itu mundur maju akan masuk ke dalam parit. Maka berkata bayinya, "Wahai ibu! Tabahkanlah hati ibu kerana ibu berada dalam kebenaran." Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2519.

Sunday, December 27, 2009

Membantu Ahli Keluarga Terdekat Lebih Aula....


"Adik beradik laki kita, abe lah hok boleh harap.. Hok lain susah nak tolong 'aunt'... Kak Cik tu patut benar dia ditolong kerana jaga 'aunt', perlu banyak kesabaran... Terima kasih banyak-banyak diatas sumbangan abe selalu buat Kak Cik dan 'aunt'... Semoga hidup abe sekeluarga diberkati dunia akhirat..." Itulah sms yang aku terima dari adik perempuanku petang tadi...

Bagiku, kepuasan yang ku perolehi apabila membantu sesiapa jua, baik keluarga terdekat mahupun orang lain. Kepuasan yang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit...

Semasa menjaga asrama kolej UTM dulupun, begitu jua. Kalau tidak masakan aku dapat bertahan selama 11 tahun. Meringankan beban, membantu mengeluarkan dari kemelut masalah, 'sharing problem' adalah menjadi 'second nature to me'.

Dua tiga minggu lepas, aku cuba membantu seorang pelajar yang datang mendapatkan nasihat dariku. Walhal, Penasihat Akademik pelajar tersebut ialah Dekan. Sepatutnya dekanlah berperanan membantu menasihatinya...

Kita hidup di dunia ini mesti ada niat untuk mengembirakan makhluk lain disamping mengembirakan diri kita. Barulah hidup kita tenang, tiada rasa dengki, iri hati kepada orang lain.

Aku dari segi harta tiada apa. Cuma sebidang tanah padi di kampung, pusaka arwah ibu yang tidak sampaipun suku ekar. Rumah teres 2 tingkat yang masih belum habis bayar sehingga pencen, sebuah van berusia 9 tahun dan sebuah Kancil berumur 7 tahun di Skudai. Dan tiada dalam perancanganku untuk mengumpul harta sebelum mati.

Duit gaji yang ku perolehi digunakan sepenuhnya untuk memberi pelajaran kepada 9 orang anak-anakku, membantu adik-beradik yang susah, membantu NGO mengembangkan dakwah dan sedikit simpanan di hari tua.

Kalau ikut hati, ada juga perasaan hendak beli rumah lain kerana 'government loan' masih belum digunakan. Tengoklah, bila tergerak hati nanti...

Ya Allah, Engkau satukan hati-hati kami, adik-beradik kerana Islam. Bantu-membantu sesama kami keranaMu dan mencari redhaMu semata-mata. Engkau hidupkan dan matikanlah kami dijalanMu dengan lafaz Laaila haillallah Muhammadur Rasulullah!

"Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana." (Al-Anfal; 63)

Saturday, December 26, 2009

World's Friendliest Countries - Forbes.com


Rank Country
1 Bahrain
2 Canada
3 Australia
4 Thailand
5 Malaysia
6 South Africa
7 Hong Kong
8 Singapore
9 Spain
10 United States

Methodology

The Expat Explorer survey was commissioned by HSBC Bank International and conducted by the research company FreshMinds. More than 3,100 expatriates were surveyed between February and April 2009.The respondents were asked to rate 23 factors related to their quality of life, including food, entertainment, transportation, health care, finances, education and their ability to make friends. Each criterion is equally weighted to arrive at a score. The overall ranking is based on the average score for a country across the criteria. Eight measures were also selected to comprise the integration score: organizing school for my children; organizing my finances; organizing my health care; finding somewhere to live; making friends; making local friends; setting up utilities; and joining local community groups. The integration score was used to determine the friendliest countries.

Negara kita mendapat tempat ke-5 dalam 'ranking' ini. Kita sepatutnya begitulah melayan tetamu, penuh hospitaliti, penuh santun, dan kemesraan. Itulah yang diajarkan oleh Islam supaya kita menghormati tetamu.

Sekiranya kita dapat mengeksploitasi keadaan ini, ia akan memberi impak yang baik kepada Islam. Mereka akan tertarik dengan agama yang kita anuti. Sebaliknya pula, jika kita kasar melayan tetamu, menipu mereka, mengambil kesempatan ke atas mereka, maka imej agama kita dan negara pasti tercalar.

Kadang-kadang kita fikir, hanya kita seorang yang berkelakuan kurang baik terhadap mereka tetapi sebenarnya, jika 9 yang baik dan 1 yang tidak baik, yang 1 itu lebih mempengaruhi... Sebab itu kita ada pepatah, "Kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit", "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".

"Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti." (Qaf; 13)

Betul Juga Kata Kunta Kinte....


Dalam akhbar Berita Harian sehari dua lepas, Kunta Kinte mengulas tentang kehilangan 2 enjin jet F-5E dari simpanan tentera udara. Tajuk artikelnya ialah "Aset, rahsia tentera perlu dipertahan daripada penderhaka khianat". Bagus artikelnya....

Betullah kalau enjin yang sebegitu besar boleh lolos ke luar negara, apatah lagi rahsia kerajaan, rahsia peperangan, dan sebagainya. Kunta Kinte menyarankan supaya mereka yang terlibat sepatutnya mengaku bersalah.

Pihak yang terlibat bukan sedikit. Bukan senang barang hendak dikeluarkan dari Kem Tentera. Banyak borang yang perlu diisi dan banyak tandatangan kelulusan pegawai yang perlu diperolehi. Lebih-lebih lagi barangan yang begitu bernilai!

Kunta Kinte juga menyarankan supaya mereka yang terlibat melepaskan tugasnya, baik dia askar, baik dia polis, baik dia peguam, baik dia ahli politik. Kata orang sebagai menunjukkan kebertanggungjawaban!

Tetapi Kunta Kinte ada juga menyebut bahawa orang kita kebiasaannya akan berpegang kepada jawatannya sampai mati walaupun banyak penyelewengan yang dilakukan olehnya atau orang bawahannya. Tidak seperti negara maju, jika anak buahnya melakukan kesalahan besar dan menyebabkan kerosakan kepada harta negara maka dia sebagai ketua bertindak untuk meletakkan jawatan.

Saya merasa sedih kerana harta negara dicuri dari setiap penjuru. Pernah staf makmal menanyakan kepada saya, "En. Wan agak berapa harga sebuah kerusi pelajar yang berkembar di bilik kuliah ini?". Kerusi pelajar tersebut dikatakan sama dengan kerusi F-1 di Sepang. Saya menjawab, "Paling tinggi RM50 sebuah. Kalau kembar 4, harganya RM200". Staf saya ketawa, dan sambil menggeleng kepala dia menjawab, "RM2,000 satu. Kalau kembar 4, maknanya RM8,000". Cuba bayangkan berapa puluh biji kerusi ada dalam bilik kuliah dan berapa kos kerusi sahaja?

Saya berkata kepadanya, andai kata duit itu adalah dari poketnya sendiri, adalah mustahil, pentadbir fakulti akan membelinya. Bukan 2 kali fikir malah sejuta kali fikirpun, dia tidak akan membelinya....

Padanlah kita lihat pelbagai harga barangan, pen, komputer yang tidak masuk akal telah dijumpai oleh pihak audit yang melakukan pemeriksaan di sesetengah pejabat kerajaan.

Harta negara bukan lagi hendak kita tambah dan jagainya supaya tidak hilang tetapi masing-masing memikirkan projek baru supaya ada bahagian untuk diselewengkan ke dalam tembolok masing-masing.....

Katakanlah (Muhammad), "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam... (Al-An'am; 162).

Thursday, December 24, 2009

Tiada Yang Lebih Membanggakan Kedua Ibubapa...


Menunggu keputusan peperiksaan besar sentiasa menjadi debaran kepada ibubapa. Tiada yang lebih membanggakan kedua ibubapa selain melihat anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Di negara kita, UPSR, PMR, SPM dan STPMlah yang menjadi kayu pengukurnya.

Pagi tadi, jam 11 pagi, ibubapa dan pelajar-pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Islam Hidayah menunggu keputusan PMR yang akan diumumkan di dewan besar SMIH, Dewan Qadisiyyah. Masing-masing nampak gelisah, baik pelajar mahupun ibubapa.

Lebih kurang 11.15 pagi, Penolong Kanan Ustazah Hajjah Norimah dan Pengetua Ustazah Hajjah Kamaliahpun membentangkan keputusan dan membuat penganalisaan. Selalunya pihak Jabatan Pendidikan menyediakan keputusan dalam bentuk disket tetapi pagi tadi ianya tidak disediakan. Jadi pihak sekolah terpaksa membuat perkiraan sendiri. Itu yang menyebabkan keputusan agak lewat diumumkan.

Bilangan yang mendapat 9A ialah seramai 18 orang; 8A - 21 orang; 7A - 11 orang; 6A juga 11 orang dan 5A ialah seramai 9 orang pelajar.

Mereka yang mendapat 9A agak berkurangan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Keseluruhannya, purata setiap matapelajaran adalah 1 'point' lebih kecuali matapelajaran Bahasa Arab Komunikasi yang agak tinggi kerana agak ramai yang gagal.

Alhamdulillah, abang (Wan Abdul Rahman) adalah salah seorang yang mendapat 9A. Petang besok, abang dan achik (Wan Ahmad Luqman) akan pulang ke rumah setelah menghadiri Kem Tahfiz selama 2 minggu. Sudah pasti mereka begitu merindui masakan ibunya.

Esok juga adalah hari lahir Wan Abdullah Syakir yang ke 5.

Kepada yang berjaya dengan cemerlang, saya mengucapkan tahniah dan siapa yang kurang berjaya, teruskan usaha kerana SPM adalah jauh lebih penting dari PMR....

Jangan lupa pada hari Selasa (29 Disember) nanti, temuduga saringan untuk ke Tingkatan 4 akan dibuat di sekolah pada jam 9 pagi. Selamat Maju Jaya....

Tuesday, December 22, 2009

Sehari Dua Tanpa Isteri...


Isteri mendapat panggilan telefon mengatakan neneknya sakit tenat. Akupun menelefon syarikat 'travel agent' supaya dia dapat balik segera.

"Ada satu tiket MAS dari Senai 6.40pm dan 'connecting flight' ke KB, jam 10.30pm dan dijangka tiba 11.30pm", jawab pegawai syarikat penerbangan tersebut. "Tapi tiket ini encik kena beli kat airport kerana dah dekat masa berlepas", tambahnya lagi.

"Tapi saya nak dua 'seat' kerana ada 'baby' berumur 1 tahun 2 bulan", balasku. "Besok punya pukul berapa ada yang paling awal?", tanyaku lagi.

"Esok dari Senai pukul 8 lebih dan dari KLIA 10 lebih. Masalahnya yang dari KL ke KB hanya tinggal 1 'seat' saja lagi", jawabnya. "Air Asia dan Firefly ada?", tanyaku. "Ada, tapi semuanya sampai lebih lewat, 3 lebih dan 5 lebih petang", balasnya.

"Tak apa, encik boleh beri nama isteri dan nama anak dan tarikh lahirnya, saya akan cuba 'booked' MAS yang pagi esok. Walaupun, tinggal satu, mungkin anak encik tak perlu 'seat'", pelawa pegawai tersebut.

"Ok, isteri saya Asmawati bt Shaari dan anak Wan Asmaa Solehah bt Wan Ibrisam Fikry, tarikh lahir 24 Oktober 2008", jawabku.

"Ops, dah penuh pula encik, kedua-duanya, yang malam ni dan yang esok pagi", sambungnya. "Ok pukul berapa 'you' tutup, saya akan bincang dengan isteri?", balasku. "5 suku", jawab pegawai tersebut. Jam sudah menunjukkan pukul 5.10 petang.

Aku menelefon Hj Ahmadon, yang sebelum ini memesan untuk mengambil dua orang anaknya dari Kem I Love Islam kerana katanya dia tak sempat sampai jam 5 petang.

"Kat mana dah sekarang?", tanyaku. "Ni, kat Sri Putri, nak beli tiket bas Muhammad balik KL", balas Hj Ahmadon. "Cantiklah tu Don, belikan ana 2 tiket ke KB malam ni. Zaujah ana, Syakir dan Asmaa terpaksa balik Kelantan. Neneknya sakit tenat", balasku.

Malam tadi, aku menghantar isteri dan dua anak menaiki bas Syarikat KKKL ke Kota Bharu dari Perhentian Sri Putri. Bas bertolak lebih kurang jam 9 malam.

Dalam perjalanan balik, terdengar esakan Sakinah di sebelahku, Syakir dan 'Ammar nampak ok aje. Terpaksalah aku gula-gulakannya dengan 'twiglet' dan 'strawberry dutch lady'.

Anak-anak bertanya, "Berapa lama ummi balik Kelantan, bah?". "Biarlah berapa lamapun, 2 hari ke, 2 minggu ke, 2 bulan ke atau 2 tahun ke", saja aku mengusik mereka. "Abah, ummi kata 2 hari aje", jawab Rasyid.

Sampai di rumah, aku terpaksa memasang 'accessories' kepada pakaian no 2, 'bush jacket' kerana esok pagi Panglima Latihan hendak melawat PALAPES.

Selalunya, isteriku yang lebih arif, 'name tag' sebelah mana, butang dan pangkat tersimpan kat mana dan sebagainya. Seluar yang baru sekali pakai semasa pemakaian pangkat Mejar tempohari pula buat hal, terkoyak di punggung.

"Lepas makan, gosok gigi, solat Isya' dan tidur kerana esok nak bangun pagi pergi Kem I Love Islam", arahku kepada anak-anak. Rasyid tidur dengan 'Ammar manakala aku tidur dengan Sakinah.

Abang dan Achik masih di SMIH dengan Kem Tahfiz mereka. Kak Ngah ke KL menghadiri Perkhemahan Internasional MUSLEH (PRINT) di Ulu Yam.

Jam 9 pagi tadi, 22 Disember 2009, Brig Jen Dato' Hj Md Azman bin Hj Rosli, Pemangku Panglima Latihan Tentera Darat telah membuat pemeriksaan tadbir tahunan di PALAPES UTM.

Monday, December 21, 2009

The Road Not Taken

'Poem' yang aku baca semasa mengambil kelas 'American Literature' lebih kurang 24 tahun yang lampau, di University of Southwestern Louisiana. Tak tahu kenapa tetapi puisi yang ditulis oleh Robert Frost ini masih terlekat di memoriku. Puisi ini sebenarnya dicetak sekitar tahun 1915.

Di semua universiti di Amerika Syarikat, rata-rata pelajar diwajibkan mengambil matapelajaran Kesusasteraan Amerika 1 dan Kesusasteraan Amerika 2. Tidak kira sama ada mereka adalah pelajar tempatan ataupun luar negara. Puisi Robert Frost adalah seperti berikut;


The Road Not Taken

Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveller, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;

Then took the other, as just as fair,
And having perhaps the better claim,
Because it was grassy and wanted wear;
Though as for that the passing there
Had worn them really about the same,

And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black.
Oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way,
I doubted if I should ever come back.

I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I--
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference

...Robert Frost

And I would like to dedicate this poem to my eldest daughter in Egypt. May Allah bless you!

Sunday, December 20, 2009

Cuti Sekolah Musim Mengadakan Walimah....


Beberapa hujung minggu ini, begitu banyak sekali jemputan kenduri walimah. Ada sampai 3 atau 4 tempat sehari....

Alhamdulillah, nampak gayanya trend anak muda mendirikan rumah tangga begitu memberangsangkan. Elok juga kerana dapat menjauhi dari perkara-perkara mungkar.

Sesetengah anak muda yang sudah berkerjaya, ada yang melewatkan perkahwinan kerana ingin puas hidup membujang dahulu. Apa maksudnya, sayapun kurang tahu.... Harap-harapnya bukanlah dia bermaksud ingin merosakkan anak-anak dara orang seramai yang mungkin sebelum berkahwin dengan yang satu.

"Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman." (Surah An-Nur; 3)

Hari ini, anak sulong kawan saya PM Dr Ismail, yang juga merupakan penyelia pengajian PhD saya mendirikan rumah tangga. Anaknya adalah seorang peguam dan berkahwin dengan seorang peguam juga dan merupakan anak kepada Naib Canselor UTHM. Kawan saya seorang lagi PM Dr Ab Latiff juga mengahwinkan anaknya hari ini.

Semalam berlangsung perkahwinan anak sahabat saya Sakinah bt Norkhair dengan Hafizul Amin bin Ajmain. Dalam suasana hujan renyai-renyai, begitu ramai sekali yang datang sehinggalah berakhir majlis jam 5 petang.

Semoga mereka semua bahagia hingga ke anak cucu....

Saturday, December 19, 2009

Perlu Nampak Berlaku Adil...


Setengah orang kata apalah sangat semangat kenegerian? Tidak ada apa-apa kebaikan dari segi agama... bahkan boleh menimbulkan perasaan keakuan yang tinggi jika tidak dikawal dengan baik.

Saya sangat bersetuju dengan kata-kata tersebut. Cuma kadang-kadang, sesetengah orang mereka merasa lebih selesa boleh bercakap dalam dialek yang sama. Boleh buat 'joke' yang mungkin difahami hanya dari rumpun bahasa dan budaya yang sama. Boleh makan dari jenis makanan yang sama dan sebagainya. Tiada salahnya ini selagi kita tidak mengasingkan kelompok kita dengan kelompok mereka secara total.

Masyarakat Kelantan memang kebiasaannya akan mudah mesra apabila berjumpa sesama mereka di luar negeri Kelantan. Teringat saya semasa di Azusa, California, sekitar tahun 1982 dimana JPA menghantar kami seramai 25 orang untuk mempelajari Bahasa Inggeris dan seterusnya meneruskan pelajaran dalam bidang masing-masing. Suatu hari, saya mendapat panggilan telefon dari seorang dari kami. "Dahlah, hanya kita berdua saja dari Kelantan, Non demampun Wan tak datang tengok", Zainon meraih simpati.

Kata-katanya itu membuat aku serba salah. Semasa aku di Teknik Terengganu, memang jarang sekali aku bercakap dengan pelajar perempuan kecuali mereka yang datang bertanya masalah pelajaran. Aku dan isteri yang sekelas di Teknik Terengganu selama 2 tahunpun, rasanya tak pernah sekali aku bercakap dengannya sepanjang pengajian di sana!

Masyarakat Kelantan bagi saya, mereka mempunyai kelebihan dari semua aspek. Dari aspek keagamaan, mereka terkedepan. Ramai lahirnya ulama-ulama tersohor dari Kelantan sehingga mendapat jolokan 'Serambi Mekah'. Mereka yang berjaya dalam pekerjaan dan menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan juga ramai. Tidak kurang juga mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Sebaliknya pula, mereka yang jahat dan samsengpun juga ramai dari Kelantan. Dengan kata lain, Kelantan mempunyai kelebihan (kekurangan) dari 'both ends'. Satu 'extreme' baik dan satu lagi 'extreme' jahat.

Insiden semasa perlawanan bolasepak antara Kelantan dan Negeri Sembilan tempohari adalah perbuatan jahat segelintir rakyat Kelantan yang sewajarnya diambil tindakan.

Tetapi royalti minyak yang terpahat di Akta Petroleum 1974 wajar diberikan kepada mereka dan tak perlu kita ubah jenama wang itu sebagai wang ehsan dan sebagainya. Orang kata manusia berpegang kepada janji dan itulah yang kita ajar kepada anak-anak kita sejak mereka ke Tadika lagi.

Kita ajar anak-anak kita juga, jangan ambil hak orang. Pulangkan barangan kepada ampunya diri dan bukannya kepada orang lain.

Kalau inipun kita masih tidak boleh ikut, apatah lagi perjanjian yang lebih besar. Kita akan dilihat sebagai orang yang hanya pandai bercakap... perlu jujur, amanah, bertanggungjawab, tetapi apabila kita melaksanakan lain pula jadinya. Jangan kita mengajar kepada generasi bawahan kita, 'It's ok to bend the rule as long as it benefits us'.

Friday, December 18, 2009

Bulan Muharram


Dari Abu Hurairah (RA), katanya Rasulullah (SAW) bersabda: "Seutama-utama puasa sesudah puasa Ramadhan ialah puasa bulan Muharram, dan seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam." Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1133.

Dari 'Abdullah bin 'Abbas (RA), dia menceritakan bahawa ketika Rasulullah (SAW) berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya berpuasa, para sahabat berkata, "Hari ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani." Lalu Rasulullah (SAW) bersabda: "Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insya Allah kita berpuasa pada tanggal sembilan Muharram." Kata 'Abdullah selanjutnya, "Ternyata tahun depan itu, beliau sudah wafat." Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1103.

Hari ini bermula tahun baru Hijrah 1431. Bulan Muharram adalah sangat digalakkan kita berpuasa seperti maksud hadis di atas. Kita cuba memperbanyakkan berpuasa. Jika tidak mampu, kita cuba berpuasa sekurang-kurangnya pada setiap hari Isnin dan Khamis. Dan sekiranya masih tidak mampu, kita cuba berpuasa 3 hari sebulan.

Inilah sunnah yang perlu kita praktikkan... Banyak perkara sunnah, tunjuk ajar Rasulullah (SAW) yang menjadi idola kita tetapi kadang-kadang kita tidak mampu melaksanakannya, baik kerana suasana kerja mahupun tabiat atau perangai kita yang suka mendengar cerita sahaja tetapi apabila tiba kepada peringkat perlaksanaan, kita menjadi malas dan kurang bersemangat.

Begitu juga dengan solat malam (tahajjud)...

Kita tahu betapa besarnya pahala dan kita tahu Rasulullah sehingga bengkak kakinya berdiri untuk mengerjakan solat malam. Sehingga Aisyah (RA) sendiri bertanya kepada beliau kenapa beliau begitu tekun dan bersusah payah melaksanakannya sedangkan beliau adalah maksum dan sudah dijamin syurga. Beliau menjawab, "Apakah salah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur dan taat kepadaNya?".

Kita yang bergelumang dengan dosa dan tiada jaminan pengakhiran kita sebagai ahli syurga begitu alpa dan segan untuk mempraktikkannya....

Ayuh, bermula di tahun baru hijrah ini kita tanamkan azam untuk cuba melakukan segala perkara sunnah disamping perkara wajib yang semestinya kita tunaikan. Mudah-mudahan kita beroleh syafaat dari baginda apabila kita sudah tiada nanti!

Wednesday, December 16, 2009

Pesanan Seorang Sheikh Kepada Anak Buahnya


".. setiap kita perlu membina seerah hidup kita. Kita membaca seerah Nabi (saw), para sahabah dan salafus soleh. Tetapi apakah yang generasi seterusnya baca mengenai kita? Apakah seerah hidup setiap individu kita? Apakah 'legacy'/warisan kita yang kita tinggalkan untuk mereka?..." Begitulah pesanan seorang syeikh kepada anak-anak buahnya pada suatu hari...

Saya juga selalu menulis kata-kata Pericles yang berbunyi, "What you leave behind is not what is engraved in stone monuments, but what is woven into the lives of others".

"Apa yang kita tinggalkan bukanlah apa yang yang terpahat di batu bata bangunan tetapi apa yang menjadi petunjuk, amal bakti, penerusan ilmu yang menjadi darah daging, amalan dan ikutan penduduk masa kini dan akan datang".

Kalau kita tidak mampu menjadi seperti Syeikh Assyahid Hassan Al-Banna, yang mana dakwah dan fikrahnya melata ke seluruh sudut dunia, maka kalaulah usaha kita tadi menjadi ikutan atau panduan di peringkat negara Malaysiapun sudah mencukupi.

Kalau masih tidak mampu, mungkin di peringkat wilayah atau 'regional'. Dan kalau masih tidak mampu, mungkin kita melakar seerah di peringkat kawasan taman perumahan kita, dan yang terakhir, setidak-tidaknya kita melakar seerah di peringkat keluarga.

Setidak-tidaknya, anak isteri kita merasakan bahawa ayahnya atau suaminya pernah berusaha memartabatkan dan mempraktikkan Islam dan cuba menyebarkannya di kalangan keluarga dan di sekitar taman perumahannya....

Usaha ke arah melakar seerah seumpama para sahabat dan para salafus soleh bukanlah kerja yang senang dan perkara main-main. Apatah lagi sekiranya, kita juga bermentaliti seperti orang kebanyakan - dapat kerja, kahwin, kumpul duit, pencen dan beramal ibadah, seterusnya menunggu saat kematian. Perasaan sayangkan dunia begitu menyerap di jiwa dan takutkan kematian begitu ketara (Hubbud dunya wa kara hiyatul maut).

Masyarakat umum hanya memikirkan untuk mencari harta dan meninggalkan harta kepada anak cucu mereka. Ada seorang saudara saya, yang telah mengagihkan tanah dan harta kepada setiap anaknya.

Dan sekarang ini, dia menabung untuk seorang cucu dari setiap keluarga anaknya. Maksudnya, jika dia mempunyai 8 orang anak dan mereka semua berkahwin, setiap keluarga anaknya itu akan dipilih hanya seorang oleh datuknya untuk memasukkan duit setiap bulan sehingga datuknya meninggal dunia....

Kita perlu mempelajari ilmu sebanyak yang mungkin dan menyebarkannya, seterusnya beriman dengan seteguh-teguhnya dan beramal melebihi orang lain maka barulah lakaran seerah kita menjadi idola orang lain atau generasi yang akan datang.

Kita perlu mengajak manusia mengenali Islam atau kepada yang telah Islam, kita menyarankan mereka untuk menghayati dan mengamalkannya.

Islam bukan setakat solat, puasa, zakat, tunai haji aje tetapi ianya menyeluruh, mencakupi kesemua 'walk of life'.

Dan sebaliknya pula, na'uzubillahu minzaalik!, kalau sejarah kita dilakarkan dalam suasana yang negatif, dan dikenali umum sebagai peruntuh atau pengkhianat agama, seperti Kamal Atatuk di Turki. Betapa ruginya diri kita dan betapa malunya anak cucu kita nanti....

Monday, December 14, 2009

Tinta Pena...


"Dah lima kali cucuk kad hari ni, tuan! Tapi duit tak masuk-masuk juga", jelas kadet apabila aku menghampiri ATM Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pegawai kadet junior ini agak peramah dan dia menyatakan kekesalannya kerana elaun latihan Kem Tahunan PALAPES masih belum masuk seperti dijanjikan Koperal gaji.

"Staf kata hari Jumaat, masuk. Ni dah hari Sabtu, nak makanpun tak ada duit!", tambahnya lagi.

"Betul ke tak ada duit? Kalau tidak, pinjam duit saya dulu", pelawaku kepadanya sebagai Ketua Peringkat Junior.

"Taklah tuan, saja aje... Duit masih ada", balasnya pula.

Hari Ahad, aku 'check' lagi di ATM BSN, lepas Subuh, lepas Zohor dan lepas Isyak, masih tiada...

Pagi tadi, selepas solat Subuh di Masjid Sultan Ismail UTM, aku pergi 'check' sekali lagi. Alhamdulillah, elaun sudah masuk...

Aku merasa gembira dan rasanya kadet-kadetpun pasti tersangat gembira. Susah payah, penat lelah mereka berlatih di hutan berbayar juga akhirnya...

Jam 7.25 pagi, Ma membawa Kak Ngah untuk menghadapi peperiksaan SPMnya (subjek kedua 'last') ke SMIH. Subjek 'last' ialah pada hari Rabu ini.

Ikut sama ialah Sakinah, Rasyid, dan 'Ammar untuk membeli buku-buku sekolah mereka untuk tahun depan di SRIH. Syakir dan Asmaa juga pergi ke sekolah menemani abang-abang dan kakak-kakak mereka.

Mereka pulang ke rumah hampir tengahari...

Sunday, December 13, 2009

Kem Tahfiz SMIH Bermula...


Pagi tadi sebelum pukul 8, aku bersama Syakir menghantar Abang dan Acik ke Kem Tahfiz SMIH. Apabila sampai di sekolah, kelihatan sudah ramai beratur untuk mendaftar.

Di atas meja pendaftaran, kelihatan berkotak-kotak Al-Quran yang didermakan oleh dermawan untuk diagihkan secara percuma kepada peserta. Penderma wang tunai juga agak ramai. Ustazah Shahidah memaklumkan, yuran penyertaan akan dikurangkan mengikut jumlah derma yang diperolehi.

Buat masa ini, yuran yang perlu dibayar ialah RM120 seorang bagi program yang berjalan sehingga 25 Disember. Ini termasuk makan dan minum.

Alhamdulillah, masyarakat begitu bermurah hati untuk menghulurkan derma bagi menghasilkan para hafiz dan hafizah di sekolah kita.

Ya Allah, bukalah pintu hati mereka para peserta Kem Tahfiz untuk mengingati ayat-ayatMu. Permudahkan hafazan mereka dan perkuatkan ingatan mereka, ya Allah. Sesungguhnya merekalah pewaris perjuangan kami. KepadaMulah daku sembah dan kepadaMu jualah daku meminta pertolongan. Ya Allah, perkenanlah permohonan daku....

Friday, December 11, 2009

Cuba Hidup Secara Sederhana....


"Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar" (Al-Anfal; 28).

Di rumahku ada dua sofa panjang; satu pemberian PM Dzurllkanian Daud dan satu lagi pemberian PM Dr Tholuddin Md. Lazim, yang tuan punya asalnya ialah PM Dr Mohamed Wijayanuddin Ali yang dibawa balik dari UK. Satu lagi sofa yang boleh 'convert' jadi katil adalah pemberian Hj Ahmadon Bakri.

Disamping sofa, Hj Ahmadon juga memberi sebuah kerusi 'executive' untuk dibuat belajar. Hj Shaharuddin Mohd. Said pula menyumbang katil dan tilam, menambah koleksi perabot rumahku. Dr. Jamaluddin Md. Sheriff juga tidak ketinggalan menyumbang rak-rak buku dan meja komputer.

Alhamdulillah hari ini aku menambah lagi perabot di rumahku dengan 7 biji sofa kotak berwarna biru, 6 biji kerusi berpusing, satu meja teh (tea table) dan satu rak almari besi untuk meletakkan buku.

Dimana aku membelinya? Aku membeli barangan tersebut dari pihak Bendahari UTM yang melupuskan perabot tersebut dari Pusat Sumber Jabatan Pentadbiran Tanah.

7 biji sofa ku beli dengan harga RM15 setiap satu. 6 biji kerusi dengan harga RM10 setiap satu. Satu meja teh berharga RM15 dan satu rak almari besi berharga RM20. Kesemuanya berjumlah RM200. Murahkan? Dan aku upah lori untuk menghantar barangan tersebut ke rumah sebanyak RM15.

Sekarang ini, pengunjung ke rumahku sudah mempunyai kerusi yang mencukupi untuk diduduki berbanding sebelumnya. Dulu ada yang dapat duduk di kerusi dan ada yang duduk di lantai.

Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu kerana memberi peluang untuk aku membeli barangan lupus tersebut. Hendak ku beli sofa set yang cantik dan mahal harganya, terasa rugi pulak kerana keseronokan dan keselesaan itu akan dirasakan sementara sahaja. Lebih baik aku belanjakan wang yang ada untuk pembelajaran anak-anak atau mendermakannya kepada NGO.

Pada awal minggu ini, isteriku telah mendaftarkan Syakir di Tadika Iman. Habis RM811.50.... Minggu depan pembelian buku anak-anak sekolah pula, 3 di Sek. Ren. Islam Hidayah dan 2 di Sek. Men. Islam Hidayah.

Hari Selasa minggu ini juga sudah hantar 'Ammar, Rasyid dan Sakinah ke Kem I love Islam. Pendaftaran RM60 untuk setiap orang bagi program 3 hari. Hujung bulan nanti sambungan Kem I Love Islam, RM80 setiap orang pula.

Minggu depan, Abdul Rahman dan Ahmad Luqman akan menghadiri Kem Tahfiz pula. Beberapa ratus ringgit lagi... Hujung bulan nanti pendaftaran sekolah pula. Untuk 3 orang sekolah rendah dan 2 orang sekolah menengah, terpaksa keluar beberapa ribu ringgit pula...

Walau bagaimanapun, aku teringat kata-kata sahabatku. Duit ni macam janggut aje, habis licin dicukur, tumbuh lagi. Kemudian dicukur lagi, tumbuh lagi dan begitulah seterusnya....

Monday, December 7, 2009

Imam Disarankan Melambatkan Rakaat Pertama


Imam disunatkan untuk melambatkan rakaat pertama apabila dirasanya ada orang yang baru masuk, dengan maksud menunggunya agar dapat mengikuti jamaah bersama.

Demikian pula disunatkan menantikan seseorang yang dirasa akan mengikuti jamaah diwaktu ia sedang rukuk atau sedang tahiyyat yang akhir. Ini berdasarkan hadis Abu Qatadah bahawa Rasulullah (SAW) juga memanjangkan rakaat pertamanya.

Diriwayatkan dari Abu Said: "Bahawa pada suatu ketika telah dibacakan iqamah untuk solat, lalu ada seseorang yang pergi ke Baqi' untuk membuang air besar dan berwudhu', kemudian kembali. Didapatinya Rasulullah (SAW) masih melakukan rakaat pertama, kerana memang beliau sengaja melambatkannya." (Riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Majah dan Nasa'i).

Sunday, December 6, 2009

Jauh Perjalanan Luas Pandangan Lapang Pemikiran


Hari Jumaat (4 Disember), jam 1430, aku bersama PM Dr Ismail Omar dan 49 staf Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bertolak ke Pulau Batam, Indonesia. Kami menaiki feri dari Stulang Laut. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit.

Tambang feri pergi balik dari Stulang Laut ke Batam berharga RM110 plus RM10 cukai. Jadi jumlahnya RM120. Untuk mendapat diskaun bagi kumpulan, kita perlu membuat surat kepada Pengurus Feri The Zon dan kita akan dikenakan RM109 termasuk cukai seorang. Jimatkan... Seorang diberi diskaun RM11. Kalau 51 orang, dah dapat diskaun RM561!

Apabila tiba di Pengkalan Feri Batam, kami beratur untuk melepasi pemeriksaan Imigresen Indonesia. Dalam rombongan kami, ada yang mempunyai passport antarabangsa (18 orang) dan ada yang mempunyai passport berkumpulan (33 orang). Mereka yang mempunyai passport antarabangsa tiada menghadapi apa-apa masalah. Mereka yang mempunyai passport berkumpulan ditahan dan tidak dibenarkan memasuki Batam.

Subhanallah!!!

"Siapa ketua rombongan ini?", tanya salah seorang pegawai di kaunter. Helmi, pegawai penilaian MPKB menuding jari ke arahku. "Kemari, jumpa boss kami di dalam kantor", arah pegawai tersebut dengan suara tegas.

Aku memang dilatih sebagai seorang anggota tentera tiada rasa ketakutan yang ketara, mengikuti pegawai tersebut ke pejabat. Di dalamnya terdapat seorang yang berbaju biasa dan di kelilingi beberapa orang yang beruniform sedia menungguku.

Sambil menepuk-nepuk passport berkumpulan yang berada di tangannya, dia mula meninggikan suara sambil berkata, "Kenapa rakyat kami yang ingin ke Malaysia menggunakan passport berkumpulan tidak dibenarkan masuk?" "Beritahu pemerintah bapak jangan menyekat rakyat kami, jika rakyat Malaysia tidak mahu disekat", tambahnya lagi.

Aku tahu jika aku berkeras dengannya, 33 staf MPKB terpaksa pulang ke Johor pada hari ini juga. Lantas, psikologiku berperanan. "Baik pak, saya akan menyampaikan maksud bapak!", balasku. "Bapak kerja apa?", tanyanya lagi. "Dosen pak", jawabku.

"Bapak orang yang berpelajaran, sampaikan apa yang saya katakan tadi kepada pemerintah Malaysia", sambungnya lagi. "Apa tujuan bapak sekumpulan ke mari?", tanyanya lagi.

"Kami ingin berurusan dengan Wali Kota Batam", jawabku sambil menyeluk kocek dan mengeluarkan 'business card' salah seorang pegawai di pejabat Wali Kota Batam. "Kalau bapak tidak percaya, bapak boleh menelefon bapak Ardy itu", balasku lagi.

Aku mendapatkan kad tersebut semasa membuat 'recce' ke Batam 3 hari yang lalu. Allah memang ingin membantuku. Seandainya kad tersebut tiada, aku tiada bukti kukuh untuk beralasan dengannya dan sudah pasti aku akan terus diganyangnya.

"Baiklah kali ini saya benarkan!", tegasnya. "Tetapi jangan lupa untuk menyampaikan pesanan saya", sambungnya lagi. "Baik bapak", balasku. Walaupun aku tahu, aku tidak mampu untuk berbuat begitu dan ianya bukan tugasku...

Setelah kami keluar dari jeti, semua staf MPKB bertanya bagaimana aku menyelesaikan masalah tadi. Ada yang bertanya sama ada aku menghulurkan rasuah. Aku hanya menjawab, "'Enjoy' sajalah, kita ke sinipun untuk makan angin". Aku tidak mahu membuat mereka risau dan merasa tidak selamat...

Kami menaiki bas pelancong yang telah aku dan Dr Ismail uruskan sebelumnya. Kami dibawa melawat ke Jambatan BARELANG, yang menghubungkan 7 buah pulau. Jambatan ini, mengikut pemandu pelancong kami adalah cetusan idea Pak Habibie, yang kini menetap di Jerman.

Apa yang menarik, jambatan BARELANG diberi nama mengikut singkatan nama pulau-pulau yang disambungkan, iaitu Pulau Batam (BA), Pulau Rempang (RE) dan Pulau Galang (LANG).

Pada malamnya, kami dijamu oleh Wali Kota Batam di sebuah restoren terbesar di Pulau Batam. Restoren ini menghidangkan masakan 'seafood' dan boleh memuatkan 3,500 pengunjung pada satu-satu masa.

Wali Kota adalah nama yang diguna pakai untuk 'mayor' atau 'Datuk Bandar' di Indonesia. Bersama-sama kami ialah Yang Dipertua atau 'Wali Kota' MPKB iaitu Tuan Haji Ahmad bin Mahmood bersama isterinya.

4 orang staf dari pejabat Wali Kota Batam telah menyambungkan pelajarannya di UTM. Salah seorang yang aku temui ialah saudara Isa yang pernah menginap di Kolej 14/15 (Kolej Tun Ghaffar Baba). Saudara Isa telah tamat pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang 'Information Technology' (IT).

Rombongan dari pejabat Wali Kota Batam juga pernah berkunjung ke Kelantan dan berjumpa dengan YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz b. Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.

Keesokannya, kami dibawa melawat ke tempat pertunjukan 'Kuda Lumping' atau dalam Bahasa Melayu, Kuda Kepang. Aku agak keberatan untuk menyaksikan pertunjukan ini, apatah lagi mufti Johor telah mengharamkan permainan kuda kepang di negeri Johor. Dalam persembahan tersebut, ada yang makan bara api dan ada yang makan kaca. Aku pasti ada jin yang beraksi...

Seterusnya, kami ke kedai keropok, kilang pakaian berjenama POLO, dan kilang kek lapis yang menjadi kegilaan masyarakat Singapura.

Kemudian kami ke Restoren Nasi Padang Pak Datuk untuk makan tengahari dan mengerjakan solat jamak qasar di Masjid Besar Batam. Selesai solat, kami ke Mega Mall untuk membeli belah.

Barang-barang di Pulau Batam secara keseluruhannya boleh dikatakan mahal. Ini adalah kerana ramainya pengunjung dari Singapura yang datang membeli belah di sini. Kek Lapis, berukuran 20sm X 20sm dan seberat 1kg dijual dengan harga 200,000 rupiah, bersamaan RM74 (RM1 = 2,700rph).

Pada sebelah malamnya, kami ke restoren yang menyediakan masakan Jawa. Berbanding dengan masakan padang, tekakku lebih payah menelannya dan masakan padang bersama Jus Avocado adalah sungguh menyelerakan...

Pagi tadi, sekitar jam 9.30 pagi waktu Batam (10.30 pagi waktu Malaysia) kami bertolak balik ke Johor Bahru. Sayugia diingatkan, walaupun kita telah membeli tiket 'round trip', kita perlu lagi membayar cukai di terminal feri Batam sebanyak 105,000 rupiah setiap orang sebelum berangkat pulang.

Tiada apa yang aku belikan kecuali 2 pasang telekung (kain sembahyang); satu untuk Ma dan satu untuk Kak Ngah. Dan sebotol 'perfume' untukku....

Nasihatku kepada sesiapa yang ingin ke Indonesia, usah gunakan passport berkumpulan dan seelok-eloknya berbelanjalah di negara kita, lebih-lebih lagi di masa ekonomi kita yang agak gawat ini!