Wednesday, February 16, 2011

Pertama Kali Ayah Menjejak Kaki Ke Rumahku...

Ayah dan Che sampai ke Skudai sebaik mendapat berita bahawa anak sulongnya keguguran. Ma gugur pada hari Isnin, dan ayah dan ibunya sampai pada hari Selasa.

Rumah yang kami diami sekarang adalah pertama kali Tok Ayah sampai tetapi buat Bu sudah lebih sekali.

Tok Ayah dan Bu merupakan panggilan anak-anakku kepada datuk dan nenek mereka sebelah umminya. Itulah yang mereka ada… Di sebelah keluargaku, sudah tiada lagi datuk atau nenek. Ayahku meninggal semasa aku di Tingkatan 5 (1981), manakala ibuku meninggal setelah aku mempunyai 3 orang cahaya mata (1995).

Keberadaan mereka di sini, aku layan seperti ibubapaku sendiri. Apa yang mereka kepingin, terus aku belikan. Telor pindang, epok-epok ubi kayu, goreng pisang, kuih muih, tembikai, pisang, buah-buahan yang lain, shawarma, kebab, ikan Salmon, tulang selangka, daging batang pinang, ‘just name it’. Semuanya aku beli…

Wang ringgit tidak menjadi halangan. Dua tiga tahun sekali belum tentu lagi mereka datang. Lagipun, apa ada pada duit jika ia tidak dapat menghubungkan silaturrahim keluarga?

Dari penilaian luaran, aku lihat Bu ‘enjoy’ keberadaan dia bersama kami. Siangnya, dia berkemas rumah, melipat kain, dan memasak bersama Ma. Bila ada luang, dia merumput dan menyiram pokok-pokok bunga yang aku tanam di depan rumah, di atas tanah yang sekangkang kera.

Tok Ayah bernasib kurang baik kerana mengalami ketegangan urat di lutut kirinya. Peristiwa ini berlaku semasa beliau ingin memasuki tandas. Apabila kakinya hendak berpijak pada lantai tandas yang ketinggiannya tidak sama dengan paras lantai bilik (rendah sebanyak setengah inci), maka dia tertumus dan menyebabkan lututnya bengkak.

Aku segera membawanya ke Pusat Kesihatan UTM dan di x-ray oleh sahabatku, saudara Taha. Doktor mendapati tiada koyakan mahupun retakan pada tulang lutut. Ayah dibenarkan pulang dengan diberi ubat menahan bengkak, ubat menahan sakit dan ‘bandage’.

Keesokannya, aku terpaksa membawa Ayah ke Poliklinik Penawar pula kerana pil penahan sakit tidak berapa kuat kesannya. Ayah selalu mendapat ‘pain killer’ melalui ‘injection’. Kalau di rumahnya di Kelantan, Asmadi anaknya yang berkhidmat sebagai Medical Assistant (MA) di Pusat Kesihatan Pengkalan Chepa akan datang ke rumah ayah dan membuat ‘injection’.

Jadi seminggu ayah di rumahku, masanya hanya dipenuhi dengan makan dan tidur saja. Hanya sekali, ayah sempat solat Subuh sujud sajadah di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid pada Jumaat lepas.

Ayah ingin melawat rumah anaknya, Asmizul di KL pula.

Semalam, aku, abang, achik, dan ‘Ammar menghantar Bu dan Tok Ayah ke Senai Airport. Penerbangannya ke KL berlepas jam 8.50 pagi.

Aku hanya dapat memberi buah tangan setiap seorang RM150 sahaja. Pun begitu, Bu telah mengambil RM50 dari bahagiannya dan memberi balik kepada abang, achik, dan ‘Ammar untuk dikonsi bersama.

Balik dari airport, aku melencong ke Sekolah Menengah Islam Hidayah kerana achik ada latihan debatnya di sana.

Apabila tiba di rumah, isteriku bersuara, “Ayah tak sabar tunggu biar lututnya betul-betul sembuh kemudian baru ke KL, ke rumah anak-anaknya yang lain…”.

Aku hanya menantunya…

No comments:

Post a Comment