Thursday, June 24, 2010

Tempatkan Allah Di Hati Kita Dan Bukan Sekadar Di Bibir Saja...


Motivasi Radio IKIM pagi tadi begitu menyentuh jiwa ini. Ustaz (tak ingat namanya) telah menceritakan 3 insiden, yang mana ketiga-tiga insiden tersebut berpaut kepada kepercayaan, kepatuhan dan kebulatan hati kepada Allah Yang Maha Esa...

Insiden pertama ialah peristiwa semasa Hijrah Rasulullah, dimana Abu Bakar (RA) dan Rasulullah (SAW) berada di dalam Gua Tsur. Puak Quraisy telah mengesan kedudukan Rasulullah. Dan Abu Bakar dapat melihat kaki-kaki mereka berada di luar gua yang ingin menangkap dan membunuh Rasulullah. Betapa risaunya Abu Bakar takut-takut mereka menjenguk ke dalam gua, tempat persembunyian mereka!

Tetapi betapa hati begitu yakin dan pasrah kepada Allah SWT yang akan memelihara pesuruhNya.

Peristiwa kedua ialah semasa Saidina Omar (RA) yang berada bersama anak kecil pengembala kambing... Saidina Omar menguji anak kecil tersebut dengan menyuruhnya untuk menjual seekor kambing kepadanya. "Ini bukan kambing saya dan saya hanya mengambil upah mengembala sahaja", jawab budak tadi. "Tetapi jika kamu menjualnya kepadaku seekor, tuanmu tidak dapat mengetahui dengan jumlah kambing yang sebegini banyak", balas Omar.

"Ya mungkin tuanku tidak mengetahuinya tetapi tuan kepada tuanku (Allah) Maha Melihat!", balas budak tadi.

Cerita ketiga ialah mengenai Saidina Khalid Ibnu Walid (RA) yang baru diturunkan pangkat dari panglima perang oleh Saidina Omar. Maksudnya, Saidina Omar telah melantik orang lain sebagai panglima tentera dan Saidina Khalid hanya bertaraf askar biasa saja.

Namun demikian, Saidina Khalid tetap berperang bermati-matian sehingga sahabat lain yang bersimpati kepada beliau menanyanya. "Kenapa kamu berperang begitu sengit seolah-olah kamu yang menerajui angkatan tentera ini? Tidakkah kamu telah dipecat dari menjadi panglima oleh Omar?". Dengan tegas Khalid menjawab, "Aku berperang bukan kerana Omar tetapi aku berperang kerana Allah".

Kalau kita perhatikan ketiga-tiga insiden di atas, kita dapat lihat betapa teguhnya iman mereka. Betapa Allah di tempatkan di hati mereka dan bukan sekadar mainan di bibir-bibir. Manusia boleh bersendiwara... Lain dikata dan lain dikota!

Masyarakat dewasa ini begitu rakus menyebut Allah SWT tetapi hatinya belum tentu bersama Allah. Lebih-lebih lagi, Na'u zubillahu min zaalik, kalau kita mengatakan sesuatu tentang Islam dan mengajak orang lain kepadanya tetapi kita sendiri tidak melaksanakannya.

Ya Allah, Ya Tuhanku, ketika usiaku sudah menjangkau 46 tahun, aku merasa takut... kalau-kalau Engkau sekadar di bibirku dan tidak di hatiku...

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum abah..

    Betul..betul sangat..sangat takut.
    Memang mudah menutur bicara malah sangat mudah menulis kata2, tapi di situ juga Allah meletakkan amanah pada kita untuk mengotakan apa yang dikata pada amalan..
    Contoh mudah, redha..sebut sanggggat senang. Tuhan je tahu betapa sukarnya kita nak menghadirkan rasa dan bertindak as kita betul2 redha at the first place when anything happen..

    YA Allah, moga kita tak tergolong dalam kalangan mereka yang hanya pandai berkata2 tapi kosong amalnya.

    ReplyDelete