Mukhayyam ahli biasa (AB01-02) IKRAM telah dilaksanakan dengan jayanya pada tanggal 7 Januari hingga 9 Januari 2011. Seramai 35 orang peserta telah mengambil bahagian dan dibantu dengan 8 orang fasilitator.
Peserta-peserta yang hadir meliputi kebanyakan daerah IKRAM Johor dan seorang dari Bristol, UK. Senarai nama peserta yang dihantar oleh naqib masing-masing pada mulanya melebihi dari 50 orang tetapi alhamdulillah, bilangan 35 orang itu tidaklah begitu mengecewakan.
Pada 7 Januari 2011, program bermula dengan pendaftaran peserta pada pukul 8 malam, kemudian disusuli dengan menunaikan solat Isya' secara berjamaah di Pejabat JIM. Taklimat mukhayyam telah diberikan oleh saudara Abu Nuha (selaku Kem Komandan untuk mukhayyam kali ini) sebaik selepas solat Isya'.
Semasa mendaftar, peserta dikenakan bayaran sebanyak RM25 dan dibekalkan dengan sehelai baju IKRAM. Peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan dan setiap kumpulan dinamakan dengan nama-nama para sahabat nabi atau tabien. Setiap peserta seharusnya menghayati sahabat atau tabien yang telah menjadi nama kumpulan mereka.
Kita begitu mudah mengingati nama-nama artis, pemimpin, pelakon, dan sebagainya tetapi kita kurang menghayati sumbangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para sahabat Rasulullah (SAW).
Tema mukhayyam ini telah diberikan sebagai "Jalan-Jalan Bina Kekuatan".
Pergerakan dari Pejabat JIM ke destinasi mukhayyam adalah dengan kereta sendiri dan kesemua peserta telah membuat 'carpool'. Hanya 8 kereta peserta yang digunakan.
Peserta-peserta telah diarah untuk mengerjakan qiam-ul-lail pada pagi 8 Januari di masjid.
Pada pagi 8 Januari 2011, semua peserta telah berkumpul di Masjid Jamek Mersing untuk mendapat arahan selanjutnya.
Program yang dirancang telah mengambilkira segala kemungkinan yang bakal berlaku dan peserta sentiasa diperingatkan supaya hanya mencuba sebaik mungkin dan sedaya yang mampu.
Sekiranya, antara mereka ada yang tidak mampu melaksanakannya, pihak fasilitator akan membantu mereka.
Apa yang penting ialah keselamatan. Keselamatan diutamakan! Mukhayyam ini dilaksanakanpun adalah dengan tujuan untuk memberi kesihatan yang berpanjangan kepada setiap ahli IKRAM.
IKRAM menginginkan setiap ahlinya mempunyai kesihatan dan kekuatan jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Mungkin setiap ahli IKRAM telah melakukannya secara individu tetapi kita juga memprogramkan supaya diadakan aktiviti secara jamaie. Keseimbangan atau keutuhan fizikal kita amat penting. Mugkin juga untuk kita melakukan secara individu, kita tidak mampu atau tidak larat tetapi apabila dilakukan secara berjamaah, kita boleh melaksanakannya.
Dorongan atau perangsang dari ikhwah amat-amat diperlukan dalam apa jua lapangan. Kadang-kadang kita telah melakukan sesuatu kebaikan sudah lama, sudah menjadi rutin dan tidak lagi merasai keseronokannya. Dengan sepatah kata perangsang dari sahabat, kita mungkin akan merasai kelainan dan memberi caj baru dan insyaAllah, perbuatan baik itu berterusan...
Islam memerlukan para daie yang qawiy (kuat). Untuk menjadikan pendakwah yang kuat dari segi mental dan fizikal, IKRAM telah mengaturkan acara mukhayyam sebagai salah satu wasilahnya. Setiap ahli IKRAM wajib mengikutinya sekurang-kurangnya setahun sekali.
Mukhayyam yang dianjurkan ini tamat selepas kita mengerjakan solat Zohor dan Asar berjamaah secara jamak serta qasar pada 9 Januari 2011. Selepas semua bersalam-salaman, masing-masing bergerak pulang menuju ke destinasi masing-masing.
Semoga pengalaman bermukhayyam ini menjadi kenangan manis buat peserta semua dan insyaAllah kita berjumpa lagi di tahun hadapan...
No comments:
Post a Comment