Monday, November 30, 2009

Beberapa 'Tips' Apabila Berlaku Kemalangan Kenderaan


Dewasa ini kebanyakan kita mempunyai kenderaan sendiri. Kalau dulu sebuah rumah hanya ada sebuah kereta dan mungkin sebuah motorsikal sebagai tambahan. Tetapi sekarang, dua atau tiga kereta bagi sesebuah keluarga sudah menjadi lumrah dan merupakan keperluan.

Arwah ibu dan ayah saya tidak pernah memiliki apa-apa kenderaan. Hanya berjalan kaki dan menaiki kenderaan awam untuk ke mana-mana.

Apabila kenderaan banyak di jalanraya mahu tidak mahu, pasti berlaku kemalangan. Jalanraya di Malaysia mengikut sesetengah pendapat adalah medan peperangan. Tidak pernah sehari tanpa ada jiwa terkorban!

Kadang-kadang kita yang bersalah tetapi acapkali orang lain yang bersalah apabila kita sentiasa memulakan perjalanan dengan doa, "Subha nallazi sakharalana haza wama kunna lahu mukrinin, Wainna ila rabbina lamunqalibun". Cuba renung balik, apabila berlaku kemalangan adakah kita membaca doa sebelum kita memulakan perjalanan? Pastinya tidak!

Setelah berlaku kemalangan, tidak kira samaada kita salah atau orang lain salah, kita seboleh-bolehnya perlu mengambil gambar kejadian tersebut. 'Handphone' berkamera boleh digunakan. Bagaimana kedudukan jalan, kereta kita dan kereta dia, dan sebagainya. Ini adalah bukti yang kukuh...

Sayugia diingatkan apabila laporan dibuat kepada pihak polis, polis akan menjalankan penyiasatan dan pihak yang bersalah akan dikenakan denda sebanyak RM300.

Oleh itu, jika kemalangan itu kecil dan tidak melibatkan kos pembaikan yang besar, seelok-eloknya kita cuba berunding dengan pihak yang satu lagi sama ada boleh dibayar gantirugi saja tanpa membuat laporan polis. Kalau setakat tiga empat ratus, saya rasa masih berbaloi berbanding dengan bayaran denda kesalahan kemalangan saja sudah RM300. Itu jika kita yang salah!

Kalau dia yang salah seperti van yang dipandu isteri saya dilanggar pada minggu lepas dan setelah cuba berunding tetapi pakcik yang melanggar masih menekankan supaya masing-masing membaiki kenderaan masing-masing. Maka jalan seterusnya ialah membuat laporan polis. Ingat! tanpa laporan polis kenderaan kita tidak dapat dibaiki dengan menggunakan insuran dia ataupun kita.

Apabila kita membuat laporan polis, pihak polis tidak akan mengesahkan kita yang betul selagi mereka tidak mendapat laporan dari pihak sebelah lagi. Ingin diingatkan juga, kedua-dua pihak perlu membuat laporan dalam masa 24 jam.

Jika kenderaan kita mempunyai insuran komprehensif (1st party), masalah untuk membaikinya tidak begitu susah. Kalau kita yang salah, pihak insuran akan 'cover' kedua-dua kereta, kita dan dia. Tetapi jika insuran kita '3rd party' dan kita yang salah, insuran kita akan digunakan untuk membaiki kereta yang kita langgar tadi.

Sebaliknya pula, kalau kenderaan yang satu lagi bersalah, insuran dia akan digunakan untuk membaiki kereta kita.

Hari ini apabila saya dan isteri ke Balai Polis Taman Tun Aminah untuk mendapatkan laporan lengkap kemalangan tempohari, kita perlu membayar RM12. Apa yang ada dalam laporan lengkap 4 muka surat itu?

i) Satu muka surat ialah keputusan kesalahan yang telah dijatuhkan oleh polis kepada pesalah dan jumlah denda RM300 yang dikenakan.
ii) Rajah lokasi tempat kemalangan.
iii) Laporan polis yang dibuat oleh isteri saya.
iv) Laporan polis yang dibuat oleh orang yang melanggar isteri saya.

Apabila mendapat laporan tersebut, isteri saya melihat nombor kad pengenalan pakcik yang melanggarnya. "Pakcik ni, 2 hari lebih tua dari ayah", maklum isteriku. Ayahnya lahir pada 4/4/1944.

Nampak rasa kesian di raut wajah isteriku terhadap pakcik yang melanggarnya. Tetapi bagiku, aku masih ingat gelagat pakcik dan isterinya semasa hari tersebut. Usahkan nama dan alamat, aku minta nombor telefonpun tidak mahu diberinya...

Saturday, November 28, 2009

Adat Pinjam Meminjam...


Pinjam meminjam merupakan perkara biasa dalam kehidupan bermasyarakat. Jarang kita lihat mereka yang tidak meminjam. Tetapi saya pernah dimaklumkan bahawa ada seorang hamba Allah di sebuah fakulti UTM tidak meminjam untuk membeli rumah mahupun kenderaan kerana untuk mengelakkan daripada riba. Akhirnya, berjaya juga dia memiliki rumah dan kenderaan.

Islam menyuruh kita menulis atau mencatit peminjaman. Siap dengan saksi-saksinya... Begitu halus dan terperincinya ugama kita.... Jarang manusia yang tidak ingin menjelaskan pinjaman apabila dia berkemampuan.

Saya sendiri meminjam dari sahabat saya Prof Madya Dr Zaharuddin sebanyak RM9,800 untuk membayar pendahuluan rumah sekitar tahun 1998. Saya mencatit di sekeping kertas. Prof Madya Dr Rosbi dan seorang lagi yang saya sudah tidak ingat lagi nama dan rupanya menjadi saksi diatas peminjaman tersebut. Alhamdulillah, pinjaman itu telah saya jelaskan.

Dua tiga minggu lepas, saya dikejutkan dengan berita pinjaman RM1,000 yang dibuat oleh kakak saya kepada abang sulung saya, bagi majlis akad nikah saya pada tahun 1988 masih belum dijelaskan. Tanpa lengah, saya terus membayar RM1,500 kepada abang sulung saya. Walaupun rasanya sudah dibayar tetapi demi persaudaraan adik beradik, apa salahnya dibayar sekali lagi...

Hutang walau sekecil manapun perlu dijelaskan apabila kita mampu. Kadang-kadang kita alpa, pinjaman yang diberikan dijadikan harta sendiri.... Astaqfirullah.

Saya pernah mendengar sebuah organisasi dipinjamkan satu platform untuk membantu mangsa penganiayaan dan kezaliman Israel terhadap Palestin tetapi mereka telah menjadikan platform tersebut seperti hartanya sendiri dan tidak mahu dipulangkan kepada pemilik asalnya. Betapa tiada keberkatannya organisasi ini.... Astaqfirullahil 'Azim!

Allahumma, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung padaMu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.

Allahumma, sesungguhnya aku berlindung padaMu dari kekafiran dan kefakiran. Allahumma, aku berlindung kepadaMu dari azab kubur; tidak ada Tuhan selain Engkau.

Thursday, November 26, 2009

Beberapa Perkara Sunnah Perihal Hari Raya Haji...


Solat kedua-dua Hari Raya (Raya Puasa dan Raya Haji) disyariatkan pada tahun pertama dari hijrah Rasulullah (SAW). Hukumnya ialah sunat mu'akkad. Beberapa perkara sunnah yang elok kita lakukan ialah;

a) sunat mandi, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang terbaik. "Bahawa Nabi (SAW) memakai baju buatan Yaman yang indah pada tiap Hari Raya." (Syafi'i dan Baghawi)

b) tidak makan dahulu sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Hari Raya Haji dan sebaliknya pula untuk Hari Raya Puasa. Pada Hari Raya Puasa disunatkan memakan beberapa biji kurma dengan jumlah yang ganjil sebelum pergi mengerjakan solat Hari Raya. "Nabi (SAW) tidak berangkat pada waktu solat 'Idul fitri sebelum makan dahulu, dan tidak makan pula waktu 'Idul Adha sebelum pulang." (Turmudzi dan Ibnu Majah)

c) beramai-ramai menyertai solat Hari Raya, baik kanak-kanak mahupun wanita. Wanita yang haid juga digalakkan hadir tetapi menjauhi dari tempat solat. "Kami diperintahkan untuk mengeluarkan semua gadis dan wanita yang haid pada kedua Hari Raya, agar mereka dapat menyaksikan kebaikan hari itu, juga doa dari kaum Muslimin. Hanya sanya supaya wanita-wanita yang haid menjauhi tempat solat." (Bukhari dan Muslim)

d) pergi dan balik masjid dari jalan yang berbeza. "Apabila Nabi (SAW) pergi solat hari raya, maka ketika pulang beliau menempuh jalan yang berlainan dengan di waktu perginya." (Ahmad, Muslim dan Turmudzi)

Gugur Kewajipan Solat Jumaat Apabila Telah Solat Raya...


Apabila Hari Raya jatuh pada hari Jumaat, maka gugurlah kewajipan solat Jumaat bagi mereka yang telah mengerjakan solat Hari Raya.

Ini berdasarkan hadis dari Zaid bin Arqam, "Nabi (SAW) bersembahyang hari raya, kemudiannya memberi kelongggaran dalam mengerjakan solat Jumaat. Sabda beliau, "Siapa yang suka bersembahyang Jumaat, maka bersembahyanglah!"

Juga dari Abu Hurairah (RA) bahawa Nabi (SAW) bersabda, "Pada harimu ini (Jumaat), telah berkumpul dua hari raya. Maka barangsiapa yang ingin solat hari rayanya ini sudah mencukupi solat Jumaatnya. Hanya kami akan tetap melakukan solat Jumaat" (Riwayat Abu Daud).

Oleh itu, maka janganlah kita mudah menuduh mereka yang tidak pergi solat Jumaat dengan tuduhan yang bukan-bukan. Mereka mungkin berpegang kepada ruksah yang telah dinyatakan dalam hadis di atas.

Sunday, November 22, 2009

Menembak M-16 Di Lapangsasar PULADA


Sebelum 7 pagi tadi, aku sudah berada di Markas PALAPES kerana telah berjanji dengan Lt. Kol. Hj Samsudin, Ketua Jurulatih (Chief Instructor atau dipanggil C.I aje) untuk ke Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) bagi acara menembak.

Setiba di Markas, nasi lemak bersama sambal tumis ikan bilis dan telur rebus sudah tersedia. Apa lagi? Berselera sekali aku memakannya. Aku memang suka makanan 'ration' askar berbanding dengan sesetengah anggota tetap. Sepanjang latihan, memang tidak 'missed' aku menjamah masakan kawah askar.

Kemudian, C.I menelefonku mengatakan beliau akan ke tempat menembak mortar dengan menaiki Pajero. Hari ini, kadet peringkat Senior akan menembak mortar. Aku diarahkan C.I untuk menaiki staf car (ZD 4340) bersama Ajutan ke lapangsasar M-16. Peringkat Intermediate dan Junior akan menembak M-16.

Selesai kadet membuat pelarasan dan menembak dalam 4 kedudukan (meniarap, duduk, mencangkung dan berdiri) bagi jarak 100 meter, giliran kami Pegawai Staf pula merasa hentakan 'bud' M-16 ke bahu. Angin agak kuat hari ini dan target yang terpacak, kadang-kadang tegak dan kadang-kadang sendeng.

5 butir yang bertama bagi pelarasan, tembakanku tepat ke sasaran untuk kelima-lima butir peluru. Kemudian, aku menembak 20 butir lagi. Hanya 7 mengenai sasaran kerana angin agak kencang dan papan target bergerak-gerak. Kemudian, aku tembak 10 biji lagi. 8 butir mengenai sasaran, satu tak kena dan satu peluru rosak (stopages).

Walaupun hanya dapat menembak 35 butir peluru tetapi hati merasa puas kerana bukan selalu kita dapat menembak M-16 dengan peluru hidup. Tahun lepas, langsung tidak merasa...

Setelah makan tengahari dan solat zohor di lapangsasar, aku mula bergerak pulang. ZD 4340 menyusur keluar menghampiri pintu masuk PULADA, tiba-tiba telefon berbunyi, "Abah, van ummi kena langgar kat Jusco Taman U!"

Aku hanya mampu mengucap dan beristigfar kerana Kancil yang aku langgar lori pada 7 November tempoharipun masih di 'workshop' lagi...

Saturday, November 21, 2009

Idealisme Seorang Naqib Atau Masul Mithali


Seseorang naqib dipandang tinggi dan mulia oleh anak-anak usrahnya. Setidak-tidaknya seorang insan yang dihormati atau dalam bahasa saya, ditabik atau 'salute' oleh orang bawahannya.

Cara pergaulannya, kekeluargaannya, akhlak dan budi pekertinya, amalannya dan semua ruang lingkup kehidupannya dijadikan qudwah oleh anak buahnya. 'In fact', apabila tiba giliran anak usrahnya pula membawa usrah nanti, pendekatan atau cara naqibnya itulah yang akan ditiru...

Seseorang naqib atau masul disarankan oleh Sheikh Abdul Munaim dalam kitabnya, 'Tazkiratun Naqib' mempunyai ciri-ciri berikut;

a) Memiliki air mata seorang 'abid yang banyak bertahajjud.
b) Ketepatan dan ketajaman panca indera seorang ahli politik yang pintar.
c) Ketangkasan dan kepetahan seorang pendebat.
d) Kewarakan dan tawadhu' seorang alim.
e) Simpati dan belas ihsan seorang ayah.
f) Keberanian dan kegigihan seorang pejuang.
g) Ketelitian seorang faqih.

Konsep Usrah Dan Ciri-Ciri Usrah Yang Berjaya


Usrah di zaman Rasulullah dilakukan di rumah Arqam Abi Arqam.

Antara perkara-perkara yang dibuat dalam usrah adalah merangkumi Majlis Ilmu, Pembinaan Akhlak, Jamaah, Ukhuwwah (sosial) bagi ikatan hati, Taawun (tolong menolong), Bincang Masalah (problem solving), Penyampaian Maklumat Jamaah dan sebagainya.

Unsur-unsur atau elemen-elemen tersebut juga terdapat dalam usrah di zaman Rasulullah. Di kurun ke 20, Sheikh Sayyid Hassan Al-Banna telah mempelopori metod tersebut dan ianya tersebar ke seluruh benua.

Usrah ialah salah satu jalan tarbiyyah dan bukan 'the only way'! Dengan kata lain, tarbiyyah juga boleh dilaksanakan dalam bentuk-bentuk yang lain.

Usrah telah berjaya apabila kita memperolehi perkara-perkara berikut;
1) Timbal-balik. Dapat 'feedback' dari ahli-ahli dan tidak hanya naqib yang bercakap.
2) Rasa bertaut rapat dengan usrah. Sentiasa bersedia dan 'looking forward to' usrah.
3) Peningkatan kefahaman, amalan, akhlaq, ketrampilan, iltizam, dan pengorbanan.
4) Membesar atau bertambah ('budding effect').
5) Wujud muhasabah.
6) Ahli-ahli kritikal dan 'innovative' dalam memberi idea yang membina.
7) Wujud syura.
8) Wujud tsiqah ahli terhadap naqib atau masul.
9) Ukhuwwah amali dan bukan hanya berteori.
10) Tinggi motivasi ('highly-motivated').
11) Ghairah atau rakus terhadap ilmu.

Friday, November 20, 2009

Rukun-Rukun Usrah


Rukun usrah terbahagi kepada 3 iaitu; Taaruf, Tafahum, dan Takaful. Tujuan taaruf atau memperkenalkan diri adalah supaya setiap ahli mengenali rakan seusrahnya secara detail atau terperinci.

Dengan mengenali secara rapat akan tercerna perasaan mahabbah dan ukhuwwah diantara satu sama lain. Tautan atau ikatan hati yang rapat dapat dirasakan dalam semua aspek muamalah sesama ahli ataupun diantara naqib dengan ahli-ahlinya. Ukhuwwah ini dapat diukur bila berada di luar usrah. Macamana hak atau tanggungjawab kita terhadap sahabat dan sebagainya? Dalam usrah kita berteori tetapi di luar usrah kita berpraktikal atau mempraktikkannya.

Tafahum pula ialah tentang kefahaman Islam. Macamana fikrah kita? Macamana kita saling faham memahami diantara satu sama lain? Kita mempunyai 'sibgrah' yang seragam dan fikrah yang jelas. Sebagai contoh, apabila kita menilai sesuatu isu, ahli dari UK, Malaysia, dan USA memberi penilaian yang lebih kurang sama walaupun geografikalnya berbeza.

"Streotyping" dalam usrah adalah satu 'fault' dalam Islam yang perlu dibenteraskan. Dengan kata lain, kita tidak mahu sebelum usrah seseorang itu berani berhujjah tetapi selepas berusrah, bertukar menjadi lesu dan longlai atau semuanya "tawadhu'". Contohnya, Sifat keberanian Saidina Umar sebelum dan selepas beliau menganut Islam terus dikekalkan.

Kita juga secara konsisten akan memberi muhasabah dan diberi muhasabah oleh naqib atau sesama ahli dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan kualiti diri.

Takaful pula ialah kita saling tolong menolong (taawun) sesama ahli. Maksudnya, apabila kita menghadapi masalah, mereka yang pertama mengetahui masalah kita adalah ahli seusrah kita dan bukannya orang lain suku sakat. Seterusnya, kita berusaha sedaya mungkin untuk menyelesaikannya...

Thursday, November 19, 2009

Ayah & Ibu Mengiringi Anak-Anak SMIH Menghadapi SPM



Semalam 18 November 2009, anak-anak SMIH seperti anak-anak lain di seluruh negara menghadapi hari pertama peperiksaan SPM mereka.

Cuma mungkin perbezaannya ialah anak-anak SMIH diiringi guru-guru, pelajar-pelajar SMIH sendiri dan ibubapa mereka ke tangga bilik peperiksaan...

Jam 7.30 pagi semalam, sudah ramai yang berkumpul di Dataran Hidayah. Ibubapa yang anaknya menduduki peperiksaan, ibubapa yang anaknya tidak mengambil SPM, guru-guru, serta adik-adik junior turut sama berkumpul bagi memberi sokongan moral kepada anak-anak yang akan menghadapi SPM.

Mereka diberi kata-kata perangsang terakhir oleh Pengetua, Ustazah Hjh Kamaliah Nordin. Kemudiannya, Abdullah Zubayr Aizaini, Ketua Pelajar memimpin bacaan doa untuk mereka semua.

Semua 117 orang calon nampak begitu ceria kecuali seorang banat yang sakit perut, mungkin tersalah makan. Huda, anak Prof Dr Arshad nampak mengalir air mata, mungkin terharu dengan sokongan moral yang diberikan oleh pakcik-pakcik dan makcik-makcik.

Anak-anak Tingkatan 3 yang akan membuat lawatan ke Negeri Sembilan dan Melaka turut berkumpul beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada abang-abang dan kakak-kakak mereka.

Terdapat juga beberapa 'banner' yang mengiringi mereka dengan doa... Semoga mereka semua berjaya dengan cemerlang!

Itulah Hidayah. Sekolah Anakku... Sekolah Ayah dan Sekolah Ibumu jua!

Tuesday, November 17, 2009

Usrahku Semasa Menjadi Pengetua Kolej Bersambung Kembali...


Alhamdulillah usrah yang pernah ku asaskan di Kolej 16 & 17 dulu, kini bersambung kembali. Jam 9pm tadi, aku bersama Firdaus dan Muhaimin memulakan kembali usrah yang pernah kami lalui lebih 2 tahun dulu.

Masa di kolej dulu, aku anjurkan usrah bagi Felo, Pembantu Felo dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM). Dari segi tempat, aku 'rotate' di rumahku dan rumah felo-felo. Ustaz Ahmad Kilani Mohamad pernah ku undang untuk menyampaikan bahan dalam usrah kami. Khabarnya, selepas aku berhenti dari menjadi pengetua, program berlangsung buat seketika dan kemudiannya mati.

Tadi kami mulakan dengan bacaan Surah Al-Baqarah 5 ayat seorang dan kemudian Muhaimin membaca maksud ayat 1 hingga 15. Seterusnya, aku menceritakan sedikit tentang kepentingan kita berusrah.

Aku tekankan sekali lagi bahawa usrah sudah tidak menjadi perkara asing lagi kerana ahli Senat UTM pernah berusrah dulu. Di Radio IKIM setiap petang Rabu, usrah dibuat secara 'life' dan pendengar boleh kemukakan soalan kepada ahli usrah.

Aku juga membentangkan 3 rukun Usrah; Taaruf, Tafahum dan Takaful yang perlu kita hayati bersama-sama.

Dan usrah kami diakhiri dengan sedikit juadah mee hoon goreng, keropok, anggur dan air teh O yang disediakan oleh isteriku. Disebabkan minggu depan, Muhaimin ingin pulang beraya di kampung, usrah kami akan diteruskan pada minggu yang berikutnya.

Sungguhpun bilangan ahli sekarang tidak seramai dulu namun aku merasa seronok kerana dapat menghidupkan kembali majlis ilmu bagi kita saling ingat memperingati diantara satu sama lain. Mudah-mudahan ia berpanjangan, insyaAllah....

Sunday, November 15, 2009

Penyelia Dari UK Datang....


Hari Ahad minggu lepas, aku dan rakanku ke Changi Airport, Singapura. Kami berlepas dari UTM jam 4.45 petang dan tiba di Changi sekitar jam 6.30 petang.

Ini adalah kali kedua aku ke Singapura. Kali pertama ialah pada tahun lepas semasa mengerjakan umrah melalui pakej Tabung Haji. Tetapi kedua-dua perjalanan tersebut hanya ke Lapangan Terbang. Tidak lebih dari itu... Jika orang menyuruh aku untuk memberi sedikit deskripsi tentang Singapura, memang gagal!

Kedatangan aku ke Changi pada kali ini adalah untuk menyambut penyelia kami, William James McClauskey atau nama timangannya, Billy. Billy dijangka tiba jam 6.35 petang melalui 'flight' SQ 322 dari London. Billy akan berada di UTM dari Isnin hingga Rabu. Kemudian beliau akan ke Singapura pada hari Khamis dan Jumaat, dan terus pulang ke Northern Ireland.

Apa yang menarik menurut beliau, penduduk Northern Ireland boleh menggunakan 2 passport, satu passport British dan satu lagi passport Northern Ireland. Aku menanyakan berapa kos untuk satu passport? Beliau menjawab 80 Pounds. Apabila di'convert' duit kita, agaknya lebih kurang RM500.

Semasa kami ke University of Ulster selama 2 bulan pada tahun lepas, Billy banyak juga membantu.

Billy adalah seorang professor dalam bidang cukai pintu. Beliau banyak menulis di jurnal-jurnal peringkat antarabangsa.

Beban tugas beliau di University of Ulster, adalah mengajar selama 12 jam seminggu, wajib membuat penyelidikan dan wajib menerbitkan artikel di jurnal antarabangsa. Apabila aku menceritakan UTM ke arah mengurangkan beban mengajar dari 6 jam kepada hanya 3 jam/seminggu bagi memberi peluang kepada pensyarah untuk membuat penyelidikan, beliau menggeleng kepala. Maksudnya betapa kurangnya beban tugas pensyarah di sini....

Semasa aku di biliknya pada tahun lepas, aku merasakan betapa mewahnya aku. Bilik aku adalah lebih besar dari bilik Billy, walaupun beliau adalah seorang professor dan aku hanya pensyarah kanan. Bilik Billy hanya sekangkang kera tetapi beliau menghasilkan banyak penulisan.

Satu lagi perangai Mat Salleh ialah mereka suka menggunakan tangga berbanding 'elevator' yang disediakan. Bilik Billy adalah di aras paling bawah dan apabila beliau hendak ke tingkat 5 atau turun ke bawah, beliau hanya menggunakan tangga sahaja.

Pernah sekali kami ingin ke tingkat 5 bersama Billy dan kami menuju ke tempat 'lift' tetapi beliau mengajak kami untuk menelusuri tangga. Katanya, "It's good for us to use steps rather than elevator." Mengikut telahanku, 'lift' yang ada di sana jarang sekali digunakan walaupun kemudahan itu ada...

Cuba renung dan bayangkan pula di Malaysia, agak-agaknya ada tak orang yang sanggup menapak naik turun bangunan 5 tingkat....

Friday, November 13, 2009

Abah, Atiq dapat 5 A.....


"Abah, Atiq dapat 5 A", maklum Rasyid padaku. "Dapat 1 aje C, dan yang lain semua B", sambung umminya, cuba menyokong keputusan peperiksaan akhir tahun Rasyid. Keputusan ini sudah pasti lebih baik dari tahun sebelumnya.

Sebelum ini, umminya mengajar di sekolah dan tidak sempat untuk mengajar anak-anak di rumah. Sekarang, sebelum peperiksaan pada esoknya, umminya akan pastikan semua buku yang berkaitan dibaca.

"Abah ingat dapat nombor 5. Kalau tidak, boleh abah pergi beli basikal sekarang", jawabku. Sudah lama aku berjanji kepada Rasyid sekiranya mendapat nombor 1 hingga 5, akan ku belikannya basikal. Dan diapun sudah lama meminta untuk aku belikannya basikal.

"Sakinah dapat berapa A?", tanyaku lagi. "Nah, dapat semua A", balas Sakinah. "Jadi, Hari Ihtifal nanti, Sakinah seorang aje yang akan naik pentas ya?", sambungku lagi.

"Atiqpun naik pentas kerana puasa penuh, hafazan dan tilawah semasa Ramadan dulu", balas Rasyid. "Oklah, nanti abah berikan sesuatu untuk raikan kejayaan masing-masing", jelasku.

Hari Ihtifal Sekolah Rendah Islam Hidayah akan berlangsung pada 21 November ini. Dengar-dengar khabar, Abang 'Ammarnya terlibat dengan persembahan semasa Ihtifal nanti.

Yang di sekolah menengah pula, hanya Acik menghadapi peperiksaan akhir. Abang sudah menghadapi PMRnya tempohari dan Angah akan memulakan peperiksaan SPMnya pada minggu depan (18 November).

Didoakan semoga Angah dapat membuat jawapan yang terbaik dan sihat sepanjang peperiksaan nanti. Didoakan juga Abang mendapat keputusan yang cemerlang di dalam PMRnya... Amin!

Susahnya Hendak "Forward"kan Pandangan Ke Atas...


Semalam saya menulis surat di bawah, atas dasar bimbang akan nasib bangsa untuk di'forward'kan kepada perbincangan dalam internet di peringkat universiti. Tetapi seperti diduga, tidak dilepaskan oleh pihak moderator!

Kadang-kadang, susah untuk kita menyatakan pandangan apatah lagi pandangan kita tidak selari dengan perancangan 'orang atasan'. Kita diasuh dari kecil supaya menerima saja, jangan banyak soal! Kalau banyak sangat soalan, gelap masa depan...

Tulis atau nyatakan apa yang orang atas 'suka' dengar saja. Pandangan berbeza hanya hadamkan sendiri dan tidak perlu heboh-heboh. Pada saya, kalau macam inilah gayanya, lambat lagilah kita hendak menjadi negara maju....

*********************************************************************************
Assalamu’alaikum Wrth. Wkth.,

Saya tak pasti e-mail ini akan keluar ke medan bacaan tuan/puan Prof, PM, Dr, dan En., atau ia hanya sampai setakat 'screening' pihak moderator sahaja.

Saban hari, saya berfikir dan berfikir. Tetapi di mana hendak saya luahkan? Akhirnya, saya berkata kepada diri saya, elok saja saya luahkan di sini.

Mungkin ada dikalangan cerdik pandai yang mungkin terfikir seperti saya dan mempunyai jawapan dan seterusnya boleh mententeramkan jiwa saya.

Kenapa semua fakulti perlu dikecilkan bilangan kursus? Di FKSG, kemungkinan Jabatan Pentadbiran Tanah akan dijumudkan di peringkat ‘undergraduate’ dan disatukan dengan Jabatan Pengurusan Harta Tanah. Begitu juga, Jabatan Geoinformatik, Jabatan Remote Sensing akan disatukan dengan Jabatan Geomatik.

Saya dengar, FKE (kursus yang paling popular dikalangan permohonan kemasukan ke UTM) pun akan dikecilkan kepada 3 kursus. Betul ke? Fakulti-fakulti yang lainpun sama juga ke?

Cuma, yang menjadi persoalan kepada saya ialah berapa ramai ‘intake undergraduate’ yang akan kita ambik? Kalau dulu 4, 5 ribu satu sesi, dan yang akan datang mungkin hanya 2 ribu saja?

Macamana dengan peningkatan bilangan mereka yang mengambil SPM saban tahun? Dan kita dengar keputusan SPM bertambah baik ‘year after year’. Maknanya bilangan mereka yang mendapat 9A ke atas bercambah dari tahun ke tahun.

Boleh ke UiTM, semua universiti baru (UTHM, UniMAP, UMK, etc), Politeknik, Institut Perguruan menyediakan ruang untuk mereka, apabila semua universiti lama i.e USM, UM, UPM, UKM, UTM, mengurangkan pengambilan?

Saya takut kita terlalu mengejar benda yang tak pasti berguna kepada rakyat. ‘Ranking’, apa ada pada ranking sekiranya sebahagian besar rakyat kita tidak boleh masuk universiti kita. 'Research University' (RU), seorang pensyarah hanya mengajar satu subjek dan masa yang lain buat 'research'…. Betul ke? Kata orang Melayu ‘Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya'. Kalau dah 45, 50 tahun baru nak ubah, saya tak pasti pulak buluh takkan patah.

Cukuplah kita dikorbankan semasa Pengajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris. Bukan sedikit menjadi mangsa… Sekarang apabila kita sudah merosakkan peluang anak bangsa kita di peringkat sekolah rendah dan menengah, kita teruskan pula di peringkat universiti.

Anak Melayu tak mampu nak masuk kolej swasta. Apa sudah jadi dengan perancangan untuk mengimbangkan bilangan jurutera, doktor, ‘lawyer’, bumiputera dan bukan bumiputera? Siapa yang buat kajian bilangan mereka di Kolej swasta, siapa majoriti? Setakat saya dok baca di akhbar, nama-nama mereka yang lulus rata-ratanya bukan bumiputera dan 2, 3 kerat saja bumiputera…

Akhir sekali, saya memohon ampun & maaf sekiranya bicara saya tidak menepati ruang di sini dan mengganggu sesiapa.

WAN IBRISAM FIKRY BIN WAN ISMAIL

Tuesday, November 10, 2009

Aku Langgar Lori 3 Ton...


Sabtu lepas, aku merancang untuk menghadiri Mesyuarat Agung Bank Rakyat di Thistle Hotel, Johor Bahru. Tujuannya yang pertama ialah untuk mendapatkan duit saku kehadiran RM50, dan kedua, untuk bertanding sebagai perwakilan bagi mewakili Zon Selatan ke Mesyuarat Agung di Kuala Lumpur.

Mesyuarat akan bermula jam 10 pagi. Jam 9 pagi, aku bertolak dengan menaiki Kancil. Bila tiba di Jusco Taman Universiti, aku teringat surat untuk menghadiri mesyuarat tertinggal. Aku berpatah balik ke rumah. Setelah mendapat surat dari isteri, akupun meneruskan perjalanan.

Tidak sampai 30 meter dari rumah, bang! Aku melanggar lori di persimpangan jalan. Aku tergamam dan terpaku buat seketika... Setelah merasa agak tenteram, aku mengubah Kancilku ke tepi. Aku mengaku salah kerana melanggar lori 3 ton tersebut. Sebenarnya aku ingin membelok ke kiri dan sekiranya lori itu tidak 'makan jalan', aku pasti aku tidak akan melanggarnya!

Aku menelefon syarikat insuran Takaful Ikhlas dan menanyakan langkah seterusnya yang perlu aku lakukan. Sejam kemudian, datang Ah Teck dari 'workshop' yang menjadi panel Takaful datang untuk mengambil gambar dan sebagainya. Selepas itu, aku pergi ke pejabatku di UTM untuk mengambil geran kenderaan, 'cover note' insuran dan 'hire purchase agreement' sebelum kembali ke tempat kemalangan.

Kemudian aku perlu membuat laporan kemalangan di Balai Polis (BP) Gelang Patah dan pihak polis perlu mengambil gambar keadaan Kancilku. Aku memandu Kancil yang remuk di penjuru depan sebelah kanan manakala Ah Teck memandu Datsun Nissannya ke Gelang Patah.

Agak pelik juga sistem pengaduan yang terpaksa dibuat. Kalau hendak dikira BP Skudai ada, BP Taman Universitipun ada, tetapi dibawah sistem pentadbiran polis, kemalangan di Taman Pulai Utama jika bersabitkan jenayah perlu dilaporkan di BP Kangkar Pulai dan jika kemalangan kenderaan di BP Gelang Patah. Walhal, sekarang internet ada di mana-mana...

Semasa membuat laporan aku menegaskan kepada Sgt Mat Yuni, sekiranya lori itu tidak makan jalan, aku tidak terlanggar lori tersebut. Sgt Mat Yuni memperingatkan kepadaku supaya lain kali, ambil gambar apabila berlaku kemalangan supaya kita mempunyai bukti kukuh. Sekarang ni, lagi senang kerana 'handphone' kita ada kamera!

Selesai membuat laporan polis, Ah Teck menyuruh aku meninggalkan saja Kancilku di situ kerana 'radiator'nya bocor dan Kancilku akan di'tow' kemudian. Aku dibawanya ke 'workshop' untuk menyelesaikan kerja-kerja 'paperwork'.

Dalam perjalanan ke 'workshop' di Tebrau, aku sempat berborak-borak dengan Ah Teck. "Ah Teck ada berapa orang anak?", soalku. "Lima", jawab Ah Teck. "Saya ada 9 anak", sambungku. "Wah, macam kakak saya Habibah. Kakak saya masuk Islam dan kahwin dengan Ketua Imam di Muar dan ada 9 anak. Tapi sekarang, suaminya sudah meninggal. Kakak saya dan anak-anaknya selalu datang rumah saya.", jelas Ah Teck.

"Oh gitu... Ah Teck, saya suka jika Ah Teck juga masuk Islam. Tuhan kata, agama yang diterima hanya Islam. Kristian, Buddha, Hindu, semua Tuhan tidak terima.", balasku lagi. "Saya tahu, tapi saya sudah tua..", jawab Ah Teck.

"Tidak Ah Teck, dulu bapa Abu Bakar, sahabat Nabi Muhammad, lagi tua tapi dia masuk Islam jugak", jelasku. "Saya tidak seronok, nanti bila kita mati, saya masuk syurga tapi Ah Teck masuk neraka.", sambungku lagi.

"Kalau Ah Teck tengok, orang Cina lebih dahulu masuk Islam dari orang Melayu... Sahabat Nabi Muhammad pergi berdakwah di negeri China dan ramai orang Cina di China masuk Islam", aku meneruskan lagi berdakwah kepada Ah Teck. Bukan senang untuk mendapat peluang sebegini...

"Kalau Ah Teck tengok orang Melayu tetapi kadang-kadang perangai mereka lebih teruk dari orang bukan Islam. Ada yang main perempuan, ada yang berjudi, ada yang minum arak, ada yang menipu, ada yang berbohong tetapi Islam melarang itu semua.", ujarku. "Saya tahu.", sampuk Ah Teck.

"Macam kereta sayalah Ah Teck, dia 'accident' bukan kerana kereta tak bagus tapi pemandunya yang tidak bagus. Begitu jua Islam, bukan Islam tidak baik tetapi penganutnya yang tidak menurut ajaran Islam sebenar.", sambungku lagi.

Jarak perjalanan yang menghampiri 1 jam membuatkan ku merasa berpuas hati untuk cuba mengajak Ah Teck kepada Islam. Semua hujjah dan nas yang sepatutnya ku berikan kepada orang yang baru berjinak-jinak dengan Islam terus ku ketengahkan. Ah Teck walaupun sudah berusia, merupakan anak bongsu, nampak sungguh tenang dan mungkin memikirkan apa yang telah aku perkatakan...

Setibanya di'workshop' aku menandatangani segala borang-borang yang diperlukan dan Ah Teck telah mendapatkan kereta Satria sebagai ganti untuk kegunaanku sepanjang keretaku di 'workshop'.

Sebelum Ah Teck ke Mersing kerana menguruskan sebuah kereta yang terjatuh ke dalam gaung, aku menghulurkan kad kepadanya.

"Telefon saya jika ada apa-apa berkaitan kereta saya atau berkaitan Islam yang telah kita bincangkan tadi. Walau bagaimanapun, saya akan berdoa semoga Tuhan akan memberi petunjuk kepada Ah Teck untuk masuk Islam.", aku mengakhiri perbualan dengan Ah Teck.

Mari kita bersama-sama berdoa semoga Allah SWT memberi taufiq dan hidayah kepada Ah Teck untuk menerima Islam sebagaimana kakaknya... Amin!

Monday, November 9, 2009

Mengenali Seorang Dari 10 Yang Dijamin Syurga - 2


Namanya ialah Umar Ibnu Khattab (R.A). Juga dikenali sebagai Abu Hafsah. Umar dilahirkan di Mekah, 13 tahun setelah kelahiran Rasulullah (SAW). Umar memeluk Islam pada tahun ke 6 Rasulullah menjadi Nabi, ketika beliau berumur 33 tahun.

Pada suatu hari, Umar berjalan di lorong kota Mekah dengan menghunuskan pedang. Di perjalanan, ia bertemu dengan Na'im bin Abdullah bin Usaid. Na'im bertanya, "Wahai Umar, hendak ke mana kamu?" Ia menjawab, "Membunuh Muhammad kerana ia telah membodoh-bodohkan para pemimpin suku Quraisy, dan mencaci sembahan kita."

Na'im berkata, "Demi Tuhan, kamu sedang berada di jalan yang salah dan tengah melakukan kerja bodoh." Umar berkata, "Saya kira kamu juga telah masuk Islam. Jika saya yakin bahawa kamu masuk Islam, saya adalah orang yang pertama akan membunuhmu."

Na'im berkata, "Saya beritahukan kepadamu bahawa agama ini telah masuk ke dalam keluargamu." Ia berkata, "Apa katamu?"

Na'im menjawab, "Saudara perempuanmu, iparmu, dan sepupumu telah masuk Islam." Dalam keadaan penuh kemarahan, Umar kembali ke rumah adiknya.

Di rumah adiknya, Umar telah mendapati ada sebuah kitab. Umar membaca kitab tersebut, Surah Al-Hadid dari ayat pertama sehinggalah ke ayat 8.

"Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikanNya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar."(7)

"Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah? Sedangkan Rasulullah mengajak kamu untuk beriman kepada Tuhan kamu dan Allah telah mengambil janji setia dari kamu (untuk beriman); jika kamu orang-orang mukmin."(8)

Lantas Umarpun mengucapkan dua kalimah syahadah...

Rasulullah (SAW) pernah berdoa supaya salah seorang Umar memeluk Islam iaitu samaada Umar bin Hisyam (Abu Jahal) atau Umar bin Khattab.

Keberanian Umar terserlah sewaktu di zaman jahiliyyah mahupun setelah memeluk agama Islam. Semasa hendak berhijrah ke Madinah, beliau pergi ke Kaabah dan melakukan tawaf sebanyak 7 kali. Kemudiannya beliau menunaikan solat di maqam Ibrahim. Selepas itu, beliau membuat pengisytiharan, "Barangsiapa yang ingin ditangisi oleh ibunya dan menyedihkan anak-anaknya, dan menjadikan isterinya janda, silakan menunggu saya di luar kota ini."

Umar (R.A) telah mengasaskan solat Tarawih secara berjamaah di bulan Ramadan.

Pada 26 Zulhijjah Tahun 23 Hijri, ketika beliau sedang mengimami solat Subuh di Masjid Nabawi, seorang budak beragama Majusi yang bernama Fairuz telah menusuk Umar (R.A) dengan 2 tombak pendek yang tajam. Umar meninggal dunia pada 1 Muharram dan dimakamkan disebelah makam Rasulullah (SAW).

Wednesday, November 4, 2009

Setiap Bulan Saya Terima RMXXXX Dari Pelaburan Public Mutual


Saya menghadiri satu majlis kesyukuran seorang kawan kerana permohonannya untuk menjadi pensyarah telah berjaya. Alhamdulillah, sungguh seronok pensyarah tersebut. Sebelum ini, dia sudahpun bergelar Pensyarah Sementara tetapi tidak dapat di'confirm'kan kerana 'Cummulative Grade Point Average' (CGPA) Ijazah Sarjana Mudanya hanya 2.9 dan tidak sampai 3.0. Kalau hendak dikira, dia sudah mengajar di Jabatan saya lebih dari 5 tahun.

TNC (A) yang sebelum ni begitu menekankan syarat CGPA itu walaupun pensyarah ini telah bertugas dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab dan melaksanakan segala tugas yang diberi dengan jayanya. Setelah TNC (A) bertukar, alhamdulillah pensyarah tadi telah dilantik sebagai Pensyarah.

Sambil makan, seorang kawan yang duduk di meja saya begitu bangga dengan pendapatan bulanannya. Sambil menyuap mee rebus, dia berkata, "Cuba tanya Abang Dan, berapa yang saya dapat sebulan hasil dari pelaburan dalam Public Mutual."

"Baguslah, disamping gaji sebagai staf UTM dapat pula pendapatan sampingan. Berapa tahun lagi nak pencen?", tanyaku pula. "Ada 6 tahun lagi, kalau sampai umur 56", balasnya. "InsyaAllah, pencen nanti tak ada masalah, duit dah banyak dalam pelaburan." tambahnya lagi.

"Alhamdulillah Zi, duit banyak untuk menuju ke hari persaraan tapi... Kalau kita pergi dulu sebelum pencen, kesiankan?". "Kalau anak yang tak beriman, kejap aje duit tu habis", sambungku. Razi terus senyap dan terkesima.

"Maksud saya, duit itu juga perlu dibelanjakan untuk jariah dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, ada saham akhirat kita", dengan perlahan ku sambung lagi. Aku bukan hendak menang dalam berhujjah tetapi ingin menyampaikan mesej supaya dapat diterima oleh Razi.

Jangan kita menjadi sepertimana golongan yang dinyatakan dalam al-Quran, memohon dan meminta kepada Allah untuk dikembalikan ke dunia untuk berbuat amal dengan sebaik-baik amal. Semasa hayatnya dulu, peluang itu disia-siakan... Permintaan itu pastinya permintaan yang sia-sia.

"(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, "Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan." Sekali-kali tidak! Sungguh itu adalah dalih yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada barzakh sampai pada hari mereka dibangkitkan." (Al-Mu'minum; 99-100)

Sunday, November 1, 2009

Dasar Sesebuah Negara Adalah Dinamik


Polisi atau dasar sesebuah negara adalah dinamik. Berubah mengikut peredaran masa dan kadang-kadang apabila tampuk pemerintahan bertukar polisipun bertukar. Saja aje nak sembang pasal Dasar Pendidikan Negara hari ni...

Sekarang universiti yang lama-lama dok kejar 'Research University' (RU). Ini belum bincang lagi pasal universiti dok kejar nombor atau 'ranking' dalam dunia.

Apabila menjadi RU, mendapat banyak peruntukan. Fakulti akan sibuk membuat penyelidikan. Tidak cukup pelajar dalam negara untuk mengambil 'grant' yang disediakan, kita taja pelajar 'oversea'.

Universiti RU kena kurangkan pengambilan pelajar 'undergraduate'. Sebabnya kita sibuk dengan penyelidikan dan tak sempat nak mengajar! Jadi pelajar 'postgraduate' meningkat. Mereka yang datang untuk mengambil 'grant' yang disediakan adalah rata-ratanya dari negara Indonesia dan negara-negara Timur Tengah.

Pelajar 'undergraduate' dalam negara yang semakin bertambah (melihat bilangan mereka yang menduduki SPM) terpaksa melanjutkan pelajaran mereka ke universiti-universiti baru (bekas Kolej Universiti seperti UMK, UDIM, dll.), Institut Perguruan, Politeknik, Kolej Komuniti dan Kolej Swasta.

Untuk ke universiti-universiti lama, mereka terpaksa berhempas pulas berlawan untuk mendapatkan tempat yang semakin mengecil. Untuk itu, kita perkenalkan sistem A+, B+, C+ dan sebagainya dalam sistem peperiksaan SPM. Barulah kita tahu siapa yang betul-betul bergeliga!

Mana-mana kursus di fakulti yang kurang mendapat sambutan perlu dijumudkan. Tenaga pengajar yang baru diambil dengan kelulusan PhD, terus ditawarkan gred DS51. Walaupun baru bertugas dan tidak pernah mengajar, mendapat pangkat Pensyarah Kanan (DS51). Biarlah tenaga pengajar lama yang sudah 20, 30 tahun pengalaman mengajar masih di takuk DS45. Siapa suruh tidak buat PhD?

Hasil penyelidikan lama masih banyak berada di rak almari. Tidak dikomersialkan! Tidak mengapa, kita teruskan saja penyelidikan kita. Jutaan ringgit kita belanjakan untuk fakulti dapatkan alat baru, komputer baru, perabut baru, kenderaan baru dan segalanya baru. Alat-alat dan perabut lama walaupun masih cantik kita simpan saja di stor atau tepi tangga sementara menunggu untuk dilupuskan.

Berbeza di negara barat, Universiti dan Industri saling bantu membantu menghidupkan penyelidikan. Industri bekalkan 'grant' dan universiti hasilkan produk untuk industri pasarkannya.

Di USA, Silicon Valley adalah terkenal dengan hasil komputer dan barangan lain yang dibuat penyelidikan di Stanford University. Manakala Boston Route 128 pula dibantu oleh 65 universiti dan kolej, termasuk MIT dan Harvard University.

Di England, Cambridge Science Park dibantu oleh Cambridge University. Sophia Antipolis dibantu oleh Pusat Penyelidikan Awam dan universiti-universiti di Perancis. Hsinchu Science-based Industrial Park di Taiwan. Tsukuba Science City dan Kansai Science City di Jepun.

Kita di Malaysia, pada hemat saya adalah agak jauh bagi pihak industri untuk membantu universiti dengan memberi 'grant' dan memasarkan hasil produk RU... Ada bukan tidak ada tetapi masih ditahap yang sederhana.

Apapun dasar atau polisi kita, janganlah anak-anak kita yang masih ramai tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti ternama dalam negara.