Monday, February 28, 2011

Susuli Perbuatan Jahat Dengan Perbuatan Baik...

“Prof tak dapat jemputan kenduri kahwin dari Prof Aiman? Anaknya akan melangsungkan perkahwinan dan kenduri akan dibuat di Rumah Alumni pada minggu depan”, tanya ku.

“Oh, dia tu tak guna… Saya tak akan pergi punya… Ada ke masa saya ‘accident’ dulu, dia lalu aje tak buat apa. Kereta saya rosak teruk, anak-anak isteri dalam kereta. Boleh? Dia lalu dan terus jalan”, balas Prof Amin agak panjang.

“Kalau kita…, berhentilah dulu, tanya khabar, mana yang boleh tolong, kita tolong”, sambungnya lagi. “Dah la satu fakulti, janggut aje panjang…”, jelas Prof Amin, masih belum berpuas hati.

Terasa bersalah pula aku menanya soalan itu. Aku sekadar ingin memulakan bicara aje.

Peristiwa yang berlaku puluhan tahun lalu masih segar dalam ingatan Prof Amin. Dia amat tidak berpuas hati dengan rakan sefakultinya yang tidak membantunya semasa dia mengalami kemalangan di lebuhraya Utara-Selatan.

Segala kebaikan yang pernah Prof Aiman lakukan kepadanya sudah tidak penting, tidak relevan lagi dan semuanya ter’delete’ dari memorinya. Peristiwa kemalangan itu sudah mengaburi segala kenangan manis.

Pernah tak kita juga terasa seperti apa yang Prof Amin itu rasa? Perasaan seolah-olah, kawan ni memang tak guna seduit… Tak boleh harap dan tak layak untuk dibuat kawan.

Kalau jawapan kita ya… Cuba kita renung balik dengan hati yang terbuka… Pernah tak kawan kita ini meminta pertolongan kita? Dan adakah segala permintaannya kita penuhi?

Sebaliknya pula, pernah tak kawan kita ini menolong kita? Menolong dalam erti kata secara fizikal, mahupun dengan memberi pandangan dan buah fikiran.

Jika jawapannya ‘ya’, maka kita seharusnya memenuhi undangan kenduri perkahwinan anaknya itu. Setiap individu wajib memenuhi undangan saudaranya selagi ia tidak bertentangan dengan syara’.

Berkemungkinan apa yang berlaku kepada Prof Amin itu, Prof Aiman tidak bertindak dengan normal dan beliau amat mengesalinya selepas itu. Tetapi tiada peluang atau ‘occasion’ untuk Prof Aiman ‘make it up’ atau menebus balik kesalahannya. Jadi Prof Aiman terus hidup dengan penyesalan yang berpanjangan. Kepada Prof Amin pula, peristiwa itu menjadi titik tolak penilaian kepada seorang rakan satu fakulti…

Jika ini berlaku kepada kita, maksudnya, kita telah melakukan kesalahan seperti Prof Aiman, maka kita seharusnya mencari ruang dan peluang untuk mengganti balik kesalahan tersebut dengan membuat kebaikan yang lain kepada orang yang telah kita lakukan kesalahan. Kesalahan yang tidak disengajakan itupun berlaku di luar pemikiran waras kita.

Kadang-kadang manusia mudah mengingati satu kesalahan dari seribu kebaikan yang pernah kita lakukan! Oleh itu, ‘Buat baik tak payah berpada-pada dan buat jahat jangan sekali-kali’. Tetapi jika kita tersalah buat jahat juga, telusurilah ia dengan membuat perkara baik.

Saturday, February 26, 2011

Katibah Pada 25 Februari...

Katibah merupakan salah satu wasail tarbiyyah dalam memenuhi keperluan ruhi. Ia telah dirancang sedemikian rupa supaya setiap ahli IKRAM sentiasa bertaqarub kepada Yang Maha Esa.

IKRAM JBT telah melaksanakan Katibah mereka pada malam tadi bermula dengan solat Maghrib secara berjamaah di Pejabat IKRAM Negeri Johor. Solat Maghrib telah diimami oleh Dr Mohamed Ruslan Abdullah.

Program diteruskan dengan membaca al-Ma’thurat Kubra secara jamaie. Selepas itu, kami sama-sama bersolat Isya’ dan diteruskan pula dengan tilawah al-Quran dalam kumpulan kecil. Surah yang dipilih adalah mengikut kumpulan masing-masing. Kumpulan kami yang diketuai Prof Madya Hamidon Musa telah memilih surah Hud.

Pada pukul 9.30 malam, pengisian oleh al-Fadhil Ustaz Suhaimi Jairi bertajuk al-Qu’uud telah diberikan. Semoga semua ahli IKRAM yang telah mendengar penyampaian Ustaz Suhaimi malam tadi tidak terjerumus ke kancah al-Qu’uud, yakni tidak mahu lagi untuk berjuang di jalan Allah! Menurut Ustaz Suhaimi, ahli yang futhur sekurang-kurangnya akan bersemangat balik apabila diberi rangsangan dan sebagainya. Tetapi mereka yang mendapat penyakit al-Qu’uud tidak lagi kembali ke medan amal.

Ceramah Ustaz Suhaimi berakhir sekitar jam 11.15 malam. Mereka yang hadir dijamu dengan biskut dan teh O panas selepas itu. Manakala sepanjang ceramah, peserta menikmati ‘raisin’ atau kismis supaya kita tidak terasa mengantuk.

Seterusnya, para peserta mula tidur untuk bangun qiamulail.

Saya telah pulang ke rumah untuk membawa Syakir dan Rasyid untuk sama-sama berqiamulail di Pejabat IKRAM. Saya tiba semula di sana sekitar jam 1 pagi.

Bermula jam 5 pagi, saya mula solat sunat tahajjud tetapi ikhwah yang lain sudah memulainya awal lagi.

Pukul 6.05 minit, kita solat Subuh berimamkan pakar tajwid IKRAM JBT, Prof Madya Hamidon Musa. Seterusnya disusuli dengan al-Ma’thurat Sughra.

Selesai membaca al-Ma’thurat, kita membuat regangan secara duduk bersama-sama. Kemudian, program berakhir dengan sarapan pagi di kafetaria Noor, yang mana telah dibiayai oleh YDP IKRAM JBT, Prof Madya Tholuddin Mat Lazim.


Katibah ini seharusnya dilalui oleh setiap ahli IKRAM secara berkala supaya hati-hati kita sentiasa bertaut dengan Allah SWT. Tiada keuzuran sepatutnya berlaku demi untuk kita beramal secara jamaie. Untuk melakukan secara individu mungkin agak susah tetapi apabila dibuat secara berjamaah ia akan lebih mudah dan menyeronokkan.

Ayuh kawan-kawan, berjumpa lagi di Katibah yang akan datang!

Thursday, February 24, 2011

Peringatan Kepada Sesiapa Ingin Memperbaharui Cukai Jalan


Saya hanya ingin memberi peringatan kepada mereka yang mempunyai kenderaan yang akan tamat tempoh cukai jalan.

Cukai jalan atau 'road tax' van Ford Spectron saya akan tamat pada hujung bulan Mac. Semalam saya sudah minta Tuan Hj Zaidon untuk memperbaharui insurannya.

Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, saya selalu memperbaharui cukai jalan 'a head of time'. Bukan cukai jalan aje, cukai pintu, cukai tanah, bil elektrik, bil air, bil telefon, dan bermacam-macam bil lagi semuanya saya jelaskan dengan segera. Kadang-kadang, hari ini dapat bil elektrik, hari ini juga saya jelaskannya.

Perangai saya ialah memang saya tak suka tangguh hutang! Kita tak tahu bila kita akan mati. Dan mati dalam keadaan hutang tidak 'settle', katanya roh kita tak berapa elok! Ada yang berkata roh kita terawang-awang di antara langit dan bumi. Betul ke tidak, wallahu'alam.

Dan prinsip yang saya pegang juga ialah bayar upah sebelum peluh orang yang kita upah itu kering. Yuran sekolah anak-anak di SRIH dan SMIH, saya selalu bayar 'on-time'! Kesian kat sekolah, pendapatan tak seberapa, guru-guru mengajar bersungguh-sungguh anak-anak kita supaya menjadi pelajar yang cemerlang dari aspeks sahsiah dan pelajaran tetapi kita tangguh pula bayar yuran.

Eh, meleret-leret pula...

Pagi tadi, saya pergi ke Pejabat Pos UTM untuk membayar 'road tax' van tersebut. Pegawai di kaunter menyatakan bahawa nama saya di 'black list'. Jadi saya hanya boleh bayar untuk 6 bulan saja.

Tak mahu saya... Saya tak pernah bayar untuk 6 bulan. Sepertimana yang saya katakan sebelum ni, sebagai warga yang bertanggungjawab, saya selalu bayar untuk setahun.

"Kalau encik hendak tahu berapa banyak saman encik, berikan no i/c dan bayar RM1", jelas pegawai kaunter. Saya berikan seperti yang diminta. Beliau 'print' saman yang dikenakan kepada saya.

Ada 3 saman! Kereta Gen 2, JLA XXXX. Memang kereta itu nama saya tapi milik orang... Saya cuma pernah pandu sekali kereta tersebut dari tempat 'car dealer' ke rumah kawan saya.

Saman yang dikenakan bukan hanya 'block' kereta yang disaman tetapi semua kereta di bawah nama kita. Kalau kita ada 3 kereta di bawah nama kita, maka ketiga-tiga kereta akan ditahan dari diperbaharui cukai jalan.

Oleh itu, pesan saya kepada rakan-rakan yang belum semak status saman mereka, eloklah semak! Ini hanya kepada mereka yang ada kenderaan yang berdaftar atas nama mereka. Kepada pemandu yang lain seperti anak isteri tak perlu! Kecuali kereta itu berdaftar atas nama mereka.

Ambillah peluang 50% diskaun yang diberikan kerajaan. Tinggal beberapa hari lagi. Saya pun telah mengarahkan kawan saya untuk membayar 3 saman tersebut. Jumlah keseluruhannya ialah RM900 tetapi selepas diskaun RM450...

Saturday, February 19, 2011

Penganalisaan Terhadap Peperangan Mu'tah

Setiap pasukan tentera moden mempunyai doktrinnya yang tersendiri apabila menghadapi pasukan musuh. Tujuan angkatan tentera diwujudkan juga jelas dan ia berbeza dengan pasukan polis. Setiap anggota tentera sudah pasti tugasnya yang hakiki ialah untuk membunuh atau mati dibunuh. Manakala pasukan polis pula sepatutnya tugas hakiki mereka ialah menjaga keselamatan masyarakat awam!

Apabila kita membaca sirah Rasulullah (SAW), kita melihat bagaimana bersemangatnya sahabat untuk pergi berjihad... Matlamat mereka hanya satu iaitu samaada menang atau syahid!

Dalam kebanyakan peperangan kita nampak jumlah tentera Islam rata-ratanya bilangan mereka adalah sedikit. Peperangan Badar umpamanya dianggotai oleh seramai 313 orang menentang 1,000 orang musyrikin! Tetapi yang amat memeranjatkan ialah dalam peperangan Mu'tah, tentera Islam hanya 3,000 orang dan menentang tentera Rom seramai 200,000 orang!

Bagaimana ini boleh berlaku? Tidak adakah perkiraan keadaan yang dilakukan oleh pasukan tentera Islam?

Sebelum kita menjawab persoalan ini, elok kita melihat latar belakang peristiwa sehingga tercetusnya peperangan Mu'tah.

Kes ini bermula apabila Rasulullah menghantar utusannya iaitu al-Harith bin Umar al-Uzdi untuk menyebarkan risalah Islam ke daerah Basra. Malangnya, gabenor bandar Balqa' iaitu Syurahbil bin Umar al-Ghassani telah menangkapnya dan menyerahkan kepada Qaisar Rom yang kemudiannya bertindak memancung al-Harith. Ia berlaku di tahun ke lapan Hijrah (629 Masihi).

Mendengar berita tersebut, Rasulullah (SAW) terus mengumpul satu kontijen tentera dengan kekuatan seramai 3,000 orang. Ini merupakan bilangan tentera yang teramai yang pernah Rasulullah (SAW) kumpulkan selain daripada peperangan al-Ahzab.

Panglima perang diserahkan kepada Zaid bin Harithah. Sekiranya Zaid gugur maka Jaafar bin Abu Talib yang akan menggantikannya. Dan sekiranya Jaafar gugur, maka Abdullah bin Rawahah pula akan tampil menerajui kepimpinan Islam. Itulah pesanan Rasulullah (SAW).

Rasulullah (SAW) menyuruh tentera Islam melalui kawasan di mana al-Harith dibunuh, disamping mengajak orang-orang di sana kepada Islam.

Betapa mulianya expedisi tentera Islam, mereka dipesan oleh ar-Rasul, "Ayuh! dengan nama Allah seranglah mereka yang kufur dengan Allah, janganlah kamu khianati atau menyamun, jangan membunuh anak-anak kecil atau perempuan, atau orang tua, atau orang bertapa di gereja, jangan kamu tebang pokok-pokok dan jangan roboh bangunan-bangunan".

Berbezakan dengan tentera zionis yahudi yang membunuh anak-anak kecil, perempuan, dan orang tua di Palestin...

Tentera Islam bergerak ke utara dan apabila tiba di Ma'an, dalam jajahan negeri Syam, mereka mendapat berita bahawa tentera Rom telah bergerak ke tempat bernama Ma'ab di daerah al-Balqa' dengan kekuatan 100,000 anggota. Kemudian tentera Rom ini turut bergabung dengan qabilah-qabilah Arab yang lain seramai 100,000 orang lagi.

Sebenarnya tentera Islam sedikitpun tidak menyangka bahawa mereka akan bertarung dengan sebegitu besar bilangan tentera Rom! Mereka mengadakan musyawarah di Ma'an selama 2 malam berturut-turut. Ada yang berpendapat supaya dihantar surat memaklumkan kepada Rasulullah tentang bilangan musuh yang begitu ramai dan mengharapkan bantuan dari Rasulullah atau arahan yang lain.

Tetapi Abdullah bin Rawahah membangkang pendapat tersebut seraya berkata; "Wahai kalian, demi Allah sesungguhnya yang kamu tidak suka, itulah sebenarnya yang kamu semua keluar kerananya, mati syahid, kita tidak memerangi manusia dengan bilangan kita yang banyak atau dengan kekuatan dan persenjataan, kita tidak memerangi mereka kecuali dengan agama ini yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sehingga kita menjadi mulia, ayuh marilah kamu ke hadapan ambillah salah satu kebaikan; kemenangan mengatasi musuh atau mati syahid!"

Tentera Islam menyusun strategi di Mu'tah, unit kanan diletak di bawah kepimpinan Qutbah bin Qutadah al-Uzri manakala unit kiri di bawah pimpinan Ubadah bin Malik al-Ansari.

Di sini 3,000 tentera Islam melawan 200,000 tentera kuffar. Satu peperangan luar biasa yang pernah dunia saksikan dengan kehairanan dan keajaiban! Tetapi inilah yang dikatakan, apabila iman menyemarak di jiwa, maka berlakulah perkara-perkara luar biasa...

Zaid, orang kesayangan Rasulullah merempuh serangan musuh dengan berani dan terus mengasak sehingga beliau terkena tikaman musuh dan syahid. Panji-panji Islam diambilalih oleh Jaafar.

Jaafar berperang dengan beraninya, apabila tangan kanannya terpotong dipegang panji Islam dengan tangan kirinya. Apabila tangan kirinya juga terputus, lalu diapit bendera itu dengan kedua-dua belah lengannya. Jaafar juga syahid dengan kesan tikaman sebanyak 50 liang. Ada riwayat yang lain mengatakan lebih 90 liang tikaman dan tetakan.

Kemudian bendera Islam dicapai oleh Abdullah bin Rawahah. Sambil memacu kudanya ke depan, beliau bermadah;

Duhai jiwa ku!
Ku bersumpah
Kau pasti menghadapi kerelaan cabaran
Kiranya sudah orang mencapainya
Kenapa kau berlengah
Membenci syurga Allah?

Beliau terjun dari kudanya dan terus bertarung sehingga gugur syahid.

Thabit bin Arqam memegang bendera Islam sementara mendapat panglima baru. Akhirnya semua bersetuju supaya Khalid bin al-Walid memegang panji Islam. Khalid terus mengharungi kancah pertempuran yang sedang sengit. 9 bilah pedang Khalid patah pada peperangan ini, dan hanya pedang Yamaniahnya yang tinggal.

Meskipun keberanian yang luar biasa dan kepahlawanan yang tiada tara bandingnya di pihak Islam, namun bagi sekumpulan tentera yang kecil berbanding dengan tentera musuh yang ramai hingga menutupi bumi Mu'tah, memang luar biasa untuk memenangi tentera Rom.

Setelah berperang sepanjang hari, Khalid dengan kebijaksanaan ilmu ketenteraannya berjaya mengeluarkan tentera Islam dari kancah peperangan. Khalid juga berjaya menakutkan pihak musuh dari menjejaki atau memburu tentera Islam dari belakang. Sebenarnya beliau amat arif bahawa peluang untuk melepaskan tentera Islam dari suasana yang dihadapinya itu amat tipis, terutama dalam keadaan tentera Islam berkecamuk malah pihak tentera Rom pasti akan memburu mereka dari belakang.

Khalid melaksanakan perancangannya dengan menukar posisi tentera menjelang waktu Subuh. Beliau menyusun tentera dengan meletakkan barisan hadapan ke belakang, yang kiri ke kanan dan sebaliknya.

Apabila tentera Rom melihat penyusunan yang baru, mereka menyangka bahawa tentera Islam telah mendapat bantuan. Tentera Rom mula merasa takut dan gerun. Sambil berperang, Khalid perlahan-lahan membawa tentera Islam berundur tetapi masih mengekalkan sistem dan struktur tentera di posisi masing-masing.

Pihak tentera Rom tidak pula memburu tentera Islam kerana pada sangkaan mereka bahawa tentera Islam menggunakan taktik untuk memerangkap mereka di gurun padang pasir luas saujana mata memandang.

Bilangan tentera Islam yang syahid ialah seramai 12 orang manakala tentera Rom dijangkakan bilangannya lebih tinggi.

Natijahnya, walaupun tentera Islam tidak dapat menuntut bela, namun kesan peperangan ini amat besar sekali. Orang-orang Arab secara keseluruhannya takjub dengan keberanian tentera Islam yang melawan Rom yang pada masa itu adalah suatu kuasa besar.

Sangkaan awal mereka ialah keberanian orang-orang Islam dalam menentang tentera Rom yang begitu besar adalah keberanian membunuh diri! Setelah tentera Islam pulang ke Madinah tanpa kerugian yang besar, semuanya menjadi macam satu lagenda, malah dengan peristiwa ini membuktikan bahawa tentera Islam adalah unik dan belum pernah bangsa Arab mengenali contoh seumpama ini...

Qabilah-qabilah Arab yang sebelum ini menjadi musuh ketat Islam telah mengubah pendirian mereka. Banu Salim, Asyja', Ghatafan, Zibyan, Fazarah dan lain-lain telah memeluk Islam...

Thursday, February 17, 2011

Kebergantungan Kita Kepada Allah...


"Ayah Su lupa langsung pada Allah", begitulah keluhan bapa saudaraku. "Memang kawan baik Ayah Su di Putrajaya yang 'arrange posting' sesiapa yang baru berkhidmat atau yang hendak bertukar", sambungnya lagi.

"Semasa telefon dia, kita beritahu supaya anak kita ditempatkan di Terengganu atau di Pahang. Untuk dapat di Kelantan memang dah ramai 'waiting list'! So, Kelantan memang kita tak mintak", jelas Ayah Su lagi.

"Disebabkan 100% kita meletakkan kepercayaan kepada kawan (manusia) kerana dia mampu membuat keputusan, terus kita lupa pada Allah! Kita lupa bahawa dengan apa asbab sekalipun tetapi yang menentukannya adalah Allah azzawajalla...", tambah Ayah Su lagi.

Nampak sungguh penyesalan Ayah Su! Semoga ia menjadi suatu pengajaran buatnya.

Sebenarnya, selepas memberitahu kawannya tentang anaknya yang ingin ditempatkan di Pantai Timur, Ayah Su lupa untuk 'follow-up'. Apabila ditelefon balik baru-baru ini, kawan baiknya menyatakan bahawa dia terlupa langsung tentang anak Ayah Su.

Surat-surat penempatan juga telah dikeluarkan dan telah ditandatangani. Maka tidak boleh ditukar lagi. Dan anak Ayah Su ditempatkan di Muar, Johor...

Begitulah kehidupan kita seharian, apabila kita kurang berserah atau bertawakkal kepada Allah.

Apabila sakit kepala aje, terus capai panadol. Seolah-olah panadollah yang menyembuhkan sakit kepala kita.

Saya turut menambah, ada ayat al-Quran yang mengatakan bahawa "If people gather together to benefit you, it will not benefit you unless what has been prescribed by Allah on you. Begitu juga, "If people gather together to harm you, it will not harm you unless what has prescribed by Allah on you."

Kalau kita berpegang dengan ayat di atas hidup kita akan menjadi aman tenteram. Tiada perasaan hasad dengki, tamak haloba, takut, dan sebagainya...

Allahumma inni a'auzubika minal hammi wal hazn. Wa a'auzubikal minal 'azziwal kasal. Wa a'auzubika minaljubni wal bukhl. Wa a'auzubika min gholabati ddaini wa qah rirrijal...

Wednesday, February 16, 2011

Pertama Kali Ayah Menjejak Kaki Ke Rumahku...

Ayah dan Che sampai ke Skudai sebaik mendapat berita bahawa anak sulongnya keguguran. Ma gugur pada hari Isnin, dan ayah dan ibunya sampai pada hari Selasa.

Rumah yang kami diami sekarang adalah pertama kali Tok Ayah sampai tetapi buat Bu sudah lebih sekali.

Tok Ayah dan Bu merupakan panggilan anak-anakku kepada datuk dan nenek mereka sebelah umminya. Itulah yang mereka ada… Di sebelah keluargaku, sudah tiada lagi datuk atau nenek. Ayahku meninggal semasa aku di Tingkatan 5 (1981), manakala ibuku meninggal setelah aku mempunyai 3 orang cahaya mata (1995).

Keberadaan mereka di sini, aku layan seperti ibubapaku sendiri. Apa yang mereka kepingin, terus aku belikan. Telor pindang, epok-epok ubi kayu, goreng pisang, kuih muih, tembikai, pisang, buah-buahan yang lain, shawarma, kebab, ikan Salmon, tulang selangka, daging batang pinang, ‘just name it’. Semuanya aku beli…

Wang ringgit tidak menjadi halangan. Dua tiga tahun sekali belum tentu lagi mereka datang. Lagipun, apa ada pada duit jika ia tidak dapat menghubungkan silaturrahim keluarga?

Dari penilaian luaran, aku lihat Bu ‘enjoy’ keberadaan dia bersama kami. Siangnya, dia berkemas rumah, melipat kain, dan memasak bersama Ma. Bila ada luang, dia merumput dan menyiram pokok-pokok bunga yang aku tanam di depan rumah, di atas tanah yang sekangkang kera.

Tok Ayah bernasib kurang baik kerana mengalami ketegangan urat di lutut kirinya. Peristiwa ini berlaku semasa beliau ingin memasuki tandas. Apabila kakinya hendak berpijak pada lantai tandas yang ketinggiannya tidak sama dengan paras lantai bilik (rendah sebanyak setengah inci), maka dia tertumus dan menyebabkan lututnya bengkak.

Aku segera membawanya ke Pusat Kesihatan UTM dan di x-ray oleh sahabatku, saudara Taha. Doktor mendapati tiada koyakan mahupun retakan pada tulang lutut. Ayah dibenarkan pulang dengan diberi ubat menahan bengkak, ubat menahan sakit dan ‘bandage’.

Keesokannya, aku terpaksa membawa Ayah ke Poliklinik Penawar pula kerana pil penahan sakit tidak berapa kuat kesannya. Ayah selalu mendapat ‘pain killer’ melalui ‘injection’. Kalau di rumahnya di Kelantan, Asmadi anaknya yang berkhidmat sebagai Medical Assistant (MA) di Pusat Kesihatan Pengkalan Chepa akan datang ke rumah ayah dan membuat ‘injection’.

Jadi seminggu ayah di rumahku, masanya hanya dipenuhi dengan makan dan tidur saja. Hanya sekali, ayah sempat solat Subuh sujud sajadah di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid pada Jumaat lepas.

Ayah ingin melawat rumah anaknya, Asmizul di KL pula.

Semalam, aku, abang, achik, dan ‘Ammar menghantar Bu dan Tok Ayah ke Senai Airport. Penerbangannya ke KL berlepas jam 8.50 pagi.

Aku hanya dapat memberi buah tangan setiap seorang RM150 sahaja. Pun begitu, Bu telah mengambil RM50 dari bahagiannya dan memberi balik kepada abang, achik, dan ‘Ammar untuk dikonsi bersama.

Balik dari airport, aku melencong ke Sekolah Menengah Islam Hidayah kerana achik ada latihan debatnya di sana.

Apabila tiba di rumah, isteriku bersuara, “Ayah tak sabar tunggu biar lututnya betul-betul sembuh kemudian baru ke KL, ke rumah anak-anaknya yang lain…”.

Aku hanya menantunya…

Monday, February 14, 2011

Permudahkan Prosidur Lapor Diri...

Mak saudara isteri saya bersama suami dan anaknya (3 beranak) datang jauh dari Tanah Merah, Kelantan. Mereka tiba di rumah saya Maghrib semalam. Tujuannya ialah untuk melapor diri anaknya yang mendapat kerja sebagai Pegawai Farmasi di Johor.

Anaknya atau sepupu isteri saya perlu melapor diri di Wisma Persekutuan Johor Bahru, iaitu di Jabatan Kesihatan Negeri, Aras 4, Blok B. Sudah pasti untuk ke Wisma Persekutuan di Jalan Ayer Molek ini, saya yang menunjuk jalan. Kalau mereka datang sendiri, rasanya mungkin separuh hari baru berjumpa!

Selesai mengisi satu borang di situ, kami diarah ke Jabatan Farmasi di Menara Cyberpoint atau Cyberport (terlupa namanya), berdekatan dengan Hotel Blue Waves di Jalan Stulang Laut. Kami dibekalkan dengan salinan peta tulisan tangan untuk ke sana.

"Encik perlu ke sana untuk anak encik mendengar taklimat dan mengetahui di mana tempat dia akan berkhidmat", jelas seorang pegawai perempuan dari Jabatan Kesihatan Negeri.

Dengan berpandukan peta tersebut, saya mengarahkan bapa saudara untuk membelok ke kiri dan kanan sehinggalah sampai di tempat yang hendak dituju. Sekali lagi, cuba bayangkan kalau mereka datang sendiri!

Sampai di Menara tersebut, kami naik ke tingkat 10, Jabatan Farmasi...

"Ok, anak encik perlu masuk ke dalam untuk mendengar taklimat dalam 30 hingga 45 minit. Orang lain semua dah sampai", jelas kerani di kaunter.

"Berapa orang ke semuanya?", tanya si ayahnya.

"9 orang", balas perempuan tadi. "Sementara itu, bolehlah encik pergi minum dulu di kafetaria", sambungnya lagi.

Setelah berada di situ beberapa minit, saya mengajak bapa saudara untuk ke kafetaria. Takut-takut penungguan kita di sekitar ruang legar mengganggu perkhidmatan efektif mereka.

"Kat mana kafetaria, puan?", tanya saya.

"Nak yang murah ke yang mahal?", tanya si lelaki yang berada di sebelah perempuan di kaunter. "Yang mahal di aras 16, manakala yang murah di aras 5", sambungnya lagi.

Kami bergerak ke aras 5 untuk meneguk air dan menjamah sebiji dua kuih muih. Sebelum ini, di rumah kami telah pekena mee goreng dan karipap panas.

Setelah agak lama, kami kembali ke aras 10. Dan kelihatan mereka yang melapor diri mula keluar dari bilik.

"Ayah, kita kena pergi lapor diri di Klinik Kesihatan (lupa namanya) di Muar, hari ni", jelas Mardhiah kepada ayahnya, Ramli.

Subhanallah! Lapor diri di Jabatan Kesihatan Negeri di Wisma Persekutuan, kemudian ke Jabatan Farmasi di Menara Cyberpoint, kemudian hendak ke Muar pula...

Apalah salahnya, kalaulah diberi terus tempat alamat mereka perlu berkhidmat dalam 'offer letter' dan diarahkan melapor diri di situ terus, kan senang!

Sekarang ini kan zaman canggih..., maklumat yang diperlukan boleh dihantar secara 'online' ke mana-mana jabatan. Internet, telefon, faks, dan sebagainya ada... Kenapa masih ingin menyusahkan manusia yang datang dari seluruh pelusuk negara untuk bertawaf ke sana ke mari.

Mentang-mentang mereka hendak kerja, kita buat aje... Biar mereka susah tak apa... Kalau depa tak nak, kita panggil orang lain pula...

Mentaliti sebegini sangat-sangat membantut kita mencapai status negara maju dalam masa 9 tahun lagi!!!

Kami bergerak pulang ke rumahku di Taman Pulai Utama.

Kemudian mereka bergegas pula ke Muar dan pada kali ini, saya tidak lagi menemani mereka...

Friday, February 11, 2011

Beberapa Perkara Kecil Kadang-Kadang Kita Terlepas Pandang...

Hidup secara berjamaah sungguh seronok. Dalam erti kata sebenar, masing-masing bantu membantu, sokong menyokong, tolong menolong antara satu sama lain. Tiada yang merasa dianaktirikan kerana masing-masing berpegang kepada hadis, “Tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak menyayangi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri”.

Dalam apa jua tindakan, kita awal-awal lagi telah memasukkan diri kita ke dalam sepatu saudara kita. Kalau kita jadi saudara kita, sanggup tak kita lakukan demikian? Kalau kita jadi dia, sanggup tak kita bertindak atau berkorban begitu?

Pendek kata, segenap tingkahlaku kita semuanya ke arah menjaga hati saudara kita supaya dia tidak terguris atau terasa hati.

Tidak pernah dalam pemikiran kita untuk melihat kesusahan saudara kita, apatah lagi jika kepayahan yang dialaminya adalah angkara perbuatan diri kita.

Kita pernah mendengar cerita sahabat Rasulullah (SAW) yang kehausan semasa perang. Masing-masing telah tercedera dan tersangat dahaga tetapi mereka masih mampu untuk menyuruh sahabat di sebelah meminumnya dahulu. Sahabat itu pula menyuruh sahabat di sebelahnya pula. Dan akhirnya, bekas air kembali kepada sahabat yang pertama semula. Akhirnya, semua meninggal dan tidak sempat meminum air yang begitu dihajati mereka. Lihat betapa tinggi atau besarnya semangat berkorban untuk mendahului sahabat!

Saya melihat dari aspek perasaan kasih sayang dan mendahuluikan sahabat begitu menebal.

Ada suatu kes…

Di luar sebuah masjid ada paip air yang mempunyai 3 pili (kepala paip). Jika seorang menggunakannya maka air keluar agak banyak tetapi apabila ketiga-tiga paip dibuka maka air akan dibahagi tiga dan ternyata air mengalir agak perlahan. Dalam keadaan sedemikian, saya melihat masing-masing cuba membuka paip semaksima yang mungkin. Masing-masing ingin berwudhu’ dengan jumlah air yang selesa. Maka apa yang terjadi? Air mengalir tersangat perlahan!

Sepatutnya masing-masing dalam perasaan ukhuwwah membuka seminima yang mungkin dan mengharapkan sahabat di sebelah mendapat amaun air yang melebihi dari dirinya!

Itu baru bab ingin berwudhu’! Belum lagi bab haus dahaga yang teramat sangat. Mari kita cuba bayangkan apa yang akan berlaku agaknya jika semua dalam keadaan haus dan ingin meminum air. Adakah ia akan berlaku sepertimana apa yang berlaku kepada para sahabat ar-Rasul?

Satu lagi contoh yang paling mudah ialah apabila saudara kita menelefon kita untuk meminjam kenderaan. Sudah pasti, kita tidak mahu saudara kita susah dan kita cuba membantu memberi pinjaman sepertimana yang diperlukan itu.

Kita yang meminjam pula perlu juga menjaga hati saudara kita yang telah memberi pinjam. Janganlah kita kembalikan kenderaan sahabat kita tadi tanpa setidak-tidaknya menambah balik jumlah minyak yang telah digunakan! Kalau tidak, itu bukan pinjam namanya tetapi ia adalah menggunakan harta saudara kita. Kalau hendak dikira banyak ‘wear and tear’ berlaku; tayar, minyak injin, brek, dan sebagainya. Tetapi dengan mengisi minyak seadanya, maka hati sahabat kita terasa puas.

Seeloknya lagi, kalau kita dapat membasuh kenderaan yang kita pinjam! Lagi baik! Memang tuan punya tak suruhpun tetapi pandai-pandailah, “Orang Berbudi, Kita Berbahasa.”

Setidak-tidaknya kita membuat sesuatu extra kepada sahabat yang kita sayangi. Dia sudah ‘sacrifice’ untuk kita, maka kita pula perlu juga ‘sacrifice’ sedikit bagi menjaga hati dia pula…

Jangan pula kita ambil mudah! Oh tak apa, dia 'brother' atau 'sister', takkan sikitpun nak berkira?

Wednesday, February 9, 2011

Abah, Kak Long Dah Sampai...

5 minit sebelum pukul 7 pagi tadi, aku membawa anak-anak sekolah dengan van menuju ke Hidayah. Hari ini adalah hari kedua sejak isteriku mengalami keguguran kelmarin.

'On the way' balik, bila sampai di Kempas, telefon berdering... "Tuan, bila tuan hendak ambik baju loreng? Saya akan membawa anak ke hospital sekejap lagi...", tanya Sarjan Azmi. "Ok Mie, saya sekarang di Kempas dan saya akan terus ke Markas PALAPES untuk ambik baju", balasku.

Sebenarnya, 2 helai baju loreng telah aku berikan kepada Sarjan Azmi untuk melekatkan nama dan kor dengan menggunakan velcro. Nama, kor, dan poket dijahit senget. Pangkat hanya satu, terpampang di dada, dan tidak di atas bahu seperti biasa. Satu fesyen baru dalam berpakaian buat askar...

Askar memang tidak ketinggalan dalam modifikasi pakaian... Sekali panglima bertukar, sekali pakaian berubah.

Tidak lama kemudian, telefon berdering lagi... "Abah, Kak Long dah sampai KLIA", jelas Kak Long. "Ok, abah 'on the way' balik dari hantar adik-adik ke sekolah", jawabku.

"Katanya, sekejap lagi akan ada taklimat di airport dan selepas itu baru boleh balik", jelas Kak Long lagi.

"Kalau Kak Long balik dengan flight ke Senai boleh tak?", tanyaku. "Ok aje, cuma tadi ada seorang kawan hendak balik bersama Kak Long. Nanti Kak Long tanya dia dan 'call' abah balik", jawab Kak Long.

Semalam aku memberitahu Kak Long, aku akan membawa Kancil untuk mengambilnya dari KLIA. Lantaran itu, mungkin kawannya nak tumpang (aku tak pasti pula namanya, tapi dengar hujung-hujung binti Adnan).

Setelah fikir masak-masak, tolnya, minyaknya, dan penatnya maka rasa tak berbaloi. Hendak pinjam kereta sahabat-sahabat yang lebih selesa rasa macam takut menyusahkan mereka. Bukan tidak pernah bersuara... Pernah semasa Kak Long balik pada tahun pertama dulu... tapi tak berhasil. Perangai aku, kalau sekali minta tak dapat, lepas tu tak payah haraplah. Aku tak akan minta lagi.

Kereta Kancil aku laku juga dipinjam orang... Ada yang mempunyai kereta lebih banyak dan lebih selesa, pernah meminjam Kancilku. Tetapi aku tak sampai hati untuk meminjam kereta selesanya pula...

"Oklah abah, dah tak jumpa kawan Kak Long tu... Bolehlah naik flight...", Kak Long telefon lagi. Aku terus menelefon Mak Su Jae yang bekerja dengan MAB untuk menempah tiket flight ke Johor Bahru.

InsyaAllah pukul 4 petang ni, aku akan ambil Kak Long di airport Senai sepertimana aku ambil Tok Ayah dan Bu semalam.

Tuesday, February 8, 2011

Tanya Khabar Kak Long Lagi...

Baru lepas telefon Kak Long, lebih kurang 15 minit yang lalu.

"Kak Long kat mana ni?", tanyaku.

"Kat Jeddah lagi...", balasnya. "Dia ikut 'turn' abah, sekarang baru nombor 800 lebih, nombor Kak Long 1400 lebih...", sambungnya lagi.

"Tak apalah, tunggu aje... yang penting selamat...", balasku pula.

"Long, ummi keguguran semalam kat sekolah...", tambahku lagi.

"Berapa bulan?", tanya Kak Long.

"2 bulan", jawabku.

"Ummi ok?", tanya Kak Long.

"InsyaAllah ok...", jawabku.

"Oklah Long, lain kali pula abah telefon, Assalamu'alaikum", sambungku.

"Wa'alaikumussalam", jawab Kak Long.

Saturday, February 5, 2011

Along Baik, Andak Jahat...

Andak itu jahat,
Dia curi duit emak,
Dia malas dengar cakap ayah,
Dia tak suka tolong adik beradik,
Dia pecah belahkan keluarga…

Along bagus,
Tak pernah lawan cakap mak ayah,
Tak pernah buli adik beradik,
Tak pernah curi tulang,
Dia sentiasa satukan ahli keluarga…

Saban hari… Saban waktu…
Angah, Achik, Usu dengar itu semua…
Sampai naik muak,
Sampai nak termuntah…

Tak pernah perkara baik tentang Andak disuarakan,
Tak pernah perbuatan buruk tentang Along diuar-uarkan,

Semua pasal Andak, mesti buruk, jahat, kejam, zalim, nakal
Semua pasal Along, mesti elok, baik, penyayang, pemurah, ceria

Angah, Achik, Usu berfikir…
Kenapa begitu?

Along pernah juga tampar Achik…
Along pernah juga curi mainan Angah…
Along pernah juga tak balik rumah…
Along pernah juga ditangkap basah…

Tetapi jahat Along tak pernah keluar TV3
Tak pernah keluar ‘paper’, lebih-lebih lagi ‘paper’ UM

Andak pernah jaga Usu…
Andak pernah bantu ayah…
Andak pernah beri duit pada mak…
Andak pernah menang peraduan peringkat kebangsaan…

Tetapi baik Andak tak pernah keluar TV
Tak pernah keluar ‘paper’, baik ‘paper’ BH, Metro, apatah lagi UM…

Angah, Achik dan Usu…
Kesian pada Andak…

Tetapi Andak tak kisah…

Angah, Achik dan Usu
Benci pada Along…

Tetapi Along tak kisah…

Yang penting bagi Along…
Semua orang puji Along
Harta Along berjuta…

Semua stesyen TV dan akhbar pamer Along sebagai budak baik
Itu yang penting
Apa yang Allah nampak tak penting…
Yang penting apa yang orang nampak

Along kata kita hidup tak lama
Yang penting orang puji kita masa kita hidup
Orang menyumpah kita setelah kita mati… Tak apa..
Kita dah tak dengar…

Angah, Achik, Usu, dan Andak kesian pada Along…
Takut dengan pegangan Along begitu…
Takut ‘hubbud dunia wakara hiyatulmaut’ telah mengaburi mata Along
Sehingga terlupa kehidupan dunia sementara
Kehidupan akhirat kekal selamanya…

Banjir: Rahmat Anugerah Allah Atau Bencana?

Semasa aku kanak-kanak, musim tengkujuh cukup dinanti! Bulan-bulan November, Disember, dan Januari dikatakan musim tengkujuh berlaku. Angin monsun Timur Laut pada musim ini bertiup kencang. Hujan turun tanpa henti boleh dikatakan setiap hari. Jarang sekali nampak kelibat matahari.

Pokok-pokok kelapa nampak begitu lembut, sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan menurut tiupan angin yang menderu. Sawah padi nampak macam laut dipenuhi air. Taut-taut ditahan dalam sawah berumpankan cacing untuk mendapat haruan, puyu, dan sepat. Kalau rajin menahan pukat dalam taliair, ikan lampam, sepat, belida, duri, dan udang galah, pun dapat. Kalau rajin lagi, aku pergi menebar jala. Sungguh seronok aktiviti di musim tengkujuh.

Semua ikan yang diperolehi diberi kepada orang. Aku sendiri tak makan. Arwah ibuku makan juga tetapi tidak begitu rancak. Arwah nenekku yang ku panggil ‘Mek’ dan dikenali sebagai ‘Mak Teh’ di kalangan murid-murid mengajinya cukup suka ikan puyu. Kalau dapat ikan puyu dibakar tawar dan dicecah budu... Huh!, mertua lalu di belakang pun tak nampak!

Aktiviti air begitu rancak di musim tengkujuh! Habis aje mengaji Quran dengan nenek, ada aje aktiviti selepas itu. Paling tidak, menahan bubu atau pukat dalam parit! Suatu hari, aku pernah dapat ikan lampam sebesar 2 tapak tangan terlekat pada pukat yang ditahan dalam parit.

Yang paling dinanti-nanti ialah air mengalir deras di depan rumah nenekku, tempat kami mengaji. Itu menunjukkan air bah mula masuk kampung. Air Sungai Kelantan sudah merentasi jalan dan makin meningkat naik.

Apa lagi, semua budak-budak mengaji mula berpesta! Habis batang pisang ‘gala’ ditebang untuk dibuat rakit.

Turun pagi dengan pakaian kering bermain rakit. Tengahari balik rumah sekejap untuk makan tengahari. Kemudian turun lagi.

Makanan yang paling enak di musim tengkujuh ialah nasi panas dengan ikan budu digoreng dengan telor, diperah asam limau nipis dan dipenyek cili padi. Kalau ada ubi kayu atau keledek dicecah kelapa lagi seronok. Keledek juga ada jenisnya. Kalau dapat keledek ‘keduduk’, yang berwarna ungu, ump… sedapnya tidak terkata...

Cuma pada musim tengkujuh, pakaian amat susah untuk dikeringkan. Arwah mak menggunakan api untuk menyalai pakaian. Itu kadang-kadang, apabila kita turun bermain bah, bila balik tukar pakaian kering, kemudian turun bermain lagi. Puas arwah mak menyuruh memakai pakaian basah apabila anaknya kembali semula bermain air. Siapa nak pakai pakaian basah...sejuuk!

Ayam, serati, dan itik peliharaan mak akan berkongsi jemuran dengan kami. Jika ada yang masih dalam reban di bawah rumah, kami tangkap dan diletakkan di atas jemuran.

Sesiapa yang mempunyai lembu, kambing serta biri-biri, ternakan mereka dibawa ke stesyen keretapi. Di sana tanahnya tinggi, dan air bah tak pernah menenggelamkannya.

Bila habis musim banjir, aktiviti seterusnya ialah mengail udang galah. Udang galah dikatakan tidak mendapat makanan semasa musim banjir dan pada masa inilah peluang kita untuk menaikkan udang galah yang bersepit biru dan berbulu. Sungai Kelantan akan dipenuhi dengan perahu-perahu yang cuba untuk menaikkan sebanyak mungkin udang galah!

Banjir juga membawa segala kotoran dan sampah sarap keluar dari kawasan rumah ke kuala. Selepas itu, ia membekalkan tanaman dengan tanah berbaja. Tanah-tanah selepas banjir begitu subur.

Sejak aku kecil sehinggalah sekarang, tidak pernah aku melihat ada orang datang membawa bekalan makanan, pakaian atau sebarang duit sumbangan kepada mangsa banjir di kampungku!

Banjir berlaku saban tahun dan aku amat menunggu kedatangannya. Jika ia tidak datang setahun, amat terasa ketidakhadirannya! Sekarang semua itu hanya tinggal kenangan! Aku sekarang berada di daerah lain, daerah yang menerima banjir sebagai bencana dan bukannya anugerah…