Banyak perkara-perkara sunat yang boleh kita amalkan. Mulai dengan amalan yang kecil, insyaAllah kita akan beransur kepada perkara yang lebih besar. Seterusnya, kita akan menjadi seorang yang mengikut sunnah Rasulullah (SAW) sepenuhnya. Antara perkara sunat adalah seperti berikut;
1)Berkhitan - memotong kulit yang menutupi hujung kemaluan. Tujuannya supaya tidak berkumpul kotoran, dapat menahan kencing, dan tidak mengurangi kenikmatan apabila bersetubuh.
Adapun untuk perempuan maka yang dipotong adalah bahagian atas dari kemaluan. Walau bagaimanapun, hadis-hadis yang memerintahkan mengkhitan anak perempuan, semuanya dha'if, tidak satupun yang sah.
Berkhitan ini adalah sunnah yang telah lama sekali. Dari Abu Hurairah (RA);
"Telah bersabda Rasulullah (SAW): "Ibrahim al-Khalil itu berkhitan setelah mencapai usia 80 tahun, dan ia berkhitan itu dengan atau di Alqadum*." (Bukhari)
*Mungkin erti qadum itu kapak atau mungkin pula yang dimaksudkan satu tempat di Syam.
Mazhab jumhur mengatakan hukum berkhitan adalah wajib. Tetapi Syafie memandangnya sunat pada hari ketujuh. Syaukani pula berkata: " Tidak ada diterima waktu penentuan (bila sepatutnya dilakukan) begitupun dalil yang menyatakan bahawa ia wajib."
2. Mencukur bulu kemaluan dan mencabut bulu ketiak.
Kedua-duanya merupakan sunnah yang dapat dilakukan dengan menggunting atau memotong, mencabut atau mencukur.
3. Memotong kuku, memendekkan misai atau memanjangkannya.
Walaupun kita dibolehkan memanjangkan misai tetapi prinsipnya ialah misai itu tidak terlalu panjang hingga menyangkut makanan atau minuman, dan kotoran tidak bertompok di sana.
Dari Anas (RA): "Kami diberi tempoh oleh Nabi (SAW) dalam memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, menggunting bulu kemaluan agar tidak dibiarkan lebih dari 40 malam." (Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)
4. Membiarkan janggut dan 'trim'kannya supaya tidak sampai jadi lebat.
Jangan dipendekkan seakan-akan dicukur tetapi jangan pula dibiarkan demikian rupa sehingga kelihatan tidak terurus. Hendaklah diambil jalan tengah kerana demikian itu, dalam hal apa jua adalah baik.
Janggut yang lebat menunjukkan kejantanan atau kelakian yang sempurna, disamping nampak berwibawa atau matang.
Dari Ibnu Umar (RA): "Telah bersabda Rasulullah (SAW): Lainilah orang-orang musyrik: lebatkan janggut dan pendekkan misai (Disepakati oleh ahli-ahli hadis sementara Bukhari menambahkan: "Bila Ibnu Umar naik haji atau umrah, dipegang janggutnya, dan mana-mana yang terlebih dipotong)"
5. Merapikan rambut yang lebat dan panjang dengan meletakkan minyak dan menyikatnya.
Dari Abu Hurairah (RA): Bahawa Nabi (SAW) bersabda: "Siapa yang mempunyai rambut, hendaklah dirapikannya." (Abu Daud)
6. Membiarkan uban dan tidak mencabutnya baik di janggut atau di kepala.
Dari 'Amar bin Syua'ib (RA): "Bahawa Nabi (SAW) telah bersabda: "Janganlah kamu cabut uban itu kerana ia merupakan cahaya bagi Muslim. Tak seorang Muslimpun yang beroleh selembar uban dalam menegakkan Islam, kecuali Allah akan mencatatkan untuknya satu kebaikan, meninggikan darjatnya satu tingkat dan menghapuskan darinya satu kesalahan." (Ahmad, Abu Daud, Tarmizi, Nasa'i dan Ibnu Majah)
7. Mencelup uban dengan inai berwarna merah, kuning dan sebagainya.
Dari Abu Dzar (RA): "Telah bersabda Rasulullah (SAW): "Sebaik-baik bahan untuk mencelup uban ialah inai dan katam*."
*Tumbuh-tumbuhan yang menghasilkan celupan hitam kemerahan (perang).
8. Berharum-haruman dengan kasturi dan minyak wangi lainnya.
Haruman ini adalah haruman yang menyenangkan hati, melegakan dada dan menyegarkan jiwa, serta membangkitkan tenaga dan keghairahan bekerja.
Dari Abu Hurairah (RA): "Sesiapa yang diberi wangi-wangian janganlah menolak, kerana ia mudah dibawa dan semerbak harumnya." (Muslim, Nasa'i dan Abu Daud)
No comments:
Post a Comment