Sunday, June 27, 2010

Lesen Judi Ditarik Balik...


Saya rasa ramai menarik nafas lega apabila kerajaan menarik balik lesen judi bola Piala Dunia.

Tetapi antara sedar dengan tidak, kita masih banyak memperjudikan masa depan anak-anak muda kita... Mengapa demikian?

Saya tidak pernah membeli akhbar tabloid picisan Harian Metro. Kadang-kadang apabila ke warung, saya mengintai membaca kerana ia tersedia di situ. Muka depannya sudah menarik perhatian, dengan gambar wanita yang separuh bogel, dengan isu-isu khalwat, artis kahwin ahli politik, zina yang disensasikan, sehingga ia boleh mendorong orang lain yang membaca untuk mencubanya.

Saya rasa mungkin pendekatan yang diambil akhbar ini ialah untuk melariskan jualan tanpa mengira kesan atau impak kepada sesetengah generasi muda yang suka membaca benda-benda hiburan dan perkara-perkara yang terpesong dari adat resam budaya melayu.

Sayapun hairan, apa yang sebenarnya yang ingin disampaikan. Adakah berita ataupun cerita? Saya rasa sepatutnya berita, yang mana apabila seseorang membaca berita khalwat atau zina akan melahirkan perasaan keinsafan dan bukannya keghairahan!

Saya juga turut hairan bagaimana etika kewartawanan yang diajar kepada wartawan-wartawan kita semasa mereka mengikuti kursus kewartawanan di universiti dulu. Ataupun wartawan kita tidak perlu menjalani tempoh pengajian formal seperti jurusan bidang-bidang yang lain? Siapa-siapapun boleh, janji ada cerita dan ada gambar...

Mungkin juga kita cuba untuk meniru tabloid yang dijual di negara barat, yang mana isi kandungannya hampir serupa. Sesiapa yang pernah ke US atau UK mungkin terlihat akhbar yang sedemikian.

Ini tidak termasuk lagi dengan majalah-majalah hiburan yang lain-lain.

Secara tidak langsung, kita memperjudikan akhlak atau pemikiran anak-anak muda semata-mata untuk melariskan jualan.

Satu lagi ialah pesanan ringkas sms. "Jika anda ingin melihat aksi....., sila dial nombor XXXXX". Bagaimana Celcom boleh menerima orang yang mengiklankan perkara yang sedemikian untuk disebarkan? Atau sekarang ini, sudah tidak ada lagi 'sosial obligation' untuk menjaga kesopanan dan kesusilaan? Asalkan duit masuk, sesiapapun boleh mengiklankan bahan atau produk mereka?

Adakah kita semua sudah jauh maju ke depan, yang hanya memikirkan soal duit semata-mata?

Ayuh! Kembalilah kepada suasana kita bantu membantu anak bangsa kita supaya mereka menjadi insan yang berguna. Insan yang bersahsiah dan berperibadi mulia, berilmu, berdaya maju, dan berguna kepada negara.

Wahai para penulis, ingatlah, tulisanmu atau gambarmu yang mendorong manusia untuk melakukan kemungkaran, maka saham untukmu ada bersama... Begitu juga penulisan yang mengajak manusia ke arah kebaikan, sahammu tetap ada!

Janganlah kerana dek mengejar duit yang sedikit, kamu akan sengsara di akhirat buat selama-lamanya...

No comments:

Post a Comment