Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Friday, June 4, 2010
Kutukan Demi Kutukan Kepada Penjenayah Antarabangsa
Sejak 31 Mei 2010, kita melihat serata dunia mengutuk tindakan zalim yahudi menyerang 'Flotilla Life Line for Gaza' (LL4Gaza) di perairan antarabangsa! Tindakan komando zionis Israel menyerang kapal Mavi Marmara telah mencetus kemarahan masyarakat dunia, baik dunia Islam mahupun bukan Islam.
Perarakan menentang keganasan Israel ini telah dilakukan dan akan terus dilaksanakan di hadapan kedutaan Israel dan kedutaan Amerika Syarikat di seluruh pelusuk dunia.
Peristiwa ini secara tidak langsung memberi gambaran sebenar wajah masyarakat yahudi yang tidak boleh berpegang kepada janji dan tidak mengikut peraturan antarabangsa. Buatlah apa saja resolusi atau ketetapan Bangsa Bangsa Bersatu tetapi mereka tetap dengan kehendak dan kemahuan mereka sendiri tanpa mendengar siapa-siapa!!! Lebih gah lagi, apabila mereka disokong oleh sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat.
Penduduk Palestin yang telah ditutup sempadan dari bantuan luar telah menderita sekian lama... Makanan, perubatan, tempat tinggal, dan pelbagai ketidakcukupan lagi terpaksa mereka lalui. Tetapi mereka tetap tidak mengaku kalah! Kepada mereka tiada erti kehidupan jika hak asasi kemanusiaan dilanggari. Mereka tetap utuh dengan semangat juang yang tinggi untuk mengembalikan tanah air mereka yang semakin hari semakin mengecil keluasaannya, dek diambil Israel durjana.
Saban hari, anak-anak mereka syahid ditembak rejim zionis. Tetapi mereka sabar dengan janji Allah. Mereka menginginkan syahid melebihi segala-galanya. Apa yang ada di dunia yang fana ini berbanding dengan kehidupan yang lebih indah di akhirat sana.
Ibu-ibu tidak lagi menangis kehilangan anak, bahkan mereka merasa bangga pemergian darah daging mereka demi memperjuangkan Islam. Mereka seperti ibu-ibu di zaman Rasulullah (SAW) yang mengira-ngira anak yang syahid di jalan Allah. Seorang syahid, aku akan hantar seorang lagi, dan jika juga syahid, aku akan hantar seorang lagi, dan seterus dan seterusnya...
Tetapi ketahuilah buat pejuang-pejuang di Palestin! Kamu bukan bersendirian, kami tetap bersama kamu... Wang ringgit dan doa sentiasa kami hulurkan. Cuma kadang-kadang, airmata kami bercucuran mengalir mengenangkan betapa teguhnya iman dan perjuangan kamu yang tidak kunjung padam...
Kepada 12 orang sukarelawan rakyat Malaysia yang terdiri dari badan-badan NGO seperti HALUAN, Aqsa Syarif, JIM, dan sebagainya, TAHNIAH diucapkan kepada antum semua. Pengorbanan saudara yang tidak gentar dengan kematian dan bercita-cita untuk syahid akan diberi ganjaran oleh Allah (SWT) dengan sebaik-baiknya.
Kami bersamamu wahai rakyat Palestin... Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment