'Research University' (RU) merupakan suatu status yang perlu dijaga untuk mempastikan peruntukan penyelidikan yang diperolehi oleh sesebuah universiti tersebut tidak ditarik balik oleh MOHE (nama dulu Ministry of Higher Education). Sekarang setelah sekolah dan universiti berada di bawah satu kementerian maka namanya telah bertukar. Kalau tak silap saya, sekarang sudah menjadi Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.
UKM, UPM, UM, dan UTM masing-masing sudah bergelar RU. USM memang sudah ke depan dengan panggilan 'APEX university'.
Kita tidak menentang atau menghalang universiti untuk terus maju. Panggillah apapun, janji ia tidak memperjudi nasib anak-anak kita untuk terus berpeluang untuk memasuki universiti ternama negara. Kita tidak mahu universiti tersohor negara hanya dipenuhi majoritinya oleh pelajar-pelajar asing kerana kita kata kita sibuk membuat penyelidikan dengan pelajar-pelajar asing.
Kriteria kemasukan pelajar kita ke universiti tempatan tersohor dinaikkan sikit sehingga ada satu jabatan di sebuah universiti hanya menerima pelajar-pelajar yang mendapat 'four flat' saja semasa matrikulasi!
Pelajar luar negara tak pasti pula bagaimana 'performance' atau kriteria kemasukan mereka ke universiti kita. Yang pasti ada 2 orang pelajar dari benua Afrika (Somalia) yang saya ajar memang teruk pencapaiannya!
Kalau pelajar negara kita ada 29 orang dan dicampur dengan seorang pelajar luar negara maka komunikasi pengajaran dan pembelajaran (P & P) mesti dibuat dalam bahasa inggeris. Sekali tengok, kesian kepada pelajar-pelajar kita kerana disebabkan oleh seorang maka mereka terpaksa belajar dalam bahasa yang mereka kurang mahir. Kita korbankan kefahaman 29 orang hanya kerana seorang pendatang asing dalam kelas!
Tetapi jika kita positif, kita boleh katakan bahawa pelajar-pelajar negara kita akan terpaksa belajar bahasa inggeris. Ini kebaikan untuk mereka juga. Kebolehan kita bertutur dan menulis dalam banyak bahasa adalah suatu kelebihan!
Apa yang saya ingin timbulkan di sini ialah adakah wajar sesebuah universiti menahan penghijrahan seseorang pensyarah IPTA ke sebuah IPTA yang lain?
Saya mengenali beberapa orang pensyarah yang telah mendapat tawaran kenaikan pangkat dari IPTA yang lain. Mereka ingin berpindah ke universiti tersebut tetapi universiti tempat mereka berkhidmat sekarang tidak membenarkannya. Alasannya ialah untuk menjaga bilangan pensyarah yang mempunyai 'doctorate'! Kalau peratus pensyarah yang mempunyai PhD berkurangan maka universiti tersebut akan terjejas dari aspek 'ranking' dan sebagainya.
Kenapa ada IPTA lain yang sanggup 'offer' pensyarah tersebut pangkat profesor jika pensyarah tersebut tidak berkualiti? Kalaulah kita sayangkan sangat pensyarah tersebut kenapa kita tidak membuat 'counter offer'?
Masalah yang dihadapi oleh pensyarah ialah untuk mendapat kenaikan pangkat di universiti sekarang adalah mustahil kerana kriteria yang begitu tinggi yang telah diletakkan. Kadang-kadang golnya pula bergerak dan agak sukar untuk mereka menyumbat gol. Ia tidak sesenang dulu lagi. Ini disebabkan oleh status RU yang telah kita capai maka kawalan ketat dibuat untuk mendapat 'promotion'. Dan beruntunglah orang-orang terdahulu...
Pada saya, biar ajelah pensyarah yang telah mendapat tawaran itu berpindah. Dia bukan ke sektor swasta seperti IPTS ke tetapi ke IPTA juga... Sekurang-kurangnya kepakaran yang dia ada dapat disumbangkan kepada universiti baru tersebut. Biarkan dia bangunkan universiti baru itu menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti universitinya sekarang atau lebih baik lagi.
Kalau dibiarkan dia kekal di universiti lama, produktivitinya sudah menurun. Apa taknya kalau gaji dah 10 tahun 'terlanggar dinding'. Dia hanya akan membuat kerja rutin saja... tiada lagi kreativiti dan inovasi!
Kalau kita ingin berkeras memang boleh iaitu dengan membuat peraturan bahawa kalau pensyarah ingin juga berpindah maka dia perlu meletakkan jawatan dari universitinya sekarang. Tetapi tidakkah kita berlaku zalim kepada anak bangsa sendiri yang ingin mendapat sedikit pengiktirafan?
Biarlah mereka pergi dengan baik... Setidak-tidaknya mereka tidak berpatah arang dengan kita. Kita akan dikenang buat selama-lamanya!
Sebaliknya pula, kita sebagai sebuah universiti RU maka pandai-pandailah memasang strategi untuk memancing pensyarah-pensyarah berkaliber dari universiti lain pula, baik dari dalam mahupun luar negara. Barulah ilmu itu berkembang dan tidak statik.
Contohilah negara-negara barat yang mana pensyarah di sana begitu 'mobile'. Empat lima tahun di universiti ini, kemudian berpindah ke universiti lain pula dan seterusnya. Sesetengahnya ada yang berpindah merentasi sempadan negara!
Saya setuju tentang kelonggaran kepada staf akademik berpindah dari satu universiti ke universiti lain. Fakulti lebih fresh dengan muka baru, dengan pengalaman baru, dengan kepakaran baru.
ReplyDelete