Wednesday, July 31, 2013

Tawaran Balik Beraya Dengan Bas UTM...

Alhamdulillah, kita semua sentiasa berusaha untuk membuat kebaikan di dunia ini. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Semua mengejar ganjaran Allah SWT yang melimpah ruah untuk kita raih.
Belum tentu Ramadan tahun depan, kita masih gagah berdiri untuk membuat kebaikan dan kebajikan...

Pagi tadi aku menelefon En. Ali dari Pejabat Harta Bina, UTM untuk bertanya samaada pada tahun ini ada ke 'trip' ke Kelantan untuk mereka pulang beraya. "Tiada pelajar... kerana semua sudah balik bercuti", balas En. Ali.

"Ok. Kalau saya dapat kumpulkan pelajar, staf dan keluarga mereka, berapa bilangannya untuk sebuah bas?", tanyaku.

"38 orang", balas En. Ali.

"Berapa caj kita kenakan?", tanyaku lagi.

"RM50 seorang untuk sehala", balas En. Ali.

Setelah berbincang panjang, kami bersetuju untuk bertolak balik ke Kelantan pada 5 Ogos dan pulang ke Skudai pada 17 Ogos. Saya perlu membuat 'confirmation' dengan En. Ali pada 2 Ogos samaada 'trip' ini akan diteruskan atau dibatalkan.

Pada saya, tarikh 5 Ogos adalah amat sesuai kerana ia merupakan 3 hari sebelum Hari Raya. Manakala tarikh pulang semula ke Skudai pada 17 Ogos adalah 'splendid' kerana sekolah mula dibuka semula pada 19 Ogos. Ia memberi masa selama 12 hari untuk mereka pulang bercuti di kampung.

Walau apapun, itulah yang dapat saya bantu staf UTM, pelajar master atau phd serta keluarga mereka jika mereka tiada kemudahan kenderaan untuk balik beraya di Kelantan.

Harga tiket bas komersil lagi mahal dan saya pasti semuanya sudah habis dijual.

Semoga ikhtiar saya yang kecil ini diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Saya juga teringat pernah diceritakan bahawa Assyahid Hassan al-Banna telah bergerak ke suatu tempat untuk memberi ceramah. Setibanya di sana beliau melihat, orang ramai masih belum tiba dan beberapa orang petugas sedang menyusun kerusi.

Lantas, beliau turut serta menyusun kerusi. Beliau ditegur oleh petugas supaya berehat kerana sekejap lagi beliau akan berucap.

Dengan baik beliau menjawab kepada petugas tersebut, "Aku tidak pasti samaada tugasku menyusun kerusi atau menyampaikan ceramah yang diberi pahala dan ganjaran oleh Allah SWT!"

Thursday, July 18, 2013

Panduan Untuk Membuat Langsir Dan 'Railing' Bagi Sebuah Rumah

Langsir merupakan perkara utama bagi menjaga aurat tuan rumah. Langsir yang mahal tidak menjadi ukuran bahawa tuan rumah menjaga aurat mereka. Langsir yang murahpun sebenarnya sudah memadai asalkan tuan rumah tahu batas-batas aurat. Yang penting adalah orang di luar rumah tidak nampak aurat orang di dalam rumah.

Ramai dikalangan kaum hawa kurang faham tentang aurat. Betapa ramai yang bertudung tetapi apabila di rumah mereka tidak memakai tudung walaupun ada tetamu. Mereka fikir di rumah adalah hak kebebasan mereka.

Begitu juga yang bertudung tetapi memakai t-shirt tak berlengan. Yang agak mendukacitakan lagi ialah mereka yang bertutup lingkup tetapi baju dan seluar 'tight'nya begitu sendat. Jelas menunjukkan bentuk alur tubuh seorang manusia.

Sebenarnya saya ingin memberi panduan kepada mereka yang masuk rumah sendiri, apatah lagi kalau ia rumah baru.

Bukan nak dibezakan antara rumah lama dan rumah baru tetapi sekiranya kita membeli rumah baru, 'railing curtain' masih belum dibuat lagi tetapi kalau kita beli 'used house', besar kemungkinan tuan punya rumah asal sudah menyediakannya.

Ok begini ceritanya. Sesiapa yang ingin masuk rumah baru, dia boleh upah sesiapa saja yang mahir membuat langsir bersama 'railing'nya.

Pilihan yang kedua ialah dengan dia mengunjungi Jakel Trading. Dengan membayar deposit RM100, staf Jakel akan datang ke rumah kita dan membuat ukuran jendela dan pintu kita yang perlu dipasang langsir. Selepas itu, mereka akan membawa balik data ukuran yang telah dibuat dan padankan dengan kain yang kita pilih dan 'come-up with the price'.

Saya sudah membayar deposit RM100 sejak bulan Mei lagi dan mengharapkan staf Jakel dapat datang ukur saiz tingkap dan pintu rumah baru saya dengan segera. Malangnya, rumah saya yang dibuat sedikit renovasi masih belum siap untuk diukur. Minggu lepas, setelah rumah siap barulah staf Jakel datang membuat ukuran.

Hari ini, saya bersama isteri, Kak Long dan Asmaa Solehah ke Jakel Trading sekali lagi untuk mendapatkan 'quotation' harga. Berapakah kos keseluruhan termasuk kain, aluminium, kayu, upah dan sebagainya? Jenis kain memang telah kami pilih sejak dulu lagi iaitu semasa membuat bayaran deposit RM100.

Setelah bersemuka dengan Puan Tini untuk memberi penjelasan tentang kelabuhan langsir dan sebagainya, beliaupun meminta diri untuk mengira jumlah kos yang akan dikenakan kepada kami.

Sementara menunggu beliau, saya berkata kepada isteri betapa ramainya staf yang bekerja di Jakel Trading di Bandar Baru Uda ini. Semuanya pada mataku, beragama Islam. Stafnya pula pada tanggapanku tidak kurang dari 100 orang. Mungkin mencapai dua tiga ratus yang memenuhi 3 tingkat bangunan yang begitu panjang. Di kawasan parkir pula ada lagi yang berada di bawah khemah menjual permaidani.

Banyaknya pahala Jakel menyediakan peluang pekerjaan kepada orang Islam tanahair.

Setelah lama menunggu sehingga terlelap aku dibuatnya maka Puan Tinipun datang menunjukkan jumlah kos 'curtain, railings and blind' yang perlu kami bayar untuk rumah 'corner lot' kami yang mempunyai 8 bilik tidur. Harganya RM6,511!

Terkejut beruk, kata orang. Tapi taklah terkejut mana sangatpun kerana ada orang dah datang rumah menawarkan harga RM4,200 untuk melakukannya tanpa menunjukkan jenis kain dan sebagainya.

Ini kainnya kita dah siap pilih.

"Kalau Encik nak diskaun, nanti saya panggil bos saya", tanya Puan Tini. Sambil menunggu saya berkata kepada Kak Long, kalau dapat 'reduce' RM1,000pun dah cukup baik.

Kemudian bosnya pun datang, aku bersalaman dengannya sambil mengucapkan selamat berpuasa.

"Tak nak pakai lepas puasa kan? Lambat sikitpun tak apa kan? Ok, kalau gitu... Kalau saya beri 10%pun susah juga. Apa kata kalau saya kira 'lump sum' semua sekali sebanyak RM5,000", tegas bos sambil memicit-micit papan 'calculator'.

"Tapi kena bayar separuh dulu sebagai deposit, boleh?", sambung bos lagi.

Aku mengangguk, tanda bersetuju.

Aku hanya mengharapkan potongan sebanyak seribu aje tetapi alhamdulillah...

Sunday, July 14, 2013

Panduan Kepada Mereka Yang Ingin Melunaskan Pinjaman Rumah

Diceritakan pengalaman saya ketika ingin melangsaikan hutang rumah dengan Bank Rakyat... Moga menjadi pedoman kepada mereka yang berkenaan.

Kita boleh menggunakan EPF isteri untuk melunaskan pinjaman rumah si suami. Itupun kalau isteri bersetuju. Apa yang penting si isteri perlu membawa satu salinan 'sale and purchase agreement' ke pejabat EPF, surat/kad kahwin dan surat baki hutang dari pihak bank.

Lebih kurang 2 minggu kemudian cek akan dikeluarkan.

Setelah mendapat cek, saya dan isteri pergi ke Bank Rakyat dan memaklumkan kepada pegawai bank (Bahagian Pinjaman Perumahan) untuk melunaskan pinjaman rumah saya.

Pegawai bank tersebut memaklumkan bahawa untuk melunaskan pinjaman rumah tidak semudah seperti yang kita fikirkan. Kita perlu melantik peguam (lawyer). Apa yang terbayang dalam kepala saya ialah 'duit lagi'.....

Pada pemikiran saya, apa yang susahnya... orang dah nak 'settle', terima ajelah.

Rupanya, banyak urusan pihak peguam perlu selesaikan dengan pejabat tanah untuk menamatkan cagaran dan mengeluarkan geran tanah baru dan sebagainya.

Saya menanyakan pihak bank berapa kos untuk melantik peguam. Beliau dengan selamba menjawab RM3 ribu. Habis melayang tiga ribu ringgit duit aku...

Ha. Yang ni saya nak tuan-tuan ambil perhatian.

Seboleh-bolehnya cuba anda cari anak-anak kawan kita yang menjadi peguam. Tetapi tidak semua peguam membuat kerja ini tetapi majoritinya membuat kerja ini kerana ia adalah 'easy money'...tak perlu keluar masuk 'court' dan surat menyuratnyapun adalah standardized.

Saya mendapat seorang iaitu Bint Huda binti Muhammad Ghazali. Huda berkhidmat dengan syarikat peguam Sazira.

Apabila bertanyakan kos yang bakal saya bayar kepada Huda, beliau memaklumkan bahawa saya akan dikenakan 'fee' sebanyak RM600. Jauh bezakan RM3,000 dengan RM600?

Itupun apabila ingin membayar 'fee' saya mendapat potongan lagi RM50 kerana saya mengenali peguam Sazira dan suaminya Anuar.

Intipati yang boleh diambil di sini ialah jangan sekali-kali terus menerima peguam dari pihak bank. Cari sendiri peguam yang kita kenali. Moga ia bermanfaat!

Monday, July 8, 2013

Peristiwa Petang Tadi...

Jam sudah menunjukkan pulul 1.16 pagi. Mataku masih tidak mahu lelap. Mungkin kerana bilikku banyak nyamok. Mungkin juga udara agak panas. Dan yang pasti aku teringat tentang cerita yang dibangkitkan oleh Pengarah Pusat Kaunseling UTM apabila kami turun dari Masjid Sultan Ismail seusai solat Asar petang tadi.

Prof Madya Dr Sharif, Pengarah Pusat Kaunseling adalah tidak asing bagiku kerana kami pernah sama-sama menjadi pengetua kolej kediaman UTM suatu masa dulu.

Tujuan beliau menceritakan pengalaman menghadiri bengkel bersama anggota polis, jururawat, guru kaunselor dan beberapa golongan profesional lain,... aku agak mungkin untuk meluahkan perasaannya. Mungkin juga untuk memberi gambaran betapa teruknya masyarakat masa kini.

Aku pula terpaksa menulis di sini supaya ibubapa berwaspada dan menjaga tingkah laku anak-anak mereka, termasuk jugalah anak-anakku.

Ada 3 cerita yang sempat beliau jelaskan kepada kami.

Sebenarnya aku tengah bersembang dengan Prof Madya Dr Mahmud Jusan tentang rumah. Kemudian Dr Sharif datang sebelum menuju ke kereta yang diletakkan di tepi masjid.

Cerita pertama yang dikongsikan ialah berkaitan seorang pelajar berumur 14 tahun yang dijangkiti HIV. Bagaimana pelajar ini boleh dijangkiti HIV? Adakah dia berkongsi jarum untuk menyuntik dadah?

Kebiasaannya begitulah kuman HIV merebak tetapi pelajar tersebut tidak pernah mengambil dadah. Menurut pelajar tersebut, dia mengenali perempuan (pelacur) melalui internet dan telah melakukan hubungan seks dengannya.

Cerita kedua ialah berkaitan sepasang kekasih yang telah terlanjur dan mengandung. Si lelaki ingin bertanggungjawab dan ingin berkahwin dengan perempuan tersebut. Malangnya si perempuan didapati positif HIV. Apa lagi... si lelaki terus lari dan meninggalkan perempuan tersebut.

Dan cerita yang terakhir yang mana menurut Dr Sharif merupakan satu fenomena yang semakin berkembang ialah gejala homoseksual.

Sepasang suami isteri mempunyai seorang anak tunggal. Si anak ini boleh dikatakan 'straight A's student'. Cerdik dan 'handsome'! Dipendekkan cerita didapati anaknya mengidap penyakit Aids. Si anak telah melakukan hubungan seks sesama lelaki dengan kawannya. Dikhabarkan si ayah jatuh pengsan apabila mendapat tahu anak tunggalnya positif HIV.

Di rumah kita didik anak-anak sebaik mungkin. Begitu juga di sekolah, ustaz dan ustazah mengasuh dan mengajar anak-anak kita tentang halal haram dan sebagainya.

Yang kita tidak dapat kawal ialah akhbar, majalah, dan internet yang suka membuat cerita-cerita sensasi demi mengaut keuntungan. Ahli politikpun suka agenda liwat. Seingat aku sekitar tahun 70an dan awal 80an, cerita liwat tidak pernah menjadi cerita muka depan akhbar.

Budak-budak, mereka suka mencuba. Apatah lagi jika agama sudah tidak dipedulikan lagi maka keseronokan akan menjadi agenda utama.

Mungkin cerita-cerita ini yang membuatkan aku tidak dapat tidur.

Wahai anak-anakku dan anak-anak yang lain, jauhilah perkara-perkara seperti ini kerana apabila kita terjebak maka menangis air mata darahpun sudah tidak berguna lagi.

Thursday, July 4, 2013

4 Julai 2013



Aku penin…
Bakpo mun tak sir
Kerajae come
Tak dok rasuah
Tak dok duk nok kaut harto
Semua come lote

Aku penin…
Mun ore arab
Pahe bahasa qur’e
Tapi tak sir Isle
Suka jahe tuke

Aku penin…
Mun tak ingat zame Mubarak
Harto negaro jadi harto dio
Mun tak ingat zame Mubarak
Rama ore keno igat
Mun tak ingat zame Mubarak
Rama ore hidup merano

Aku penin…
Bakpo weh
Tolo sangat mun ni
Bodo bedoah
Tak tahu aroh

Aku penin…
Ore duk tunggu
Nok buat contoh
Baru setahun
Mun doh perutoh

Aku penin…
Tengok negaro arab
Kato Arab Spring
Tapi se pun tak jadi begapo
Serumo hampo

Aku penin…
Tengok negaro arab
Dari Peraun
Nok balik ko Peraun

Aku penin…
Aku penin…
Aku penin…  

Tuesday, July 2, 2013

Antara Menjaga Status RU Atau Menjaga Periuk Nasi Pensyarah?

'Research University' (RU) merupakan suatu status yang perlu dijaga untuk mempastikan peruntukan penyelidikan yang diperolehi oleh sesebuah universiti tersebut tidak ditarik balik oleh MOHE (nama dulu Ministry of Higher Education). Sekarang setelah sekolah dan universiti berada di bawah satu kementerian maka namanya telah bertukar. Kalau tak silap saya, sekarang sudah menjadi Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.

UKM, UPM, UM, dan UTM masing-masing sudah bergelar RU. USM memang sudah ke depan dengan panggilan 'APEX university'.

Kita tidak menentang atau menghalang universiti untuk terus maju. Panggillah apapun, janji ia tidak memperjudi nasib anak-anak kita untuk terus berpeluang untuk memasuki universiti ternama negara. Kita tidak mahu universiti tersohor negara hanya dipenuhi majoritinya oleh pelajar-pelajar asing kerana kita kata kita sibuk membuat penyelidikan dengan pelajar-pelajar asing.

Kriteria kemasukan pelajar kita ke universiti tempatan tersohor dinaikkan sikit sehingga ada satu jabatan di sebuah universiti hanya menerima pelajar-pelajar yang mendapat 'four flat' saja semasa matrikulasi!

Pelajar luar negara tak pasti pula bagaimana 'performance' atau kriteria kemasukan mereka ke universiti kita. Yang pasti ada 2 orang pelajar dari benua Afrika (Somalia) yang saya ajar memang teruk pencapaiannya!

Kalau pelajar negara kita ada 29 orang dan dicampur dengan seorang pelajar luar negara maka komunikasi pengajaran dan pembelajaran (P & P) mesti dibuat dalam bahasa inggeris. Sekali tengok, kesian kepada pelajar-pelajar kita kerana disebabkan oleh seorang maka mereka terpaksa belajar dalam bahasa yang mereka kurang mahir. Kita korbankan kefahaman 29 orang hanya kerana seorang pendatang asing dalam kelas!

Tetapi jika kita positif, kita boleh katakan bahawa pelajar-pelajar negara kita akan terpaksa belajar bahasa inggeris. Ini kebaikan untuk mereka juga. Kebolehan kita bertutur dan menulis dalam banyak bahasa adalah suatu kelebihan!

Apa yang saya ingin timbulkan di sini ialah adakah wajar sesebuah universiti menahan penghijrahan seseorang pensyarah IPTA ke sebuah IPTA yang lain?

Saya mengenali beberapa orang pensyarah yang telah mendapat tawaran kenaikan pangkat dari IPTA yang lain. Mereka ingin berpindah ke universiti tersebut tetapi universiti tempat mereka berkhidmat sekarang tidak membenarkannya. Alasannya ialah untuk menjaga bilangan pensyarah yang mempunyai 'doctorate'! Kalau peratus pensyarah yang mempunyai PhD berkurangan maka universiti tersebut akan terjejas dari aspek 'ranking' dan sebagainya.

Kenapa ada IPTA lain yang sanggup 'offer' pensyarah tersebut pangkat profesor jika pensyarah tersebut tidak berkualiti? Kalaulah kita sayangkan sangat pensyarah tersebut kenapa kita tidak membuat 'counter offer'?

Masalah yang dihadapi oleh pensyarah ialah untuk mendapat kenaikan pangkat di universiti sekarang adalah mustahil kerana kriteria yang begitu tinggi yang telah diletakkan. Kadang-kadang golnya pula bergerak dan agak sukar untuk mereka menyumbat gol. Ia tidak sesenang dulu lagi. Ini disebabkan oleh status RU yang telah kita capai maka kawalan ketat dibuat untuk mendapat 'promotion'. Dan beruntunglah orang-orang terdahulu...

Pada saya, biar ajelah pensyarah yang telah mendapat tawaran itu berpindah. Dia bukan ke sektor swasta seperti IPTS ke tetapi ke IPTA juga... Sekurang-kurangnya kepakaran yang dia ada dapat disumbangkan kepada universiti baru tersebut. Biarkan dia bangunkan universiti baru itu menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti universitinya sekarang atau lebih baik lagi.

Kalau dibiarkan dia kekal di universiti lama, produktivitinya sudah menurun. Apa taknya kalau gaji dah 10 tahun 'terlanggar dinding'. Dia hanya akan membuat kerja rutin saja... tiada lagi kreativiti dan inovasi!

Kalau kita ingin berkeras memang boleh iaitu dengan membuat peraturan bahawa kalau pensyarah ingin juga berpindah maka dia perlu meletakkan jawatan dari universitinya sekarang. Tetapi tidakkah kita berlaku zalim kepada anak bangsa sendiri yang ingin mendapat sedikit pengiktirafan?

Biarlah mereka pergi dengan baik... Setidak-tidaknya mereka tidak berpatah arang dengan kita. Kita akan dikenang buat selama-lamanya!

Sebaliknya pula, kita sebagai sebuah universiti RU maka pandai-pandailah memasang strategi untuk memancing pensyarah-pensyarah berkaliber dari universiti lain pula, baik dari dalam mahupun luar negara. Barulah ilmu itu berkembang dan tidak statik.

Contohilah negara-negara barat yang mana pensyarah di sana begitu 'mobile'. Empat lima tahun di universiti ini, kemudian berpindah ke universiti lain pula dan seterusnya. Sesetengahnya ada yang berpindah merentasi sempadan negara!