“Prof tak dapat jemputan kenduri kahwin dari Prof Aiman? Anaknya akan melangsungkan perkahwinan dan kenduri akan dibuat di Rumah Alumni pada minggu depan”, tanya ku.
“Oh, dia tu tak guna… Saya tak akan pergi punya… Ada ke masa saya ‘accident’ dulu, dia lalu aje tak buat apa. Kereta saya rosak teruk, anak-anak isteri dalam kereta. Boleh? Dia lalu dan terus jalan”, balas Prof Amin agak panjang.
“Kalau kita…, berhentilah dulu, tanya khabar, mana yang boleh tolong, kita tolong”, sambungnya lagi. “Dah la satu fakulti, janggut aje panjang…”, jelas Prof Amin, masih belum berpuas hati.
Terasa bersalah pula aku menanya soalan itu. Aku sekadar ingin memulakan bicara aje.
Peristiwa yang berlaku puluhan tahun lalu masih segar dalam ingatan Prof Amin. Dia amat tidak berpuas hati dengan rakan sefakultinya yang tidak membantunya semasa dia mengalami kemalangan di lebuhraya Utara-Selatan.
Segala kebaikan yang pernah Prof Aiman lakukan kepadanya sudah tidak penting, tidak relevan lagi dan semuanya ter’delete’ dari memorinya. Peristiwa kemalangan itu sudah mengaburi segala kenangan manis.
Pernah tak kita juga terasa seperti apa yang Prof Amin itu rasa? Perasaan seolah-olah, kawan ni memang tak guna seduit… Tak boleh harap dan tak layak untuk dibuat kawan.
Kalau jawapan kita ya… Cuba kita renung balik dengan hati yang terbuka… Pernah tak kawan kita ini meminta pertolongan kita? Dan adakah segala permintaannya kita penuhi?
Sebaliknya pula, pernah tak kawan kita ini menolong kita? Menolong dalam erti kata secara fizikal, mahupun dengan memberi pandangan dan buah fikiran.
Jika jawapannya ‘ya’, maka kita seharusnya memenuhi undangan kenduri perkahwinan anaknya itu. Setiap individu wajib memenuhi undangan saudaranya selagi ia tidak bertentangan dengan syara’.
Berkemungkinan apa yang berlaku kepada Prof Amin itu, Prof Aiman tidak bertindak dengan normal dan beliau amat mengesalinya selepas itu. Tetapi tiada peluang atau ‘occasion’ untuk Prof Aiman ‘make it up’ atau menebus balik kesalahannya. Jadi Prof Aiman terus hidup dengan penyesalan yang berpanjangan. Kepada Prof Amin pula, peristiwa itu menjadi titik tolak penilaian kepada seorang rakan satu fakulti…
Jika ini berlaku kepada kita, maksudnya, kita telah melakukan kesalahan seperti Prof Aiman, maka kita seharusnya mencari ruang dan peluang untuk mengganti balik kesalahan tersebut dengan membuat kebaikan yang lain kepada orang yang telah kita lakukan kesalahan. Kesalahan yang tidak disengajakan itupun berlaku di luar pemikiran waras kita.
Kadang-kadang manusia mudah mengingati satu kesalahan dari seribu kebaikan yang pernah kita lakukan! Oleh itu, ‘Buat baik tak payah berpada-pada dan buat jahat jangan sekali-kali’. Tetapi jika kita tersalah buat jahat juga, telusurilah ia dengan membuat perkara baik.
No comments:
Post a Comment