Tuesday, June 29, 2010

Dilema Seorang Penjawat Awam...

Pengalaman memungut data sungguh banyak untuk dikongsikan... Perbualan dengan Pentadbir Tanah, Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan, dan pegawai-pegawai yang lain mengajarku tentang kehidupan masyarakat kita yang sebenar.

Kali ini aku ingin kongsikan tentang bagaimana susahnya penjawat awam ingin menguatkuasakan peraturan.

"Bila tembok depa kena roboh kerana dibina di kawasan larangan atau di luar tanah mereka, ada ahli politik yang menelefon saya supaya tidak diambil tindakan", jelas pegawai.

"Ini tidak terhad kepada ahli politik yang memerintah sekarang tetapi ada juga ahli politik kerajaan dahulu... Macamana kita mahu 'educate' masyarakat jika sentiasa ada orang yang ingin menjadi "juara" di hati rakyat", ujarnya lagi.

"Ahli politik ini cuba menunjukkan bahawa depa prihatin kepada rakyat dan ingin memenangkan rakyat walaupun rakyat menyalahi peraturan", sambungnya lagi.

Dalam TV3 semalam disiarkan tentang "kezaliman" kerajaan Pulau Pinang yang meroboh warung ala DO RE MI yang didirikan di kawasan larangan!

Selagi kita masih mementingkan 1 undi dari rakyat tanpa mengira bahawa rakyat itu telah menyalahi peraturan, maka selagi itulah sukar untuk kita mengajar masyarakat supaya mematuhi peraturan.

Contoh yang paling mudah ialah apabila anak kita telah melakukan kesalahan maka si bapa telah menjatuhkan hukuman tetapi si ibu pula telah menyebelahi anak. Akhirnya, si anak akan menjadi 'spoilled' dan penguatkuasaan peraturan akan menjadi rumit.

Apabila kesalahan yang sama dilakukan oleh anak-anak yang lain, maka mereka akan menjadikan peristiwa sebelum ini sebagai 'precedent'.

Betapa sukarnya hendak berprinsipkan dengan prinsip Rasulullah (SAW)... "Jika Fatimah binti Muhammad mencuri, tetap akan ku potong tangannya".

Sunday, June 27, 2010

Lesen Judi Ditarik Balik...


Saya rasa ramai menarik nafas lega apabila kerajaan menarik balik lesen judi bola Piala Dunia.

Tetapi antara sedar dengan tidak, kita masih banyak memperjudikan masa depan anak-anak muda kita... Mengapa demikian?

Saya tidak pernah membeli akhbar tabloid picisan Harian Metro. Kadang-kadang apabila ke warung, saya mengintai membaca kerana ia tersedia di situ. Muka depannya sudah menarik perhatian, dengan gambar wanita yang separuh bogel, dengan isu-isu khalwat, artis kahwin ahli politik, zina yang disensasikan, sehingga ia boleh mendorong orang lain yang membaca untuk mencubanya.

Saya rasa mungkin pendekatan yang diambil akhbar ini ialah untuk melariskan jualan tanpa mengira kesan atau impak kepada sesetengah generasi muda yang suka membaca benda-benda hiburan dan perkara-perkara yang terpesong dari adat resam budaya melayu.

Sayapun hairan, apa yang sebenarnya yang ingin disampaikan. Adakah berita ataupun cerita? Saya rasa sepatutnya berita, yang mana apabila seseorang membaca berita khalwat atau zina akan melahirkan perasaan keinsafan dan bukannya keghairahan!

Saya juga turut hairan bagaimana etika kewartawanan yang diajar kepada wartawan-wartawan kita semasa mereka mengikuti kursus kewartawanan di universiti dulu. Ataupun wartawan kita tidak perlu menjalani tempoh pengajian formal seperti jurusan bidang-bidang yang lain? Siapa-siapapun boleh, janji ada cerita dan ada gambar...

Mungkin juga kita cuba untuk meniru tabloid yang dijual di negara barat, yang mana isi kandungannya hampir serupa. Sesiapa yang pernah ke US atau UK mungkin terlihat akhbar yang sedemikian.

Ini tidak termasuk lagi dengan majalah-majalah hiburan yang lain-lain.

Secara tidak langsung, kita memperjudikan akhlak atau pemikiran anak-anak muda semata-mata untuk melariskan jualan.

Satu lagi ialah pesanan ringkas sms. "Jika anda ingin melihat aksi....., sila dial nombor XXXXX". Bagaimana Celcom boleh menerima orang yang mengiklankan perkara yang sedemikian untuk disebarkan? Atau sekarang ini, sudah tidak ada lagi 'sosial obligation' untuk menjaga kesopanan dan kesusilaan? Asalkan duit masuk, sesiapapun boleh mengiklankan bahan atau produk mereka?

Adakah kita semua sudah jauh maju ke depan, yang hanya memikirkan soal duit semata-mata?

Ayuh! Kembalilah kepada suasana kita bantu membantu anak bangsa kita supaya mereka menjadi insan yang berguna. Insan yang bersahsiah dan berperibadi mulia, berilmu, berdaya maju, dan berguna kepada negara.

Wahai para penulis, ingatlah, tulisanmu atau gambarmu yang mendorong manusia untuk melakukan kemungkaran, maka saham untukmu ada bersama... Begitu juga penulisan yang mengajak manusia ke arah kebaikan, sahammu tetap ada!

Janganlah kerana dek mengejar duit yang sedikit, kamu akan sengsara di akhirat buat selama-lamanya...

Saturday, June 26, 2010

Solat Sunat Gerhana Bulan

Aku ke Masjid A'Laa di Jitra untuk menunaikan solat Maghrib. Selesai solat, imam memaklumkan bahawa di Kedah sekarang ini berlakunya gerhana bulan dan kita disunatkan untuk membuat solat gerhana bulan.

Gerhana bulan berlaku apabila matahari, bumi, dan bulan berada dalam satu garisan.

Sepanjang ingatanku, hanya beberapa kali aku mengerjakan solat gerhana bulan mahupun gerhana matahari.

Perbezaan solat sunat biasa dengan solat sunat gerhana ini ialah solat gerhana mempunyai rukuk 2 kali setiap satu rakaat. Oleh itu, solat gerhana yang dibuat sebanyak 2 rakaat mempunyai rukuk sebanyak 4 kali. Perbuatan yang lain-lain adalah seperti biasa.

Imam pada rakaat pertama akan membaca surah al-fatihah dan surah lazim secara jahar (kuat), kemudian beliau rukuk. Kita juga rukuk bersamanya. Apabila i'tidal atau bangkit dari rukuk, imam akan membaca surah al-fatihah dan surah lazim sekali lagi, kemudian rukuk, bangkit dari rukuk dan sujud seperti biasa. Begitu juga pada rakaat yang kedua.

Selesai solat, khatib akan membaca khutbah. Isi khutbah tadi ialah tentang fenomena gerhana, dan fungsi bulan dan matahari.

Kita sedia maklum fungsi matahari yang begitu penting kepada dunia sejagat. Pokok-pokok dan haiwan amat memerlukan matahari untuk hidup. Kalau kita masih ingat proses fotosintesis yang kita pelajari semasa di bangku sekolah dulu...

Begitu juga bulan, yang mana air pasang surut di laut adalah bergantung kepadanya.

Itulah sunnatullah yang perlu kita perhati dan memikirkannya, supaya kita akan lebih menginsafi kejadian Allah dan lebih mendalam mencintaiNya.

Ya Allah, sesungguhnya aku takjub dengan segala penciptaanMu...

Thursday, June 24, 2010

Tempatkan Allah Di Hati Kita Dan Bukan Sekadar Di Bibir Saja...


Motivasi Radio IKIM pagi tadi begitu menyentuh jiwa ini. Ustaz (tak ingat namanya) telah menceritakan 3 insiden, yang mana ketiga-tiga insiden tersebut berpaut kepada kepercayaan, kepatuhan dan kebulatan hati kepada Allah Yang Maha Esa...

Insiden pertama ialah peristiwa semasa Hijrah Rasulullah, dimana Abu Bakar (RA) dan Rasulullah (SAW) berada di dalam Gua Tsur. Puak Quraisy telah mengesan kedudukan Rasulullah. Dan Abu Bakar dapat melihat kaki-kaki mereka berada di luar gua yang ingin menangkap dan membunuh Rasulullah. Betapa risaunya Abu Bakar takut-takut mereka menjenguk ke dalam gua, tempat persembunyian mereka!

Tetapi betapa hati begitu yakin dan pasrah kepada Allah SWT yang akan memelihara pesuruhNya.

Peristiwa kedua ialah semasa Saidina Omar (RA) yang berada bersama anak kecil pengembala kambing... Saidina Omar menguji anak kecil tersebut dengan menyuruhnya untuk menjual seekor kambing kepadanya. "Ini bukan kambing saya dan saya hanya mengambil upah mengembala sahaja", jawab budak tadi. "Tetapi jika kamu menjualnya kepadaku seekor, tuanmu tidak dapat mengetahui dengan jumlah kambing yang sebegini banyak", balas Omar.

"Ya mungkin tuanku tidak mengetahuinya tetapi tuan kepada tuanku (Allah) Maha Melihat!", balas budak tadi.

Cerita ketiga ialah mengenai Saidina Khalid Ibnu Walid (RA) yang baru diturunkan pangkat dari panglima perang oleh Saidina Omar. Maksudnya, Saidina Omar telah melantik orang lain sebagai panglima tentera dan Saidina Khalid hanya bertaraf askar biasa saja.

Namun demikian, Saidina Khalid tetap berperang bermati-matian sehingga sahabat lain yang bersimpati kepada beliau menanyanya. "Kenapa kamu berperang begitu sengit seolah-olah kamu yang menerajui angkatan tentera ini? Tidakkah kamu telah dipecat dari menjadi panglima oleh Omar?". Dengan tegas Khalid menjawab, "Aku berperang bukan kerana Omar tetapi aku berperang kerana Allah".

Kalau kita perhatikan ketiga-tiga insiden di atas, kita dapat lihat betapa teguhnya iman mereka. Betapa Allah di tempatkan di hati mereka dan bukan sekadar mainan di bibir-bibir. Manusia boleh bersendiwara... Lain dikata dan lain dikota!

Masyarakat dewasa ini begitu rakus menyebut Allah SWT tetapi hatinya belum tentu bersama Allah. Lebih-lebih lagi, Na'u zubillahu min zaalik, kalau kita mengatakan sesuatu tentang Islam dan mengajak orang lain kepadanya tetapi kita sendiri tidak melaksanakannya.

Ya Allah, Ya Tuhanku, ketika usiaku sudah menjangkau 46 tahun, aku merasa takut... kalau-kalau Engkau sekadar di bibirku dan tidak di hatiku...

Monday, June 21, 2010

Pengalaman Memungut Data...


Memungut data itu sendiri adalah suatu pengalaman yang memberi banyak pengajaran kepada setiap individu. Belum lagi memproses data... Belum lagi peringkat menganalisa data... Belum lagi membuat rumusan, 'recommendation', dan sebagainya.

Walau apapun, 'approach must be right'. Intonasi, gaya, pakaian, bahasa, mesti bersederhana. Budak-budak sekarang ni kata, jangan 'over'. Kalau ter'over' maka responden akan 'reserved' dan mula nampak 'gap' antara kita dengan dia, dan seterusnya, dia akan 'kemut' maklumat!

Cuba juga elemen-elemen pujian apabila berbicara... Sudah lumrah, manusia suka puji-pujian TETAPI jangan terlebih. Kalau terlebih, nanti dia perasan... Mentang-mentang hendak maklumat aku, angkat aku sikit punya tinggi... Amboi!

Jangan mendesak! Kalau dia tidak ingin menjawab sesuatu soalan, biarkan... Mungkin kita akan mendapat maklumat tersebut secara 'indirect' nanti.

Ada sesetengah responden merasa agak kekok apabila kita mengambil namanya. Oleh itu, penjelasan mesti dibuat dengan nyata bahawa segala identiti responden tidak akan ditunjukkan (reveal) kepada umum dan penyelidikan ini adalah kajian akademik semata-mata.

Pengalaman saya, responden Cina begitu takut untuk menjawab soalan. Ada 2 orang pengarah dan seorang 'Deputy General Manager' (Timbalan Ketua Pengarah), berketurunan Cina, agak 'reluctant' untuk memberi 'feedback' walaupun mereka bekerja dalam sektor kerajaan. Pandai-pandai kita menggunakan psikologi...

Ada juga responden yang susah untuk didekati... ada aje alasan, ada mesyuaratlah, appointmentlah, dan sebagainya. Jangan kita 'force him' untuk menerima kita sekarang! Datang kembali, esok atau lusa, dan mungkin dia sudah bersedia untuk berjumpa dengan kita.

Jangan kita 'guide' responden untuk memberi jawapan seperti apa yang kita hendak! Biarkan mereka memberi jawapan secara sukarela. Apabila ada soalan yang dia kurang faham, maka kita perlu memberi penjelasan supaya soalan tersebut jelas kepadanya.

Akhir sekali, 'just do it'! Setiap hari berbeza. Hari ini, mungkin responden lebih ramai dari semalam, ataupun sebaliknya pula. Jangan patah semangat! Teruskan dan teruskan...

Tetapi kadang-kadang apabila 'response is so good', ia membuat kita ingin meneruskan membuat interview atau menjalankan soal-selidik. TETAPI perlu diingat, kita hanya mempunyai ruang masa yang AMAT terhad. 'So, you should know when to stop'!!!

Wednesday, June 16, 2010

Berkawan Melalui TA...

'Territorial Army' atau TA, itulah gelaran yang dipakai mereka yang berkhidmat dalam Rejimen Askar Wataniah. Aku dalam TA sudah menjangkau 12 tahun!

Aku mengenali Kapt Azran melalui kursus yang kami hadiri bersama sekitar tahun 2001. Kalau tak silap aku, Kursus Ketua Platun...

Setelah Kapt Azran berpindah dari Johor ke KL dan kemudiannya ke Kedah, aku mula 'lost contact' dengannya. Sehinggalah aku dapat menghubunginya semula pada minggu ini hasil nombor telefon yang diberikan Kapt Hatta dari RAW 501.

Kapt Azran telah memilih untuk bertukar dari Rejimen Askar Wataniah kepada Kor Risik atau dikenali sebagai KRD. Pada 3 hari lepas, Kapt Azran telah membelanja aku makan ikan bakar di Tanjung Dawai.

Malam tadi, Kapt Mazlan Ali dari RAW 513 pula membelanja aku makan tom yam di Restoren Malaya, Jitra. Dengar-dengar khabar, katanya Restoren Malaya adalah kepunyaan saudara mara Dr Afifuddin Omar (mantan menteri) suatu masa dulu. Demi persahabatan, Kapt Mazlan sanggup datang dari Kuala Nerang ke Jitra hanya untuk bertemu. Aku dan Kapt Mazlan adalah roommate semasa Kursus Ketua Kompeni di PUSWATAN sekitar tahun 2004.

Tengahari hari tadi, PM Othman Ayub yang dipinjamkan ke Kolej Tentera Udara pula membelanja aku makan. Penuh meja hidangan makanan tengahari, dengan ayam kampung goreng, sup, gulai perut, gulai ayam, kerabu mangga, ulam-ulaman, dan sambal belacan, sungguh menyelerakan!

PM Othman Ayub adalah sahabatku semasa sama-sama menjadi pengetua kolej UTM suatu masa dahulu.

Itulah kehidupan jika kita rajin berkawan... Tanpa kawan kita akan kesunyian... Tetapi seperti kata kebanyakan orang, biarlah kita pandai memilih kawan. Kawan di waktu senang mudah dicari tetapi kawan di waktu kita susah agak sukar diperolehi.

Saturday, June 12, 2010

UTM Sebagai Universiti Penyelidikan...


UTM Sebagai Universiti Penyelidikan... Begitulah tajuk salah satu muka surat dalam Berita Harian kelmarin. Aku juga menerima khidmat pesanan ringkas dari seorang rakan dari UTM semalam mengucapkan tahniah diatas perkara yang sama.

Di muka surat tersebut juga tertera Profil Mahasiswa UTM seperti berikut;

Tahun; Sarjana Muda; Pasca Ijazah
1984; 3,886; 2
1985; 3,857; 3
1990; 5,348; 175
2004; 17,897; 3,291
2005; 15,895; 3,004
2006; 15,109; 2,823
2007; 14,792; 3,942
2008; 14,456; 4,850
2009; 14,245; 6,432
2010; 13,000; 8,000
2011; 11,500; 9,000
2012; 10,000; 10,000

Di bawah statistik tersebut tertera kenyataan seramai 1,917 mahasiswa pasca ijazah dan 700 mahasiswa ijazah sarjana muda adalah mahasiswa antarabangsa daripada 44 buah negara.

Aku tak pasti samaada aku seronok UTM menjadi salah sebuah universiti penyelidikan atau 'research university (RU).

Kalau melihat statistik di atas aku sedih melihat bilangan pelajar 'undergraduate' semakin berkurangan. Kemana lepasan SPM, STP, dan Matrikulasi akan pergi ya? Lebih-lebih lagi pada tahun 2011 dan 2012...

Bilangan lepasan SPM saban tahun makin bertambah... Begitu juga yang cemerlang makin ramai.

JPA dan MARA tidak dapat menampung untuk memberi biasiswa kepada semua pelajar kita, baik Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli, yang mendapat 10A+ dalam SPM lepas untuk dihantar ke luar negara.

Atau mungkin juga tahun 2011 dan 2012, kaum bumiputera sudah kaya raya dan mampu untuk menghantar anak-anak mereka belajar ke luar negara atau IPTS dengan belanja sendiri.

Sebaliknya pula, Research Universities (USM, UM, UPM, UKM, UTM) yang masing-masing mengecilkan bilangan pengambilan pelajar 'undergraduate' sudah kaya raya dan dapat membawa beribu-ribu pelajar dari luar negara. Sudahlah mereka (pelajar antarabangsa) mengambil tempat anak-anak kita di universiti tersohor kemudian kita berikan pula mereka biasiswa untuk belajar di universiti kita.

Pelik bukan? Rakyat kita semakin terhakis peluang tetapi rakyat asing makin cerah peluang mereka.

Inilah kalau kita jadikan Barat sebagai model Menara Gading kita. Kita kejar RU dan kita kejar 'ranking' dunia. Apa ada RU di mata rakyat? Apa ada 'ranking' di pandangan masyarakat? Bagi mereka, yang lebih utama ialah anak-anak mereka dapat masuk Universiti. Tiada yang lebih dari itu.

Terlupakah kita untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, majoriti rakyat kita perlu ada 'basic degree'?

Aku semakin keliru... Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan!

Thursday, June 10, 2010

Kenapa Tunggu Untuk Berjamaah?

Hari ini aku keluar rumah sekitar jam 08.15am. Kemudian singgah di warung 'Haneffa Mee' untuk pekena nasi lemak sebungkus, kuih ketayap sebiji dan kopi ais dengan harga RM2.00.

Kemudian terus ku pandu Kancil kesayangan ke Ibu Pejabat MADA. Kunjungan perkenalan telah ku buat sebulan yang lepas, jadi sekarang masa untuk menuai maklumat sebanyak yang mungkin.

Alhamdulillah buat hari pertama ini, pegawai-pegawai di MADA sangat membantu. Apa saja maklumat yang aku kehendaki, semua mereka sediakan. Beginilah sepatutnya suasana pejabat kerajaan dalam membantu sesiapa yang ingin membuat kajian ke arah kebaikan institusi mereka. 'At the end of the day', dapatan kajian membantu menambahbaikan organisasi mereka juga.

Suasana begini jarang berlaku di negara ketiga berbanding negara maju. Rata-ratanya, pejabat kerajaan 'or rather' pegawainya ingin menunjukkan 'power' dan cuba menyembunyikan data. Negara barat pula, mereka 'disclosed as much information as possible so that the result of the research will indirectly benefit them or the future generation'.

Walau apapun, aku amat berpuas hati berada di Ibu Pejabat MADA dari 9 pagi sehinggalah 3 petang.

Hari ini juga katanya, hari pertama mereka bekerja sehingga pukul 3.30 petang. Kebiasaannya, di Kedah mereka berkerja dari 8 pagi hingga 5 petang, dari Ahad hingga Khamis. Cuma untuk hari Ahad, mereka berehat agak lama iaitu dari 12.15 petang hingga 2.45 petang.

Dengan masa bekerja baru, mereka berehat tengahari pada masa yang sama untuk semua hari iaitu, 1 hingga 2 petang tetapi pada hari Khamis, mereka dapat balik awal.

Tak pasti pulak sama ada waktu bekerja baru ini hanya untuk MADA atau semua pejabat kerajaan di Kedah.

Pada aku, bagus juga waktu kerja baru ini kerana mereka dapat bercuti agak panjang, dari petang Khamis hinggalah hari Sabtu.

Sebenarnya, aku ingin menyentuh tentang perangai sesetengah dari orang kita apabila mereka ingin solat berjamaah.

Sewaktu aku di surau MADA tadi, aku perhatikan ada seorang hamba Allah yang menunggu-nunggu imam bangkit dari tahiyyat awal, baru ingin dia mengangkat takbir. Apa salahnya, kita terus masuk semasa imam bertahiyyat awal walaupun rakaat kita belum dikira. Tetapi pahalanya sudah dikira.

Ini tidak berlaku dengan warga Arab semasa aku di Masjid Nabawi mahupun di Masjidil Haram. Begitu juga, sepanjang ingatanku untuk masyarakat Bangladesh, Turki, Somalia dan sebagainya, mereka akan terus masuk tanpa mengira samaada rakaat itu sudah dikira atau belum.

Yang penting lagi awal kita bersama imam, lagi banyak pahala kita berjamaah!

Tetapi masyarakat kita begitu berkira... Kalau rakaat itu tidak dikira maka tak perlu lagilah. Kita tunggu imam bangun dululah... Kecuali bila imam sudah tahiyyat akhir maka kita terus bersama imam.

Nasihat aku ialah eloklah kita bersegera bersama imam, baik semasa imam rukuk ke, sujud ke, duduk antara dua sujud ke...dan tidak perlulah kita menunggu untuk bersama imam semasa dia berdiri sahaja!

Saturday, June 5, 2010

Wahai Anak Islam, Jangan Jadi Barang 'Display'!


Saya sudah bicara pasal barangan 'display' tetapi biarlah, saya perkatakan lagi... Mudah-mudahan ada kesannya kali ini.

Apa maksud barangan 'display'? Barangan 'display' bermaksud barangan yang diletakkan di depan kaunter supaya pembeli boleh melihat, membelek, dan membuat percubaan sekiranya ia berkenan di hati.

Yang pasti barangan 'display' dipilih dari kalangan yang terbaik supaya pelanggan boleh terpikat. Contoh yang mudah ialah beg tangan. Pembeli akan datang, membelek dan mencuba menyangkutnya di bahu sama ada ia kelihatan sepadan dengannya.

Kalau pakaianpun begitu, pembeli akan membawanya ke bilik persalinan untuk mencuba, kot kot saiznya tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil.

Kereta 'display'pun begitu. Cuma yang saya dengar, kereta 'display' dibuat lebih baik kualitinya kerana terlampau banyak tangan yang mencuba untuk 'test drive'.

Anak-anak yang dikasihi,

Jika anak-anak lihat di kedai semasa keluar 'shopping' bersama ayah dan ibu, ramai tak pelanggan yang terus membeli barangan yang mereka cuba? Atau apabila mereka ingin membeli barangan tersebut, mereka meminta barangan yang sama tetapi masih berada di dalam kotak?

Pakcik perasan ramai yang meminta yang baru, yang masih di dalam kotak dan belum disentuh tangan-tangan lain!

Kenapa ya? Jawabnya mudah, sudah menjadi fitrah manusia mereka ingin benda yang baru dan yang masih asli. Mereka tidak ingin barang yang sudah dipegang, dibelek, dicuba oleh orang lain. Mereka ingin barangan 'first hand' dan bukannya 'second hand'!

Dewasa ini, pakcik lihat ramai anak-anak yang suka mempertontonkan diri mereka dengan pakaian yang bukan saja mereka suka tetapi orang lain juga 'terpaksa' melihat pakaian mereka.

Apa kesannya kepada masyarakat? Masyarakat akan terjerumus ke lembah maksiat. Bukan kerana mereka saja-saja ingin melihat tetapi mereka nampak ia agak berlainan dengan trend biasa dan menarik minat golongan yang tua bangka untuk memperhatikan gelagat anak-anak yang mungkin bertaraf cucu-cucu mereka.

Perawakan dan perwatakan yang demikian boleh mencairkan sisa-sisa iman yang masih ada di dalam dada pakcik-pakcik. Kepada anak-anak muda, gejala ini akan merangsang nafsu mereka yang sudahpun tidak terkawal. Akhirnya, apa yang terjadi? Lahirlah ramai anak-anak haram di sana sini!

Fikirlah wahai anak-anakku...

Friday, June 4, 2010

Kutukan Demi Kutukan Kepada Penjenayah Antarabangsa


Sejak 31 Mei 2010, kita melihat serata dunia mengutuk tindakan zalim yahudi menyerang 'Flotilla Life Line for Gaza' (LL4Gaza) di perairan antarabangsa! Tindakan komando zionis Israel menyerang kapal Mavi Marmara telah mencetus kemarahan masyarakat dunia, baik dunia Islam mahupun bukan Islam.

Perarakan menentang keganasan Israel ini telah dilakukan dan akan terus dilaksanakan di hadapan kedutaan Israel dan kedutaan Amerika Syarikat di seluruh pelusuk dunia.

Peristiwa ini secara tidak langsung memberi gambaran sebenar wajah masyarakat yahudi yang tidak boleh berpegang kepada janji dan tidak mengikut peraturan antarabangsa. Buatlah apa saja resolusi atau ketetapan Bangsa Bangsa Bersatu tetapi mereka tetap dengan kehendak dan kemahuan mereka sendiri tanpa mendengar siapa-siapa!!! Lebih gah lagi, apabila mereka disokong oleh sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat.

Penduduk Palestin yang telah ditutup sempadan dari bantuan luar telah menderita sekian lama... Makanan, perubatan, tempat tinggal, dan pelbagai ketidakcukupan lagi terpaksa mereka lalui. Tetapi mereka tetap tidak mengaku kalah! Kepada mereka tiada erti kehidupan jika hak asasi kemanusiaan dilanggari. Mereka tetap utuh dengan semangat juang yang tinggi untuk mengembalikan tanah air mereka yang semakin hari semakin mengecil keluasaannya, dek diambil Israel durjana.

Saban hari, anak-anak mereka syahid ditembak rejim zionis. Tetapi mereka sabar dengan janji Allah. Mereka menginginkan syahid melebihi segala-galanya. Apa yang ada di dunia yang fana ini berbanding dengan kehidupan yang lebih indah di akhirat sana.

Ibu-ibu tidak lagi menangis kehilangan anak, bahkan mereka merasa bangga pemergian darah daging mereka demi memperjuangkan Islam. Mereka seperti ibu-ibu di zaman Rasulullah (SAW) yang mengira-ngira anak yang syahid di jalan Allah. Seorang syahid, aku akan hantar seorang lagi, dan jika juga syahid, aku akan hantar seorang lagi, dan seterus dan seterusnya...

Tetapi ketahuilah buat pejuang-pejuang di Palestin! Kamu bukan bersendirian, kami tetap bersama kamu... Wang ringgit dan doa sentiasa kami hulurkan. Cuma kadang-kadang, airmata kami bercucuran mengalir mengenangkan betapa teguhnya iman dan perjuangan kamu yang tidak kunjung padam...

Kepada 12 orang sukarelawan rakyat Malaysia yang terdiri dari badan-badan NGO seperti HALUAN, Aqsa Syarif, JIM, dan sebagainya, TAHNIAH diucapkan kepada antum semua. Pengorbanan saudara yang tidak gentar dengan kematian dan bercita-cita untuk syahid akan diberi ganjaran oleh Allah (SWT) dengan sebaik-baiknya.

Kami bersamamu wahai rakyat Palestin... Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!