Katibah merupakan salah satu wasail tarbiyyah dalam memenuhi keperluan ruhi. Ia telah dirancang sedemikian rupa supaya setiap ahli IKRAM sentiasa bertaqarub kepada Yang Maha Esa.
IKRAM JBT telah melaksanakan Katibah mereka pada malam tadi bermula dengan solat Maghrib secara berjamaah di Pejabat IKRAM Negeri Johor. Solat Maghrib telah diimami oleh Dr Mohamed Ruslan Abdullah.
Program diteruskan dengan membaca al-Ma’thurat Kubra secara jamaie. Selepas itu, kami sama-sama bersolat Isya’ dan diteruskan pula dengan tilawah al-Quran dalam kumpulan kecil. Surah yang dipilih adalah mengikut kumpulan masing-masing. Kumpulan kami yang diketuai Prof Madya Hamidon Musa telah memilih surah Hud.
Pada pukul 9.30 malam, pengisian oleh al-Fadhil Ustaz Suhaimi Jairi bertajuk al-Qu’uud telah diberikan. Semoga semua ahli IKRAM yang telah mendengar penyampaian Ustaz Suhaimi malam tadi tidak terjerumus ke kancah al-Qu’uud, yakni tidak mahu lagi untuk berjuang di jalan Allah! Menurut Ustaz Suhaimi, ahli yang futhur sekurang-kurangnya akan bersemangat balik apabila diberi rangsangan dan sebagainya. Tetapi mereka yang mendapat penyakit al-Qu’uud tidak lagi kembali ke medan amal.
Ceramah Ustaz Suhaimi berakhir sekitar jam 11.15 malam. Mereka yang hadir dijamu dengan biskut dan teh O panas selepas itu. Manakala sepanjang ceramah, peserta menikmati ‘raisin’ atau kismis supaya kita tidak terasa mengantuk.
Seterusnya, para peserta mula tidur untuk bangun qiamulail.
Saya telah pulang ke rumah untuk membawa Syakir dan Rasyid untuk sama-sama berqiamulail di Pejabat IKRAM. Saya tiba semula di sana sekitar jam 1 pagi.
Bermula jam 5 pagi, saya mula solat sunat tahajjud tetapi ikhwah yang lain sudah memulainya awal lagi.
Pukul 6.05 minit, kita solat Subuh berimamkan pakar tajwid IKRAM JBT, Prof Madya Hamidon Musa. Seterusnya disusuli dengan al-Ma’thurat Sughra.
Selesai membaca al-Ma’thurat, kita membuat regangan secara duduk bersama-sama. Kemudian, program berakhir dengan sarapan pagi di kafetaria Noor, yang mana telah dibiayai oleh YDP IKRAM JBT, Prof Madya Tholuddin Mat Lazim.
Katibah ini seharusnya dilalui oleh setiap ahli IKRAM secara berkala supaya hati-hati kita sentiasa bertaut dengan Allah SWT. Tiada keuzuran sepatutnya berlaku demi untuk kita beramal secara jamaie. Untuk melakukan secara individu mungkin agak susah tetapi apabila dibuat secara berjamaah ia akan lebih mudah dan menyeronokkan.
Ayuh kawan-kawan, berjumpa lagi di Katibah yang akan datang!
No comments:
Post a Comment