Friday, January 14, 2011

Semoga Berkekalan Dalam RedhaMu, Ya Rab...


Hari ini adalah istimewa buat ku. Ya, istimewa kerana harinya ialah hari Jumaat. Penghulu segala hari...

Tetapi yang lebih istimewa lagi ialah tarikhnya, 14 Januari... Hari ini, genaplah aku dan isteri berkahwin selama 23 tahun.

23 tahun dahulu, tanggal 14 Januari 1988, aku di Manhattan, KS, manakala isteri di Rohnert Park, CA, dan Kadi Besar Negeri Kelantan di rumah mertuaku di Pengkalan Chepa, kami dinikahkan...

23 tahun pantas berlalu. Tup tap tup tap, zuriat dah 9 orang dan kalau diizinkan Allah, mungkin bertambah seorang lagi pada tahun ini.

Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat kurniaanMu yang tak kunjung padam kepada daku sekeluarga. Rezeki yang Engkau anugerahkan buat diriku dan ahli keluargaku... Lebih-lebih lagi nikmat iman dan Islam. Ya Allah, janganlah Engkau berhenti dari memberi petunjuk dan hidayah kepada kami.

Jadikanlah kami di kalangan mereka yang bersyukur dengan anugerahMu. Hidupkanlah kami dan matikanlah kami di dalam Islam, di dalam kalimah Laa ila ha illallah, Muhammadur Rasulullah.

Jadikanlah kami suami isteri, masih sayang menyayangi di antara satu sama lain... Engkau campakkan perasaan rindu dendam di antara kami supaya kami tidak merasa jemu dan benci untuk bertemu.

Aku teringat satu 'joke' yang dilemparkan dalam usrah kami. Dr Hishamuddin menceritakan bahawa seorang ustaz berceramah tentang kehidupan di syurga.

"Dalam syurga kita akan berjumpa dengan isteri kita semula", jelas ustaz. Ada seorang hadirin bertanya, "Ustaz, kita masih akan jumpa balik isteri kita? Ingat ke dah tak jumpa dah... hanya bidadari saja".

Na'uzubillahu min zaa lik, betapa tidak inginnya pemuda tadi kembali berjumpa isterinya di syurga. Mungkin isterinya telah menyakiti hati si suami...

Ya Allah, Engkau perkukuhkan tautan hati di antara kami...

No comments:

Post a Comment