Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Monday, January 31, 2011
Solat Hajat Di Pejabat IKRAM Johor
Alhamdulillah, solat Isya' dan solat hajat telah berjaya dilaksanakan di Pejabat IKRAM Johor sebentar tadi, buat pertama kalinya. Pejabat IKRAM Johor atau juga dipanggil Kompleks IKRAM oleh Prof Dr Arshad Ahmad (YDP IKRAM Johor) dalam ucapan beliau tadi telah mula beroperasi malam ini.
Solat hajat dibuat untuk banyak tujuan. Antaranya ialah supaya Kompleks kita diberkati, anak-anak kita di Mesir selamat, kerajaan baru di Mesir akan tertubuh dengan berlandaskan syariat, dan bermacam-macam lagi.
Dua mesyuarat secara serentak berlaku malam ini di sana. Salah satu mesyuarat tersebut ialah berkenaan pergerakan atau tatacara bantuan yang akan diberikan oleh IKRAM kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Johor.
Disamping itu, acara membaca surah al-Baqarah juga berlangsung bagi memberkati bangunan yang mula diduduki itu. Membaca surah al-Baqarah apabila memasuki rumah baru adalah perkara biasa dan sering saya amalkan demi menghalau penghuni-penghuni (jin) yang mendiami bangunan itu sebelum ini.
Walau bagaimanapun kompleks IKRAM hanya siap di bahagian atas sahaja. Mungkin dalam masa sebulan lagi, tingkat bawah juga akan siap sepenuhnya.
Kelihatan semua ahli IKRAM gembira apabila berjaya memiliki bangunan mereka sendiri. Dua buah kedai 2 tingkat itu dibeli dengan harga melebihi RM600 ribu. 'Renovation' pula dianggarkan sekitar RM200 ribu. Apabila semuanya lengkap dengan perabot dan sebagainya, mungkin kos keseluruhannya menjangkau RM1 juta!
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan derma untuk sama-sama mendapat saham akhirat bagi menyiapkan kompleks ini amat dialu-alukan.
Pejabat IKRAM ini sudah pasti akan digunakan semaksima yang mungkin. Pengalaman kita di pejabat lama yang disewa sebelum ini, mesyuarat atau aktiviti berjalan 'almost everyday'. Kadang-kadang satu malam, ada tiga atau empat mesyuarat yang berjalan serentak. Memang berbaloi kepada sesiapa yang menginfakkan harta mereka kepada Kompleks IKRAM ini.
Selepas maghrib tadi, saya sempat menelefon anak yang berada di Kaherah, Mesir. Alhamdulillah, dia bersama 2 rakan serumahnya berada di dalam teksi untuk ke 'Malaysian Hall'. Katanya, pelajar-pelajar diarah meninggalkan rumah masing-masing untuk berkampung di sana.
Satu soalan yang Kak Long tanya saya dan membuat saya rasa terkedu ialah "Teruk sangat ke berita ini kat Malaysia?" Pada saya soalan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka di sana ok aje dan tidaklah seteruk yang digambarkan dalam TV saban malam...
Walau apapun, hati emak bapa hanya Allah saja yang tahu dan sering mendoakan kesejahteraan dan keselamatan anak-anak mereka...
Isteri saya yang terlanggar kereta Estima pagi tadi semasa dalam perjalanan ke sekolah Hidayah, mungkin juga kerana memikirkan nasib anaknya di Cairo...
"Ya Allah, selamatkan anak-anak kami di Mesir dari segala mara bahaya dan permudahkanlah kehidupan mereka di sana. Engkaulah sebaik-baik penjaga dan sebaik-baik pelindung!"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment