Sunday, November 15, 2009

Penyelia Dari UK Datang....


Hari Ahad minggu lepas, aku dan rakanku ke Changi Airport, Singapura. Kami berlepas dari UTM jam 4.45 petang dan tiba di Changi sekitar jam 6.30 petang.

Ini adalah kali kedua aku ke Singapura. Kali pertama ialah pada tahun lepas semasa mengerjakan umrah melalui pakej Tabung Haji. Tetapi kedua-dua perjalanan tersebut hanya ke Lapangan Terbang. Tidak lebih dari itu... Jika orang menyuruh aku untuk memberi sedikit deskripsi tentang Singapura, memang gagal!

Kedatangan aku ke Changi pada kali ini adalah untuk menyambut penyelia kami, William James McClauskey atau nama timangannya, Billy. Billy dijangka tiba jam 6.35 petang melalui 'flight' SQ 322 dari London. Billy akan berada di UTM dari Isnin hingga Rabu. Kemudian beliau akan ke Singapura pada hari Khamis dan Jumaat, dan terus pulang ke Northern Ireland.

Apa yang menarik menurut beliau, penduduk Northern Ireland boleh menggunakan 2 passport, satu passport British dan satu lagi passport Northern Ireland. Aku menanyakan berapa kos untuk satu passport? Beliau menjawab 80 Pounds. Apabila di'convert' duit kita, agaknya lebih kurang RM500.

Semasa kami ke University of Ulster selama 2 bulan pada tahun lepas, Billy banyak juga membantu.

Billy adalah seorang professor dalam bidang cukai pintu. Beliau banyak menulis di jurnal-jurnal peringkat antarabangsa.

Beban tugas beliau di University of Ulster, adalah mengajar selama 12 jam seminggu, wajib membuat penyelidikan dan wajib menerbitkan artikel di jurnal antarabangsa. Apabila aku menceritakan UTM ke arah mengurangkan beban mengajar dari 6 jam kepada hanya 3 jam/seminggu bagi memberi peluang kepada pensyarah untuk membuat penyelidikan, beliau menggeleng kepala. Maksudnya betapa kurangnya beban tugas pensyarah di sini....

Semasa aku di biliknya pada tahun lepas, aku merasakan betapa mewahnya aku. Bilik aku adalah lebih besar dari bilik Billy, walaupun beliau adalah seorang professor dan aku hanya pensyarah kanan. Bilik Billy hanya sekangkang kera tetapi beliau menghasilkan banyak penulisan.

Satu lagi perangai Mat Salleh ialah mereka suka menggunakan tangga berbanding 'elevator' yang disediakan. Bilik Billy adalah di aras paling bawah dan apabila beliau hendak ke tingkat 5 atau turun ke bawah, beliau hanya menggunakan tangga sahaja.

Pernah sekali kami ingin ke tingkat 5 bersama Billy dan kami menuju ke tempat 'lift' tetapi beliau mengajak kami untuk menelusuri tangga. Katanya, "It's good for us to use steps rather than elevator." Mengikut telahanku, 'lift' yang ada di sana jarang sekali digunakan walaupun kemudahan itu ada...

Cuba renung dan bayangkan pula di Malaysia, agak-agaknya ada tak orang yang sanggup menapak naik turun bangunan 5 tingkat....

No comments:

Post a Comment