Monday, February 14, 2011

Permudahkan Prosidur Lapor Diri...

Mak saudara isteri saya bersama suami dan anaknya (3 beranak) datang jauh dari Tanah Merah, Kelantan. Mereka tiba di rumah saya Maghrib semalam. Tujuannya ialah untuk melapor diri anaknya yang mendapat kerja sebagai Pegawai Farmasi di Johor.

Anaknya atau sepupu isteri saya perlu melapor diri di Wisma Persekutuan Johor Bahru, iaitu di Jabatan Kesihatan Negeri, Aras 4, Blok B. Sudah pasti untuk ke Wisma Persekutuan di Jalan Ayer Molek ini, saya yang menunjuk jalan. Kalau mereka datang sendiri, rasanya mungkin separuh hari baru berjumpa!

Selesai mengisi satu borang di situ, kami diarah ke Jabatan Farmasi di Menara Cyberpoint atau Cyberport (terlupa namanya), berdekatan dengan Hotel Blue Waves di Jalan Stulang Laut. Kami dibekalkan dengan salinan peta tulisan tangan untuk ke sana.

"Encik perlu ke sana untuk anak encik mendengar taklimat dan mengetahui di mana tempat dia akan berkhidmat", jelas seorang pegawai perempuan dari Jabatan Kesihatan Negeri.

Dengan berpandukan peta tersebut, saya mengarahkan bapa saudara untuk membelok ke kiri dan kanan sehinggalah sampai di tempat yang hendak dituju. Sekali lagi, cuba bayangkan kalau mereka datang sendiri!

Sampai di Menara tersebut, kami naik ke tingkat 10, Jabatan Farmasi...

"Ok, anak encik perlu masuk ke dalam untuk mendengar taklimat dalam 30 hingga 45 minit. Orang lain semua dah sampai", jelas kerani di kaunter.

"Berapa orang ke semuanya?", tanya si ayahnya.

"9 orang", balas perempuan tadi. "Sementara itu, bolehlah encik pergi minum dulu di kafetaria", sambungnya lagi.

Setelah berada di situ beberapa minit, saya mengajak bapa saudara untuk ke kafetaria. Takut-takut penungguan kita di sekitar ruang legar mengganggu perkhidmatan efektif mereka.

"Kat mana kafetaria, puan?", tanya saya.

"Nak yang murah ke yang mahal?", tanya si lelaki yang berada di sebelah perempuan di kaunter. "Yang mahal di aras 16, manakala yang murah di aras 5", sambungnya lagi.

Kami bergerak ke aras 5 untuk meneguk air dan menjamah sebiji dua kuih muih. Sebelum ini, di rumah kami telah pekena mee goreng dan karipap panas.

Setelah agak lama, kami kembali ke aras 10. Dan kelihatan mereka yang melapor diri mula keluar dari bilik.

"Ayah, kita kena pergi lapor diri di Klinik Kesihatan (lupa namanya) di Muar, hari ni", jelas Mardhiah kepada ayahnya, Ramli.

Subhanallah! Lapor diri di Jabatan Kesihatan Negeri di Wisma Persekutuan, kemudian ke Jabatan Farmasi di Menara Cyberpoint, kemudian hendak ke Muar pula...

Apalah salahnya, kalaulah diberi terus tempat alamat mereka perlu berkhidmat dalam 'offer letter' dan diarahkan melapor diri di situ terus, kan senang!

Sekarang ini kan zaman canggih..., maklumat yang diperlukan boleh dihantar secara 'online' ke mana-mana jabatan. Internet, telefon, faks, dan sebagainya ada... Kenapa masih ingin menyusahkan manusia yang datang dari seluruh pelusuk negara untuk bertawaf ke sana ke mari.

Mentang-mentang mereka hendak kerja, kita buat aje... Biar mereka susah tak apa... Kalau depa tak nak, kita panggil orang lain pula...

Mentaliti sebegini sangat-sangat membantut kita mencapai status negara maju dalam masa 9 tahun lagi!!!

Kami bergerak pulang ke rumahku di Taman Pulai Utama.

Kemudian mereka bergegas pula ke Muar dan pada kali ini, saya tidak lagi menemani mereka...

No comments:

Post a Comment