Jam sudah menunjukkan pulul 1.16 pagi. Mataku masih tidak mahu lelap. Mungkin kerana bilikku banyak nyamok. Mungkin juga udara agak panas. Dan yang pasti aku teringat tentang cerita yang dibangkitkan oleh Pengarah Pusat Kaunseling UTM apabila kami turun dari Masjid Sultan Ismail seusai solat Asar petang tadi.
Prof Madya Dr Sharif, Pengarah Pusat Kaunseling adalah tidak asing bagiku kerana kami pernah sama-sama menjadi pengetua kolej kediaman UTM suatu masa dulu.
Tujuan beliau menceritakan pengalaman menghadiri bengkel bersama anggota polis, jururawat, guru kaunselor dan beberapa golongan profesional lain,... aku agak mungkin untuk meluahkan perasaannya. Mungkin juga untuk memberi gambaran betapa teruknya masyarakat masa kini.
Aku pula terpaksa menulis di sini supaya ibubapa berwaspada dan menjaga tingkah laku anak-anak mereka, termasuk jugalah anak-anakku.
Ada 3 cerita yang sempat beliau jelaskan kepada kami.
Sebenarnya aku tengah bersembang dengan Prof Madya Dr Mahmud Jusan tentang rumah. Kemudian Dr Sharif datang sebelum menuju ke kereta yang diletakkan di tepi masjid.
Cerita pertama yang dikongsikan ialah berkaitan seorang pelajar berumur 14 tahun yang dijangkiti HIV. Bagaimana pelajar ini boleh dijangkiti HIV? Adakah dia berkongsi jarum untuk menyuntik dadah?
Kebiasaannya begitulah kuman HIV merebak tetapi pelajar tersebut tidak pernah mengambil dadah. Menurut pelajar tersebut, dia mengenali perempuan (pelacur) melalui internet dan telah melakukan hubungan seks dengannya.
Cerita kedua ialah berkaitan sepasang kekasih yang telah terlanjur dan mengandung. Si lelaki ingin bertanggungjawab dan ingin berkahwin dengan perempuan tersebut. Malangnya si perempuan didapati positif HIV. Apa lagi... si lelaki terus lari dan meninggalkan perempuan tersebut.
Dan cerita yang terakhir yang mana menurut Dr Sharif merupakan satu fenomena yang semakin berkembang ialah gejala homoseksual.
Sepasang suami isteri mempunyai seorang anak tunggal. Si anak ini boleh dikatakan 'straight A's student'. Cerdik dan 'handsome'! Dipendekkan cerita didapati anaknya mengidap penyakit Aids. Si anak telah melakukan hubungan seks sesama lelaki dengan kawannya. Dikhabarkan si ayah jatuh pengsan apabila mendapat tahu anak tunggalnya positif HIV.
Di rumah kita didik anak-anak sebaik mungkin. Begitu juga di sekolah, ustaz dan ustazah mengasuh dan mengajar anak-anak kita tentang halal haram dan sebagainya.
Yang kita tidak dapat kawal ialah akhbar, majalah, dan internet yang suka membuat cerita-cerita sensasi demi mengaut keuntungan. Ahli politikpun suka agenda liwat. Seingat aku sekitar tahun 70an dan awal 80an, cerita liwat tidak pernah menjadi cerita muka depan akhbar.
Budak-budak, mereka suka mencuba. Apatah lagi jika agama sudah tidak dipedulikan lagi maka keseronokan akan menjadi agenda utama.
Mungkin cerita-cerita ini yang membuatkan aku tidak dapat tidur.
Wahai anak-anakku dan anak-anak yang lain, jauhilah perkara-perkara seperti ini kerana apabila kita terjebak maka menangis air mata darahpun sudah tidak berguna lagi.
No comments:
Post a Comment