Monday, January 31, 2011

Solat Hajat Di Pejabat IKRAM Johor


Alhamdulillah, solat Isya' dan solat hajat telah berjaya dilaksanakan di Pejabat IKRAM Johor sebentar tadi, buat pertama kalinya. Pejabat IKRAM Johor atau juga dipanggil Kompleks IKRAM oleh Prof Dr Arshad Ahmad (YDP IKRAM Johor) dalam ucapan beliau tadi telah mula beroperasi malam ini.

Solat hajat dibuat untuk banyak tujuan. Antaranya ialah supaya Kompleks kita diberkati, anak-anak kita di Mesir selamat, kerajaan baru di Mesir akan tertubuh dengan berlandaskan syariat, dan bermacam-macam lagi.

Dua mesyuarat secara serentak berlaku malam ini di sana. Salah satu mesyuarat tersebut ialah berkenaan pergerakan atau tatacara bantuan yang akan diberikan oleh IKRAM kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Johor.

Disamping itu, acara membaca surah al-Baqarah juga berlangsung bagi memberkati bangunan yang mula diduduki itu. Membaca surah al-Baqarah apabila memasuki rumah baru adalah perkara biasa dan sering saya amalkan demi menghalau penghuni-penghuni (jin) yang mendiami bangunan itu sebelum ini.

Walau bagaimanapun kompleks IKRAM hanya siap di bahagian atas sahaja. Mungkin dalam masa sebulan lagi, tingkat bawah juga akan siap sepenuhnya.

Kelihatan semua ahli IKRAM gembira apabila berjaya memiliki bangunan mereka sendiri. Dua buah kedai 2 tingkat itu dibeli dengan harga melebihi RM600 ribu. 'Renovation' pula dianggarkan sekitar RM200 ribu. Apabila semuanya lengkap dengan perabot dan sebagainya, mungkin kos keseluruhannya menjangkau RM1 juta!

Kepada yang ingin menghulurkan bantuan derma untuk sama-sama mendapat saham akhirat bagi menyiapkan kompleks ini amat dialu-alukan.

Pejabat IKRAM ini sudah pasti akan digunakan semaksima yang mungkin. Pengalaman kita di pejabat lama yang disewa sebelum ini, mesyuarat atau aktiviti berjalan 'almost everyday'. Kadang-kadang satu malam, ada tiga atau empat mesyuarat yang berjalan serentak. Memang berbaloi kepada sesiapa yang menginfakkan harta mereka kepada Kompleks IKRAM ini.

Selepas maghrib tadi, saya sempat menelefon anak yang berada di Kaherah, Mesir. Alhamdulillah, dia bersama 2 rakan serumahnya berada di dalam teksi untuk ke 'Malaysian Hall'. Katanya, pelajar-pelajar diarah meninggalkan rumah masing-masing untuk berkampung di sana.

Satu soalan yang Kak Long tanya saya dan membuat saya rasa terkedu ialah "Teruk sangat ke berita ini kat Malaysia?" Pada saya soalan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka di sana ok aje dan tidaklah seteruk yang digambarkan dalam TV saban malam...

Walau apapun, hati emak bapa hanya Allah saja yang tahu dan sering mendoakan kesejahteraan dan keselamatan anak-anak mereka...

Isteri saya yang terlanggar kereta Estima pagi tadi semasa dalam perjalanan ke sekolah Hidayah, mungkin juga kerana memikirkan nasib anaknya di Cairo...

"Ya Allah, selamatkan anak-anak kami di Mesir dari segala mara bahaya dan permudahkanlah kehidupan mereka di sana. Engkaulah sebaik-baik penjaga dan sebaik-baik pelindung!"

Saturday, January 29, 2011

Pesanan Luqman Kepada Anaknya


Pesanan Luqman ketika menyampaikan pelajaran kepada anaknya;

Wahai anakku,

1) Janganlah engkau mempersekutukan Allah! Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.
2) Berbuat baik kepada kedua orang tua! Ibu telah mengandung dalam keadaan yang lemah dan menyusukanmu sehingga berusia 2 tahun.
3) Jika kedua orang tua memaksa untuk mempersekutukan Allah maka janganlah engkau mentaati mereka tetapi pergaulilah keduanya dengan baik.

4) Jika ada sesuatu perbuatan seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah akan memberinya balasan.
5) Laksanakan solat.
6) Serulah manusia untuk berbuat yang makruf dan cegahlah mereka dari yang mungkar.
7) Bersabarlah terhadap apa yang menimpamu.

8) Janganlah kamu memalingkan wajahmu dari manusia kerana sombong.
9) Janganlah berjalan di bumi dengan angkuh.
10) Sederhanalah dalam berjalan. Jangan terlampau lambat dan jangan pula terlalu cepat.
11) Lunakkan tutur katamu.


(Surah Luqman; 13-19)

Tuesday, January 25, 2011

Jangan Kita Perjudi Agama...


Sebagai seorang yang menganut agama Islam, kita seharusnya menghormati mereka yang dapat melaksanakan tuntutan Islam yang telah disyariatkan. Kita patut puji mereka, kita patut kagumi mereka, bahkan kita patut tiru mereka.

Kalau mereka dapat menutup aurat, mungkin kita belum lagi… Kalau mereka dapat menjaga batasan pergaulan, mungkin kita belum lagi… Kalau mereka ingin melaksanakan hukum Islam, mungkin kita belum lagi…

Tetapi kita juga patut bertanya diri kita, “Kalau mereka dapat buat dan kenapa tidak kita?”

Jangan pula kerana kita tidak sanggup buat, kita pula ‘condemn’ mereka. Sama naik pula kita dengan orang-orang yang bukan Islam. Orang bukan Islam ‘condemn’ saudara kita yang mengamalkan syariat, kitapun turut sama… Mereka ‘condemn’ kerana mereka tak faham Islam. Tetapi kita yang lahir Islam, takkan sama tak faham dengan orang bukan Islam…

Itulah kadang-kadang iman yang menentukan segala-galanya. Mungkin iman kita masih nipis, dan sudah pasti kita ingin iman kita semakin menebal dan tidak selama-lamanya nipis.

Jangan kerana melihat keuntungan dunia yang sedikit, kita sanggup menggadai Islam yang kita anuti…

Lihatlah peribadi Rasulullah (SAW), apabila ditawarkan dengan harta, pangkat, hatta wanita yang tercantik hendak diberikan sekiranya baginda meninggalkan dari menyampai risalah Islam tetapi Rasulullah tetap menolaknya.

Kitapun teringat bilamana Abu Talib menyampaikan tawaran bagi pihak ketua-ketua kabilah kaum musyrikin itu. Jawapannya yang tidak asing lagi, yang selalu kita dengar, “Jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, aku pasti meneruskan penyampaian risalah yang mulia ini”.

Mungkin kita terfikir, apa salahnya Rasulullah (SAW) menerima dulu pelawaan mereka untuk menabalkan baginda sebagai Raja. Kemudian setelah berkuasa, serulah mereka kepada Islam.

Tetapi Rasulullah yang terkenal sebagai “al-Amin” sejak dari kecil tidak melaksanakan strategi sebegitu. Matlamat tidak menghalalkan cara! Baginda sanggup bersusah payah, dimaki hamun, diejek, dikeji, dilontar batu semata-mata mencari redha Allah.

Jangan kita turut sama menakut-nakutkan orang bukan Islam tentang agama yang kita anuti ini. Orang bukan Islam sememangnya patut takut kerana ia perkara asing buat mereka tetapi jika kita orang Islam turut sama menakut-nakutkan mereka tentang Islam, manusia Islam apakah kita?

Sunday, January 23, 2011

Ali, Ramasamy Dan Tong Seng...

Ali, Tong Seng, dan Ramasamy adalah nama-nama yang tidak asing bagi mereka yang belajar di sekolah rendah pada tahun 1970an. Nama-nama ini digambarkan sebagai suasana kehidupan di negara kita yang harmoni tanpa membezakan kaum atau dari puak mana kita datang. Berlainan kaum tidak menjadi halangan untuk kita hidup bersatu padu, tolong menolong, bantu membantu antara satu sama lain.

Dalam al-Quran disebut; Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti. (Al-Hujurat; 13)

Saya tak pasti pula pada zaman sekarang samaada nama-nama seperti itu diterapkan dalam buku-buku bacaan anak-anak kita.

Beberapa hari lalu, heboh pasal novel Interlok yang ingin dijadikan sebagai bahan bacaan pelajar-pelajar sekolah menengah tetapi mendapat tentangan dari kaum India. Saya tidak ingin menyentuh pasal novel yang dikarang Sasterawan Negara Abdullah Hussein ini. Tetapi saya pernah membaca novel beliau bertajuk Imam. Amat baik sekali!

Apa yang ingin saya utarakan di sini ialah dari segi apa yang diajar di sekolah dan apa yang dipraktikkan, agak berbeza sekali.

Di sekolah kita diasuh, dididik, dan ditarbiyyah supaya menghormati semua kaum tanpa mengira fahaman agama dan politik mereka. Biar apa bangsa mereka, bila perlu dibantu, dibantu mereka tanpa mengira mereka ini penyokong kerajaan atau pembangkang.

Kalaulah Rasulullah (SAW) hanya membantu mereka yang bersama beliau saja dan membiarkan kaum musyrik bersendirian, agaknya berkembang ke agama yang suci ini?

Dengan bantuan yang berterusan tanpa memilih bulu akan menyedarkan masyarakat betapa sucinya perjuangan kita. Itupun kalau kita berjuang atas dasar ingin membangunkan negara dan betul-betul ingin membantu masyarakat.

Tetapi sekiranya perjuangan kita kerana ingin memenuhi poket sendiri, sudah pasti kita hanya membantu sesiapa yang menyokong kita...

Saya merasa teramat sedih setiap kali melihat berita di kaca TV. Tiada satu berita baik yang diperkatakan tentang pihak pembangkang. Semuanya berita buruk! Apa salahnya, sekali sekala kita khabarkan berita yang baik yang telah pihak pembangkang lakukan.

Kita diajar sejak kecil supaya menghargai kebaikan yang dilakukan walau sekecil mana sekalipun. Sejahat-jahat penzina yang memberi air kepada anjing yang kehausan juga dilaporkan dan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Bila agaknya 'trend' memburukkan mereka yang tidak bersama kita dalam media massa akan berhenti.

Pada saya berita seharusnya banyak mengenai kebaikan. Laporkan kebaikan-kebaikan walaupun dari pihak mana... Sekiranya banyak berita-berita yang positif, sekurang-kurangnya rakyat merasa aman dan tenteram.

Berita-berita negatif hanya untuk memberi pengajaran dan memperingati (tadzkirah) kepada masyarakat. Bukan pula untuk dibesar-besarkan supaya menjadi bahan tiruan kepada masyarakat. Sekiranya kita sensasikan berita negatif, mahu tidak mahu pasti ada yang akan cuba untuk meniru perbuatan yang tidak baik itu. Adakah itu yang kita mahu?

Saya mencadangkan supaya kita mempunyai satu KCI (Key Cleanliness Index) disamping KPI (Key Performance Index) kepada pemimpin kita. Ada satu-satu pihak yang membuat kompilasi mengenai kesalahlakuan mereka. Perasuah, sekian markah akan diberi kepada mereka. Rumah lebih besar dari gaji, sekian markah. Begitu jua, kesalahan-kesalahan yang lain. Tetapi kesemuanya mestilah berasaskan kepada keputusan yang telah dbuat di mahkamah dan bukan hanya 'hearsay'.

Kalau kita bandingkan semua menteri besar di negara kita, siapa agaknya yang akan mendapat KCI yang pertama?

Thursday, January 20, 2011

Menegur Dengan Hikmah...


Kita selalu dengar sepotong hadis yang mengatakan bahawa, apabila kita melihat sesuatu kemungkaran maka hendaklah kita mencegahnya dengan tangan, kalau tidak mampu maka cegahlah dengan perkataan, kalau itupun tidak mampu maka tolaklah dengan hati, itulah selemah-lemah iman...

Banyak perkara mungkar yang kita lihat setiap hari. Perempuan yang berpakaian tidak menutup aurat, lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan secara intim, pemandu kenderaan yang membuang sampah keluar dari kenderaannya, remaja lelaki yang memakai anting-anting, dan banyak lagi.

Kadang-kadang terasa amalan baik yang dibuat pada hari itu, kalau hendak ditolak dengan dosa mata saja... mungkin negatif pahalanya. Itu tidak campur lagi dosa mulut yang mengumpat, dosa telinga yang turut mendengar umpatan orang, dan lain-lain lagi.

Amat malang sekali, jika kita melihat kemungkaran untuk menafi dengan hatipun tidak mampu, malah merasa seronok pula melihatnya.

Kelmarin, kebetulan saja ke pejabat dan kelihatan seorang staf perempuan yang cuti 'MC'. Beliau berjalan berdengkut-dengkut kerana sakit kaki... Tetapi pakaiannya, astagfirullah, dengan jean sendat dan baju ketat membuatkan semua orang memandang beliau. Sudah pasti staf lelaki tidak melepas peluang untuk bercakap yang bukan-bukan dengan beliau.

Aku merasa aku patut menegur beliau. Kalau tidak, akupun sama dengan staf yang lain, yang seronok menonton wayang 'free'!

Apabila beliau agak jauh dari orang ramai, aku bertanya beliau tanpa mengharapkan jawapan, "Kenapa 'mama' berpakaian macam ni?". Beliau menjawab tetapi aku tak kisah apa jawapannya. Yang penting aku menegurnya, dan menegurnya tidak di depan khalayak ramai...

Sebenarnya, ini yang payah hendak dilakukan. Apatah lagi, dia seorang staf yang kita kenal. Nak tegur, takut dia terasa hati. Tak tegur, takut kitapun 2 kali 5 dengan staf-staf lelaki yang lain.

Subhanallah, tugas kita amat banyak! Hendak tarik orang bukan Islam kepada Islam lagi. Yang sudah Islampun, belum betul perjalanannya...

Tuesday, January 18, 2011

Perkara-Perkara Sunat Untuk Diamalkan...

Banyak perkara-perkara sunat yang boleh kita amalkan. Mulai dengan amalan yang kecil, insyaAllah kita akan beransur kepada perkara yang lebih besar. Seterusnya, kita akan menjadi seorang yang mengikut sunnah Rasulullah (SAW) sepenuhnya. Antara perkara sunat adalah seperti berikut;

1)Berkhitan - memotong kulit yang menutupi hujung kemaluan. Tujuannya supaya tidak berkumpul kotoran, dapat menahan kencing, dan tidak mengurangi kenikmatan apabila bersetubuh.

Adapun untuk perempuan maka yang dipotong adalah bahagian atas dari kemaluan. Walau bagaimanapun, hadis-hadis yang memerintahkan mengkhitan anak perempuan, semuanya dha'if, tidak satupun yang sah.

Berkhitan ini adalah sunnah yang telah lama sekali. Dari Abu Hurairah (RA);
"Telah bersabda Rasulullah (SAW): "Ibrahim al-Khalil itu berkhitan setelah mencapai usia 80 tahun, dan ia berkhitan itu dengan atau di Alqadum*." (Bukhari)
*Mungkin erti qadum itu kapak atau mungkin pula yang dimaksudkan satu tempat di Syam.

Mazhab jumhur mengatakan hukum berkhitan adalah wajib. Tetapi Syafie memandangnya sunat pada hari ketujuh. Syaukani pula berkata: " Tidak ada diterima waktu penentuan (bila sepatutnya dilakukan) begitupun dalil yang menyatakan bahawa ia wajib."

2. Mencukur bulu kemaluan dan mencabut bulu ketiak.
Kedua-duanya merupakan sunnah yang dapat dilakukan dengan menggunting atau memotong, mencabut atau mencukur.

3. Memotong kuku, memendekkan misai atau memanjangkannya.
Walaupun kita dibolehkan memanjangkan misai tetapi prinsipnya ialah misai itu tidak terlalu panjang hingga menyangkut makanan atau minuman, dan kotoran tidak bertompok di sana.

Dari Anas (RA): "Kami diberi tempoh oleh Nabi (SAW) dalam memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, menggunting bulu kemaluan agar tidak dibiarkan lebih dari 40 malam." (Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)

4. Membiarkan janggut dan 'trim'kannya supaya tidak sampai jadi lebat.
Jangan dipendekkan seakan-akan dicukur tetapi jangan pula dibiarkan demikian rupa sehingga kelihatan tidak terurus. Hendaklah diambil jalan tengah kerana demikian itu, dalam hal apa jua adalah baik.

Janggut yang lebat menunjukkan kejantanan atau kelakian yang sempurna, disamping nampak berwibawa atau matang.

Dari Ibnu Umar (RA): "Telah bersabda Rasulullah (SAW): Lainilah orang-orang musyrik: lebatkan janggut dan pendekkan misai (Disepakati oleh ahli-ahli hadis sementara Bukhari menambahkan: "Bila Ibnu Umar naik haji atau umrah, dipegang janggutnya, dan mana-mana yang terlebih dipotong)"

5. Merapikan rambut yang lebat dan panjang dengan meletakkan minyak dan menyikatnya.

Dari Abu Hurairah (RA): Bahawa Nabi (SAW) bersabda: "Siapa yang mempunyai rambut, hendaklah dirapikannya." (Abu Daud)

6. Membiarkan uban dan tidak mencabutnya baik di janggut atau di kepala.

Dari 'Amar bin Syua'ib (RA): "Bahawa Nabi (SAW) telah bersabda: "Janganlah kamu cabut uban itu kerana ia merupakan cahaya bagi Muslim. Tak seorang Muslimpun yang beroleh selembar uban dalam menegakkan Islam, kecuali Allah akan mencatatkan untuknya satu kebaikan, meninggikan darjatnya satu tingkat dan menghapuskan darinya satu kesalahan." (Ahmad, Abu Daud, Tarmizi, Nasa'i dan Ibnu Majah)

7. Mencelup uban dengan inai berwarna merah, kuning dan sebagainya.

Dari Abu Dzar (RA): "Telah bersabda Rasulullah (SAW): "Sebaik-baik bahan untuk mencelup uban ialah inai dan katam*."
*Tumbuh-tumbuhan yang menghasilkan celupan hitam kemerahan (perang).

8. Berharum-haruman dengan kasturi dan minyak wangi lainnya.

Haruman ini adalah haruman yang menyenangkan hati, melegakan dada dan menyegarkan jiwa, serta membangkitkan tenaga dan keghairahan bekerja.

Dari Abu Hurairah (RA): "Sesiapa yang diberi wangi-wangian janganlah menolak, kerana ia mudah dibawa dan semerbak harumnya." (Muslim, Nasa'i dan Abu Daud)

Friday, January 14, 2011

Semoga Berkekalan Dalam RedhaMu, Ya Rab...


Hari ini adalah istimewa buat ku. Ya, istimewa kerana harinya ialah hari Jumaat. Penghulu segala hari...

Tetapi yang lebih istimewa lagi ialah tarikhnya, 14 Januari... Hari ini, genaplah aku dan isteri berkahwin selama 23 tahun.

23 tahun dahulu, tanggal 14 Januari 1988, aku di Manhattan, KS, manakala isteri di Rohnert Park, CA, dan Kadi Besar Negeri Kelantan di rumah mertuaku di Pengkalan Chepa, kami dinikahkan...

23 tahun pantas berlalu. Tup tap tup tap, zuriat dah 9 orang dan kalau diizinkan Allah, mungkin bertambah seorang lagi pada tahun ini.

Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat kurniaanMu yang tak kunjung padam kepada daku sekeluarga. Rezeki yang Engkau anugerahkan buat diriku dan ahli keluargaku... Lebih-lebih lagi nikmat iman dan Islam. Ya Allah, janganlah Engkau berhenti dari memberi petunjuk dan hidayah kepada kami.

Jadikanlah kami di kalangan mereka yang bersyukur dengan anugerahMu. Hidupkanlah kami dan matikanlah kami di dalam Islam, di dalam kalimah Laa ila ha illallah, Muhammadur Rasulullah.

Jadikanlah kami suami isteri, masih sayang menyayangi di antara satu sama lain... Engkau campakkan perasaan rindu dendam di antara kami supaya kami tidak merasa jemu dan benci untuk bertemu.

Aku teringat satu 'joke' yang dilemparkan dalam usrah kami. Dr Hishamuddin menceritakan bahawa seorang ustaz berceramah tentang kehidupan di syurga.

"Dalam syurga kita akan berjumpa dengan isteri kita semula", jelas ustaz. Ada seorang hadirin bertanya, "Ustaz, kita masih akan jumpa balik isteri kita? Ingat ke dah tak jumpa dah... hanya bidadari saja".

Na'uzubillahu min zaa lik, betapa tidak inginnya pemuda tadi kembali berjumpa isterinya di syurga. Mungkin isterinya telah menyakiti hati si suami...

Ya Allah, Engkau perkukuhkan tautan hati di antara kami...

Thursday, January 13, 2011

Ikhlas Dalam Bersedekah...

Dewasa ini, kita lihat orang tidak lagi kedekut untuk bersedekah. Namakan saja tujuannya, dan berapa nilainya, pasti ada yang akan menghulur...

Semalam saya pergi makan roti nan bersama rakan di Taman Cempaka, Kempas. Selesai makan, azan untuk solat Asar berbunyi dari masjid yang terletak bersebelahan dengan tempat makan.

Kamipun pergi solat...

Sesudah solat, aku lihat laporan pendapatan bulanan di papan kenyataan masjid tersebut sepanjang tahun 2010. Pendapatan masjid kebiasaannya diperolehi melalui hasil kutipan dari tabung selepas solat Jumaat.

Subhanallah, sepanjang Januari hingga Disember 2010, hanya sebulan saja kutipannya tidak mencapai RM10,000. Bulan-bulan yang lain, semuanya belasan ribu!

Alhamdulillah, betapa pemurahnya pengunjung masjid sekarang...

Aku hanya ingin mengimbau kenangan lalu apabila solat Jumaat di masjid (bukan masjid UTM). Seperti biasa apabila ke masjid, saf pertama yang akan menjadi pilihanku (Lihat hadis tentang besarnya pahala orang yang berada di saf hadapan).

Setelah solat sunat tahiyyatul masjid, aku membaca surah al-Kahfi atau berwirid sementara menunggu khatib berkhutbah. Sekoyang-koyang, tabung beroda ditolak di hadapanku. Maka, ku tarik duit dari dompet dan ku letak ke dalam tabung, dan terus ku tolak semula ke sebelah.

Pernah beberapa kali, aku terlupa membawa dompet, dan alangkah malunya terasa kerana terpaksa menolak tabung ke sebelah tanpa mengisi apa-apa...

Ini membuat aku terfikir, adakah aku berderma secara ikhlas atau kerana malu kepada manusia?

Aku takut, selama ini aku hanya bersedekah kerana malu kepada manusia dan bukannya keranaMu, ya Allah!

Sekarang aku sudah menukar strategi... Apabila aku ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, aku tidak lagi menunggu tabung beroda yang bergerak dari saf ke saf untuk mengisi duit tetapi aku terus memasukkannya di tabung yang besar di depan pintu masjid atau surau.

Apabila tabung bergerak di depan ku, aku akan hanya menolak ke sebelah lagi... Biarlah apa orang nak kata. Yang penting, keikhlasan kita...

Takut sangat-sangat, sedekah atau amal sebelum ini tidak diterima Allah. Astaqfirullahal 'azim...

Aisya (RAA) relates that the Holy Prophet (SAW) said: Allah is kind and likes kindness in all things. (Bukhari and Muslim)

Wednesday, January 12, 2011

Solat Sunat Selepas Solat Asar...


"Wan, boleh ke kita solat sunat sementara menunggu solat maghrib di masjid?", tanya kawanku. "I ditegur oleh imam masjid di KL, katanya tak boleh solat sunat selepas Asar!", tambahnya lagi.

"Well, setahu kawe, ada beberapa pendapat... Molek la, demo tak berkeras dengan pendapat demo dengan tok imam tu...", jawabku.

Kadang-kadang kita orang Islam yang kurang ilmu ni, suka sangat berdebat tentang perkara-perkara ranting. Mungkin nak tunjuk alim atau mungkin hendak menang perdebatan. Walhal tak perlupun kita berbalah atau bertelagah pendapat.

Bila pulang ke rumah, aku mengambil kitab Fikih Sunnah, Jilid 1, ditulis oleh Sayyid Sabiq. Berikut ialah salinan semula dari muka surat 230 hingga 231.

Pendapat Fukaha Mengenai Solat Setelah Solat Subuh dan Asar

Jumhur atau golongan terbesar dari ulama berpendapat dibolehkan mengqada' solat-solat yang luput setelah solat Subuh dan Asar, berdasarkan sabda Rasulullah (SAW);

"Siapa yang lupa mengerjakan solat, hendaklah dilakukannya bila telah ingat!" (Bukhari & Muslim)

Adapun solat sunat, maka dianggap makruh oleh sebahagian di antara sahabat iaitu oleh Ali, Ibnu Mas'ud, Zaid bin Tsabit, Abu Hurairah dan Ibnu Umar.

Sebaliknya, Umar melakukan solat dua rakaat setelah Asar di hadapan para sahabat, tanpa seorangpun yang menyangkal. Juga Khalid bin Walid melakukan demikian.

Dan di antara tabi'in yang memandangnya makruh ialah Hassan, Sa'id bin Musaiyab, dan di antara Imam-Imam mazhab ialah Abu Hanifah dan Malik.

Dalam pada itu, Syafie berpendapat dibolehkannya solat yang ada sebab kerananya, seperti tahiyyatul masjid dan solat sunat.

Golongan Hambali berpendapat diharamkannya solat sunat pada kedua waktu ini walau mempunyai sebab tertentu, kecuali sunat tawaf, berdasarkan hadis Jubeir bin Math'am:

"Bahawa Nabi (SAW) telah bersabda: "Hai keluarga Abdul Manaf! Janganlah kamu larang siapapun melakukan tawaf atau solat di rumah ini di saat manapun dikehendakinya, baik malam ataupun siang!" (Ashabus Sunan)

Tuesday, January 11, 2011

Usrah Gabungan Ahli Aktif & Ahli Teras IKRAM JBT


Pada julung-julung kalinya IKRAM Johor Bahru Tengah mengadakan usrah gabungan malam tadi di Pejabat JIM. Usrah gabungan ini merangkumi ahli aktif 03, ahli aktif 04, dan ahli teras 05, baik ikhwah mahupun akhawat.

Program bermula dengan solat Isya' berjamaah yang diimami sendiri oleh YDP IKRAM JBT, Prof Madya Dr Hj Tholuddin Md. Lazim.

Seterusnya, bacaan al-Quran Surah Qaf, ayat 1 hingga 20 dan terjemahannya telah dibaca oleh Hj Roslan Abdul Hamid. Antara maksud ayat-ayat tersebut;

"Dan sungguh, kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Ingatlah ketika dua malaikat mencatat perbuatannya, yang satu duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri. Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap mencatat." (Qaf; 16-18)

Sebelum TYDP IKRAM Negeri Johor (mewakili YDP IKRAM Negeri Johor) menyampaikan amanat, YDP IKRAM JBT mengimbau kembali sejarah penubuhan IKRAM.

IKRAM JBT telah ditubuhkan pada bulan April 2010 dan mendapat kelulusan dari IKRAM Pusat pada bulan Mei. Pelancaran IKRAM telah dibuat di ibu negara pada 20 Jun 2010.

Dr Tholuddin juga memesan supaya setiap ahli lebih giat beramal. Beramal sehingga ke peringkat Ihsan iaitu seolah-olah kita melihat Allah dan jika kita tidak nampak Allah, sudah pasti Allah melihat kita...

Prof Madya Hj Ainullotfi Abdul Latif selaku TYDP IKRAM Negeri Johor pula mengingatkan tentang tuntutan-tuntutan terhadap setiap ahli iaitu titisan air mata, titisan peluh, dan titisan darah.

Apa yang dimaksudkan dengan titisan air mata ialah disamping kekuatan kita secara fizikalnya, kita juga mempunyai hati kecil yang lembut yang selalu menumpahkan air mata apabila membaca ayat-ayat Allah.

Titisan peluh pula ialah kita hendaklah sentiasa bekerja kuat sepenuh tenaga dalam menyampaikan risalah kepada masyarakat.

Manakala titisan darah ialah pelupusan masa, harta, keluarga, malah diri kita dalam menyumbang kepada dakwah. Sesungguhnya, kita adalah penyambung kepada tugas ar-Rasul dalam membawa masyarakat keluar dari kegelapan kejahilan kepada cahaya kebenaran.

Hj Ainul juga memperingatkan tentang jamaah kita yang bercirikan kepada 7 perkara, iaitu;

1) Rabbani - bertunjangkan kepada Allah
2) Syamil - meliputi semua aspek kehidupan
3) Kontemporari - meliputi masa sekarang dan bukan masa silam
4) Praktikal - menyelesaikan masalah dan tidak menjadi sebagai anasir permasalahan
5) Kritikal - sentiasa bersiap siaga
6) Membimbing - bukan menghukum
7) Alami - sejagat

Kesemua aspek tersebut perlu digarap dengan baik oleh setiap ahli supaya Projek Gemilang Johor dapat dilaksanakan dengan jayanya.

IKRAM JBT juga telah mensasarkan peningkatan ahli dari 220 kepada 900 orang pada tahun 2011! Marilah sama-sama kita merealisasikannya.

Usrah gabungan ini berakhir sekitar jam 11.30 malam.

Monday, January 10, 2011

Mukhayyam Ahli Biasa IKRAM Selamat Dilaksanakan

Mukhayyam ahli biasa (AB01-02) IKRAM telah dilaksanakan dengan jayanya pada tanggal 7 Januari hingga 9 Januari 2011. Seramai 35 orang peserta telah mengambil bahagian dan dibantu dengan 8 orang fasilitator.

Peserta-peserta yang hadir meliputi kebanyakan daerah IKRAM Johor dan seorang dari Bristol, UK. Senarai nama peserta yang dihantar oleh naqib masing-masing pada mulanya melebihi dari 50 orang tetapi alhamdulillah, bilangan 35 orang itu tidaklah begitu mengecewakan.

Pada 7 Januari 2011, program bermula dengan pendaftaran peserta pada pukul 8 malam, kemudian disusuli dengan menunaikan solat Isya' secara berjamaah di Pejabat JIM. Taklimat mukhayyam telah diberikan oleh saudara Abu Nuha (selaku Kem Komandan untuk mukhayyam kali ini) sebaik selepas solat Isya'.

Semasa mendaftar, peserta dikenakan bayaran sebanyak RM25 dan dibekalkan dengan sehelai baju IKRAM. Peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan dan setiap kumpulan dinamakan dengan nama-nama para sahabat nabi atau tabien. Setiap peserta seharusnya menghayati sahabat atau tabien yang telah menjadi nama kumpulan mereka.

Kita begitu mudah mengingati nama-nama artis, pemimpin, pelakon, dan sebagainya tetapi kita kurang menghayati sumbangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para sahabat Rasulullah (SAW).

Tema mukhayyam ini telah diberikan sebagai "Jalan-Jalan Bina Kekuatan".

Pergerakan dari Pejabat JIM ke destinasi mukhayyam adalah dengan kereta sendiri dan kesemua peserta telah membuat 'carpool'. Hanya 8 kereta peserta yang digunakan.

Peserta-peserta telah diarah untuk mengerjakan qiam-ul-lail pada pagi 8 Januari di masjid.

Pada pagi 8 Januari 2011, semua peserta telah berkumpul di Masjid Jamek Mersing untuk mendapat arahan selanjutnya.

Program yang dirancang telah mengambilkira segala kemungkinan yang bakal berlaku dan peserta sentiasa diperingatkan supaya hanya mencuba sebaik mungkin dan sedaya yang mampu.

Sekiranya, antara mereka ada yang tidak mampu melaksanakannya, pihak fasilitator akan membantu mereka.

Apa yang penting ialah keselamatan. Keselamatan diutamakan! Mukhayyam ini dilaksanakanpun adalah dengan tujuan untuk memberi kesihatan yang berpanjangan kepada setiap ahli IKRAM.

IKRAM menginginkan setiap ahlinya mempunyai kesihatan dan kekuatan jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Mungkin setiap ahli IKRAM telah melakukannya secara individu tetapi kita juga memprogramkan supaya diadakan aktiviti secara jamaie. Keseimbangan atau keutuhan fizikal kita amat penting. Mugkin juga untuk kita melakukan secara individu, kita tidak mampu atau tidak larat tetapi apabila dilakukan secara berjamaah, kita boleh melaksanakannya.

Dorongan atau perangsang dari ikhwah amat-amat diperlukan dalam apa jua lapangan. Kadang-kadang kita telah melakukan sesuatu kebaikan sudah lama, sudah menjadi rutin dan tidak lagi merasai keseronokannya. Dengan sepatah kata perangsang dari sahabat, kita mungkin akan merasai kelainan dan memberi caj baru dan insyaAllah, perbuatan baik itu berterusan...

Islam memerlukan para daie yang qawiy (kuat). Untuk menjadikan pendakwah yang kuat dari segi mental dan fizikal, IKRAM telah mengaturkan acara mukhayyam sebagai salah satu wasilahnya. Setiap ahli IKRAM wajib mengikutinya sekurang-kurangnya setahun sekali.

Mukhayyam yang dianjurkan ini tamat selepas kita mengerjakan solat Zohor dan Asar berjamaah secara jamak serta qasar pada 9 Januari 2011. Selepas semua bersalam-salaman, masing-masing bergerak pulang menuju ke destinasi masing-masing.

Semoga pengalaman bermukhayyam ini menjadi kenangan manis buat peserta semua dan insyaAllah kita berjumpa lagi di tahun hadapan...