Sunday, February 28, 2010

Dari Sydney ke Brisbane....

Kami 'check-out' dari UWS Village, Parramatta, sekitar jam 10 pagi. 'Check-out' secara sendiri kerana pada hari Sabtu, tiada staf yang berkerja. Kita hanya meletakkan kunci bilik dan 'smart card' yang sudah 'expired' di atas meja 'reception'.

Untuk memasuki kawasan pagar dan bangunan UWS Village, perlu ada 'smart card' dan 'smart card' akan tamat tempoh pada tepat jam 10 pagi pada hari kita tamat menyewa. Sebenarnya, 'check-out time' untuk mana-mana hotel/motel di Australia ialah 10 pagi manakala 'check-in' pula jam 2 petang. Berbeza dengan Malaysia 'check-out time' ialah jam 12 tengahari.

Di UWS Village, bilik-bilik pelajar diletakkan dalam blok. Dalam satu blok ada 6 bilik pelajar, dilengkapi dengan 2 bilik air, ruang tamu bersama TV dan sofa, dan ruang memasak bersama dapur, 'microwave', 'toaster', dan 'kettle'. Untuk memasuki pagar dan blok bangunan perlu kepada 'smart card', manakala untuk memasuki bilik, perlu kunci bilik. Saya kira satu sistem yang agak baik, yang mana hanya sesiapa yang mempunyai 'smart card' sahaja yang dapat 'access' ke ruang bangunan.

Teringat masa jadi pengetua dulu, sesiapa saja boleh masuk ke dalam bangunan asrama UTM. Dari segi 'security' adalah kurang baik... dan banyak laporan kecurian berlaku.

Sekitar jam 11.30 pagi, kami bergerak dari UWS Village. Kami bertolak dengan kereta Toyota yang disewa dari AVIS dengan harga $565 selama seminggu, termasuk insuran. Pada mulanya kami menempah Hyundai Getz, 2 pintu kerana untuk mendapatkan harga yang murah tetapi apabila melihat beg-beg kami yang tidak dapat ditinggalkan di Sydney, maka kita 'upgrade' dengan bayaran tambahan $40.

Perjalanan ke Brisbane bagi ku kurang menarik kerana tidak nampak apa-apa. Bukan tiada pemandangan tetapi kerana asyik tidur aje. Begitulah tabiat ku kalau tidak memandu... Pak Ba dan Mus bergilir-gilir memandu.

Kami berhenti di masjid Newcastle untuk menunaikan solat Zohor dan Asar. Kemudian kami meneruskan perjalanan, seterusnya kami berhenti sekali lagi lebih kurang 150km sebelum tiba di Brisbane untuk menunaikan solat Maghrib dan Isya'. Jarak keseluruhan dari Sydney ke Brisbane ialah hampir 1,000km.

Kami sampai di Brisbane jam 1.30 pagi. Kami tercari-cari tempat penginapan sehingga jam 3.30 pagi. Semua hotel/motel di Brisbane 'sold out' kerana sebab yang sama semasa kami mencari penginapan di Sydney tempohari iaitu adanya konsert AC/DC malam tadi. Akhirnya, kami sempat melelapkan mata sekejap di dalam kereta di stesyen Shell.

Apa yang menarik hati saya ialah dalam kami ke sana ke mari, mencari tempat penginapan, saya ternampak satu nama jalan iaitu Tanah Merah Ave! Wow! Ejaan sama dengan Tanah Merah di Kelantan...

Jam 5.00 pagi, saya menghubungi Ustaz Juhazreen al-Hafiz, dan kami ke rumahnya untuk menunaikan solat Subuh. Sarapan pagi kami disediakan oleh isteri beliau... Alhamdulillah, kami dihidangkan masakan istimewa, nasi lemak sambal tumis sotong, telor, dan timun.

Friday, February 26, 2010

Circular Quay Dan Darling Harbour...


Circular Quay merupakan nama tempat yang tidak asing di Sydney. Di sinilah terletaknya Sydney Opera House dan Sydney Harbour Bridge yang tersohor di seluruh dunia. Begitu juga Darling Harbour, yang mendapat nama sempena Lieutenant-General Ralph Darling yang menjadi gabenor New South Wales dari tahun 1825 hingga 1831.

Kami memulakan perjalanan dari UWS Village, Parramatta ke Sydney City Centre lebih kurang jam 12.30 petang. Apabila tiba di sana, kami terus ke Restoren Kasturi yang menyediakan makanan Malaysia, Thailand, dan Singapura yang halal. Makanan yang dipesan ialah Nasi Goreng Thai, Nasi Goreng Malaysia, dan 2 Kueh Teoy Goreng Seafood. 4 orang makan dengan kos $62.

Selesai menjamu selera, kami ke Paddy Market untuk membeli sedikit buah tangan dari Australia. Kemudiannya kami ke Terminal Feri di Darling Harbour untuk menikmati panorama laut di perairan Sydney. Tambang feri untuk seorang ialah $2.50. Sebelum itu, kami sempat bersiar-siar di hadapan Sydney Convention and Exhibition Centre, yang menjadi 'venue' Summer Olympic Games 2000 dan juga 'venue' mesyuarat APEC Australia 2007.

Dari atas feri, Sydney Harbour Bridge dan Sydney Opera House nampak begitu cantik dan menarik. Sebenarnya, pelancong dibenarkan berjalan di atas lengkuk Harbour Bridge (bukan di atas jambatan tetapi lengkuk yang melengkung) dengan sedikit bayaran. Sudah pasti mereka yang gayat tidak mampu untuk melakukannya.

Di perairan juga, kami berselisih dengan feri dan kapal percutian yang begitu besar. Mereka juga menyediakan perkhidmatan teksi air, bot-bot yang tertera perkataan 'taxi' di bumbung dan sisinya.

Setelah sampai di pengkalan, kami berjalan ke Circular Quay. Ramai sekali manusia dari segenap pelusuk dunia. Ada satu ketika seorang isteri beranak satu dari Pakistan meminta untuk menggunakan telefon bimbit saya untuk menelefon suaminya. Mungkin tersalah jalan dan terpisah dari suaminya...

Kami menunaikan solat Zohor dan Asar secara Jama' di taman yang terletak berhadapan dengan Sydney Opera House. Untuk mengambil wudu', kami ke 'toilet' awam. Kebiasaannya di Malaysia, kita tidak menghadapi apa-apa masalah untuk mengangkat kaki ke dalam mangkuk untuk membasuh kaki. Tetapi di sini, kita menghormati tuan rumah kerana dikhuatiri mereka akan mengatakan orang Islam biadap memasukkan kaki kami ke tempat mereka membasuh muka. Kita hanya mengambil air dan menyapunya ke kaki.

Selesai solat, kami bergambar di depan Opera House dan seterusnya kembali ke Central dengan menaiki keretapi untuk mendapatkan kereta kita. Caj parking yang dikenakan $27. Dan kami bertolak pulang ke UWS Village... Esok kami akan keluar dari sini menuju ke Brisbane dengan kereta sewa.

Kadang-Kadang Kita Tidak Sedar Betapa Nikmatnya...


Dah 2 hari selsema di negara 'down under'. Makan ubatpun kurang berkesan... Itu yang membuat kita lebih yakin bahawa sakit demam, hanya Allah yang menyembuhkan dan bukannya ubat! Ubat hanya sebagai asbab...

Ramai dari kita kurang sedar bahawa nikmat yang dikurniakan Allah sehinggalah kenikmatan itu ditarik balik olehNya. Yang paling besar nikmat kurniaan Allah kepada kita ialah nikmat Iman dan Islam. Betapa perlu bersyukur kita kepadaNya kerana kita terpilih untuk memiliki nikmat ini.

Nikmat adanya kedua ibubapa yang masih hidup. Subhanallah, betapa seronoknya jika aku masih mempunyai mereka. Apabila mendengar nasyid 'Lafaz Yang Tersimpan', dendangan UNIC, bercucuran mengalir air mata mengenangkan pengorbanan ibu kepada ku.

Nikmat sihat yang Allah anugerahkan... Betapa kurang selesanya apabila ditarik sedikit kenikmatan itu. Dulu untuk membaca, tak perlu untuk mendapatkan bantuan cermin mata. Bila tengok orang bercermin mata nampak cantik dan terasa nak pakai cermin mata. Sekarang apabila perlu memakainya untuk membaca terasa betapa kurang selesanya bercermin mata.

Banyak lagi nikmat-nikmat yang kita 'take things for granted'... Seperti dendangan nasyid Rabbani, Ingatlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara...Muda sebelum Tua, Sihat sebelum Sakit, Kaya sebelum Miskin, Lapang sebelum Sibuk, Hidup sebelum Mati!

Untuk mengingatkan 4 perkara tersebut, mungkin tidak begitu susah kerana ada banyak tanda-tanda. Tanda-tanda kita menuju ketuaan, tanda-tanda kita menuju kesakitan, tanda-tanda kita menuju kepapaan, dan tanda-tanda kita semakin sibuk...

Tetapi tanda-tanda kita menuju kematian, jarang diperlihatkan. Sedar-sedar, Inna lillahi wainna ilaihi raaji'un, kita sudah mati!

Katakanlah (Muhammad), "Apakah kita akan memohon kepada sesuatu selain Allah, yang tidak dapat memberi manfaat dan tidak (pula) mendatangkan mudarat kepada kita, dan (apakah) kita akan dikembalikan ke belakang, setelah Allah memberi petunjuk kepada kita, seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan di bumi, dalam keadaan kebingungan." Kawan-kawannya mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan mengatakan), "Ikutlah kami." Katakanlah, "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya); dan kita diperintahkan agar berserah diri kepada Tuhan seluruh alam. (Al-An'am; 71)

Thursday, February 25, 2010

Amalan Yang Membuat Allah Dan Makhluk Mencintaiku...


Pada suatu hari, Ali (R.A) mengisahkan ada seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad (SAW) dan berkata, "Ajarkanlah kepadaku suatu amalan yang membuat Allah (SWT) dan para makhluk mencintaiku, Allah (SWT) menambahkan hartaku, menyihatkan tubuh badanku, memanjangkan usiaku, dan membangkitkan aku di Padang Mahsyar bersamamu."

Subhanallah, suatu pertanyaan yang sama dengan pertanyaan kita, bukan? Bukankah perkara-perkara itu juga menjadi idaman kita semua? Siapa tidak suka dicintai Allah (SWT) dan para makhluknya? Siapa tidak ingin Allah memberikan banyak harta dan menyihatkan tubuh badan kita serta memanjangkan usia kita? Apalagi dibangkitkan pada hari kiamat bersama Nabi Muhammad (SAW)?

Nabi Muhammad menjawab, "Kamu memohon enam perkara, jadi kamu perlu melakukan enam perkara juga;

1) Apabila kamu mahu Allah mencintaimu, takutlah kepadaNya dan bertakwalah.
2) Apabila kamu mahu para makhluk mencintaimu, berbuat baiklah kepada mereka dan jangan mengharap sesuatu daripada apa yang mereka miliki.
3) Apabila kamu mahu memiliki banyak harta, zakatkanlah harta bendamu.
4) Apabila kamu mahu menjadi sihat, banyakkan sedekahmu.
5) Apabila kamu mahu panjang umur, jalinkanlah silaturrahim dengan saudara-saudaramu.
6) Apabila kamu mahu dikumpulkan bersamaku di Padang Mahsyar, panjangkanlah sujudmu pada Allah yang Maha Esa dan Maha Perkasa."

(Dari Buku Ajaibnya Sedekah; Semakin Bersedekah Semakin Kaya; m/s 6)

Masa Mendewasakan Kita...


Teringat masa kecil-kecil dan muda-muda dulu... Beli aje pakaian semua nak yang 'branded'. Kalau masa kecil, pastikan kakak beli yang ada nama. Kalau tak ada nama atau jenama yang tak tersohor, baik tak payah beli! Kasut sekolah selain brand BATA, tak ada kelas! Kasut Fung Keong, ok juga la kalau nak dibandingkan dengan kasut getah yang ada stud kat tapak...

Begitu juga, bila muda dikala sudah mampu mengumpul wang sendiri... Nak ADIDAS, Kelvin Klein, Lee, Levi's, Clark, Polo, Brut, Seiko, Yonex, Orlando, Van Haussen, Guess, Sony, dan bermacam-macam jenama lagi.

Kadang-kadang betul juga kata orang, beli yang 'branded' ni tahan lama. Bak kata pepatah, 'Alah membeli menang memakai'.

Bila usia meningkat, barang-barang yang berjenama semakin kurang menjadi 'priority'. Maksudnya, jika ada pilihan lain yang lebih murah dan kualitipun tidak begitu teruk, maka itu yang akan menjadi pilihan.

Sesetengah orang kata, faktor kemampuan. Kalau gaji bulan ni dah dapat tetapi gaji bulan lepas masih belum habis maka keinginan untuk membeli barangan berjenama mungkin ada. Mungkin juga...

Tetapi bagi saya, yang lebih penting sekarang ini ialah 'value for money'. Kita berbelanja sekian banyak untuk mendapatkan sekian banyak pulangan.

Perbelanjaan untuk barangan atau perkara 'keinginan' sudah semakin luntur, berbanding dengan perbelanjaan untuk perkara 'keperluan'. Keperluan asas sudah menjadi pertimbangan...

Saya rasa sudah sepuluh tahun, saya tidak membeli baju. Banyak baju-baju t-shirt kolej semasa menjadi felo dan pengetua dulu. Kadang-kadang, saya beri pula kepada sesiapa yang datang ke rumah sebagai 'souvenir'.

Seluar pula, pakai mana yang ada. Ada 4-5 helai yang dibeli di 'Car Boot Sale' semasa berada di Ulster, Northern Ireland kira-kira 2 tahun lalu. Belipun yang berharga 50P (pence), bersamaan RM3. Kalau seluar jeans itu labuh, lipat aje macam trend budak-budak muda sekarang ini.

Yang lebih penting, ialah keperluan anak-anak! Persekolahan mereka, makan minum mereka, pakaian mereka...

Semalam Prof. Lodewijks mengatakan beliau tidak sempat untuk bercuti kerana menanggung 3 orang anak. Beliau terkejut besar apabila saya mengatakan saya mempunyai 9 orang anak. "Do you have a maid? You wife is not working? Are you a Catholic?", bertalu-talu soalan yang diajukan kepada saya.

Katakanlah (Muhammad) kepada hamba-hamba Ku yang telah beriman, "Hendaklah mereka melaksanakan solat, menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan secara sembunyi atau terang-terangan sebelum datang hari, ketika tidak ada lagi jual beli dan persahabatan." (Ibrahim; 31)

Wednesday, February 24, 2010

Perjumpaan Dengan Assoc. Prof. John MacFarlane, Prof John Lodewijks, Dan Prof Graeme Newell

Hari ini jadual agak padat. Pagi tadi, Associate Professor John MacFarlane membentangkan projek CAMA yang dilaksanakan di New South Wales (NSW). Beliau menceritakan Proses Penilaian Tanah dan Harta Tanah dari jam 10 pagi hingga 3 petang kepada kami bertiga. Beliau merupakan seorang yang cintakan kerjayanya. Sungguhpun latarbelakang beliau adalah bidang statistik dan matematik tetapi beliau telah berkecimpung begitu lama dalam bidang Penilaian. Sudah mengajar dan membuat penyelidikan dalam bidang ini selama lebih 30 tahun.

Beliau menceritakan NSW mempunyai penduduk lebih kurang 5 juta orang dan menghasilkan cukai tanah dan harta tanah sebanyak $5 billion. Jumlah penduduk keseluruhan Australia ialah lebih kurang 22 juta orang. Kaedah penilaian yang digunakan di Australia juga berbeza dari negeri ke negeri, sebagai contoh, NSW membuat penilaian berasaskan nilai tanah (land value) manakala Victoria berasaskan 'improved value'.

Mereka juga seperti negara kita yang mengenakan cukai tanah dan cukai pintu. Cukai tanah mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri manakala cukai pintu membawa hasil kepada 'local authority' atau kerajaan tempatan. Kita juga menggunakan sistem pendaftaran tanah yang diasaskan kepada sistem Torren, yang berasal dari Australia.

Apa yang menarik perhatian saya ialah cukai tanah di mana tuan punya tanah duduki tidak dikenakan tetapi tanah-tanah lain yang dipunyainya samaada disewakan dan sebagainya akan dikenakan cukai. Maksudnya di sini ialah jika seseorang mempunyai 5 bidang tanah, cukai tanah yang mana rumah yang didiaminya tidak dikenakan manakala 4 bidang lagi akan dikenakan cukai.

Saya berpendapat langkah ini sewajarnya dilaksanakan juga di negara kita. Cukai tanah yang mana rumah yang kita diami berada di atasnya seharusnya tidak dikenakan cukai sebagai memberi keringanan kepada penduduk. Sungguhpun cukai tanah saya hanya RM36 setahun tetapi untuk menjelasnya setiap tahun amat menyusahkan dan kadang-kadang akan dikenakan penalti jika terlewat bayar.

Ini berlaku di Pejabat Tanah Johor Bahru, yang mana kita tidak boleh membayar sekali gus untuk tahun-tahun yang akan datang. Berbeza pula dengan Pejabat Tanah Port Dickson, yang mana kita boleh membayar untuk tahun-tahun yang akan datang.

Cukai pintu adalah wajar untuk kita membayarnya setiap 6 bulan atau setahun sekali kerana nilainya tinggi. Untuk rumah saya di Taman Pulai Utama, saya membayarnya RM259 setahun.

Selesai mendengar penerangan MacFarlane, kami dibawa berjumpa dengan Prof Graeme Newell, penyelia PhD saudara Najib. Seterusnya kami diperkenalkan kepada Professor John Lodewijks sebagai 'Head of School, School of Economics and Finance', UWS.

Selesai di UWS, kami ke Thai Hut di Bankstown untuk menjamu selera. Kemudian kembali ke UWS Village, sekitar jam 6 petang untuk mengerjakan solat Zohor dan Asar secara jamak ta'khir.

Tuesday, February 23, 2010

Banyak Yang Boleh Dipelajari Dari Negara Australia...


"Sesungguhnya, Aku ini Allah, tiada tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingatiKu." (Taha; 14)

Allah SWT banyak menunjukkan cerita dan pengajaran di dalam Al-Quran supaya kita mengambil iktibar darinya. Setakat mana kemampuan kita untuk turut sama mendalami dan menghayati isi kandungan yang begitu jelas dari Pencipta kita? Setiap yang mencipta tahu kebolehan dan kekangan yang ada kepada hasil ciptaannya. Apa yang penting ialah kita sentiasa mencuba yang terbaik!

Di negara Australia ini, banyak juga yang boleh dipelajari... Antaranya ialah dari aspek pertolongan. Ada tuan punya tempat penginapan yang saya telefon, bernama Peter sanggup untuk menghantar kami balik semula ke UWS keesokkannya sekiranya kami menginap di tempatnya.

Henry yang bertugas di 'Information Centre' sanggup melayan saya mencari tempat penginapan tanpa penat dan jemu. Henry berasal dari Indonesia tetapi sudah 20 tahun di Australia. Beliau sudah berkahwin dengan orang Indonesia juga tetapi masih belum dikurniakan anak.

Seorang pelajar lelaki yang baru sampai seminggu di Malaysian Hall Sydney tempohari menceritakan kepada saya bahawa suatu hari setelah berjalan seorang diri, beliau tersesat dan tidak tahu bagaimana hendak pulang. Sepasang warga Australia telah membantu pelajar tersebut sehingga sampai semula ke Malaysian Hall. Mereka bukan hanya menunjukkan nombor bas tetapi turut sama menaiki bas dan pastikan pelajar tersebut turun betul-betul di depan Malaysian Hall.

Lucy yang menunjukkan tempat tinggal kami walaupun kami boleh mencari sendiri nombor bilik kami. 'Hospitality' is the word!

Tanya balik diri kita setakat mana kita cuba untuk membantu seseorang, baik dari negara kita mahupun orang luar...

Pada saya, kita tidak perlu membina bangunan yang canggih-canggih untuk menarik pelancong luar. Kita tidak perlu membuat taman tema yang sama dengan negara barat. Dan kita juga tidak perlu membelanjakan jutaan ringgit untuk mempromosikan negara kita seperti 'Tahun Melawat Malaysia 2010'.

Apa yang perlu ialah layanan mesra kita terhadap mereka yang datang. 'Hospitality' yang diperolehi ini akan disampaikan mereka kepada jiran, rakan dan keluarga mereka dari mulut ke mulut dan menjadikan negara kita destinasi pelancongan mereka...

Tidak Semua Berlaku Mengikut Apa Yang Kita Rancangkan....

"Orang kafir itu kadang-kadang (nanti di akhirat) menginginkan, sekiranya mereka dahulu (di dunia) menjadi orang muslim." (Al-Hijr; 2)

Aku, Pak Ba, dan Mus bertolak dari Campbelltown ke Parramatta sekitar jam 11 pagi dengan menaiki teksi. Pemandu teksi semalam adalah Sri Lankan muslim dan hari ini pula ditakdirkan Allah seorang Palestinian. Saudara Palestin ini sudah lama di Australia dan sudah bermestautin di sini. Namun, apabila bercerita tentang nasib bangsanya di Palestine, beliau masih bersemangat.

Aku berkata kepada beliau, kami rakyat Malaysia hanya mampu untuk menghulurkan bantuan kewangan dan doa saja. "Doa is good enough brother, because Allah has said it in the Quran that the Jews will be lost later on", balasnya.

"But we are not good enough in our Islamic practice, that's why Allah helps still do not come...", sambungnya lagi.

Apabila sampai ke University of Western Sydney (UWS Village), corner of Pemberton Street dan Victoria Road, kami mengeluarkan semua beg dari teksi dan beredar ke 'reception'. Aku berkata kepada Lucy, "We've booked the rooms and ready to move in". Lucy menanya aku di bawah nama siapa bilik ini ditempah? Kemudian Pak Ba memaklumkan bahawa Mr. Daud, nama ayahnya.

Malangnya, 'booking' yang dibuat secara internet telah 'confirm' penginapan kami untuk esoknya hingga Sabtu dan bukannya bermula hari ini. Hari ini tiada bilik kosong! Ujian mula datang...

Kami memanggil teksi lagi untuk membawa kami mencari tempat penginapan. Kali ini pemandunya dari negara China. Kami dibawa ke Mercure Hotel, malangnya tiada bilik kosong. Seterusnya, pemandu tersebut membawa kami ke Mantra Hotel dan meninggalkan kami di situ kerana syifnya berakhir jam 2 petang. Mantra juga penuh!

Aku mengambil keputusan untuk mencari hotel dengan berjalan kaki di bandar Parramatta. Setelah berjalan beberapa blok, aku menemui sebuah motel tetapi juga 'fully booked'. "Where can I find another motel?", tanya ku. "Well, you should go to Parramatta Heritage & Visitor Information Centre, they will help you out", balasnya. Petugas di 'reception' itu mengambil sebuah peta dan menunjukkan arah ke sana, lebih kurang 6 blok dari motelnya.

Apabila aku sampai di Information Centre, aku disambut baik oleh Henry, petugas di situ. Aku menceritakan masalah aku dari awal hingga akhir, iaitu masalah tersalah tarikh yang diluluskan untuk menginap di UWS village hinggalah aku sudah puas mencari tempat penginapan namun belum berjumpa.

Sambil mencari alamat hotel di komputernya, Henry memberitahuku bahawa sekarang ini semua hotel di Parramatta penuh disebabkan adanya konsert ACDC dan Pertandingan Boxing dalam pagar. Boxing yang dipertandingkan melibatkan peserta Internasional dan termasuk juga kick-boxing.

Sesekali dia mengalihkan skrin komputernya dan menunjukkan kepada ku, hotel yang berharga $400 hingga $600 Australia yang masih ada. Aku nampak keseriusan Henry membantuku.

"There's one in Liverpool which is $143 for a night, but let me call first if it's still available", kata Henry. Komputer Henry mempunyai 'accessability' ke semua rangkaian hotel di Sydney, siap dengan harga dan 'availability'nya. Kalau tak ada kekosongan, terpampang di skrin mengatakan 'sold!'. Malangnya, belum sempat telefon, komputernya menunjukkan bilik itu sudah di'sold'. Bandar Liverpool adalah separuh jalan balik semua ke Campbelltown.

Lebih kurang sejam Henry membantu ku dan akhirnya, dia berjaya mendapatkan motel yang berada agak jauh dari Parramatta iaitu Penrith Motel, 303 High St, Penrith 2750, dengan harga $88 untuk 3 orang!!! Alhamdulillah...

Sunday, February 21, 2010

Dari Malaysia Hall Ke Campbell Town...


Jam 11 pagi, kami check out dari Sydney Malaysian Hall di Randwick. Bayaran tempat tinggal yang dikenakan cukup murah, $12 untuk 2 hari. Tidak hairanlah ramai yang menjadikannya sebagai tempat penginapan mereka sepanjang pengajian di University of New South Wales (UNWS). Semasa kami keluar tadi, nampak fail-fail pelajar baru yang akan menginap di sana. Mereka terdiri dari bangsa Melayu, Cina dan India dibawah tajaan JPA.

Seterusnya kami terpaksa berpindah ke Campbell Town yang mana lebih dekat dengan universiti yang akan kami kunjungi, iaitu University of Western Sydney (UWS). Esok akan berpindah ke Parramatta pula. Sebenarnya, kami ingin terus ke Parramatta tetapi hotelnya penuh. Jadi, kami terpaksa menginap di Maclin Lodge Motel, di Campbell Town untuk hari ini.

Kos teksi dari Malaysian Hall ke Campbell Town ialah $120. Tambang teksi yang paling mahal yang pernah saya bayar! Itu belum 'convert' duit Malaysia, kalau 'convert' jadi RM360.

Sewa motel pula ialah $120, sebilik kongsi 3 orang. Tapi alhamdulillah, ada 3 katil.

Petang tadi, saudara Najib membawa kami ke rumahnya di Wollongong. Berselera sekali kami makan nasi hujan panas berlaukkan kari ayam, ayam masak pedas, acar, dan popedum. Bila hendak balik, Hajar, isterinya yang juga membuat PhD membekalkan pula untuk dibawa balik.

Najib belajar di UWS, manakala Hajar di Wollongong U. Agak jauh juga Najib berulang-alik dari Wollongong ke UWS. Mereka dikurniakan 2 orang anak lelaki, Irfan dan Imran. Seorang berumur 8 tahun, manakala seorang lagi 6 tahun.

Esok, kami akan check-out dan berpindah ke Parramatta....